Wednesday, July 29, 2009

Umar bin Abdul Aziz - Peribadi Zuhud Penegak Keadilan



Buku ini dihadiahkan kepada saya oleh Pak Jawahir kerana saya sering membeli kitab di kedainya dengan kuantiti yang agak besar juga. Buku ini diterbitkan sendiri oleh Pak Jawahir menerusi syarikatnya yang dikenali dengan nama Alam Raya Enterprise (kedai bukunya dikenali dengan nama Mutiara Ilmu) terletak tidak jauh dari Hospital Tawakkal di Jalan Pahang. Mulanya saya ingatkan buku ini adalah buku terbaru maksud saya buku yang baru diterjemahkan dari pengarang Arab tetapi rupanya ia adalah buku yang pernah diterbit di Indonesia tetapi telah diberi hak penerbitannya oleh syarikat disana kepada Pak Jawahir. Dan baru saya perasan bahawa buku yang diterbit oleh syarikat Indonesia itu juga telah saya miliki sebelum ini dan telah saya khatam juga beberapa kali. Saya sememangnya amat meminati kisah tokoh besar dalam sejarah dunia Islam ini dan mempunyai beberapa koleksi lain yang berkaitan dengan tokoh ini. Nantilah, jika ada masa, saya akan perkenalkan satu-persatu dalam blog ini, Insyallah. Baiklah, di Indonesia, buku ini menggunakan judul yang sedikit berbeza iaitu Biografi Umar bin Abdul Aziz, Penegak Keadilan sebab itulah saya tidak begitu perasan pada mulanya. Namun setelah melihat nama penulis asal iaitu Abdullah bin Abdul Hakam tertera pada kulit buku yang diterbit oleh Pak Jawahir ini, saya berasa déjà vu seketika, macam pernah terbaca nama itu sebelum ini. Saya segera mencari buku yang diterbit di Indonesia itu dirak-rak buku dan memang betullah, ia buku yang sama. Cuma buku yang diterbit oleh Pak Jawahir disusun semula dalam Bahasa Melayu manakala buku yang diterbit oleh Gema Insani di Indonesia menggunakan Bahasa Indonesia. Buku yang diterbit oleh Pak Jawahir pada Januari 2009 ini mempunyai 204 halaman dan buku ini mempunyai hook yang sangat kuat pada diri saya kerana kata pengantarnya ditulis oleh guru saya yang sangat saya kasihi, Dato’ Dr Siddiq Fadzil. Walaupun hanya beberapa mukasurat sahaja, Dato’ seperti lazimnya sentiasa mempesonakan saya dengan bicara penanya yang sangat padat dari segi makna dan maksud yang hendak disampaikan. Tajuknya sahaja sudah cukup menggambarkan betapa Dato’ benar-benar serius dalam penulisan walaupun ia hanya sebuah kata pengantar. Umar bin Abdul Aziz – Ikon Pemerintahan yang Baik (Good Governance), itulah tajuk yang Dato’ gunakan dalam memulakan bicaranya. Tajuk ini sudah cukup untuk membuatkan saya melekat dan membacanya sehingga habis. Antara baris-baris menarik yang ditulis Dato, seperti berikut,
1. Ditengah-tengah kebobrokan tradisi kekeluargaan dan budaya kroni Bani Umayyah, Umar bin Abdul Aziz bangkit mengibarkan panji-panji ketakwaan dan keadilan (rujuk mukasurat xxii)
2. Umar bin Abdul Aziz ditakdirkan tampil pada zaman menggejalanya kehidupan materialistik (rujuk mukasurat xxiii). …..Rakyat dan penguasa akan saling berkhianat. Rakyat berkhianat dengan mengelak dari bertanggungjawab (man’u ma yajibu ‘alaibu), sementara penguasa pula berkhianat dengan mengambil yang bukan haknya (akhdhu ma laysa lahu) (rujuk mukasurat xxiv)
3. Mengumandangkan slogan perubahan seperti change has come… memang mudah dan menyenangkan tetapi untuk menterjemahkannya menjadi kenyataan diperlukan tingkat kearifan dan kebijaksanaan yang bukan kepalang (rujuk mukasurat xxv)
