Sunday, January 31, 2010

Kejatohan Kota Pagoh

Kulit buku

Halaman pertama

Buku ini saya pinjam di Pusat Dokumentasi Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka, KL beberapa hari yang lepas. Tujuan saya meminjam buku ini adalah untuk mencari informasi tentang Panglima Mat Berani. Beliau merupakan antara watak penting yang telah berjuang mempertahankan kedaulatan Kerajaan Melaka hingga ke titisan darah yang terakhir. Berikut adalah kisah Panglima Mat Berani yang saya petik dari tulisan Nurhayati Abdul Rahim,
MUAR: Pusara Mat Berani di Kampung Brohol. Pada papan tanda bertulisan Jawi tertera "Panglima yang Gagah: Mat Berani". Mat Berani. Itulah nama yang tertera pada sebuah pusara yang terletak kira-kira lima meter dari tebing Sungai Muar di Kampung Brohol, Panchor. Mungkin tidak ramai yang mengenalinya kerana namanya tidak pernah tercatat dalam sejarah. Tetapi menurut penduduk kampung berkenaan, Mat Berani adalah seorang panglima yang berkhidmat pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah Ibni Almarhum Sultan Alauddin Riayat Shah, sultan Melaka ke-7 yang memerintah di antara 1488 - 1511. Mat Berani dikatakan antara panglima yang sama-sama berjuang menentang serangan Portugis di Melaka pada tahun 1511. Apabila tidak mampu lagi menahan serangan Portugis, sultan dan pengikutnya yang setia mengundurkan diri dengan kapal dan mudik melalui Sungai Muar. Menurut ketua kampung, Haji Johari bin Haji Abd Hamid, 62, Sungai Muar pada ketika itu adalah laluan utama yang sibuk dengan kapal-kapal dagang dan kapal perang."Sultan Mahmud bersama pengikut-pengikut setianya telah mendirikan sebuah istana di hulu Sungai Muar dan bersemayam di situ sehingga kemuncak peperangan dengan Portugis," katanya. Menurutnya lagi, Mat Berani yang menjangka Portugis akan menyerang kedudukan sultan dari arah sungai telah membina kubu di tebing Sungai Muar. Tetapi Portugis telah menukar strategi peperangan mereka dengan melakukan serangan dari darat. Kesan kubu tidak dapat dilihat lagi kerana telah dimusnahkan oleh hakisan tebing dan banjir besar yang melanda kawasan itu. Menurut teks yang ditulis oleh ketua kampung Olak Sepam, Haji Mohd Salleh bin Tahir, 64, tentangan yang diberikan oleh Mat Berani dan pasukannya terhadap Portugis sangat hebat. Dalam peperangan itu, ramai yang terkorban, sama ada di pihak Mat Berani mahupun Portugis. Kapal-kapal perang Portugis juga dikatakan banyak yang musnah. Namun, akhirnya Panglima Mat Berani gugur di medan pertempuran dan disemadikan di Kampung Brohol manakala Sultan Mahmud Shah dipercayai mengundur diri ke Kampar dan bersemayam di sana.



Maqam Panglima Mat Berani

Berbalik kepada buku yang saya pinjam ini, ia ditulis oleh sejarawan Johor yang bernama Haji Muhd Sa'ad bin Haji Dahlan. Sebetulnya buku ini masih dalam peringkat manuskrip kerana tidak ada nama penerbit mahupun pencetak. Apapun, buku ini telah disempurnakan oleh pengarangnya pada 1 Disember 1972 dan berada dalam arkib Pusat Dokumentasi Melayu pada 30 Nov 1973 (seperti yang tertera pada muka pertama buku ini). Kata aluan buku ini ditulis oleh Dato Md Eusof bin Abd Rahman yang merupakan Pengerusi Persatuan Sejarah Negeri Johor cawangan Muar dan tokoh tempatan terkenal iaitu Dato Sulaiman Ninam Shah. Berdasarkan kepada catatan pengarang, isi kandungan yang ada dalam buku ini adalah berdasarkan kepada siasatan sejarah yang telah dilakukan sendiri oleh pengarangnya bersama-sama dengan beberapa orang rakannya di kawasan Pagoh dan Muar bermula dari tahun 1961. Ini bermakna pengarang telah mengambil masa selama 11 tahun untuk menyelesaikan penulisannya ini. Jalan penceritaan buku ini agak santai dan mudah dihadam. Boleh dihabiskan dengan sekali baca kerana ia terdiri dari 21 halaman sahaja. Isi kandungannya banyak berkisar tentang kepahlawanan Muhammad (Mat) Berani dalam mempertahankan kerajaan Melayu Melaka. Asal-usul pahlawan ini dan nama-nama ahli keluarganya ada diceritakan didalam buku ini. Pengarang menutup kisah ini dengan empat rangkap pantun atau syair yang sangat menarik.

No comments:

Post a Comment