Monday, November 22, 2010

Menziarahi Kekasih Allah di Hadhramaut, Yaman


Gambar Allamah Al-Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz yang menghiasi kulit depan buku ini menjadi tarikan yang sangat kuat kepada saya untuk mendapatkannya. Buku ini merupakan satu lagi buah tangan Ustaz Ahmad Lutfi bin Abdul Wahab yang diterbitkan menerusi Mawleed Publishing. Buku ini mendapat perhatian pengetua Ma’ahad Tahfiz al-Quran Tarim, Habib Muhammad ibn ‘Alwi al-‘Aidrus. Beliau telah menukilkan kata-kata aluan untuk buku ini. Malah beliau juga telah mengijazahkan semua ijazah yang diterima dari ahli keluarganya kepada penulis buku ini (rujuk bahagian Ijazah kepada Penulis di halaman 4). Yaman adalah sebuah negeri yang sangat istimewa. Keistimewaan Yaman terakam di dalam hadith Rasulullah saw sendiri. Rasulullah saw bersabda, “Orang-orang Yaman telah datang. Mereka itu adalah orang-orang yang hatinya sangat lunak. Keimanan itu ada pada orang Yaman. Fiqh itu ada pada orang Yaman dan hikmah itu pun ada pada orang Yaman” (rujuk halaman 11). Yaman menjadi sangat istimewa apabila kotanya seperti Tarim menjadi pilihan penempatan ribuan keturunan Rasulullah saw. Dari kota ini, muncul ribuan alim-ulama yang kebanyakannya bertaraf wali-wali Allah (rujuk halaman 15). Selain dari menghidangkan manaqib tokoh-tokoh ulama, buku ini juga sarat dengan gambar-gambar yang mempunyai kaitan dengan tokoh ulama dan tempat-tempat bersejarah di sekitar Yaman. Secara keseluruhan, saya amat senang dengan font tulisan dan rekaletak kandungan buku ini. Santai sahaja bila membacanya. Cuma bagi saya, mungkin buku ini akan menjadi bertambah menarik seandainya penulis buku ini, Ustaz Ahmad Lutfi dapat memuatkan juga catatan harian beliau ketika bermusafir di negeri yang penuh barokah itu.

Shaikh Dalam Ilmu Tariqah – Syeikh Dr Haji Jahid bin Haji Sidek al-Khalidi


Buku ini telah sekian lama dinantikan oleh banyak pihak khususnya mereka yang berkecimpung dalam bidang tariqah. Asalnya buku ini dikeluarkan oleh Penerbit Universiti Malaya pada tahun 1997. Kini ia dikeluarkan semula menerusi al-Falah Publications. Dari segi isi kandungan, secara sepintas lalu saya melihat isi kandungan cetakan terbaru adalah sama dengan cetakan lama. Misalnya pembahagian bab dan sub-bab semuanya sama. Bab 1 bermula dengan ilmu tariqah diikuti dengan bab Ringkasan Sejarah Ilmu Tariqah. Bab berikutnya ialah Konsep Shaikh. Kedudukan, Peranan dan Kepentingan Shaikh dikupas dalam Bab 4. Bab 5 membincangkan masalah-masalah penting yang berkait dengan Shaikh Murshid. Isi kandungan diakhiri dengan Salasilah-salasilah beberapa tariqat utama di Alam Melayu. Yang membezakan cetakan lama dengan cetakan baru ialah dari segi nota kaki. Cetakan lama menggunakan end note sementara cetakan baru menggunakan foot note. Saya lebih suka foot note kerana lebih mudah hendak merujuk apatah lagi jika isi kandungannya mencecah hingga 463 mukasurat. Buku yang berharga RM 25 ini amat wajar dimiliki khususnya bagi mereka yang mencintai ilmu tariqah ini.

Tuesday, October 19, 2010

Syeikh Abdul Qadir Al–Mandili (1910–1965): Biografi dan Pendidikan Akhlak




Kalau tak silap saya, buku ini saya beli di Pesta Buku Antarabangsa dua tahun lepas. Tajuk buku ini menjadi daya tarikan utama. Sebaik ternampak buku ini, tanpa berfikir panjang terus saya sambar satu. Buku ini ditulis oleh Prof Madya Dr Ramli Awang yang merupakan salah seorang tenaga pengajar di Pusat Pengajian Islam dan Pembangunan Sosial, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai. Satu lagi buku tulisan beliau yang berada dalam simpanan saya ialah buku yang berjudul Perkembangan Institusi Pondok Di Nusantara: Pengaruhnya Di Negeri Kedah. Buku ini berbentuk monograf yang diterbitkan oleh Penerbit UTM pada tahun 2006. Syeikh Abdul Qadir al-Mandili merupakan seorang ulama besar Alam Melayu yang pernah menjadi guru di Masjidil Haram. Sumbangannya sangat besar kerana beliau bukan sahaja mengajar tetapi turut mengarang sejumlah kitab. Dalam buku biografi yang setebal 298 mukasurat ini, penulisnya telah membahagikan isi kandungannya kepada dua tema utama iaitu pertama, riwayat hidup Syeikh Abdul Qadir al-Mandili dan kedua, pendidikan akhlak menurut perspektif al-Mandili. Penulis telah memperincikan pendidikan akhlak yang meliputi akhlak batiniah tercela (madhmumah) seperti marah, dengki, cintakan kemegahan, cintakan dunia, takbur, ujub, bakhil serta riyak dan terapi dan akhlak terpuji (mahmudah) yang menjadi teras kepada kehidupan yang tidak seharusnya luput dari amalan umat Islam seperti taubat, takutkan Allah, zuhud, sabar, syukur, ikhlas, tawakal, kasihkan Allah serta reda dengan qada’ Allah Taala. Penulis turut memasukkan kaedah terapi untuk akhlak batiniah tercela dan pemeliharaan anggota lahiriah. Dalam Bab 7 (semuanya ada 8 bab), penulis menyertakan analisis metode al-Mandili dalam memahami akhlak. Ini termasuklah hubungan pemikiran akhlak al-Mandili dengan Imam al-Ghazali dan juga konsep takhalli dan tajalli. Buku ini dijual dengan harga RM35. Amat sesuai untuk bacaan semua peringkat masyarakat khususnya mahasiswa, para pendidik, ibu bapa dan individu yang ingin membentuk peribadi serta generasi masa depan berakhlak mulia.

Wednesday, September 15, 2010

Furu' al-Masa'il wa Usul al-Wasa'il


Kitab ini asalnya ditulis oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, ulama besar Alam Melayu abad ke-18 Masehi. Kitab ini kemudiannya diolah semula dan diberi nafas baru oleh Datuk Abu Hasan Din al-Hafiz setelah mendapati isi kandungannya amat wajar ditelusuri oleh masyarakat pada masa ini. Kitab ini terbahagi kepada dua furu’ iaitu furu’ usuluddin dan furu’ feqah. Apa yang menarik tentang isi kandungannya ialah dari segi perbahasannya yang sangat meluas tetapi telah diulas dengan sangat baik oleh pengarangnya. Seperti kata penyusunnya, Datuk Abu Hasan Din al-Hafiz, “Walaupun ia hanya sebuah kitab yang dialihbahasakan daripada kitab asalnya yang berbahasa Arab tetapi saya mendapati isi kandungannya amat padat sekali, ilmunya berguna hingga masa kini. Walaupun dinukilkan beratus tahun yang lalu tetapi perbahasannya masih hidup kerana ia membicarakan permasalahan semasa yang berlaku pada hari ini.” Sebagai contoh soalan seperti berikut,

“Adakah gugur fardu kifayah bagi solat jemaah jika sekiranya sebuah kampung itu terdapat satu kumpulan jin mendirikan solat jemaah atau solat jemaah dilakukan oleh kanak-kanak, adakah gugur tuntutan fardu kifayah tersebut ke atas orang dewasa atau mereka yang baligh?”

Lalu jawabnya,

“Gugur fardu kifayah ke atas seluruh penduduk kampung walaupun solat jemaah itu dilakukan oleh makhluk jin dengan syarat mereka menjelmakan diri sebagai makhluk manusia. Jika tidak maka tidak gugur fardu kifayahnya begitu juga jika dilakukan oleh kanak-kanak. Perlu diketahui bahawa semua fardu kifayah ke atas orang dewasa dan mereka yang baligh dikira gugur apabila dilakukan oleh kanak-kanak kecuali empat perkara (tidak gugur fardu kifayahnya) iaitu haji, umrah, solat berjemaah dan menjawab salam seperti mana pendapat Mudabighi”. (lihat halaman 390)

Kitab yang dikeluarkan oleh Telaga Biru ini mempunyai sejumlah 763 halaman. Setting, reka letak dan pemilihan warna yang bersesuaian dan menarik menyejukkan mata serta tidak meletihkan mata pembaca untuk menetap dari satu halaman ke satu halaman. Bagi saya, kitab ini adalah antara kitab terbaik yang pernah saya miliki tahun ini. Seperti yang dinyatakan dalam kata aluan oleh Datuk Haji Md Hashim Haji Yahaya, “Kitab ini harus dibaca setiap lepas solat berjemaah atau sebelum tidur malam. Biarlah sedikit demi sedikit asalkan istiqamah. Bacalah secara berjemaah dalam kumpulan….”

Sunday, September 5, 2010

Munajat Uwais al-Qarani


Kitab Munajat Uwais al-Qarani yang dicetak semula dan dikeluarkan pada malam 27 Ramadhan 1431 H

Kitab Munajat Uwais al-Qarani yang dikeluarkan buat kali pertama pada November 2002

Selain doa munajat, kitab yang disusun oleh Tuan Guru yang mulia, Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki turut menghimpunkan biografi Uwais al-Qarani, penghulu tabi'in yang namanya menjadi sebutan Rasulullah saw dan dicari oleh sahabat baginda ra kerana kemuliaan dan kelebihannya yang amat besar kepada umat Islam. Uwais hidup pada zaman Rasulullah saw namun beliau tidak berkesempatan untuk bertemu dengan Baginda saw. Ini adalah kerana beliau terpaksa berkhidmat kepada bondanya. Dia bimbang meninggalkan bondanya yang sedang uzur itu seorang diri (lihat mukasurat 56). Di dalam kitab yang bersaiz poket ini, Tuan Guru turut memasukkan kata-kata hikmah yang pernah diucapkan oleh Uwais. Antaranya ialah seperti, "Mencabut bukit dengan jarum-jarum lebih mudah daripada mengeluarkan sifat takabbur dari hati" (lihat mukasurat 51). Tuan Guru yang mulia telah mengijazahkan munajat Uwais al-Qarani kepada para ikhwan pada malam 27 Ramadhan 1431 H di Ampang.

40 Mutiara Nabawi Fadhilat al-Quran al-Karim

Kitab ini dikarang oleh al-Allamah Syeikh Yusof ibn Ismail al-Nabhani dan diterjemah ke dalam bahasa Melayu oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki. Syeikh Yusuf dilahirkan di kampung Ijzim pada hari Khamis tahun 1265 H dan wafat dalam awal Ramadhan tahun 1350 Hijrah. Salah seorang anak muridnya ialah al-Muhaddith Sayyid 'Alawi ibn 'Abbas al-Maliki al-Hasani yang merupakan ayahanda kepada al-Muhaddith Sayyid Muhammad ibn 'Alawi al-Maliki al-Hasani iaitu guru kepada Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki. Seperti yang terkandung di bahagian muqaddimah, isi kandungan kitab ini adalah berkenaan tentang hadith-hadith yang berkaitan dengan kelebihan yang besar bagi orang yang membaca al-Quran, menghafaznya, memahaminya dan mengamalkan serta menjadikan al-Quran sebagai panduan hidupnya. Tuan Guru yang mulia, Syeikh Muhammad Fuad telah mengeluarkan kitab ini sempena majlis Nuzul al-Quran dan Takrim Huffaz pada tahun ini (1431 Hijrah). Kitab ini dikhatamkan di Ampang pada malam 27 Ramadhan 1431 H bersamaan 5 September 2010.

Monday, July 19, 2010

Biografi Sayyid Ahmad al-Badawi - Ahmad Lutfi Abdul Wahab al-Linggi

Ketika membaca sepintas lalu buku ini, saya amat terkesan dengan kisah al-Habib Sayyid Yusuf al-Bakhour al-Hasani yang datang menziarahi penulis buku ini iaitu Ustaz Ahmad Lutfi ketika berada di Damanhur. Beliau bertanya kepada penulis, “Adakah terdapat maqam para wali Allah yang berdekatan untuk diziarahi?” Lalu penulis buku ini menjawab, “Tiada”. Al-Habib Sayyid Yusuf kemudian memandang penulis dalam keadaan kehairanan sambil berkata, “Bagaimanakah kamu belajar sesuatu ilmu tanpa dikelilingi oleh para wali Allah swt?” (rujuk halaman 16)
Maka atas sebab itu penulis buku selanjutnya menyatakan,
Sebuah tempat akan menjadi mulia dan dirahmati sekiranya diduduki oleh orang-orang soleh yang mereka itu merupakan di kalangan kekasih Allah swt. Dengan adanya kehadiran mereka, akan mendatangkan percikan hujan-hujan rahmat beserta wangi-wangian membawa cahaya keberkatan yang baik (rujuk halaman 16)
Sayyid Ahmad al-Badawi adalah salah seorang darinya. Beliau adalah seorang wali Allah yang telah menabur jasa di bumi Allah khususnya di Mesir. Kata penulis buku ini, “Kitab biografi ini dikeluarkan sempena meraikan seorang kekasih Allah swt yang bernama Sayyid Ahmad al-Badawi yang merupakan permata cemerlang lagi gemilang dalam perbendaharaan tokoh-tokoh para kekasih Allah swt di bumi Mesir” (rujuk halaman 13). Sayyid Ahmad al-Badawi bukan sahaja dikenang umat Islam sebagai seorang wali Allah yang dikurniakan dengan pelbagai karamah dan ilmu kasyaf, tetapi juga atas sebab kegagahannya bertempur di medan perjuangan. Pada tahun 1248 Masehi, beliau telah bertempur dengan dengan tentera salib berdekatan dengan Mansurah. Kegagahan dan ketangkasannya sangat digeruni musuh sehingga beliau digelar “Pemusnah yang Mengalahkan Musuh di dalam Peperangan” (rujuk halaman 77).
Dengan bahasa yang santai, Ustaz Ahmad Lutfi telah menghidangkan kisah-kisah yang menarik tentang wali Allah ini untuk dihadam oleh para pembaca. Ustaz Ahmad Lutfi juga turut memasukkan hizib-hizib, salawat dan qasidah yang menjadi amalan Sayyid Ahmad al-Badawi. Amalan ini boleh dirujuk dari halaman 122 hingga 143.


Allah memuliakan Rasulullah saw - Ahmad Lutfi Abdul Wahab al-Linggi

Buku yang ditulis oleh Ustaz Ahmad Lutfi ini dimulakan dengan gambar-gambar yang berkaitan dengan Rasulullah saw seperti cap mohor Rasulullah saw, bekas tapak kaki yang dikatakan milik Rasulullah saw dan sebagainya. Ini disusuli pula dengan bab muqaddimah dan selanjutnya diikuti dengan 15 bab yang berkaitan dengan kemuliaan Rasulullah saw. Buku setebal 128 mukasurat ini ditutup dengan sebuah qasidah indah yang berkaitan dengan Junjungan Besar Rasulullah saw. Untuk tujuan penulisan buku ini, Ustaz Ahmad Lutfi telah merujuk kepada beberapa buah kitab karangan ulama besar dunia antaranya seperti,
1. Insan al-Kamil karangan al-Muhaddith Dr Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki
2. Keistimewaan Rasulullah saw karangan al-Allamah al-Faqih al-Musnid Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin al-Maliki
3. Al-Syifa bi Ta’rif Huquq al-Mustafa karangan al-Hafiz Imam Qadhi Iyadh
4. Al-Syamail al-Muhammadiyyah karangan al-Hafiz Imam Muhammad ibn Isa ibn saurah al-Tirmizi
5. Al-Mawahib al-Laduniyyah karangan al-Imam Ibnu Hajar al-Qustallani
6. Khasais al-Nabawiyyah al-Kubra karangan al-Hafiz Imam al-Suyuti
7. Al-Tuhfah al-Murid Syarh Jauharah al-Tauhid karangan al-Allamah Ibrahim al-Baijuri
Antara perkara-perkara penting yang dibahaskan dalam buku ini ialah seperti keutamaan bersalawat ke atas Nabi Muhammad saw. Makna salawat seleperti yang dijelaskan oleh penulis di mukasurat 58 ialah seperti berikut,
Salawat maknanya adalah doa, penghormatan atau kasih daripada Allah, para malaikat dan orang-orang mukmin ke atas Baginda Rasulullah saw.
Penulis turut memetik beberapa hadith tentang kepentingan bersalawat (rujuk mukasurat 62-63).
Hadith 1
Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abdur Rahman ibn Samurah r.a disebutkan bahawa Rasulullah saw pernah menemuinya bersama para sahabat kemudian bersabda, “Semalam aku telah melihat satu pemandangan yang menakjubkan. Aku melihat seorang lelaki dari umatku melintas sirat dengan susah sekali. Kadang-kadang dia merangkak, ke sana sini dan kadang tergantung. Tidak lama kemudian salawat yang pernah diucapkan oleh lelaki itu datang kepadaku untuk selanjutnya membimbing tangan orang tersebut sehingga lelaki itu mampu berdiri tegak dan mampu melintas sirat”.
Hadith 2
Hussain ibn Ali r.a menyatakan bahawa Rasulullah saw bersabda, “Barangsiapa yang mendengar namaku disebutkan dihadapannya lalu dia tidak bersalawat kepadaku maka dia akan salah menempuh jalan menuju ke syurga”.
Hadith 3
Abu Zar al-Ghifari r.a menceritakan, “Suatu ketika aku keluar dari rumah dan bertemu dengan Rasulullah saw lantas Baginda saw bertanya, “Mahukah kamu aku beritahu tentang manusia yang paling bakhil?” Para sahabat menjawab, “Tentu, wahai Rasulullah saw!” Baginda saw bersabda, “Barangsiapa yang namaku disebutkan disisinya dan dia mendengarnya akan tetapi dia tidak bersalawat kepadaku. Itulah manusia yang paling bakhil”.
Antara kelebihan dan manfaat salawat ke atas Rasulullah saw seperti yang dinyatakan oleh penulis ialah seperti,
1. Melaksanakan perintah Allah dalam al-Quran
2. Menjadi sebab mendapat syafaat Rasulullah saw
3. Untuk dekat dengan Nabi saw di hari Qiamat
4. Untuk mudah melintasi titian Sirat al-Mustaqim
5. Bersalawat ke atas Rasulullah saw dapat menambah rasa cinta dekat dengan Baginda saw

Di akhir penulisan buku ini yakni selepas qasidah, penulis menutup isi kandungan dengan bait-bait indah dengan katanya, “Hadirkanlah hatimu, wahai sekalian orang yang berakal! Sehingga dijelaskan kepadamu tentang keindahan pengantin, erti kekasih yang paling dicintai. Kekasihmu yang sebenarnya adalah Rasulullah saw”.



Monday, July 5, 2010

Batu Aceh Johor Dalam Perbandingan

Buku ini merupakan hasil karya Daniel Perret dan Kamaruddin Ab Razak, dua tokoh yang tidak asing lagi dalam bidang pengkajian artifak bersejarah khususnya yang berkaitan dengan epigrafi. Pengkajian yang dilakukan oleh kedua-dua tokoh ini sangat teliti. Ini dapat dilihat menerusi perbandingan kajian dengan tokoh-tokoh epigrafi sebelumnya di mana jumlah batu aceh yang ditemui oleh kedua-dua tokoh ini jauh lebih tinggi berbanding tokoh-tokoh sebelumnya. Lokasi setiap batu aceh yang ditemui telah dimasukkan di dalam buku ini. Penulis buku turut memuatkan tipologi dan epigrafi setiap batu aceh yang ditemui. Perbandingan batu aceh yang bertaburan di seluruh Semenanjung dengan batu aceh yang terdapat di negeri Johor telah dihuraikan di dalam buku ini. Kandungan buku ini menjadi tambah menarik apabila gambar foto batu aceh yang terdapat di seluruh semenanjung dimuatkan di dalam bahagian akhir buku ini. Buku setebal 468 mukasurat ini menggunakan kertas glossy berkualiti tinggi dan berkulit keras. Ianya diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor pada tahun 2004. Harganya sekitar RM 170, kalau tak silap saya.