Kata pengantar Dato’ sangat-sangat memuaskan hati saya dan seterusnya mulalah saya membelek isi dalam buku. Walaupun telah khatam beberapa kali untuk edisi Indonesianya namun tetap juga saya gagahkan diri untuk membaca buku ini sehingga habis. Kandungannya seperti edisi Indonesia tidak jemu untuk dibaca dan sekejap saja saya menamatkannya. Sepanjang pembacaan saya, dapat dikesan beberapa kesalahan tipografi di beberapa tempat. Antaranya ialah episop-episod sepatutnya episod-episod (mukasurat xxi) kemudian diulang kesalahan di mukasurat yang sama seperti episode-episod sepatutnya episod-episod, AMir sepatutnya Amir (mukasurat xxiii), takzih sepatutnya takziah (mukasurat 11), pengormatannya sepatutnya penghormatannya (mukasurat 12), menhentikan sepatutnya menghentikan (mukasurat 57), nebgkhianati sepatutnya mengkhianati (mukasurat 59), Sesungguuhnya sepatutnya Sesungguhnya (mukasurat 59), denga sepatutnya dengan (mukasurat 190), bumidan sepatutnya bumi dan (mukasurat 191) dan kekauatan sepatutnya kekuatan (mukasurat 193). Saya telah pun maklumkan kepada Pak Jawahir tentang perkara ini dan ternyata beliau sudah sedia maklum tentangnya. Katanya, edisi baru telah pun keluar dan segala kesalahan tipografi dalam edisi yang ada pada tangan saya ini telah pun dibaiki. Apapun kesalahan tipografi ini tidaklah mencacatkan isi kandungannya. Isi kandungannya sangat sesuai dihayati oleh segenap lapisan usia. Apatah lagi mereka yang terlibat dengan kepimpinan dan pentadbiran, sangat wajar mencontohi peribadi khalifah besar ini. Antara bahagian yang menarik minat saya ialah di mukasurat 16 tentang persamaan cara solat Umar dengan cara solat Rasulullah saw. Ceritanya begini,
Ketika Anas bin Malik, khadam Rasulullah saw datang dari Iraq ke Madinah, dia takjub melihat solat Umar bin Abdul Aziz yang saat itu menjadi amir Madinah. Anas solat di belakang Umar. Selepas itu dia berkata, “Aku tidak pernah solat di belakang imam selepas Rasulullah yang solatnya sama dengan solat Rasulullah kecuali imam kalian ini – Umar bin Abdul Aziz – dalam solatnya menyempurnakan rukuk dan sujud serta meringankan duduk dan berdirinya.”
Lain-lain bahagian yang menjadikan buku ini sangat istimewa ialah Khutbah-Khutbah Umar bin Abdul Aziz bermula dari mukasurat 145 hingga 149 dan Surat-Surat Umar bin Abdul Aziz bermula dari mukasurat 153 hingga 204. Kata-kata yang disampaikan oleh Khalifah Umar dalam khutbah dan suratnya penuh dengan hikmah/kebijaksanaan. Buku ini memang saya syorkan untuk dimiliki dan memang wajarlah ia menjadi koleksi seisi rumah. Sekalung tahniah saya ucapkan pada Pak Jawahir kerana mengambil inisiatif menerbitkan buku-buku yang bermutu sebegini apatah lagi turut mendapat sentuhan dari tokoh tempatan seperti Dato’ Dr Siddiq Fadzil. Sebelum menutup bicara, elok juga jika saya maklumkan bahawa buku ini asalnya dalam bahasa Arab dengan memakai judul al-Khalifatul-‘adil Umar bin Abdul Aziz, Khamis Khuaur-Rasyidin yang diterbit oleh Darul Fadhilah, Kaherah di Mesir. Kata penulis asal iaitu Abdullah bin Abdul Hakam, bertahun-tahun beliau membuat kajian tentang khalifah Umar bin Abdul Aziz. Menjelajah dari satu perpustakaan ke perpustakaan berikutnya untuk menjejak manuskrip yang menghimpunkan biografi tokoh besar ini. Hinggalah beliau berjaya menemukan dua manuskrip yang sangat berharga yang ditulis oleh Imam Ibnul Jauzi dan Syeikh Abdul Ra’uf al-Manawi di Perpustakaan Paris. Lalu beliau berpuas hati dan mula mengarang sehinggalah terhasilnya buku seperti yang bertajuk diatas. Tidak hairanlah buku yang ditulis oleh Abdullah bin Abdul Hakam ini mempunyai kekuatan tersendiri kerana adanya sentuhan karya-karya ulama hebat satu masa dahulu. Pesan saya, cari buku ini dan hayatilah sejarah hidup tokoh besar ini, amat menarik untuk dibaca. Untuk mendapatkan buku ini, bolehlah hubungi Pak Jawahir di no. berikut, 017-3350051

No comments:

Post a Comment