Saturday, October 17, 2009

Ramuan Makanan Islam - Ahmad H.Sakr




Buku ini ditulis oleh seorang ilmuwan Islam yang pernah memegang jawatan Presiden American Islamic College, Chicago, Illnois, Amerika Syarikat. Tajuk asal buku ini ialah A Muslim Guide to Food Ingredients yang diterbitkan oleh The Islamic Food and Nutrition Council of America. Buku ini kemudiannya dialihbahasa oleh Maisham Yunus dengan dibantu oleh Kalthum Mohamed dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1991. Buku ini sangat bermanfaat bagi pengguna/konsumer yang ingin mengetahui kegunaan dan tahap kesucian sesuatu bahan yang digunakan sebagai ramuan makanan. Antara beberapa perkara menarik yang disentuh dalam buku ini ialah seperti berikut;
1. Kesan sampingan aditif - Sebahagian bahan pewarna dalam makanan telah didapati menyebabkan penyakit kanser hasil maklumat ujian ke atas binatang-binatang di makmal. (rujuk mukasurat 16)
2. Avidin - enzim berprotein yang didapati dalam putih telur mentah. Avidin berganbung jujuh dengan biotin jika putih dan kuning telur itu terdedah kepada udara. Biotin kemudiannya terikat dan ini mengakibatkan sindrom kekurangan bioting yang dikenali sebagai kecederaan putih telur. Avidin sebagai enzim (protein) mudah, tidak aktif oleh haba atau agen-agen denaturasi lain. Dengan itu dinasihatkan supaya anda tidak memakan telur mentah. Malah mengaduk telur dengan susu lalu menggorengnya (scrambled eggs) juga tidak baik kepada kesihatan kerana sebab yang sama. (rujuk mukasurat 53)
3. Bacon - daging babi daripada satu bahagian yang dikeluarkan daripada tulang rusuk dan kemudian diawet kering atau dijeruk dalam air garam dan diasap. Hukum memakannya adalah haram (rujuk mukasurat 53)
4. Biotin - Biotin ini boleh dalam dari kuning telur, ikan dan susu. Putih telur mentah mengandungi enzim avidin yang bertindak balas dengan biotin apabila terdedah kepada oksigen di udara. Maka itu tidaklah digalakkan memakan telur mentah dan scrambled kerana anda mungkin akan menghadapi tanda kekurangan biotin. Tanda kekurangan biotin ialah seperti dermatosis kering dan pecah-pecah, loya, letih lesu, sugul dan mengalami sakit otot atau sakit saraf yang tidak menentu (rujuk mukasurat 56)
5. Diuretik - Ubat yang boleh meningkatkan pengaliran air kecing. Kumpulan yang bertindak sebagai diuretik ialah kopi, teh, minuman cola, alkohol dan seumpamanya. Bahan ini bertindak meningkatkan perembesan air kencing dan menyingkirkan banyak elektrolit yang diperlukan oleh tubuh badan seperti natrium, kalium, kalsium dan magnesium. Kesan dari kehilangan elektrolit ini boleh merosakkan hemeostasis tubuh badan dan mencelarukan fungsi lazim bagi jantung, sistem saraf pusat dan organ-organ lain. Teh herba adalah lebih baik untuk kesihatan kerana tidak mengandungi perangsang dan diuretik (rujuk mukasurat 59)
6. Kefein - Wanita yang mengandung diingatkan supaya menjauhi kafein kerana ada ujian yang menunjukkan hubungan antara kafein dengan kecacatan anak yang dilahirkan (rujuk mukasurat 70)
7. Lesitin - Ada dalam kuning telur dan soya. Dari segi kesihatan ia disarankan kerana ia menggerakkan kolesterol. Daging dan telur mengandungi kolesterol walaupun telur mempunyai kandungan kolesterol yang lebih tinggi. Namun begitu telur mengandungi tahap lesitin yang tinggi yang menjadi sumber yang paling baik untuk mengemulsi, menggerak dan memetabolisme kolesterol (rujuk mukasurat 78)
8. Monosodium glutamat - dari segi perubatan, bahan ini digunakan untuk merawat penyakit koma hepatik (rujuk mukasurat 82)
9. Pektin - bahan bergelatin yang diperah dari buah-buahan untuk penyediaan jem, jeli dan sebagainya. Sumber pektin palingbaik ialah dari kulit epal terpilih dan empulurnya atau albedo daripada buah lemon. Pektin boleh digunakan untuk mengawal cirit-birit (rujuk mukasurat 83)
10. Daging babi - nama lainnya ialah ham (otot di belakang), loin dan lemak belakang, bahagian bahu (picnic shoulder) dan seumpamanya. Islam mengharamkan memakan daging babi. Begitu juga Yahudi dan beberapa kumpulan Kristian. Malangnya ramai orang Kristian memakan daging babi ini tanpa merujuk kitab suci mereka iaitu Bible (rujuk mukasurat 92)
Buku ini harga asalnya RM10 tetapi saya beli dengan harga RM1 sahaja di jualan gudang di Kelana Jaya.

