Sunday, June 30, 2013

Kesusasteraan Klasik Melayu Sepanjang Abad

 
Menurut kata pengarang buku ini, Prof Dr Teuku Iskandar, isi kandungan buku ini adalah didasarkan pada bahan kuliah yang disampaikannya ketika ia mengajar di UKM dan UM sekitar dekad 60-an dan 70-an. Selanjutnya, beliau menambah kandungan dengan bahan-bahan yang diperolehinya ketika ia berada di Belanda. Hasilnya, buku ini berjaya menghimpunkan catatan-catatan penting sejak dari zaman Sriwijaya hinggalah ke era kegemilangan kesusasteraan Riau.  Apa yang menarik ialah pengarang turut memuatkan catatan tentang hasil karya tokoh-tokoh ulama Alam Melayu khususnya pada abad ke-17 dan 18. Ada diantaranya adalah nama-nama tokoh yang tidak pernah saya dengar sebelum ini tetapi rupanya banyak menghasilkan karya misalnya Shaykh Mualim Hitam dan Shaykh Abbas ibn Muhammad al-Syafi'i al-Khalwati al-Asyi Buku setebal 684 mukasurat ini diterbit pada tahun 1995 oleh Jabatan Kesusasteraan Melayu Universiti Brunei Darussalam.  

Satukan Hangat dan Dingin Kehidupan Hamzah Fansuri Pemikir dan Penyar Sufi Melayu


Buku ini ditulis Prof Barginsky, tokoh akademik asal Rusia yang banyak mengkaji kesusasteraan Bahasa Melayu termasuk tokoh-tokohnya. Salah seorang tokoh yang mendapat perhatiannya ialah tokoh besar Alam Melayu abad ke-16 iaitu Hamzah Fansuri. Lalu muncullah buah tangannya tentang tokoh ini seperti dalam gambar di atas. Kata Prof Braginsky, beliau memberi perhatian tentang Hamzah Fansuri sejak ia bergelar mahasiswa. Esei pertama yang ditulisnya yang ada kaitan dengan ketokohan Hamzah Fansuri adalah tentang Syair Perahu pada tahun 1969. Sejak dari itu, beliau banyak meneliti karya tokoh besar itu. Buah tangannya ini sangat menarik. Ia bukanlah buku biografi seperti kebiasaannya. Kandungannya adalah separa akademik dan separa fiksyen. Walaupun ada unsur fiksyen, fakta-fakta ilmiah tetap terselit merata-rata. Jalan ceritanya yang berbentuk naratif kembara menyebabkan pembaca seolah-olah merasakan dirinya seperti berada dalam jalan cerita tersebut. Apa pun bagi saya, bab yang paling menarik ialah proscriptum. Dalam bab tersebut, Prof Braginsky mengulas tulisan Guillot dan Kalus tentang penemuan inskripsi nisan yang menurut mereka milik Hamzah Fansuri di Makkah. Sebagai rumusan, buku ini sangat menarik untuk dibaca terutama bagi mereka yang membuat kajian tentang biografi Hamzah Fansuri. Buku ini diterbit oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, dicetak buat kali pertama pada tahun 2003. Selain buku ini, saya turut memiliki sebuah lagi karya Prof Braginsky berjudul Yang Indah, Berfaedah dan Kamal: Sejarah Sastera Melayu Abad 7 - 19.