Tuesday, August 25, 2009

Kebangkitan Generasi Salahuddin dan Kembalinya al-Aqsa ke Pangkuan Islam – Dr Majid Irsan Kaylani



Ramai orang melihat Imam al-Ghazali sebagai tokoh yang telah menghasilkan banyak karya besar dalam bidang tasawwuf dan falsafah tetapi tidak ramai yang tahu bahawa tokoh besar ini telah memainkan peranan yang sangat besar dalam merangka kebangkitan masyarakat Islam ketika di bawah pimpinan kerajaan Salahuddin al-Ayyubi. Buku yang dikarang oleh Dr Abdul Majid Irsan Kaylani ini menghuraikan sumbangan besar Imam al-Ghazali dalam hal ini. Dalam bab 3 diceritakan dengan sangat terperinci tentang bagaimana Imam al-Ghazali menerusi madrasahnya membuat pelbagai reformasi bagi memastikan umat Islam sentiasa berada di landasan yang benar yang mengikut perintah Allah Taala dan Rasul-Nya. Dr. Abdul Majid membahagikan peranan yang dimainkan oleh Imam al-Ghazali dalam menangani isu-isu besar umat dizaman itu misalnya dengan mengadakan diagnosis terhadap penyakit masyarakat Islam, menyenaraikan sebab-sebab atau punca-punca berlakunya perpecahan umat, mencipta kaedah baru dalan pendidikan, menghidupkan misi Amar Ma’ruf Nahi Munkar dan mengkritik para pemerintah yang zalim.
Pendidikan disebut sebagai satu elemen penting dalam usahanya untuk mencetak ulama-ulama generasi baru. Asas falsafah pendidikan menurut al-Ghazali ialah merealisasi kebahagiaan bagi manusia. Kebahagiaan yang dimaksudkan disini ialah kebahagiaan akhirat kerana kebahagiaan tersebut telah mencakupi seluruh apa yang disenangi manusia (rujuk mukasurat 132). Al-Ghazali melihat sistem pengajaran yang ada sangat menyimpang dari tugas utamanya iaitu mengabdi kepada tujuan-tujuan risalah Islamiyah. Sistem pengajaran yang ada hanya bertujuan menciptakan para pegawai negara yang akan memegang jabatan pengadilan, mengeluarkan fatwa, perwakafan dan sebagainya yang disifatkan oleh al-Ghazali sebagai ulama’ dunia bukan ulama’ akhirat. Oleh itu, dia mengharamkan bekerja dan belajar di semua madrasah negeri. Dia tidak berhenti hanya pada mengkritik sistem pengajaran yang ada, akan tetapi sebagai pengganti dia menciptakan suatu metode baru yang tujuannya adalah menciptakan ulama’ akhirat yang mengabdi kepada tujuan-tujuan Islam, mengembangkan risalah amar ma’ruf nahi munkar. Dia telah mempraktikkan metode tersebut pada madrasah yang dibangunkannya sendiri, sekembalinya dari Syam dan menetap di Nisabur. (rujuk mukasurat 131)
Buku yang berada di tangan saya ini dicetak buat kali kedua iaitu pada tahun ini. Kali pertama ia dicetak pada tahun 2000. Seperti yang dinyatakan oleh Setiausaha Agung ABIM, Dr Amran Muhammad dalam buku ini, karya besar Dr Abdul Majid ini dipilih oleh saf pimpinan ABIM sebagai rujukan utama gerakan ABIM khususnya dalam meneroka formula-formula baru proses tajdid dan pengislahan gerakan itu sendiri. Kebetulan pula, buku ini saya beli ketika berlangsungnya Pidato Perdana Syeikh Muhammad Fuad yang dianjurkan oleh ABIM awal Ogos yang lalu.

No comments:

Post a Comment