Buku ini tergolong dalam kategori autobiografi yang menceritakan perjalanan hidup seniman negara yang bernama Syed Ahmad bin Syed Jamal. Tokoh yang dilahirkan pada tahun 1929 di Muar Johor ini mempunyai salasilah kelompok Jamalullail. Ayahnya bernama Syed Jamal manakala ibunya bernama Sharifah Alwiah yang berada dalam jalur keluarga yang sama. Datuk sebelah bapanya bernama Syed Sahil, saudagar terkenal di Johor Bahru yang berasal dari Gresik, Jawa. Gresik diketahui umum adalah merupakan kawasan pendatang dari Hadramaut, Yaman. Kenapa buku ini dinamakan kunang-kunang? Kata Syed Ahmad, beliau terkesan sungguh dengan kata-kata emaknya yang menyatakan dengan menggosok kunang-kunang di antara dua tapak tangan, tulisan akan menjadi cantik. Sambung Syed Ahmad lagi, setelah menggosok kunang-kunang tersebut, tulisannya sampai sekarang tidak menjadi cantik tetapi yang menjadi cantik ialah hasil lukisannya. Memamg benar, lukisan yang dihasilkan oleh Syed Ahmad mempunyai nilai seni yang tersendiri. Tidak hairanlah beliau diiktiraf sebagai seniman negara. Pernah mendapat pendidikan di UK dan Hawaii, Syed Ahmad pernah bertugas di Muzium Seni Asia, Universiti Malaya, dilantik menjadi Pengarah Pusat Kebudayaan Universiti Malaya, dilantik menjadi Pengarah Balai Seni Lukis Negara dan menjadi Karyawan Tamu di DBP. Buku yang setebal 204 mukasurat ini amat santai dibaca. Teksnya yang ringan dan diselangi dengan hasil-hasil lukisannya yang indah memudahkan pembaca menghayati isi kandungannya. Bagi saya, lukisannya yang bercakap bukannya teks. Lenggok-lenggok lakaran Syed Ahmad sangat mengagumkan. Seniman negara ini menguasai pelbagai gaya seni seperti lukisan dakwat atau lakaran pennya yang bersahaja, lukisan cat minyak, akrilik atas kanvas, mural, poster, seni rupa dan juga seni arca. Saya bukanlah ahli dalam bidang seni lukis ini oleh itu, saya tidak layak untuk mengupas hasil karya seniman negara ini. Cuma yang boleh saya katakan, sebagai seorang pengamat hasil lukisan, hasil seni yang diolah oleh seniman negara ini mempunyai gaya tersendiri. Buku ini turut diserikan dengan gambar-gambar lama yang melibatkan datuk, ayahnya ketika muda dan gambar penulis sendiri ketika kecil, remaja dan dewasa yang sudah pasti merupakan khazanah yang sangat berharga. Teks-teks yang mengisahkan pengalaman hidupnya juga digarap dengan kemas. Antara kisahnya yang menarik ialah ketika beliau melawat Medan Sumatera dalam tahun 1977. Lawatan itu diadakan bertujuan untuk mendapatkan barang seni rupa Melayu. Ketika berada di bilik tamu rumah Ali Basa, pemilik himpunan barang seni rupa Melayu disana, beliau mengalami pengalaman aneh disebelah malamnya. Lembaga berbentuk manusia yang dibalut dengan kain putih menghampiri dirinya hingga bahagian mukanya menyentuh muka penulis buku ini. Syed Ahmad kemudiannya membaca ayat-ayat suci sehinggalah lembaga itu hilang dari pandangan. Kata Syed Ahmad, mujurlah lembaga itu kelihatan bersih, tidak berbau dan tiada pula wajah yang menakutkan. Kejadian itu berlaku semasa bilik terang disinari cahaya lampu. Setelah menceritakannya kepada Ali Basa, Ali Basa mengakui bahawa bilik itu memang agak misteri (rujuk mukasurat 133-134).
Buku yang tergolong dalam kategori mewah ini diterbitkan oleh DBP pada tahun 1999 dengan harga jual RM 160. Buku ini dkatakan mewah berdasarkan kulit bukunya yang 'hardcover', kualiti kertasnya dan lambakan ilustrasi yang sudah pasti menambahkan nilai harga buku ini. Walaubagaimanapun saya beli buku ini dengan diskaun yang sangat spesel ketika berlangsungnya jualan gudang di DBP.
Kulit buku sisi bahagian dalam yang memuatkan biografi ringkas Syed Ahmad
No comments:
Post a Comment