Monday, January 24, 2011

Kenangan Indah Bersama-sama Ayahanda Sheikh Haji Ahmad bin Sheikh Haji Mohd Said



Buku ini agak istimewa bagi saya kerana ianya dibeli melalui pos dari penulisnya sendiri, Ustazah Hajjah Zubaidah Ahmad yang merupakan anak kepada ulama besar yang berasal dari Negeri Sembilan ini. Saya tidak pasti samada buku ini ada dijual di pasaran atau tidak. Berdasarkan dari tajuknya sahaja kita sudah dapat mengagak isi kandungannya iaitu tentang kehidupan dan pengalaman si penulis buku bersama ayahandanya yang merupakan seorang ulama disegani dan dihormati di Alam Melayu pada satu masa dahulu. Syeikh Haji Ahmad adalah merupakan anak kepada seorang tokoh ulama besar di Alam Melayu penghujung abad ke-19 Masehi iaitu Syeikh Haji Muhammad Said bin Jamaluddin al-Linggi. Beliau mewarisi ketokohan dan menuruti jejak keilmuan ayahandanya dan kemuncak perjalanan hidupnya ialah apabila beliau dilantik menjadi mufti kerajaan Negeri Sembilan pada tahun 1950. Kewibawaannya sebagai salah seorang ulama disegani di rantau ini terserlah apabila beliau telah diminta untuk membaca doa pada hari Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu tanggal 31 Ogos 1957. Dalam kesibukannya menjalankan tugas harian sebagai seorang mufti, Syeikh Haji Ahmad turut menguruskan Madrasah as-Saidiyyah yang diasaskannya pada tahun 1935, kira-kira setahun selepas beliau pulang dari pengajian di Makkah dan memimpin jemaah Tariqat Ahmadiyyah. Tambah menarik ialah dalam kesibukan beliau menguruskan kerjaya dan aktiviti kelimuan, beliau juga sangat bijak mengatur masa untuk menguruskan kehidupan keluarganya yang sangat besar itu di Kampung Pondok Rasah, Seremban. Semasa hayatnya, Syeikh Haji Ahmad berkahwin enam kali. Beliau berpisah dengan isterinya yang kedua iaitu Rugayah binti Yunus manakala isterinya yang ketiga iaitu Hasnah binti Muhammad Yatim meninggal dunia ketika dia masih hidup. Menerusi garapan penulis buku ini, pembaca dihidangkan dengan kehidupan di sebalik tabir Syeikh Haji Ahmad iaitu bagaimana Syeikh Haji Ahmad menguruskan keluarganya yang besar itu dengan penuh harmoni dan kasih-sayang. Kisah sebegini jarang-jarang diketengahkan kepada umum kerana lazimnya ketokohan ulama itu diketengahkan dari sudut kewibawaannya bersama masyarakat dan kegigihannya menghasilkan karya untuk menjadi rujukan kepada umat. Namun menerusi hasil tulisan Ustazah Hajjah Zubaidah ini, pembaca dapat mengetahui sendiri ketokohan seorang ulama iaitu Syeikh Haji Ahmad dalam konteks ini, yang bukan sahaja dihormati di kalangan masyarakat kerana kerjaya dan pengetahuan tinggi dalam bidang agama tetapi juga kerana kewibawaannya dalam memimpin keluarganya yang besar sehingga hampir keseluruhan anaknya berjaya dalam bidang agama dan kerjaya masing-masing pada saat ini. Keluarga besar ini tinggal bersama-sama dengan penuh harmoni dan kasih-sayang hasil didikan dan asuhan Syeikh Haji Ahmad. Walaupun anak-anaknya ramai, Syeikh Haji Ahmad sangat mengambil berat akan kehidupan harian mereka. Ini dinyatakan seperti berikut,

Abah memang mengambil berat hal pendidikan anak-anak. Bukan sekadar makan minum, pakaian, belanja sekolah, buku dan alat tulis semuanya abah belikan (halaman 37)

Setiap kelahiran anak-anaknya dicatatkan tarikhnya dengan penuh teliti dan didoakan setiap anak itu,

Abah menulis catatan yang lengkap tarikh dan masa lahir anak-anak. Tarikhnya ditulis berdasarkan kalendar Hijrah dan kalenda Masehi. Bahkan abah menuliskan doa khusus untuk setiap anak yang lahir (halaman 69)

Apa yang menarik ialah ahli keluarga masing-masing mengetahui dan mengambil peranan untuk menguruskan kehidupan dalam keluarga yang besar itu. Ini disebut sendiri oleh penulis seperti berikut,

Jika emak-emak berperanan dalam mengurus makan minum dan pakaian kami, abang-abang pula membantu adik-adik kecil mengulangkaji pelajaran dan mengaji al-Quran (halaman 1).

