Monday, August 24, 2009

Syarah al-Hikam al-‘Ataiyyah Huraian dan Penjelasan Secara Terperinci Jilid 1 – Dr Muhammad Said Ramadan al-Buti



Kitab ini adalah merupakan syarah atas kitab yang sangat masyhur dalam bidang tasawwuf yang dikarang oleh ulama besar abad ke-7 Hijriyyah iaitu Imam Tajuddin Ahmad bin Muhammad bin Abdil Karim Ibn as-Sakandari al-Maliki atau lebih dikenali sebagai Ibn Ata’illah. Kitab syarah ini pula dikarang oleh ulama terkenal zaman ini iaitu Dr Muhammad Said Ramadan al-Buti. Kitab syarah ini merupakan siri syarahan yang telah disampaikan oleh Dr Muhammad Said sepanjang tahun 1974 di Masjid Sanggadar Damsyik, kemudian di Masjid Tangkiz dan kemudian di Masjid al-Iman di daerah itu. Yang berada pada tangan saya ini ialah terjemahan kitab syarah itu yang telah diusahakan oleh H.M. Yusuf Sinaga dan diterbitkan dibawah label Berlian Publications. Seperti yang disebut pada tajuk diatas, kitab syarah ini adalah merupakan jilid yang pertama yang mengupas sekitar 47 kata-kata hikmah Ibn Ata’illah.
Membaca kitab syarah yang ditulis oleh Dr Muhammad Said ini sangat menyegarkan kerana beliau memasukkan pengalaman-pengalaman peribadi beliau ketika mengupas kata-kata hikmah Ibn Ata’illah. Sebagai contoh, ketika mengupas kata hikmah ke-7 yang berbunyi, “Jangan sampai meragukan kamu terhadap janji Allah kerana tidak terlaksananya apa yang telah dijanjikan itu, meskipun telah tertentu (tiba) masanya supaya tidak menyalahi pandangan mata hatimu, atau memadamkan nur cahaya hati kamu (sir kamu)”, Dr Muhammad Said menceritakan pengalamannya ketika bertemu dengan tentera Syria yang terlibat dalam peperangan tahun 1967. Kisahnya begini, salah seorang perajurit yang ikut perang pada tahun 1967 pernah bercerita kepada saya, dia mengatakan bahawa ketika dalam perjalanan pulang menuju ke Dimasyq (Syria) bersama perajurit-perajurit lain waktu solat tiba. Lalu mereka mencari tempat untuk menunaikan solat dan kemudian mereka pun menunaikan solat. Pada saat yang bersamaan beberapa orang mata-mata dari tentera asing lewat di tempat tersebut. Mereka berhenti dan memandang perajurit-perajurit yang sedang bersolat. Setelah selesai solat mereka bertanya, “Kenapa kamu masih saja mendirikan solat kerana Allah padahal Dia tidak menolong kamu dalam peperangan?” Aku berkata kepada perajurit yang menyampaikan kisah tersebut, “Seharusnya kamu berkata seperti kepada mereka, “Sesungguhnya kami mendirikan solat sebagai rasa syukur kami kepada-Nya yang tidak menghukum kami kerana dosa-dosa kami dan keberpalingan kami dari perintah-perintah-Nya. Kami telah banyak melakukan kemungkaran tetapi Dia tidak menghukum kami dengan menenggelamkan kami, mendatangkan gempa dan tidak juga menurunkan batu dari langit yang boleh saja Dia utus dari langit. Padahal sebenarnya kami layak dan pantas mendapat hukuman yang lebih dari itu.” Para mata-mata yang telah melemparkan soalan bukan hanya buta tentang ketuhanan tetapi lebih dari itu, mereka telah buta akan zat Ilahiyah. (rujuk mukasurat 111, kupasan ini adalah kupasan bahagian pertengahan)
Dr Muhammad Said kemudiannya menyambung perbahasan dengan memberi kisah yang sangat menarik untuk dibaca. Ceritanya begini,