Fatwa dalam Perundangan Islam - Othman Haji Ishak




Dah lama saya mengidam buku ini. Saya memang menyimpan hasrat untuk memiliki buku ini kalau boleh yang 'ori' bukannya fotostat dan hasrat saya akhirnya termakbul jua hari ini. Di jualan gudang buku yang dianjurkan oleh Crescent News di Kelana Jaya, saya terjumpa buku ini. Saya ingat masih ada lagi dua tiga buah buku ini. Mungkin itu je kut saki-baki buku judul ini yang original yang masih tinggal! Apa istimewanya buku ini? Buku ini pernah disebut oleh almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir ketika membuat catatan tentang Syeikhul Islam Perak, Syeikh Muhammad Saleh al-Minangkabawi. Catatan tersebut boleh dirujuk disini. Almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir merujuk buku ini ketika mengulas urutan senarai ulama yang memegang jawatan Mufti Perak satu masa dulu. Apabila saya membelek buku ini, almarhum al-Ustaz nampaknya merujuk pada mukasurat 42. Selain dari Perak, penulis turut membuat liputan tentang sejarah perundangan Islam di negeri-negeri lain di Tanah Melayu. Sebenarnya buku ini adalah tesis PhD penulis buku dengan tajuk asalnya berjudul Satu Kajian Kritikal mengenai Institusi Fatwa dalam Hukum Shara' di negeri-negeri Melayu - Sejarah dan Interpretasinya. Penulis buku ini nampaknya sangat bertuah kerana dibimbing oleh seorang tokoh besar dalam bidang perundangan Islam tanahair iaitu Prof Ahmad Ibrahim ketika menyelesaikan pengajian PhDnya. Prof Ahmad Ibrahim turut memberi kata aluan di muka hadapan buku ini. Buku ini juga diteliti oleh ulama besar tanahair iaitu Datuk Sheikh Abd Mohsein bin Haji Salleh yang memegang jawatan Mufti Wilayah Persekutuan pada waktu itu. Datuk Sheikh turut memberi kata aluan didalam buku ini. Penelitian yang dilakukan oleh tokoh-tokoh besar terhadap buku ini menunjukkan bahawa buku ini sangat penting dalam khazanah ilmiah tanahair. Tidak hairanlah penerbit buku ini iaitu Fajar Bakti meletakkan buku ini dalam kategori Siri Undang-Undang dan disebut dibahagian kulit belakang buku bahawa buku ini adalah satu kajian ilmiah yang amat berfaedah di bidang akademik dan dakwah Islamiah. Ada 4 bab dalam buku ini. Pertama, mengenai latar belakang hal ehwal fatwa dalam sejarah perundangan Islam. Kedua, mengenai hal kedatangan agama Islam ke Tanah Melayu dan kedudukan perundangan Islam di Tanah Melayu. Hubungan adat dan hukum syariah turut disentuh dalam bab ini. Ketiga, mengenai hal fatwa di negeri-negeri Tanah Melayu. Keempat, mengenai perbincangan kritikal tentang hal fatwa di negeri-negeri di Tanah Melayu. Buku setebal 209 mukasurat dan dicetak pada tahun 1981 ini amat wajar dimiliki sekiranya anda ingin mengetahui sejarah perkembangan fatwa tanahair. Seperti saya sebut tadi, ada saya nampak dua tiga naskhah buku ini di rak-rak dibahagian belakang jualan gudang di Kompleks Sukan Kelana Jaya anjuran Crescent News. Jika terlambat mungkin orang lain akan sambar dulu. Jualan gudang ini bermula dari 13 Oktober dan berakhir pada 22 Oktober 2009.

Friday, October 16, 2009

Penerbitan dan Percetakan Buku Melayu 1807-1960 - Md Sidin Ahmad Ishak




Buku ini diterbit buat pertama kali oleh Dewan Bahasa Pustaka pada tahun 1998. Seperti judulnya, buku ini menghuraikan sejarah penerbitan dan percetakan yang melibatkan buku-buku berbahasa Melayu sejak dari tahun 1807 hinggalah ke 1960. Penulis buku ini nampaknya bekerja keras menghasilkan penulisan buku ini. Kalau dilihat dari senarai kontaknya, ada yang sampai ke Eropahseperti di England dan Scotland bagi mendapatkan bahan-bahan yang diperlukan. Penulis buku ini juga tidak ketinggalan mendapatkan bahan-bahan penting dari individu perseorangan yang mempunyai kaitan dengan kronologi perkembangan penerbitan dan percetakan tanahair. Menerusi buku ini, pembaca akan dihidangkan dengan maklumat-maklumat lengkap seperti suasana persekitaran perusahaan buku, syarikat yang terlibat dengan perusahaan tersebut samada menerbit mahupun pencetak, penulis-penulis pada zaman itu dan juga undang-undang tentang penerbitan dan percetakan di zaman itu. Bagi mereka yang mencari kitab-kitab lama atau buku-buku klasik, buku ini boleh pilihan rujukan. Dibahagian lampiran, disenaraikan nama-nama buku yang pernah diterbitkan pada zaman itu. Antara bab yang menarik perhatian saya ialah bab undang-undang penerbitan dan percetakan (ditanda sebagai bab 10 dalam buku ini. Setelah membaca buku ini, barulah saya tahu betapa buku karya pendita Za'aba pernah mencetuskan kontroversi di Perak dan Johor sekitar tahun 1920-30an (rujuk mukasurat 257-258). Buku yang diharamkan itu ialah pertama, Pendapatan Perbahasan Ulama Berkenaan Qada' dan Qadar dan kedua, Umbi Kemajuan atau Falsafah Takdir. Buku pertama diharamkan sendiri oleh Sultan Perak pada ketika itu iaitu Sultan Iskandar Shah. Sultan sangat murka dengan buku ini sehingga mengarahkan Za'aba supaya memohon maaf dan ampun dari Sultan kerana menghasilkan buku tersebut. Isi kandungan buku itu dikatakan menjurus kepada kemajuan idea tentang doktrin heterodoks berkenaan dengan kebebasan. Buku kedua pula diharamkan oleh kerajaan negeri Johor pada tahun 1935. Ada juga gambar-gambar lama diselitkan dalam buku ini. Buku ini bagaimanapun tetap tidak terlepas dari mengandungi kesilapan. Pada notakaki di mukasurat 164, penulis menyatakan bahawa Tuan Husain Nasir al-Banjari berasal dari wilayah Banjar yang terletak di pulau Jawa. Fakta ini sangatlah bersalahan. Tuan Hussain asalnya dari Kedah. Banjar pula bukanlah terletak di pulau Jawa sebaliknya di Kalimantan. Satu lagi kesilapan ialah di mukasurat 187 apabila penulis meminta pembaca merujuk statistik peratusan penguasaan syarikat Persama dan United Press dalam bidang penerbitan dan percetakan pada bab 4 sedangkan bab yang perlu dirujuk ialah di bab 5.

Thursday, October 15, 2009

Sejarah Islam - Ustaz Mustafa Abdul Rahman










Semalam saya telah memasukkan entri tentang buku Sejarah Islam Penggal 5 yang ditulis oleh almarhum al-Ustaz Mustafa Abdul Rahman. Hari ini, saya masukkan empat lagi buku Sejarah Islam yang ditulis beliau. Dengan itu, lengkaplah secara keseluruhan siri buku ini. Asalnya almarhum Ustaz Mustafa mahu memasukkan sekali kisah-kisah tentang Khulafa' ar-Rasyidin, Kerajaan Bani Umaiyyah dan Bani Abbasiyyah tetapi nampaknya sehingga ke Penggal 5, ianya tidak berjaya direalisasikan. Kisah Kerajaan Bani Umaiyyah dan Abbasiyyah diceritakan di dalam buku lain bukannya didalam siri ini. Kesimpulannya, dari Penggal 1 hinggalah ke Penggal 5, al-Ustaz telah mengupas secara terperinci peristiwa-peristiwa penting yang berlaku dalam Sejarah Umat Islam yakni ketika Nabi Muhammad saw bersama-sama para sahabat berjuang menegakkan agama Islam di muka bumi ini. Setiap buku mencapai 200 mukasurat. Keseluruhannya ialah 1000 mukasurat. Almarhum Ustaz Mustafa telah merujuk berpuluh-puluh buku dalam menghasilkan karya ini samada kitab-kitab yang ditulis oleh ulama silam mahupun kitab-kitab yang ditulis pada awal abad ke-20. Buku-buku sejarah ini ditulis bermula dari tahun 1960 hingga 1962 jika dirujuk berdasarkan kepada tahun cetakannya. Apa yang menarik tentang gaya penulisan almarhum Ustaz ialah beliau turut memasukkan hukum-hakam, falsafah dan pengajaran disebalik sesuatu peristiwa yang berlaku dengan menyertakan sekali ayat al-Quran dan Hadith Nabi saw. Gambar buku-buku diatas semuanya adalah ada gambar buku-buku yang telah saya pinjam dari perpustakaan negara kira-kira dua tahun yang lalu. Kesemua siri tersebut telah pun saya buat salinannya memandangkan buku-buku tersebut amat sukar diperolehi di pasaran. Satu-satunya karya sejarah beliau yang masih boleh didapati di pasaran ialah Ringkasan Nurul Yaqin. Itupun saya jumpa di sebuah kedai di Taiping kira-kira dua tahun lepas, ketika saya balik kampung. Tak pasti pula samada di KL ada atau tidak.

Wednesday, October 14, 2009

Sejarah Islam Penggal 5 karangan Ustaz Mustafa Abdul Rahman

Saya masih membaca buku ini ketika sedang menaip makalah ini. Buku ini asalnya saya pinjam di Perpustakaan Negara Malaysia dua tahun lepas. Yang saya baca sekarang ni adalah salinannya. Saya fotostat sebaik meminjamnya kerana buku ini dah mencapai status klasik, amat susah didapati di pasaran, rasanya mungkin dah takde kut (kalau terjumpa sila bagi tau saya sebab saya nak beli). Saya sekarang tengah dok asyik baca bab Perang Uhud. Kisah sahabat besar Qatadah. Dalam Perang Uhud, Qatadah mengalami luka parah. Matanya terjojol keluar. beliau meminta nasihat Rasulullah saw untuk memotongnya tetapi tidak diizinkan oleh baginda saw. Baginda kemudiannya mendoakan Qatadah dan tidak lama selepas itu, mata Qatadah sembuh seperti sediakala. Sejarah meriwayatkan bahawa Qatadah atau nama sebenarnya Qatadah ibn al-Nu'man adalah seorang Ansar. Beliau seorang hafiz dan banyak meriwayatkan hadith Nabi saw. Berbalik cerita tentang buku ini, ia ditulis oleh pengarang besar sekitar tahun 1950-60an tanahair. Beliau ialah almarhum Ustaz Mustafa Abdul Rahman, asal Gunung Semanggol Perak tetapi bergiat cergas dalam bidang penulisan ketika tinggal di Pulau Pinang. Almarhum Ustaz Mustafa merupakan abang ipar kepada almarhum Ustaz Abu Bakar al-Baqir, seorang lagi tokoh besar yang berasal dari Gunung Semanggol Perak. Saya mempunyai beberapa koleksi tulisan almarhum Ustaz Mustafa, jika ada masa terluang saya akan menulis makalah tentangnya.