Saturday, November 28, 2009

Risalah Mukjizat al-Quran Siri 2 - Badiuzzaman Said Nursi




Jika siri I memuatkan fasal Cahaya Pertama, siri II pula menghimpunkan fasal Cahaya Kedua dan Ketiga. Dalam Siri II ini, saya tertarik dengan catatan peribadi yang ditulis oleh pengarangnya. Catatan tersebut seperti berikut,
Setelah dibebaskan dari Penjara Dinizli[1], pada suatu hari aku duduk di tingkat atas Hotel Syahar. Aku memperhatikan pokok sofsof mengelilingi taman yang indah. Aku melihat dahan dan dedaunan yang bergemalai, bergoyang dengan sentuhan bayu yang lembut. Keindahan terserlah seolah-olah ia memuji Allah dalam gelanggang zikir dan tahmid. Gerakan yang lembut menyentuh perasaan sedihku kerana berjauhan dari saudara-mara. Aku hanyut seorang diri, lalu secara tiba-tiba terlintas di dalam benak akan musim gugur dan musim sejuk. Pengguguran dedaunan menghilangkan keindahan, aku merasa sedih dan sakit atas peristiwa yang berlaku. Aku menyesali perubahan kehidupan yang indah sehingga mengalir air mata yang menghimpit benakku, disebabkan perpisahan dan pertemuan dengan makhluk alam ini. Tatkala aku berada dalam keadaan kesedihan, tiba-tiba terpancar cahaya Hakikat Muhammadiyyah datang menolongku seperti menolong orang mukmin yang lain, maka berubahlah kesedihan kepada kegembiraan yang tidak terhingga. Aku bermalam dalam keredaan cahaya Hakikat Muhammadiyyah yang tidak terbatas itu. Ia bagaikan seperti berikut; Pandangan yang kabur menampakkan tidak ada manfaat dari dedaunan yang lembut, pepohon yang besar. Ia tidak bergoyang kerana rasa gembira, malah bergementar kerana ketakutan dan perpisahan. Binasalah mereka yang tertarik dengan dunia dan keindahannya. Mereka mengubah dunia menjadi neraka maknawi. Akal dijadikannya anggota kesengsaraan dan penyiksaan. Dalam keadaanku yang merana, terpancarlah cahaya yang disuluh oleh Muhammad saw menampakkan segala yang tersirat, menghapuskan kekaburan dan menzahirkan segala hikmah, makna, tugasan yang banyak sebanyak dedaunan pohon. (rujuk mukasurat 73-74)
Dalam bab kesimpulan, Said Nursi menutup perbahasan dengan memberi penekanan kepada pentingnya iman. Katanya, Sesungguhnya iman dapat menyelamatkan manusia dari siksaan maut dan dunia yang penuh kegelapan, ketiadaan kesinaran dan kesia-siaan. Sementara kekufuran khususnya kufur mutlak menghapuskan manusia dan membinasakan dunianya melalui kematian. Ia mencampakkan manusia dalam kegelapan jahanam dan maknawi serta menukarkan kesenangan hidupnya kepada kesakitan dan kesengsaraan. Kamu akan melihat perbezaan orang yang mengutamakan dunia daripada akhirat. Maka ubatilah perkara itu jika kamu benar. Dan masukkanlah keimanan kedalam diri dan selamatkan jiwa mereka dari kerugian yang dahsyat ini.
Buku ini diterbit oleh Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, UKM.

[1] Beliau dipenjara kerana berpegang kuat pada prinsip agama Islam. Pada masa itu Turki sedang dikuasai oleh pemerintahan sekularisme

No comments:

Post a Comment