Falsafah Syeikh Haji Ahmad dalam membesar anak-anaknya dan menguruskan kehidupan isteri-isterinya turut dinyatakan di dalam buku ini. Antaranya ialah seperti

1. Tidak membenarkan anak-anak lelakinya bermain takraw. Ini dinyatakan seperti berikut,

Abah tidak suka anak-anak lelakinya bermain sepak takraw. Maklumlah mereka menyepak bola raga dan menyambutnya dengan kepala sedangkan abah selalu berpesan supaya menjaga kemuliaan kepala (halaman 2)

2. Mendidik ahli keluarga agar menghormati tetamu

Menurut cerita emak, pernah seorang kenalan abah datang ke rumah kami waktu tengah malam. Walaupun waktu malam bukan waktu yang sesuai untuk bertandang ke rumah orang tetapi abah tetap meraikan tetamunya. Lazimnya abah akan bertanya samada tetamunya – “Dah makan?” Bila mengetahui kenalannya itu belum lagi makan malam, apa lagi, murid-murid abah pun bergegaslah menangkap dan menyembelih ayam untuk dimasak (halaman 12)

3. Memberi elaun bulanan kepada isteri-isterinya dan juga kepada anak-anak perempuan sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan yang dilakukan oleh kaum wanita

Setiap bulan pada hari dan tarikh tertentu, aku bersama emak-emak dan adik beradik perempuan yang lain duduk di tengah rumah. Abah akan datang dan duduk bersama. Inilah hari yang kami tunggu-tunggu. Setiap orang akan menerima elaun bulanan masing-masing (halaman 13)

4. Berdoa kepada anak-anak sebelum anak-anak ke sekolah

….Tetapi abah tidak akan memberiku duit sebelum membaca doa dan menghembus kepalaku. Seronoknya bila dapat bersalam dengan abah dan merasa sejuk kepala dihembusnya (halaman 27)

Bahagian yang paling mencabar tentulah selepas Syeikh Haji Ahmad berpulang ke rahmatullah pada tahun 1964. Ketika itu, ramai anaknya masih kecil lagi. Namun hasil didikan dan asuhan beliau, semua ahli keluarga saling bekerjasama dan menjaga keharmonian rumahtangga sehinggalah ke hari ini. Para ibu saling berpakat bekerjasama untuk menguruskan perbelanjaan rumah manakala anak-anak lelaki yang lebih tua berperanan menjaga adik-adik. Antara kisah menarik yang dipaparkan ialah

1. Projek memelihara ayam telur

Selepas abah meninggal, semua emak berpakat membuat projek memelihara ayatm telur. Setiap emak mempunyai seribu ekor ayam……….Menternak ayam merinankan belanja dapur kami. Macam-macam lauk boleh dibuat berdasarkan telur dan ayam (halaman 45)

Kata penulis sendiri, Aku biasa menjual telur ayam dari rumah ke rumah. Balik dari sekolah, tugasku ialah memastikan sebanyak empat puluh biji telur diisi dalam bakul (halaman 45)

2. Abang yang lebih tua menguruskan urusan keluarga dan adik-adik

Selepas abah meninggal, Bang Bidlah yang menjaga kereta abah. Semua urusan keluarga Bang Bid yang uruskan. Memastikan adik-adik belajar, membayar cukai, menghantar adik-adik ke sekolah, mengajar adik-adik mengaji, menjadi imam solat di surau Pondok Rasah dan membawa emak-emak menziarahi keluarga (halaman 57)

Buku yang ditulis oleh Ustazah Hajjah Zubaidah yang merupakan seorang pendidik ini amat wajar dimiliki khususnya dalam usaha untuk memahami makna sebenar pendidikan yang merangkumi seluruh kehidupan. Syeikh Haji Ahmad telah memberikan contoh yang sangat baik dalam mendidik ahli keluarganya. Selain pendidikan akademik dan agama yang sangat dititik-beratkan, beliau juga amat menekankan kehidupan berkasih-sayang, bekerjasama, bermuafakat dan berdikari dalam mengharungi kehidupan. Untuk mendapatkan buku ini, bolehlah berkunjung ke laman web berikut, http://alahmadiyyah-rasah.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment