Tuesday, January 5, 2010

Pembaratan Pemerintahan Johor (1800-1945) Suatu Analisis Sosiologi Sejarah terbitan Dewan Bahasa Pustaka (1997)







Saya sebetulnya tidaklah begitu berminat dengan istilah pembaratan. Apatah lagi bila disentuh tentang pemodenan. Walaubagaimanapun penulis buku ini iaitu Rahimah Abdul Aziz telah berjaya mengupas kedua-dua istilah tersebut dengan baik di permulaan buku ini. Antara ulasan penulis berkenaan dengan istilah pembaratan adalah seperti berikut,
Dalam proses membaratkan masyarakat negara-negara luar Eropah, corak pemerintahan secara tradisional negara-negara luar tersebut perlu dihapuskan. Setelah autoriti pemerintahan tradisional tersebut berjaya dipengaruhi maka kemasukan unsur-unsur Barat kedalam aspek-aspek lain masyarakat mudah ditingkatkan menerusi pentadbir penjajah, peniaga dan mubaligh Barat, juga sekutu-sekutu dan ejen tempatan. Perlembagaan, peraturan, nilai baru dan sebagainya diperkenalkan bagi menggantikan yang lama. (halaman 15)
Apapun, penulis kemudiannya menyatakan bahawa proses pembaratan perlu dilihat juga dari sudut positif misalnya membaiki kehidupan material penduduk tempatan, pendidikan, hospital, perubatan, bentuk-bentuk komunikasi dan pengangkutan. (halaman 16).
Inilah yang berlaku di Johor apabila Inggeris mula bertapak awal tahun 1800-an. Kelemahan kerajaan Johor pada waktu itu telah memberi kesempatan kepada Inggeris untuk mengadakan perjanjian yang akhirnya menguntungkan pihak penjajah ini. Perjanjian 1819 dan penyerahan sepenuhnya Singapura kepada Inggeris pada tahun 1824 adalah detik permulaan perluasan imperialis Inggeris di Tanah Melayu. (rujuk halaman 48). Walaupun pemerintah Johor berusaha untuk menghalang peluasan kerajaan Inggeris di Tanah Melayu anehnya pemerintah Johor sendiri telah mula membentuk peraturan kerja yang mirip Barat. Pemerintah pada waktu itu beranggapan bahawa Inggeris tidak akan mencampuri mana-mana urusan pemerintah tempatan yang telah menerapkan nilai-nilai moden dalam pemerintahan mereka. Majlis Mesyuarat ditubuhkan dengan mengikut bentuk yang terdapat di Westminster iaitu pusat parlimen dan kerajaan Inggeris. (rujuk halaman 58). Begitu juga dengan jabatan kerajaan yang digantikan dengan jabatan jenis Barat. Bahkan negeri disusun dan ditadbir mengikut cara-cara yang terdapat di jajahan Inggeris di Singapura. (rujuk halaman 62). Satu lembaga penasihat telah ditubuhkan di London pada tahun 1886. Lembaga ini dikenali dengan nama Lembaga Penasihat Johor. Tujuan penubuhannya adalah untuk menasihati sultan tentang hal-hal pentadbiran tetapi menerusi lembaga inilah, pengaruh dan idea Barat lebih banyak masuk ke Johor. (rujuk halaman 73). Kata penulis, kemuncak proses pembaratan di Johor ialah tertubuhnya perlembagaan negeri. Perlembagaan ini merupakan sebuah perlembagaan Barat dan yang membentuk sebuah kerajaan bercorak demokrasi. Menerusi perlembagaan yang ditubuhkan pada tahun 1895 ini, raja tidak lagi mepunyai kuasa mutlak sebaliknya perlu mendapatkan khidmat nasihat Jemaah Pangkuan Negeri untuk membuat sesuatu keputusan. Bahkan Jemaah Pangkuan Negeri boleh melantik raja baru jika raja yang memerintah tidak dapat memenuhi kehendak negeri. (rujuk halaman 74). Inggeris kemudiannya menguasai pemerintahan Johor apabila mereka meletakkan penasihat am di negeri tersebut pada tahun 1914. Ternyata usaha pemerintah Johor yang berusaha ‘membaratkan’ Johor dengan harapan Inggeris tidak menganggu pemerintahan negeri itu meleset sama sekali. Dari segi pendidikan, tulisan Jawi yang selama ini digunakan dalam hampir semua urusan rasmi telah mula diambil alih tulisan rumi. Penggunaan tulisan Jawi mula dihadkan kepada mata pelajaran tertentu sahaja di sekolah Melayu dan sekolah agama. (halaman 232). Apa yang menarik tentang buku ini ialah adanya lampiran perjanjian antara Inggeris dengan kerajaan Johor, undang-undang tubuh, persetiaan antara Sultan Ali dengan Temenggung Ibrahim dan surat Sultan Johor kepada Gabenor Negeri-negeri Selat.

No comments:

Post a Comment