Kali terakhir kitab ini dicetak ialah kira-kira 34 tahun yang lalu tetapi ia masih lagi boleh didapati di pasaran kitab. Saya membelinya disebuah toko kitab di Taiping kira-kira dua tahun lepas dengan harga RM5. Kitab ini disusun oleh seorang pengarang hebat satu masa dahulu. Beliau ialah al-Ustaz Mustafa Abdul Rahman. Beliau banyak menulis kitab. Kitab-kitabnya yang sehingga kini menjadi teks pengajian di surau dan masjid khususnya disebelah utara Semenanjung ialah Tafsir al-Quranul Hakim dan Syarah Hadith 40. Berbalik kepada kitab Nurul Yaqin ini, isi kandungannya adalah berkenaan dengan sirah Nabi Muhammad saw. al-Ustaz menyusun kitab ini setelah menterjemahkannya secara bebas dari kitab asalnya yang bertajuk khulasah Nurul Yaqin oleh al-Ustaz Umar Abdul Jabbar yang telah diringkaskan dari kitab yang bernama Nurul Yaqin karangan almarhum as-Syeikh Muhammad al-Khudri, pemeriksa di Kementerian Waqaf merangkap pensyarah dalam bahagian tarikh Islam di Perguruan Tinggi Mesir. Kitab ini diterbitkan oleh Maktabah al-Haj Abdullah bin Muhammad Nuruddin al-Rawi dan dicetak oleh The United Press. Kedua-dua syarikat ini berpangkalan di Pulau Pinang. Cetakan pertama pada tahun 1961, cetakan kedua (setelah diperbaiki) pada tahun 1964 dan cetakan ketiga ialah pada tahu 1975. Tentang isi kandungannya, al-Ustaz menyusun kepadanya tiga bahagian iaitu
Bahagian 1: Mulai dari hidup Rasulullah saw hingga tahun yang pertama daripada hijrahnya dari mukasurat 1 hingga 61
Bahagian 2: Mulai dari tahun yang pertama dari hijrah hingga perdamaian Hudaibiyah dari mukasurat 62 hingga 115
Bahagian 3: Mulai dari perdamaian Hudaibiyah hinga wafatnya Rasul dari mukasurat 116 hingga 170
Buku ini menggunakan pendekatan huraian dan pertanyaan. al-Ustaz menghuraikan sesuatu peristiwa terlebih dahulu sebelum ditutup dengan pertanyaan. Ianya mungkin bertujuan untuk meningkatkan daya kefahaman. Mungkin ini satu-satunya kitab sejarah tulisan almarhum Ustaz Mustafa yang boleh didapati di pasaran. Kitab-kitab sejarahnya yang lain terlalu sukar untuk ditemui atau mungkin sudah tiada langsung dijual di pasaran.
Monday, November 2, 2009
Ringkasan Nurul Yaqin Sejarah (Sirah) Saiyidil Mursalin dalam Bahasa Melayu
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment