Tuesday, January 5, 2010

Pemikiran Islam di Malaysia Sejarah dan Aliran


Buku yang ditulis oleh Dr Abdul Rahman Haji Abdullah dan diterbit oleh Dewan Bahasa Pustaka pada tahun 1998 ini pernah di terjemah ke dalam Bahasa Indonesia dan diterbit untuk edaran di Indonesia oleh Gema Insani Press. Apabila sesebuah buku itu diberi perhatian oleh penerbit Indonesia maka ia memberi isyarat bahawa isi kandungan buku itu sangat penting dan wajar ditelaah kerana tidak banyak buku dari negara kita yang diterjemah dan diterbit di negara jiran itu. Tentang isi kandungan buku ini, Dr Abdul Rahman telah mengupas sejarah pemikiran dan alirannya mengikut kelompok-kelompok tertentu. Beliau membahagikan pemikiran Islam di Malaysia kepada tiga bahagian utama iaitu pemikiran tradisonalisme, modernism dan reformisme. Apabila melihat kepada istilah-istilah yang digunakan, saya teringat kata-kata guru saya yang pernah menyatakan bahawa terlalu ramai penulis yang membahagikan kelompok pemikiran berdasarkan babak-babak yang menggunakan istilah sarjana Barat (orientalis). Kenapa tidak kita menggunakan pembahagian babak-babak mengikut istilah kita sendiri apatah lagi ianya berkait rapat dengan pemikiran Islam? Hujah yang ditimbulkan oleh guru saya itu sebenarnya sangat menarik. Alasannya ialah penggunaan istilah itu mungkin tidak sesuai kerana ia dikhuatiri akan memberi tafsiran yang tidak tepat kepada sesuatu babak pensejarahan itu. Hasilnya, babak pensejarahan itu dianggap salah dalam masyarakat padahal ia belum tentu salah. Tapi ini tidaklah bermakna apa yang dilakukan oleh kebanyakan penulis itu salah. Pada pandangan saya, percubaan penulis-penulis yang menulis berdasarkan babak-babak yang menggunakan istilah yang sedia ada berkemungkinan besar adalah untuk menyesuaikan keadaan tersebut dengan arus perdana agar ianya lebih mudah untuk difahami dalam konteks yang sama. Dalam kelompok tradisionalisme, Dr Abdul Rahman membahagikannya kepada tiga iaitu konservatif, reformatif dan neo tradisionalisme. Konservatif merujuk kepada perkembangan pengajian tradisional seperti pondok, tokoh-tokohnya dan pemikiran yang dibawa. Dr Abdul Rahman menyentuh perkembangan tabligh dalam bahagian reformatif. Perkembangan al-Arqam juga tidak terlepas dari lensa Dr Abdul Rahman Abdullah. Beliau meletakkannya dibawah tajuk Neo-Tradisionalisme. Dalam bahagian-bahagian lain juga, Dr Abdul Rahman menggunakan pendekatan yang sama iaitu memecahkannya kepada tajuk yang lebih kecil. Misalnya modernisme dipecahkan kepada gerakan modernis, modernism tradisional dan neo-modernisme manakala reformasi dipecahkan gerakan reformasi 1 dan 2, reformasi tradisional, neo-reformisme radikal dan neo-reformisme intelektual. Dr Abdul Rahman telah mengupas sesuatu kelompok dengan menyorot dari belakang ke depan. Setiap peristiwa diperhalusi dan dikupas dengan jelas. Cuma adakalanya saya tidak dapat membezakan sesuatu pendapat itu iaitu samada ianya adalah pandangan beliau atau pandangan yang dipetik dari sesuatu makalah atau beliau sebenarnya bersetuju dengan pandangan yang beliau petik itu. Sebagai contoh, dalam bab reformasi tradisional di halaman 337, beliau menulis,”Di Malaysia, masalah seperti ini (merujuk kepada Nur Muhammad) belum banyak dibahaskan secara kritikal, walaupun jelas bahawa hadis-hadis tentang Nur Muhammad adalah palsu dan daif.” Terdapat nota kaki pada ayat tersebut yang menyatakan bahawa ia dipetik dari buku yang ditulis oleh Adab Mahmud al-Hamasy bertajuk Salah Faham tentang Nur Muhammad terbitan Pustaka ASA tahun 1989. Terdapat juga kesilapan fakta seperti Kashf al-Asrar yang dinyatakan sebagai hasil penulisan (Syeikh) Muhammad Nafis al-Banjari (rujuk halaman 330)sedangkan kitab tersebut adalah ditulis oleh Syeikhul Islam Perak Syeikh Muhammad Saleh al-Minankabawi. Mungkin kitab yang dirujuk itu ialah Majmu al-Asrar bukannya Kashf al-Asrar kerana kitab itulah yang ditulis oleh Syeikh Muhammad Nafis. Apapun keseluruhan kandungan dalam buku ini sangat menarik untuk ditelaah apatah lagi ia menyentuh hampir kesemua babak penting yang berlaku dalam negara khususnya dalam tempoh 1930-an hingga 1990-an.

1 comment:

  1. https://drive.google.com/file/d/0B6ut4qmVOTGWMkJvbFpZejBQZWM/view?usp=drivesdk

    Web: almawaddah.info

    Salam


    Kepada:

     

    Redaksi, rektor dan para akademik


    Per: Beberapa Hadis Sahih Bukhari dan Muslim yang Disembunyikan


    Bagi tujuan kajian dan renungan. Diambil dari web: almawaddah. info

    Selamat hari raya, maaf zahir dan batin. 


    Daripada Pencinta Islam rahmatan lil Alamin wa afwan

    ReplyDelete