Wednesday, November 4, 2009

Samudera al-Fatihah - Bey Arifin




Saya tak ingat beli saya beli kitab ini samada penghujung tahun lepas atau pertengahan tahun ini. Yang pasti, saya membelinya di Kedai Buku Taj sewaktu berkunjung ke Kuala Kangsar. Saya membeli kitab ini setelah Syeikh Ahmad Fahmi Zam Zam menyebut nama kitab berkenaan ketika mensyarah kitab Sairus Salikin. Beliau menyarankan kepada jemaah yang hadir pada ketika itu agar meneliti kitab ini sebagai bahan bacaan tambahan. Kitab ini diterbit oleh Pustaka Nasional Singapura dan diberi kata sambutan oleh ulama terkenal Singapura iaitu Syed Ahmad Semait. Kitab ini dicetak buat pertama kali pada tahun 1976 manakala kitab yang berada pada tangan saya ini adalah cetakan yang keenam yang dikeluarkan pada tahun 1988. Rasanya cetakan ini juga bukan cetakan yang terkini memandangkan kitab ini sangat laris di pasaran kitab. Penulis kitab ini iaitu Bey Arifin memberi kata pengantar pada tahun 1965 di Surabaya, ini bermakna kitab ini telah ditulis kira-kira 44 tahun yang lalu. Seperti yang disebut oleh Syed Ahmad Semait,
Para ulama sepakat mengatakan bahwa Surah al-Fatihah itu adalah semulia-mulia surah yang pernah diwahyukan kepada Junjungan kita, Rasulullah saw sepertimana sabdanya iaitu, "Aku telah diberikan Fatihatul-Kitaab (Surah al-Fatihah) itu dari bawah Arasy (Tuhan)". Jelaslah betapa mulianya surah ini, oleh karena itu pantaslah ia dipilih untuk bacaan kita dalam sembahyang setiap kita menghadapkan diri kepada Allah.
Selanjutnya, Bey Arifin menghuraikan keistimewaan surah al-Fatihah berdasarkan hadith-hadith baginda Rasulullah saw. Surah al-Fatihah adalah sangat istimewa kerana
1. Surah al-Fatihah adalah sebesar-besar surah didalam al-Quran
2. Surah al-Fatihah hanya diturunkan kepada baginda saw
3. Sesiapa yang membaca surah al-Fatihah maka setiap ayat yang dibaca akan dijawab langsung oleh Allah Ta'ala
4.Sesiapa yang membaca surah al-Fatihah akan terhindar dari segala bahaya
5. Surah al-Fatihah diturunkan langsung dari Arasy kepada baginda saw
6. Surah al-Fatihah adalah penyembuh (ubat)
Selanjutnya penulis kitab ini mentafsir setiap ayat yang ada didalam surah al-Fatihah. Buku yang setebal 281++ ini patut ada dalam koleksi. Seperti kata Bey Arifin pada bahagian penutup,
Dan mudah-mudahan dengan pengertian-pengertian tersebut, dapatlah kita membaca surah al-Fatihah ini dengan lebih khusyuk dalam sembahyang atau shalat kita sehingga shalat kita dapat mencegah kita dari segala kekejian dan kemungkaran.

1 comment: