Saturday, November 28, 2009

Risalah Mukjizat al-Quran Siri 1 - Badiuzzaman Said Nursi



Seperti yang disebut dalam kata pengantar oleh Prof Madya Dr H.M Bukhari Lubis, antara keistimewaan Said Nursi ialah beliau menyelidiki agama dengan manhaj yang berbeza dengan cara gaya ulama sebelumnya. Baginya, perlulah disepadukan ilmu pengetahuan dengan ilmu agama disamping menyelidiki dasar-dasar kepercayaan menurut manhaj yang sesuai dengan pemikiran moden. Memang benar. Gaya persembahan Said Nursi dalam tulisan ini sangat istimewa. Beliau mengunakan kalimat seperti cahaya, sinaran dan kilatan dalam membahagikan setiap fasal atau sub-fasal. Seperti yang dijelaskan oleh Said Nursi sendiri di bahagian awalan, kitab ini ditulis dengan memperlihatkan sudut balaghah al-Quran serta ilmu-ilmu bahasa Arab dengan uslub dan gaya bahasa saintifik serta jitu lagi mendalam agar dapat membangkitkan kekaguman para cendekiawan. Ternyata kupasan Said Nursi sangat memikat. Kesarjanaan Said Nursi dalam pelbagai disiplin ilmu terserlah apabila beliau mengupas sesuatu ayat atau perkataan didalam al-Quran dari pelbagai sudut seperti sudut orang awam, sudut sains dan sudut falsafah. Sebagai contoh dalam membahaskan perkataan ratqan yang terkandung didalam ayat 30 surah al-Anbia’ dengan maksudnya seperti berikut, “Sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu) lalu Kami memisahkan kedua-duanya”. Perkataan ratqan bagi orang yang belum tercemar oleh falsafah bermaksud bercantum. Ia memberi kefahaman bahawa langit bersih, awan tidak kelihatan. Bumi kering kontang. Tiada sebarang hidupan. Tuhan yang membuka pintu-pintu langit untuk menurunkan hujan dan membentang bumi dengan kehijauan, Tuhan itulah yang mencipta seluruh yang empunya kehidupan daripada air tersebut, sehingga seolah-olah terjadi percampuran dan perkahwinan. Ini tidak dapat dilakukan melainkan Tuhan Yang Maha Berkuasa dan permukaan bumi ini disisi-Nya hanyalah seperti sebuah taman kecil manakala awan yang melindungi permukaan langit pula ibarat dinding kepada kebun tersebut. Demikianlah kefahamannya lalu dia tunduk sujud di hadapan keagungan dan kudrat Allah swt.
Kepada seseorang pengkaji bumi, perkataan ratqan itu memberikan kefahaman kepadanya bahawa pada permulaan segala penciptaan makhluk, langit dan bumi merupakan dua jirim yang tidak mempunyai bentuk, atau dua adunan mentah yang tidak boleh diambil apa-apa manfaatnya. Ketika kedua-duanya masih hidup berada dalam keadaan ‘jirim’ itu, iaitu ketika tiada sebarang hidupan yang hidup diatasnya, ketika itulah Allah menghamparkan kedua-duanya dalam keadaan yang indah dan diatasnya mengurnia atau mencipta makhluk hidupan yang mempunyai rupa paras dan hiasan yang bermanfaat serta membanggakan. Demikianlah kefahamannya, lalu dia merasa kagum berhadapan dengan keluasan kebijaksanaan Allah swt.
Kepada para ahli falsafah semasa pula, perkataan tersebut memberikan kefahaman bahawa bebola bumi dan seluruh planet yang memberikan satu sistem solar itu, pada permulaannya bersatu dengan matahari dalam bentuk adunan yang belum dileperkan bentuknya. Kemudian adunan tersebut dibelah dan dipisahkan oleh Tuhan Yang Maha Berkuasa, lalu Dia menempatkan segala planet pada tempatnya. Matahari disana dan bumi disini dan seterusnya. Dia membentang dan menyalut bumi dengan tanah dan menurunkan hujan dari langit. Dia menyebarkan cahaya matahari ke atas permukaan bumi dan menjadikan manusia sebagai penduduknya. Demikianlah kefahamannya yang menyebabka dia mengangkat kepalanya terus dibenamkan kedalam lumpur semulajadi dengan berjata, “Aku beriman dengan Allah Yang Maha Esa”. (rujuk mukasurat 74-75)
Buku ini diterbit oleh Yayasan Islam Terengganu tetapi bagi mereka yang tinggal di Lembah Kelang, bolehlah mendapatkan buku ini di Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, UKM.

No comments:

Post a Comment