Monday, November 23, 2009

Panduan Solat Musafir Jama' dan Qasar - Tuan Guru Dato' Haji Mohd Salleh bin Haji Ahmad



Buku ini ditulis oleh ulama fiqh tanahair yang sangat terkenal iaitu Tuan Guru Dato Haji Mohd Saleh bin Haji Ahmad. Berdasarkan muqadimah yang ditulis sendiri oleh pengarangnya, buku ini ditulis ketika beliau bertugas di Fakulti Syariah Akademi Islam Universiti Malaya pada 1 Jumada al-Thaniyah, 1412 bersamaan dengan 7 Disember 1991. Sesuai dengan tajuk buku ini iaitu Panduan Solat Musafir Jama’ dan Qasar maka Tuan Guru telah mengolah isi kandungan buku ini dengan gaya bahasa yang mudah difahami. Saiznya yang nipis juga memudahkan sesiapa sahaja membaca buku ini sehingga habis. Mungkin itulah agaknya objektif buku ini ditulis iaitu memberi kefahaman kepada orang ramai agar tahu hukum-hakam ketika bermusafir dan bagaimana hendak beramal atau mengerjakan ibadah ketika dalam keadaan musafir. Bagi memudahkan pembacaan, Tuan Guru telah menggunakan pendekatan soal-jawab bermula dari mukasurat 25 hingga 33. Soal jawab ini adalah berkisar tentang isu atau permasalahan seputar yang sering dihadapi oleh umat Islam ketika dalam keadaan musafir.
Contoh soal-jawab yang dimuatkan ialah seperti berikut,
Soalan keempat,
Kalau seseorang itu tiba disatu-satu tempat pada malam hari, apakah malam itu diambil kira dalam menghitung empat hari?
Jawapan,
Yang baki dari malam itu tidak dikira bahkan akan dikira empat hari itu dari keesokan harinya. Oleh yang demikian jelaslah bahawa bermukim seseorang dalam keadaan ini adalah kurang dari masa dia bermukim jikalau dia masuk atau tiba pada siang hari.
Soalan kelapan,
Mana satukah yang lebih afdal dilakukan antara solat qasar yang tidak berjemaah atau tamam (sempurnakan empat rakaat) yang berjemaah?
Jawapan,
Solat jamaah lebih afdal ketika itu daripada solat qasar yang tidak berjemaah
Soalan kelima belas,
Seorang musafir dari Kuala Lumpur ke Taiping, Perak dan berazam hendak tinggal di satu kampung tertentu tidak melebihi tiga hari, kemudian dia akan beredar ke kampung lain yang berasingan tidak berapa jauh dari situ lebih kurang 4 atau 5 km dan hendak tinggal di situ lebih kurang 4 atau 5 km dan hendak tinggal di situ sekadar dua atau tiga hari sahaja. Kemudian dari situ ke kampung lain pula untuk 3 hari sahaja. Apakah musafir tersebut boleh melakukan jama’ atau qasar selama masa dia berada di kampung-kampung berkenaan?
Jawapan,
Harus bagi musafir itu melakukan jama’ dan juga qasar selama masa dia berada di kampung-kampung berkenaan, kerana masa yang dia telah tentukan untuk berada di satu-satu kampung itu tidak sampai kepada tempoh yang memutuskan safar iaitu empat hari tanpa dihitung hari masuk dan keluar (Sila lihat “Syarh Raudz at-Talib” bagi Syeikh Zakaria al-Ansari: 1/236)
Keseluruhan ada 23 soal-jawab yang dimuatkan dalam buku ini. Untuk tujuan penulisan buku ini, Tuan Guru telah merujuk beberapa kitab yang ditulis oleh ulama muktabar antaranya seperti Bughyah al-Mustarsyidin yang ditulis oleh Abdul Rahman ibn Muhammad yang dikenali dengan panggilan Ba ‘Alawi Mufti Hadramaut Yaman, Bughyah at-Tullab yang dikarang oleh ulama terkenal Alam Melayu iaitu Syeikh Daud ibn Abdullah al-Fathani, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab yang dikarang oleh Imam Nawawi, Matla’ al-Badrain wa Majma’ al-Bahrain yang dikarang Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani, Sabilul Muhtahdin yang dikarang oleh Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, Nailul Authar oleh Imam al-Syaukani dan I’anah at-Thalibin A’la Halli al-Faz Fathil Mu’in yang dikarang oleh Sayyid al-Bakri. Buku ini diterbit oleh Pustaka Haji Abdul Majid yang beroperasi di Batu Caves dan dijual dipasaran dengan harga RM 5.

No comments:

Post a Comment