Mencarik Ilusi Menggapai Realiti Wacana Tasawuf, Tarekat dan Pemikiran Kalam Imam Ahmad al-Sirhindi – Mohd Nasir Mohd Tap



“Buku Ustaz dah keluar ke belum?” Tanya saya pada Ustaz Nasir kira-kira setahun yang lalu. “Insyallah, keluar tahun ni”, kata Ustaz Nasir kepada saya. Hanya setahun selepas itu baru saya berpeluang memilikinya. Itupun setelah berjumpa dengan Ustaz Nasir sendiri ketika saya berkunjung ke Kolej Dar al-Hikmah baru-baru ini. Buku yang setebal hampir 500 mukasurat ini telah diberi kata pengantar oleh Presiden Kolej Dar al-Hikmah sendiri iaitu Dato’ Dr Siddiq Fadzil. Sementara kata-kata aluan telah diberikan oleh Shaykh Dr Jahid Sidek al-Khalidi, Pengerusi Yayasan Bina Budi Malaysia dan Panel Jalsah Turuq Sufiyyah, Jabatan Mufti Negeri Sembilan. Kandungan buku ini terbahagi kepada enam wacana tidak termasuk pra-wacana dan pasca-wacana. Kata Ustaz Nasir dalam ruangan sekapur sirihnya, motivasi untuk menulis buku ini tercetus setelah beliau dihadiahkan oleh sahabatnya yang berasal dari Turki, sebuah karya monumental al-Sirhindi cetakan Makkah yang bertajuk al-Maktubat al-Rabbaniyyah. Motivasi untuk menulis buku menjadi semakin kuat setelah disaran oleh Dato Dr Siddiq agar beliau mengembangkan kertas kerja yang berkaitan dengan Imam Ahmad al-Sirhindi yang dibentangkan di dalam satu forum pada tahun 2006 yang lalu dalam bentuk buku. Selain dari huraian intelektual yang dipersembahkan oleh Ustaz Nasir dalam bentuk wacana, yang menarik perhatian saya tentang kandungan buku ini ialah gambarajah jaringan sanad tarekat sufiyyah dan sanad tarekat Naqsyabandiyyah Khalidiyyah. Sementara di bahagian lampiran, ada dimuatkan tentang perjalanan suluk menurut al-Sirhindi yang berkaitan dengan kosmologi-psikologinya. Malangnya, carta lampiran yang dilampirkan itu tidak dapat saya baca kerana saiznya yang terlalu kecil. Apapun, secara keseluruhan kandungan buku ini amat memuaskan dan wajar dimiliki bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang gagasan intelektual Imam Ahmad al-Sirhindi.

Thursday, June 24, 2010

Simposium Tasawuf dan Tariqat


Buku yang diterbitkan oleh Pustaka Muda yang berpangkalan di Ipoh ini dikeluarkan awal setahun daripada yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan iaitu pada tahun 2005. Isi kandungannya adalah sama iaitu terbahagi kepada dua simposium yang memuatkan artikel-artikel tentang tasawwuf dan tariqat yang telah ditulis oleh tokoh besar Alam Melayu satu ketika dahulu iaitu almarhum Prof Dr Burhanuddin al-Helmi. Almarhum Prof Dr Burhanuddin menguasai pelbagai bidang ilmu antaranya ialah seperti bidang homeopati, falsafah dan bahasa selain bergiat aktif dalam politik. Diriwayatkan bahawa beliau menguasai bahasa Arab, Perancis, Belanda dan Jerman untuk menguasai bidang-bidang yang disebutkan di atas. Buku yang diterbitkan oleh Pustaka Muda lebih nipis berbanding yang diterbitkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan. Ianya mungkin disebabkan oleh jenis font dan saiz font yang digunakan. Di halaman akhir, terdapat catatan tambahan yang menyatakan bahawa almarhum Prof Dr Burhanuddin telah berguru kepada Tuan Guru Syeikh Haji Mohd Yatim, Guru Tariqat Naqsyabandiyah di Kampung Belanja Kiri, Parit, Perak.

Simposium Tasawwuf dan Tariqat


Buku ini dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus pada tahun 2006 iaitu 40 tahun selepas ia dikeluarkan buat kali pertama oleh Penerbit al-Rawi. Buku yang ditulis oleh seorang tokoh yang sangat terkenal di Alam Melayu tidak lama dahulu iaitu almarhum Prof Dr Burhanuddin al-Helmi terbahagi kepada dua bahagian utama iaitu Simposium Pertama dan Simposium Kedua. Isi kandungannya adalah berdasarkan kepada risalah yang juga ucapan almarhum ketika di majlis persidangan pembukaan Kongres Ahli-ahli Tariqat as-Sufiah seluruh malaya yang diadakan di Kuala Lumpur pada tahun 1962. Disebabkan risalah ini mendapat sambutan hangat, maka ia diterbitkan pula dalam bentuk artikel di dalam akhbar Edaran Zaman sehinggalah ia kemudiannya dibukukan untuk tujuan rujukan kepada para pembaca. Buku ini sangat penting untuk ditelaah jika seseorang itu ingin mengetahui pandangan dan perjalanan hidupnya almarhum Prof Dr Burhanuddin tentang ilmu tasawwuf dan tariqat. Di halaman 42 hingga 44, almarhum ada mencatatkan tentang perjalanan hidupnya semenjak dari kecil hingga dewasa. Bab lain-lain yang saya kira sangat menarik selain dari kisah perjalanan hidupnya ialah tentang riwayat perkembangan tariqat dan pandangannya tentang tasawwuf, metafizik dan tariqat dengan bahasa yang mudah dihadam. Tentang pandangannya terhadap tasawwuf, beliau mengungkapkannya seperti berikut, "...Tasawwuf itu menghembuskan jiwa yang dinamik, sanggup berhabis-habisan berkorban, memelihara dan mempertahankan akidah dan prinsip-prinsip Islam, beriman yang sempurna; sempurna dalam urusan hidup, kenal kepada rahsia dan hikmah hidup, menyeru dan memimpin kepada perikemanusiaan yang tinggi, suci dan kepada ketuhanan dengan penuh jujur dan amanah. Di samping itu bersungguh-sungguh tolong-menolong atas perkara taat dan taqwa. Pesan-berpesan, ingat beringat atas perkara hak dan sabar serta berlumba-lumba berbuat kebajikan. Tasawwuf itu adalah alam batin sebagai jiwa dan nyawa manakala alam zahir itu sebagai jasadnya". (Rujuk halaman 13-14).

Thursday, May 20, 2010

Wasiat Luqman al-Hakim kepada puteranya - Susunan Syed Ahmad Semait


Buku ini sangat wajar dibaca khususnya ibubapa dan golongan remaja. Buku yang disusun kemas oleh Almarhum Syed Ahmad Semait ini mengandungi wasiat-wasiat Luqman al-Hakim yang namanya disebut didalam surah Luqman kepada puteranya. Almarhum Syed Ahmad Semait telah menyusun sebanyak 10 wasiat yang kemudiannya dijadikan bab-bab dalam buku ini. Sepuluh wasiat tersebut ialah
1. Jangan sekali-kali engkau mempersekutukan Tuhan
2. Berbuat baik kepada kedua ibubapa
3. Jangan ikut seruan syirik
4. Ingatlah bahawa manusia itu akan mati
5. Tiada yang akan tersembunyi dari ilmu Allah
6. Dirikanlah sembahyang
7. Kerjakan yang baik, tinggalkan yang jahat
8. Jangan suka menyombong diri
9. Sederhanalah dalam perjalanan
10. Rendahkanlah suaramu
Almarhum Syed Ahmad Semait juga turut membicarakan serba ringkas tentang biografi Luqman al-Hakim (rujuk halaman 5) didalam buku setebal 84 mukasurat. Buku yang asalnya himpunan artikel yang ditulis oleh almarhum dalam majalah Fajar Islam (dikeluarkan oleh Majlis Ugama Islam Singapura) ini diterbitkan oleh Pustaka Nasional buat kali pertama pada tahun 1987.

Mengapa Kita Mesti Merayakan Keputeraan Nabi Saw – Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki al-Hasani


Kitab ini dikarang oleh ulama besar Hijjaz iaitu Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki dan diterjemah oleh Sayyid Zain al-Habsyi. Ia dikeluarkan di bawah label Penamas pada tahun 1989. Perbahasan kitab ini adalah berkisar tentang dalil-dalil mengharuskan merayakan hari Keputeraan Nabi saw, pendapat Ibn Taimiyah tentang Maulid, pendapat penulis kitab ini tentang Maulid, kebaikan berdiri ketika membaca maulid dan sejarah kitab-kitab maulid yang pernah dikarang oleh ulama-ulama besar satu masa dahulu. Antara dalil yang mengharuskan merayakan hari keputeraan Nabi saw ialah merayakan hari kelahiran melambangkan satu kegembiraan dan kesayangan terhadap junjungan kita Rasulullah saw sehingga orang kafir seperti Abu Lahab pun pernah mendapat manfaat daripadanya. Dalam kitab al-Bukhari ada disebut bahawa siksaan Abu Lahab di ringan pada tiap-tiap hari Isnin kerana telah membebaskan hambanya bernama Tsuwaibah apabila hambanya itu membawa khabar akan kelahiran Nabi saw (rujuk halaman 2 dan 3). Dalil-dalil lain ialah seperti Nabi saw sendiri memuliakan hari keputeraannya dan bersyukur pada hari lahirnya di atas nikmat dan kelebihan yang besar yang telah diberikan Allah ke ataw wujudnya di alam semesta ini yang membawa kebahagiaan pula kepada segala yang maujud di atas bumi ini (halaman 4); bahawa merayakan hari keputeraan Nabi saw membawa kita untuk bersalawat dan salam kepada Nabi saw (halaman 6); bahawa merayakan hari keputeraan Nabi saw yang mulia merupakan salah satu sambutan ke atas hari kelahiran baginda saw dimana pada perayaan ini, kita dikenalkan kepada mukjizat dan riwayat hidup Nabi saw (halaman 7); mengenali akhlak Nabi saw serta mukjizat-mukjizatnya yang semua itu akan membawa kepada kesempurnaan iman kita dan menambah kasih sayang kita kepada Nabi saw (halaman 7); memuliakan Rasulullah saw amat digalakkan dalam syara’ dimana jamuan dan perkumpulan serta berzikir yang diadakan adalah sebagai tanda kesyukuran kepada Allah Ta’ala yang memberi kita kurnia-Nya yang besar dengan mengutus Rasulullah saw (halaman 8); bahawa maulid itu mengarah kepada berkumpul, berzikir, bersedekah, mengucap puji-pujian bagi memuliakan Nabi saw maka semua ini adalah sunnah, dan sangat digalakkan oleh syara’ menurut hadis-hadis yang sahih (halaman 9) dan bahawa sambutan maulid akan membangkitkan semangat untuk mengingati Nabi saw dalam Islam disyariatkan kita mengingati baginda saw (halaman 13). Antara ulama besar yang pernah mengarang kitab maulid yang disebut dalam kitab ini ialah Ibnu Nasiruddin (halaman 21), al-Hafiz al-Iraqi (halaman 22), al-Hafiz as-Sakhaawi (halaman 23), Imam Ibnu Katsir (halaman 24) dan Ibnu Daiba’ (halaman 25). Kitab yang setebal 25 mukasurat ini wajar dibaca untuk mendapatkan kefahaman yang jelas tentang sambutan maulid.

Thursday, April 8, 2010

Ulama Silam dalam Kenangan


Buku ini diterbitkan sempena sambutan ulangtahun ke-20 Universiti Kebangsaan Malaysia. Didalamnya terkandung 13 makalah yang ditulis oleh kakitangan akademik Fakulti Pengajian Islam, UKM. 13 tokoh yang tersenarai dalam buku ini ialah Abu Bakar Ash’ari, Syeikh Tahir Jalaluddin, Tok Kenali, Tuan Hussain Kedah, al-Syeikh Ahmad al-Dandarawi, Tokku Tuan Besar, Haji Ahmad Haji Md Kasim, Tuk Shihabuddin, Dato Sayyid Alwi Tahir al-Haddad, Haji Yusuf Shahabuddin, Zulkifli Muhammad, Syeikh Othman Sarawak dan Haji Muhammad Suhaili Haji Yaakob. Antara bahagian menarik dalam buku ini ialah tentang pengijazahan bersanad zikir dan kitab-kitab dari ulama-ulama mahsyur satu masa dahulu kepada tokoh-tokoh yang dibicarakan dalam buku ini. Sebagai contoh, Tuan Guru Haji Ahmad bin Kasim menerima ijazah zikir La Ilaha Illallah dari gurunya, Syeikh Mukhtar Atarid yang bersambung sanadnya hingga kepada Rasulullah saw. Buku ini sangat menarik untuk dibaca. Kalau tak silap saya buku ini masih lagi dijual di pasaran. Cara termudah ialah dengan mendapatkannya di Kedai Buku Penerbit UKM.

7 Wali Melayu - Memartabatkan (memuliakan) bangsa Melayu dengan nur Iman dan Islam


Buku yang ada pada tangan saya ini adalah merupakan buku yang dicetak buat kali kelima. Itupun pada tahun 1998, kira-kira 12 tahun yang lalu. Kali pertama buku ini dicetak ialah pada tahun 1993. Kekuatan buku ini pastilah pada judulnya, yang mempunyai hook yang sangat kuat, mencangkuk sesiapa yang terpandang kelibat buku ini, membuatkan hati rasa terpaut ingin menatap apa yang tersurat didalamnya. 7 Wali Melayu, itulah tajuk yang digunakan oleh pengarang buku ini, Abdul Ghani Said. Siapakah 7 Wali Melayu yang dimaksudkan? Penulis menyenaraikan 7 orang ulama besar yang sangat berpengaruh di Alam Melayu satu masa dahulu iaitu As-Sayyid Habib Nuh, Tokku Paloh, Tuan Tulis, Asy-Syeikh Muhammad Said al-Linggi, Syeikh Muhammad Nor al-Khalidi, Tuk Kenali dan Tuan Hussain Kedah al-Banjari. Berdasarkan kepada catatan penulis dan gambar-gambar yang dimuatkan, nyatalah bahawa penulis buku ini telah menghabiskan banyak masa untuk menjelajah ke beberapa negeri termasuk Singapura dan melakukan temubual dengan beberapa individu yang mempunyai kaitan secara langsung dengan tokoh yang diketengahkan. Buku setebal 166 mukasurat ini amat menarik untuk dibaca kerana gaya penulisan yang disajikan mudah dihadam. Saya tidak pasti samada buku ini masih lagi ada dijual dipasaran atau tidak.

Sunday, February 28, 2010

Kepimpinan Matsushita Pelajaran Daripada Usahawan Abad ke-20 Yang Paling Luar Biasa - John P.Kotter

Kepimpinan Matsushita Pelajaran Daripada Usahawan Abad ke-20 Yang Paling Luar Biasa - John P.Kotter. Diterjemah oleh Panel Penterjemah ITNM. Terbitan Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad tahun 1998. Harga: Tidak diketahui (Saya membelinya ketika ada jualan murah)

Gambar pengarang buku, John P.Kotter di kulit belakang buku


Rasanya semua orang mengenali jenama Panasonic. Jenama ini sangat dekat di hati pengguna rumah khususnya dalam barangan berupa perkakasan elektrik. Ramai orang suka menggunakan jenama ini kerana kualiti dan ketahanan penggunaannya. Dirumah saya sendiri ada kira-kira 4 hingga 5 buah perkakasan elektrik berjenama ini termasuk jenama National[1] yang sangat terkenal satu masa dahulu yang juga dikaitkan dengan jenama ini. Ada satu mesin basuh keluaran jenama ini yang telah saya gunakan lebih dari 10 tahun. Sangat berkualiti dan tahan lasak.


Mesin basuh Panasonic - saya baru menggunakannya setengah tahun, menggantikan mesin basuh lama saya jenama National

Periuk Nasi Elektrik jenama Panasonic 2.8 liter - baru beli 3 bulan lepas

Vakum jenama Panasonic - saya dah gunakannya sejak setahun yang lepas

Kelalang pemanas air jenama Panasonic - saya dah gunakannya selama 2 tahun

Mesin basuh National semi-auto, berjasa kepada kami sekeluarga selama 15 tahun



Ketahanan perkakasan jenama ini mirip kepada ketahanan pengasasnya yang bernama Konosuke Matsushita. Kecekalan Matsushita memimpin organisasi ini selama berpuluh tahun telah menjadikan organisasi ini sebagai salah sebuah organisasi peneraju dalam industri perkakasan elektrik di peringkat antarabangsa. Siapa sangka organisasi yang asalnya hanya sebuah syarikat kecil yang bermula disebuah rumah usang kemudiannya menjadi ‘raja’ dalam industri perkakasan elektrik dan seterusnya mempunyai cawangan di serata dunia.
Tentang ketokohan Matsushita, secara jujurnya saya lebih berminat untuk mengetahui tentang bagaimana beliau memulakan kerjayanya. Bagi saya itulah titik tolak pencetus kejayaannya kemudian hari. Seperti yang dicatatkan oleh penulis buku ini, Matsushita pada usia kanak-kanaknya diselubungi dengan kepayahan dan terpaksa mengharungi detik-detik yang sukar dalam hidupnya. Kehilangan ketiga-tiga orang saudara tuanya ketika beliau masih lagi kecil ditambah dengan masalah kewangan yang dihadapi keluarganya telah menyebabkan beliau dan ahli keluarganya yang lain berada dalam keadaan yang sangat tertekan. Sehinggakan dalam buku autobiografinya seperti yang disebut dalam halaman 27, Matsushita ada menulis, “wajah ibu saya yang penuh derita dengan bahunya terkulai-longlai masih lagi terbayang dengan penuh kesakitan didalam ingatan saya.” Kematian tiga orang saudara tuanya memberi pukulan yang cukup hebat kepada keluarganya sehingga ahli keluarganya menyatakan kejadian itu ada kaitan dengan sumpahan yang dikenakan ke atas mereka (rujuk halaman 26). Kesukaran hidup yang dialami oleh keluarganya telah menyebabkan ibubapanya bergantung harap kepada beliau untuk mengubah nasib keluarganya memandangkan beliau satu-satunya anak lelaki tunggal mereka yang masih hidup (rujuk halaman 27). Matsushita hanya mendapat pendidikan di peringkat rendah sahaja. Dikatakan beliau tidak tergolong dalam kelompok pelajar-pelajar yang cerdik dalam kelasnya (rujuk halaman 27). Ketika usianya menginjak angka 10, beliau berpisah dengan ahli keluarganya. Perpisahan itu bukan sebab melanjutkan pelajaran tetapi atas sebab bekerja. Ketika kanak-kanak lain seusia dengannya masih lagi bermain-main dengan rakan-rakan sebaya, Matsushita sebaliknya telah memulakan pekerjaan pertama dalam hidupnya iaitu sebagai pembantu di rumah majikannya. Kerjanya ialah mengasuh anak-anak majikannya, membuat kerja-kerja rencam, membersih rumah dan kedai (rujuk halaman 32). Beliau menangis ketika berpisah dengan ibunya, Tokue sewaktu menaiki keretapi menuju ke Osaka dari Wakayama. Bagi saya, sungguh perpisahan dalam usia semuda itu telah menjadikan dirinya benar-benar cekal mengharungi kehidupan. Seperti yang dinyatakan di halaman 29, Matsushita berkata bahawa dia berasa sangat sedih dan takut ketika berada dalam keretapi dan perjalanan yang memakan masa berjam-jam itu telah memindahkan Matsushita ke suatu dunia yang baru.
Berkemungkinan besar, ayahnya iaitu Masakusulah yang paling banyak mempengaruhi pemikiran Matsushita. Kalau tidak kerana ketegasan ayahnya yang berkeras mahukan Matsushita agar meneruskan kerjanya sebagai perantis, besar kemungkinan corak hidup Matsushita berubah di hari dewasanya kemudian. Ketika ibu dan kakaknya kasihan melihat Matsushita mengalami hidup yang sukar menjadi perantis lalu bercadang hendak memasukkan Masushita ke sekolah untuk mengikuti pengajian di waktu malam sementara di sebelah siang bekerja sebagai budak pejabat di Biro Simpanan Pos di Osaka (rujuk halaman 37). Namun ayahnya menghalang tindakan ibunya kerana berpendapat bekerja sebagai perantis lebih baik buat Matsushita. Baginya, pekerjaan itu memberi pendedahan keusahawanan kepada Matsushita supaya beliau dapat menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan (rujuk halaman 37). Katanya, kebebasan yang dinikmati oleh seorang usahawan jauh lebih besar ertinya.
Ketika umurnya 16 tahun, Matsushita sudah mula mengurus dan mengarah orang lain (rujuk halaman 47). Menjelang umurnya 19 tahun, dia sudah berjaya mengendalikan projek yang amat besar dan kompleks (rujuk halaman 47). Pada ketika usianya 22 tahun, dia sudahpun mempunyai pengalaman berbelas tahun dalam bidang perniagaan (rujuk halaman 51). Pada masa yang sama, beliau mendapat pendedahan di syarikat elektrik setelah bekerja beberapa tahun di Syarikat Lampu Osaka (rujuk halaman 51).
Tahun 1917 merupakan tahun bersejarah bagi Konosuke Matsushita (rujuk halaman 56). Ini adalah kerana pada tahun itulah Matsushita memulakannya perniagaannya yang pertama. Dengan modal sebanyak seratus yen dan ruang operasi di sebuah rumah kongsi dua bilik, Matsushita memulakan perniagaan membuat soket elektrik (rujuk halaman 56). Tiada siapa pun yang memberi perhatian kepada Matsushita apatah lagi beliau hadir dalam dunia perniagaan tanpa modal yang besar dan kelayakan akademik yang cemerlang. Ini berbeza dengan tokoh usahawan yang lain seperti Noguchi Jun, pengasas Nippon Chisso Hiryo yang menubuhkan syarikat pertamanya dengan reputasi yang cukup hebat seperti bermodal besar sehingga cecah jutaan yen dan memiliki ijazah kejuruteraan dari universiti terkemuka di Jepun (rujuk halaman 55). Awal perniagaannya tidak begitu baik sehinggalah pada satu hari dia ditawarkan oleh Syarikat Elektrik Kawakita untuk membekalkan plat penebat kepada syarikat itu (rujuk halaman 59). Dengan mutunya yang baik dan penghantarannya yang cepat, syarikat milik Matsushita itu mula mendapat banyak tempahan. Pada bulan Ogos 1921, Matsushita mula membina kilang baru dan siap pada Januari 1922 (rujuk halaman 69). Kata Matsushita ketika kilang mula dibina, “Kilang baru ini merupakan asas yang akan membolehkan saya menjadi seorang ahli perniagaan yang sebenarnya dan semakin hampir siapnya, keyakinan saya begitu membara” (rujuk halaman 69). Produk pertama yang menjadi tumpuan beliau ialah lampu basikal yang menggunakan kuasa bateri yang mampu bertahan untuk tempoh yang lama (rujuk halaman 70). Pada masa itu, lampu basikal yang digunakan oleh masyarakat di Jepun adalah berasaskan cahaya lilin untuk bergerak di waktu malam.. Cahaya lilin ini mudah padam bila ditiup angin. Ada juga pengeluar yang menghasilkan lampu basikal menggunakan kuasa bateri tetapi tidak tahan lama. Apapun, masyarakat Jepun belum dapat menerima pembaharuan yang diperkenalkan oleh Matsuhita kerana bimbang alat ganti lampu tersebut sukar didapati di pasaran. Apatah lagi mereka mengandaikan bahawa lampu basikal keluaran syarikat Matsushita sama mutunya dengan lampu basikal berkuasa bateri yang telah ada di pasaran pada masa itu (rujuk halaman 71). Matsushita menggunakan strategi pemasaran yang sangat berani iaitu dengan meletakkan sebiji lampu yang bernyala untuk diperagakan dan hanya akan menerima bayaran jika produk itu terjual. Peniaga tergamam kerana perkara itu tidak pernah dipraktikkan sebelum ini tetapi mereka bersetuju kerana mereka tidak perlu menanggung apa-apa kos. Selepas empat atau lima hari, barulah strategi ini membuahkan hasil apabila lampu tersebut benar-benar dapat bertahan dalam tempoh yang lama sehingga meyakinkan peniaga untuk menjualnya. Pesanan mula bertambah dan menjelang bulan September 1924, kilang Matsushita menghasilkan lampu basikal sebanyak 10,000 unit sebulan (rujuk halaman 73). Pada Mei 1925, lokasi pembuatan lampu itu dipindahkan ke kilang baru. Matsushita menandatangi kontrak dengan Syarikat Perdagangan Yamamoto yang memberikan hak eksklusif kepada syarikatnya untuk menjual lampu basikal ke seluruh negara (rujuk halaman 73). Seperti kata penulis buku ini (John P. Kotter), kunci kepada pembangunan keluaran ini ialah titik peluh bukan PhD atau belanjawan R&D yang besar (rujuk halaman 72). Setelah melalui zaman perang (Perang Dunia Kedua) yang amat sukar, Matsushita menyusun kembali organisasinya dengan memperkenalkan sistem bahagian. TIga bahagian dibentuk dimana bahagian pertama membuat radio, peralatan komunikasi, mentol lampu dan tiub hampagas; bahagian kedua membuat bateri kering dan peralatan yang berkaitan dengan pemanas elektrik dan bahagian ketiga menjual bateri storan dan pengubah (rujuk halaman 140).
Lawatan Matsushita ke Amerika Syarikat dan Eropah pada tahun 1951 telah membuka lembaran baru dalam sejarah syarikatnya. Amerika Syarikat memberikan pendedahannya tentang perlunya syarikat beliau bergerak dengan lebih pantas untuk meningkatkan keupayaan teknologinya manakala Eropah menjadi lubuk kepada syarikatnya untuk mendapatkan sumber teknologi termaju (rujuk halaman 143). Matsushita menjalinkan usahasama dengan syarikat Philips bagi mengeluarkan tiub gambar televisyen, tiub hampagas, lampu pendarfluor dan beberapa komponen serta barangan elektrik yang lain (rujuk halaman 145). Pada tahun 1953, Matsushita membina Makmal Penyelidikan Pusat di pinggir bandar Osaka (rujuk halaman 146). Tujuan pembinaan makmal tersebut ialah untuk membangunkan teknologi bagi membuat TV, pengadun, ketuhar gelombang mikro, kepala rakaman, peti sejuk, periuk nasi elektrik, mesin basuh dan sebagainya. Makmal tersebut tidak mencipta keperluan yang benar-benar baru tetapi membaiki keluaran yang telah ada di pasaran dan membangunkan peralatan untuk pengeluaran automatik (rujuk halaman 146). Pada tahun 1960-an dan 1970-an, barangan keluaran syarikat Matsushita mula dipasar ke seluruh dunia. Dibawah nama National dan Panasonic, berjuta-juta VCR, radio, pencukur, TV dan sebagainya telah dibeli oleh beratus-ratus juta orang diseluruh dunia tanpa mengenali nama pengasasnya iaitu Konosuke Matsushita (rujuk halaman 147). Kedua-dua jenama tersebut kemudiannya terus melekat dan meniti di bibir pengguna!
Pengalamannya yang luas dalam bidang perniagaan setelah bermula dari peringkat bawah telah banyak membantu beliau memberi tunjuk ajar dan nasihat kepada lembaga pengurusannya. Matsushita menegah pekerjanya bersikap angkuh dan bermegah diri kerana sikap itu membataskan diri agar tidak berpandangan jauh dan mempunyai minda yang sempit (rujuk halaman 147). Matsushita juga menegaskan kepada pekerjanya bahawa pasaran dan teknologi bukanlah isu utama tetapi yang paling penting ialah bersikap terbuka dan merendah diri untuk mempelajari sesuatu (rujuk halaman 148). Matsushita juga mengecam dan mengkritik eksekutifnya yang terlalu berpuas hati (rujuk halaman 157). Matsushita memperkenalkan jadual minggu kerja lima hari kepada pekerjanya buat pertama kali pada tahun 1965 (rujuk halaman 158). Beliau meniru amalan organisasi di Amerika Syarikat yang bekerja lima hari seminggu (rujuk halaman 158). Pekerja bekerja selama lima hari seminggu tanpa ada pengurangan gaji dan faedah sampingan (rujuk halaman 158). Hasilnya produktiviti syarikat meningkat secara berterusan dan pekerja syarikatnya dicemburui oleh pekerja syarikat lain di Jepun kerana minggu kerja mereka dipendekkan (rujuk halaman 158). Amalan Matsushita yang sentiasa merendah diri sehingga sanggup menundukkan kepala tanda hormat kepada para pekerjanya walaupun ia seorang kerani stor menjadi kunci kejayaan kepada diri dan organisasinya (rujuk halaman 160) Sikap merendah diri ini menyebabkan matlamat utama beliau cenderung ke arah sikap sosial dan kemanusiaan (rujuk halaman 161). Keadaan ini membantu beliau melakukan apa yang sebenarnya diperlukan untuk menjadikan syarikatnya dan dirinya semakin kaya (rujuk halaman 161). Apa yang boleh disimpulkan setelah membaca keseluruhan buku ini ialah penekanan Matsushita atas dua perkara iaitu keazaman dan pembelajaran sepanjang hayat. Pendidikan sepanjang hayat amat berkait rapat dengan kerendahan hati, fikiran yang terbuka, kesanggupan untuk mengambil risiko, keupayaan untuk mendengar sertia memikirkan tentang diri secara jujur (rujuk halaman 211). Begitu juga dengan sikap kemanusiaan yang besar sangat penting untuk berjaya dalam perniagaan. Kepercayaan ini merangsang pencapaian dengan menggalakkan perkembangan pemikiran (rujuk halaman 211).
Membaca buku biografi ini agak menghiburkan. Tidak terlalu ketat dengan fakta-fakta ilmiah dan adakalanya agak melucukan walupun kelucuan itu sebenarnya realiti yang telah berlaku dan dihadapi masyarakat satu masa dahulu. Sebagai contoh, pengarang buku biografi ini, John P.Kotter menulis di halaman 44,
“Semasa Matsushita mula bekerja di Syarikat Osaka Light pada 1910, industri baru ini menjadi sumber yang dikagumi dan ditakuti. Tenaga elektrik lebih dikenali dalam bentuk cahaya dan kebanyakan orang berpendapat tenaga elektrik ini sangat menakutkan kerana mereka mempercayai orang boleh mati apabila tersentuh dengannya. Dipercayai bahawa tenaga ini mestilah dikendalikan oleh seorang pakar. Seorang pembaik lampu pun dipandang tinggi dan dianggap sebagai juruteknik yang berpengetahuan tentang kuasa ajaib itu.”
Sekali baca memang agak melucukan pernyataan diatas. Betapa masyarakat satu masa dahulu berasa takjub dengan cahaya yang dikeluarkan menerusi tenaga elektrik tetapi pada masa yang sama gerun hendak menggunakannya. Bahkan orang yang membaikinya pula dianggap orang yang sangat hebat dan sangat dihormati kerana mahir dalam pengendalian kuasa ajaib itu!
Satu lagi fakta yang agak menggelikan hati ialah betapa Matsushita begitu takjub melihat bandaraya New York apabila menjejakkan kaki ke bandaraya itu buat pertama kali pada 18 Januari 1951. Beliau sering meluangkan masa menonton wayang walaupun tidak tahu berbahasa Inggeris kerana dengan cara itu beliau dapat melihat keseluruhan wajah Amerika Syarikat! (rujuk halaman 142) Beliau juga menggunting rambut buat pertama kali dalam hidupnya setelah menyedari stail rambutnya telah ketinggalan zaman! (rujuk halaman 143)
Buku setebal 240 halaman ini bagaimanapun tidak terlepas dari kesalahan ejaan berdasarkan kepada cetakan pertamanya tahun 1998. Antaranya ialah seperti,
1. Di halaman 28 baris ke-37, Dia menziharahi rumah Murukami sepatutnya menziarahi
2. Di halaman 29 baris ke-3, …perniaga alat pemanas bilik sepatutnya peniaga, baris ke-30, …beberapa abab yang lalu sepatutnya abad dan baris ke-38, Tetapi dia juga merasai keghariah yang amat sangat sepanjang perjalanan tersebut sepatutnya keghairahan
3. Di halaman 26, baris ke-7….pada peralihan abab… sepatutnya abad dan baris ke-29 …. Pada permulaan abab kedua puluh sepatutnya abad
4. Di halaman 69, baris ke-3, …petumbuhan uncit dalam pembuatan sepatutnya pertumbuhan runcit
Apapun, kesalahan ejaan yang ada tidak langsung menjejaskan keseluruhan isi kandungan buku ini. Apatah lagi gambar-gambar bersejarah yang dimuatkan didalam buku ini menjadikan buku ini sangat menarik untuk ditelusuri dari satu halaman ke halaman berikutnya. Buku yang digarap dengan penuh teliti oleh John P.Kotter, seorang professor di Pusat Pengajian Perniagaan Harvard amat sesuai dibaca oleh semua lapisan golongan terutamanya bagi mereka yang meminati bidang perniagaan dan keusahawanan. Sekalung tahniah diucapkan kepada panel penterjemah ITNM yang telah bertungkus-iumus menterjemahkan buku asalnya yang bertajuk Matsushita Leadership – Lesson From the 20th Century’s Most Remarkable Entrepreneur dalam Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu.

[1] Jenama ini bermula pada tahun 1927
Antara gambar bersejarah yang dimuatkan didalam buku ini

Lakaran rumah yang menjadi kilang dan tempat kediaman Matsushita di peringkat awal operasinya


Konosuke Matsushita ketika menubuhkan Matsushita Electric pada tahun 1918

Kilang Matsushita pada tahun 1924

Radio pertama dihasilkan selama 3 bulan dan dikeluarkan pada tahun 1931


Kilang Matsushita tahun 1933

Wawancara Matsushita dalam majalah Time pada tahun 1962

Wawancara majalah Life dengan Matsushita pada tahun 1964

Keluaran pertama jurnal PHP (PHP bermaksud kedamaian dan kebahagiaan melalui kemakmuran) pada tahun 1947

Pelajar MIGM (Institut Pemerintahan dan Pengurusan Matsushita) bertemu Matsushita pada tahun 1989 di Hospital Peringatan Matsushita

Pusat Sistem Maklumat dan Komunikasi Panasonic di Tokyo pada tahun 1992