Salah seorang lelaki soleh pernah ditanya,”Wahai tuan, pertunjukkanlah kepada kami karamah kamu agar keimanan dan keyakinan kami kepada Allah semakin kuat?” Lelaki soleh itu menjawab, “Apakah kamu tidak pernah melihat perkara-perkara menakjubkan dan karamah yang telah diberikan Allah kepadaku setiap saat?” Mereka berkata,”Kami tidak pernah melihatnya”. Lelaki soleh berkata, “Apakah kamu tidak melihatku berjalan diatas permukaan bumi dengan leluasa, bumi tidak menelanku dan bintang-bintang tidak menimpaku? Bukankah ini kemuliaan yang diberikan Allah kepadaku-padahal aku layak dibinasakan disebabkan ketidakseriusanku dalam menjalankan perintah dan dalam memenuhi hak-Nya yang telah meliputiku dengan pemeliharaan. Dia tidak membinasakanku sebagaimana Ia telah membinasakan orang-orang sebelumku” (rujuk mukasurat 111-112)
Sebenarnya sebelum memasukkan kisah-kisah diatas, Dr Muhammad Said memulakan perbahasan dengan menyenaraikan ayat-ayat al-Quran yang memuatkan janji-janji Allah swt yang Dia tekankan terhadap diri-Nya untuk hamba-hamba-Nya yang telah melaksanakan perintah-Nya. Kata Dr. Muhammad Said, kata hikmah ini adalah berkaitan dengan keraguan umat Islam yang tidak yakin dengan janji Allah. Sambung Dr Muhammad Said, majoriti orang yang mengatakan ungkapan demikian dan menjadikan janji Allah sebagai alasan sebenarnya adalah golongan yang jauh dari hidayah Allah dan suka memperolok-olokkan hukum-Nya serta orang-orang yang tidak mengetahui perkara-perkara mendasar tentang agama. Jenis manusia seperti ini jika dia melihat dirinya telah menunaikan kewajipan yang lima maka dia berasa yakin bahawa dia telah menunaikan semua hak Allah atas dirinya. Agaknya manusia seperti ini lupa bahawa Nabi Muhammad saw – orang yang paling mengenal Allah swt, paling cinta dan takut kepada-Nya tetap berasa masih belum melakukan apa-apa terhadap Allah swt baik dalam bersyukur mahupun memenuhi hak-hak-Nya. Perasaan tersebut telah menjadikan baginda saw tenggelam dalam istighfar tidak ubah bagaikan orang derhaka yang datang meminta keampunan kepada Allah swt. Inilah makna dari sabda Nabi saw, “Sungguh itu menjadikan hatiku berdebar-debar. Lalu aku memohon keampunan kepada Allah swt sebanyak seratus kali dalam sehari semalaman.” (rujuk mukasurat 109-110).
Kesimpulan Dr Muhammad Said tentang hal ini ialah bahawasanya Allah swt tidak pernah ingkar janji kepada orang-orang yang benar-benar telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan-Nya dengan ikhlas dan tulus. Orang-orang yang mengetahui syarat-syarat tersebut dan benar-benar menghargainya adalah mereka yang betul-betul mengetahui Allah swt dan hati mereka mencintai-Nya. Mereka bukanlah orang-orang yang hanya berinteraksi dengan Allah swt hanya kerana ikatan Islam sebagaimana yang pernah dikatakan oleh Imam Syatibi yang hanya menghitung-hitung hak mereka tanpa menghiraukan hak Allah swt atas diri mereka. Golongan yang hanya menghitung-hitung hak mereka sebenarnya tidak mengetahui apa-apa makna dari Firman Allah Taala yang bermaksud, “Dan penuhilah janjimu kepada-Ku nescaya Aku penuhi janji-Ku kepada kamu; dan hanya kepada-Ku-lah kamu harus takut (tunduk)” – Surah al-Baqarah ayat 40. (rujuk mukasurat 111).
Itu baru satu kata hikmah, ada banyak lagi kata hikmah yang dikupas oleh as-Syeikh Dr Muhammad said Ramadan al-Buti ini. Sangat menarik dan patut dimiliki!

2 comments: