Showing posts with label turki. Show all posts
Showing posts with label turki. Show all posts

Saturday, November 28, 2009

Bediuzzaman Said Nursi Sejarah Perjuangan dan Pemikiran - Mohamad Zaidin Mat




Buku ini asalnya sebuah disertasi peringkat Sarjana yang kemudiannya dibukukan. Kata pengarang buku ini, buku biografi Said Nursi yang paling lengkap boleh didapati dalam bahasa Arab dan Inggeris yang ditulis oleh Ihsan Qasim al-Salihi dan Urkhan Muhammad Ali. Said Nursi adalah seorang ulama besar berketurunan Ahlul Bayt. Ayahnya bernama Mirza berketurunan Hasan bin Ali manakala ibunya bernama Nuriyyah berketurunan Husayn bin Ali. (rujuk mukasurat 5 dan nota kaki no. 5). Said Nursi bukan sahaja menguasai ilmu-ilmu tradisi Islam dengan baik tetapi juga ilmu-ilmu Sains Moden. (rujuk muka surat 6-16). Beliau pernah bermimpi bertemu Rasulullah saw. Dalam mimpinya itu, beliau berpeluang mencium tangan Rasulullah saw. Sambil mencium tangan Rasulullah saw, beliau memohon supaya dianugerahkan ilmu kepadanya. Rasulullah saw bersabda, Akan dikurniakan kepadamu ilmu al-Quran dengan syarat kamu tidak bertanya kepada sesiapa pun. (rujuk mukasurat 7-8). Sejak dari itu, bermulalah perjuangan beliau menegakkan ajaran Islam dan menentang kebatilan. Buku ini sangat menarik untuk dibaca apatah lagi ianya tentang seorang ulama besar yang telah menghabiskan seluruh usia kehidupannya untuk menegakkan syiar Islam. Beliau wafat pada 23 Mac 1960 bersamaan 25 Ramadhan 1379. Ketika wafat, disisinya hanyalah seutas jam tangan, jubah, serban dan duit bernilai dua puluh lira. Beribu-ribu orang dari pelbagai pelusuk Turki datang menziarahi jenazahnya dan mendirikan solat jenazah ke atasnya. (rujuk mukasurat 70). Buku ini diterbit oleh Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, UKM dan Sozler Nesriyat, US pada tahun 2003.

Mujaddid Islam Bediuzzaman Said Nursi - Wan Jafree Wan Sulaiman




Buku kategori biografi ini ditulis oleh Wan Jafree Wan Sulaiman dan diterbit oleh Hizbi yang beroperasi di Shah Alam pada tahun 1987. Rasa saya, inilah buku biografi pertama tentang ulama besar Turki ini yang terawal ditulis sebegini lengkap oleh penulis tempatan. Isi kandungan buku ini mula ditulis pada awal 80-an dan dicetak buat pertama kalinya pada tahun 1983. Tidak dinyatakan pula siapa penerbitnya ketika buku ini mula dikeluarkan buat pertama kali. Atas sambutan menggalakkan, buku ini dulang cetak menerusi penerbitan Hizbi. Buku ini menjadi sangat bernilai kerana ia memuatkan gambar-gambar lama Said Nursi. Antara buku yang dirujuk oleh Wan Jafree untuk penulisan ini ialah Said Nursi yang ditulis oleh Sarwat Saulat dan Badee-uz-zaman Sa’id Noorsi of Turkey oleh Thalaba an-Nur. Saya hanya pernah terjumpa buku yang ditulis oleh Sukran Vahide. Tentang dua buku yang menjadi rujukan Wan Jafree, setakat ini belum pernah saya ketemu. Nampaknya saya perlu buat carian di perpustakaan awam, itupun jika ada.

Keikhlasan dan Persaudaraan - Badiuzzaman Said Nursi






Buku ini terbahagi kepada dua bab utama iaitu keikhlasan dari mukasurat 7 hingga 30 dan persaudaraan dari mukasurat 31 hingga 67.
Kata pengarang, penyembuh terhadap wabak yang kronik [iaitu merebut tawaran kebendaan dan sokongan moral sehingga mencetuskan kekacauan dan perselisihan] ialah keikhlasan. Keikhlasan akan dapat dicapai apabila apa yang lebih diutamakan ialah kecintaan terhadap Allah daripada kecintaan terhadap diri sendiri iaitu dengan mengutamakan keredhaan Ilahi dari kepentingan diri sendiri dan seterusnya berpegang teguh pada satu firman Allah dengan maksudnya, Ganjaranku hanyalah dari Allah (Surah Yunus ayat 72). (rujuk mukasurat 8-9)
Tentang persaudaraan, Said Nursi memberi contoh yang sangat baik. Kata beliau, Ringkasnya untuk berkasih-sayang, bersaudara dan berharmoni semestilah kita mengikuti apa yang diajar oleh Islam dan itulah sahaja yang akan mengikat kukuh para Muslimin. Sikap suka bermusuh adalah seperti anak-anak yang berpura-pura menangis kerana berkehendakkan sesuatu yang kecil. Sesuatu yang kecil sebesar lalat mungkin menjadi sebab ia menangis. Dengan sikap buruk mereka yang berat sebelah dan pesimis, manusia tidak akan pernah beranggapan baik terhadap manusia lain. Ia menutupi sepuluh kebaktian dengan hanya satu kejahatan. Sikap sebegini amatlah dibenci oleh keadilan dan muhibbah yang mana merupakan ciri Islam. (rujuk mukasurat 67)
Buku ini dterbit oleh Pustaka Ikhwan pada tahun 1988. Bila tengok pada alamat penerbitnya, barulah saya tahu Pustaka Ikhwan ini mempunyai cawangan di Kuala Kangsar (satu lagi di Alor Setar). Saya tak pasti samada pejabatnya di Kuala Kangsar masih lagi beroperasi ataupun tidak. Lokasinya ialah di Bandar Baru Fasa 1, Kuala Kangsar. Saya ingat nak turun ke Kuala Kangsar untuk meninjau syarikat ini samada masih beroperasi atau tidak apabila pulang ke Taiping kelak. Mana tahu mungkin ada buku-buku lama dijual disitu.

Risalah Mukjizat al-Quran Siri 2 - Badiuzzaman Said Nursi




Jika siri I memuatkan fasal Cahaya Pertama, siri II pula menghimpunkan fasal Cahaya Kedua dan Ketiga. Dalam Siri II ini, saya tertarik dengan catatan peribadi yang ditulis oleh pengarangnya. Catatan tersebut seperti berikut,
Setelah dibebaskan dari Penjara Dinizli[1], pada suatu hari aku duduk di tingkat atas Hotel Syahar. Aku memperhatikan pokok sofsof mengelilingi taman yang indah. Aku melihat dahan dan dedaunan yang bergemalai, bergoyang dengan sentuhan bayu yang lembut. Keindahan terserlah seolah-olah ia memuji Allah dalam gelanggang zikir dan tahmid. Gerakan yang lembut menyentuh perasaan sedihku kerana berjauhan dari saudara-mara. Aku hanyut seorang diri, lalu secara tiba-tiba terlintas di dalam benak akan musim gugur dan musim sejuk. Pengguguran dedaunan menghilangkan keindahan, aku merasa sedih dan sakit atas peristiwa yang berlaku. Aku menyesali perubahan kehidupan yang indah sehingga mengalir air mata yang menghimpit benakku, disebabkan perpisahan dan pertemuan dengan makhluk alam ini. Tatkala aku berada dalam keadaan kesedihan, tiba-tiba terpancar cahaya Hakikat Muhammadiyyah datang menolongku seperti menolong orang mukmin yang lain, maka berubahlah kesedihan kepada kegembiraan yang tidak terhingga. Aku bermalam dalam keredaan cahaya Hakikat Muhammadiyyah yang tidak terbatas itu. Ia bagaikan seperti berikut; Pandangan yang kabur menampakkan tidak ada manfaat dari dedaunan yang lembut, pepohon yang besar. Ia tidak bergoyang kerana rasa gembira, malah bergementar kerana ketakutan dan perpisahan. Binasalah mereka yang tertarik dengan dunia dan keindahannya. Mereka mengubah dunia menjadi neraka maknawi. Akal dijadikannya anggota kesengsaraan dan penyiksaan. Dalam keadaanku yang merana, terpancarlah cahaya yang disuluh oleh Muhammad saw menampakkan segala yang tersirat, menghapuskan kekaburan dan menzahirkan segala hikmah, makna, tugasan yang banyak sebanyak dedaunan pohon. (rujuk mukasurat 73-74)
Dalam bab kesimpulan, Said Nursi menutup perbahasan dengan memberi penekanan kepada pentingnya iman. Katanya, Sesungguhnya iman dapat menyelamatkan manusia dari siksaan maut dan dunia yang penuh kegelapan, ketiadaan kesinaran dan kesia-siaan. Sementara kekufuran khususnya kufur mutlak menghapuskan manusia dan membinasakan dunianya melalui kematian. Ia mencampakkan manusia dalam kegelapan jahanam dan maknawi serta menukarkan kesenangan hidupnya kepada kesakitan dan kesengsaraan. Kamu akan melihat perbezaan orang yang mengutamakan dunia daripada akhirat. Maka ubatilah perkara itu jika kamu benar. Dan masukkanlah keimanan kedalam diri dan selamatkan jiwa mereka dari kerugian yang dahsyat ini.
Buku ini diterbit oleh Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, UKM.

[1] Beliau dipenjara kerana berpegang kuat pada prinsip agama Islam. Pada masa itu Turki sedang dikuasai oleh pemerintahan sekularisme

Risalah Mukjizat al-Quran Siri 1 - Badiuzzaman Said Nursi



Seperti yang disebut dalam kata pengantar oleh Prof Madya Dr H.M Bukhari Lubis, antara keistimewaan Said Nursi ialah beliau menyelidiki agama dengan manhaj yang berbeza dengan cara gaya ulama sebelumnya. Baginya, perlulah disepadukan ilmu pengetahuan dengan ilmu agama disamping menyelidiki dasar-dasar kepercayaan menurut manhaj yang sesuai dengan pemikiran moden. Memang benar. Gaya persembahan Said Nursi dalam tulisan ini sangat istimewa. Beliau mengunakan kalimat seperti cahaya, sinaran dan kilatan dalam membahagikan setiap fasal atau sub-fasal. Seperti yang dijelaskan oleh Said Nursi sendiri di bahagian awalan, kitab ini ditulis dengan memperlihatkan sudut balaghah al-Quran serta ilmu-ilmu bahasa Arab dengan uslub dan gaya bahasa saintifik serta jitu lagi mendalam agar dapat membangkitkan kekaguman para cendekiawan. Ternyata kupasan Said Nursi sangat memikat. Kesarjanaan Said Nursi dalam pelbagai disiplin ilmu terserlah apabila beliau mengupas sesuatu ayat atau perkataan didalam al-Quran dari pelbagai sudut seperti sudut orang awam, sudut sains dan sudut falsafah. Sebagai contoh dalam membahaskan perkataan ratqan yang terkandung didalam ayat 30 surah al-Anbia’ dengan maksudnya seperti berikut, “Sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu) lalu Kami memisahkan kedua-duanya”. Perkataan ratqan bagi orang yang belum tercemar oleh falsafah bermaksud bercantum. Ia memberi kefahaman bahawa langit bersih, awan tidak kelihatan. Bumi kering kontang. Tiada sebarang hidupan. Tuhan yang membuka pintu-pintu langit untuk menurunkan hujan dan membentang bumi dengan kehijauan, Tuhan itulah yang mencipta seluruh yang empunya kehidupan daripada air tersebut, sehingga seolah-olah terjadi percampuran dan perkahwinan. Ini tidak dapat dilakukan melainkan Tuhan Yang Maha Berkuasa dan permukaan bumi ini disisi-Nya hanyalah seperti sebuah taman kecil manakala awan yang melindungi permukaan langit pula ibarat dinding kepada kebun tersebut. Demikianlah kefahamannya lalu dia tunduk sujud di hadapan keagungan dan kudrat Allah swt.
Kepada seseorang pengkaji bumi, perkataan ratqan itu memberikan kefahaman kepadanya bahawa pada permulaan segala penciptaan makhluk, langit dan bumi merupakan dua jirim yang tidak mempunyai bentuk, atau dua adunan mentah yang tidak boleh diambil apa-apa manfaatnya. Ketika kedua-duanya masih hidup berada dalam keadaan ‘jirim’ itu, iaitu ketika tiada sebarang hidupan yang hidup diatasnya, ketika itulah Allah menghamparkan kedua-duanya dalam keadaan yang indah dan diatasnya mengurnia atau mencipta makhluk hidupan yang mempunyai rupa paras dan hiasan yang bermanfaat serta membanggakan. Demikianlah kefahamannya, lalu dia merasa kagum berhadapan dengan keluasan kebijaksanaan Allah swt.
Kepada para ahli falsafah semasa pula, perkataan tersebut memberikan kefahaman bahawa bebola bumi dan seluruh planet yang memberikan satu sistem solar itu, pada permulaannya bersatu dengan matahari dalam bentuk adunan yang belum dileperkan bentuknya. Kemudian adunan tersebut dibelah dan dipisahkan oleh Tuhan Yang Maha Berkuasa, lalu Dia menempatkan segala planet pada tempatnya. Matahari disana dan bumi disini dan seterusnya. Dia membentang dan menyalut bumi dengan tanah dan menurunkan hujan dari langit. Dia menyebarkan cahaya matahari ke atas permukaan bumi dan menjadikan manusia sebagai penduduknya. Demikianlah kefahamannya yang menyebabka dia mengangkat kepalanya terus dibenamkan kedalam lumpur semulajadi dengan berjata, “Aku beriman dengan Allah Yang Maha Esa”. (rujuk mukasurat 74-75)
Buku ini diterbit oleh Yayasan Islam Terengganu tetapi bagi mereka yang tinggal di Lembah Kelang, bolehlah mendapatkan buku ini di Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, UKM.

Buah dari Pohon Cahaya - Badiuzzaman Said Nursi





Buku bersaiz saku ini adalah merupakan nukilan ulama besar yang berasal dari Turki iaitu Badiuzzaman Said Nursi. Beliau hidup antara tahun 1870-an hingga 1960-an. Beliau sangat alim dan disebabkan ilmunya yang meluas itulah maka beliau telah digelar Badiuzzaman yang bermaksud Keindahan Masa. Kitabnya yang paling agung berjudul Risalah an-Nur yang tebalnya mencecah 6000 halaman. Buku kecil ini pula adalah rangkaian saripati dari karya agung tersebut. Seperti yang tercatat pada kulit belakang buku ini, sumber penyakit yang diderita oleh manusia zaman ini ialah lemahnya iman. Sebagai seorang sarjana, Said Nursi meneliti perkara ini sehingga ke dasarnya. Tanpa iman yang padu atau kukuh, manusia tidak akan dapat mencapai kebahagiaan hakiki. Salah satu sebabnya ialah terpisahnya ilmu pengetahuan moden dengan ilmu agama. Dalam buku kecil ini, Said Nursi menyentuh beberapa perkara yang ada kaitan dengan pengukuhan iman. Said Nursi membahaskan setiap bab dengan gaya bahasa yang indah tetapi mudah dihadam oleh pembaca. Dalam bab pertama, Said Nursi membahaskan tentang kalimah Bismillah. Bismillah adalah awal dari segala yang baik. Katanya,
Hanya dengan menyebut nama Allah, engkau akan dibebaskan dari rasa hina dan takut menyaksikan keadaan sekelilingmu. (rujuk mukasurat 2)
Said Nursi seterusnya menghuraikan betapa seseorang itu perlu yakin dan bertawakkal kepada Allah Ta’ala. Saiz Nursi memberikan contoh kisah Nabi Yunus yang dtelan ikan raksasa dan Nabi Ayub yang menderita penyakit yang sangat berat. Kedua-dua orang rasul itu bermunajat kepada Allah dengan sepenuh jiwa dan raga. Kata Said Nursi, do’a bagaikan ubat penyelamat yang cepat menolong Nabi Yunus. (rujuk mukasurat 7). Nabi Ayub pula menurut Said Nursi, berdoa kepada Allah bukan semata-mata untuk menghibur diri tetapi juga untuk menyatakan rasa kesyukuran yang tidak terhingga walaupun dalam keadaan menderita sakit. Berkat doa yang murni dan jujur yang keluar dari hati sanubari maka Allah membalasnya dengan cara yang ajaib dimana Nabi Ayub sembuh semula seperti sediakala. (rujuk mukasurat 12).
Bab yang menarik adalah bab Hidup Yang tidak Kekal apabila Said Nursi memulakan setiap pembahasan dengan kalimah Wahai Jiwa. Penggunaan kalimah ini sangat cepat meresap kedalam jiwa. Contoh pembahasan adalah seperti berikut,
Wahai jiwa yang rosak yang menyangka hidup ini manis seperti madu dan melupakan hari Akhirat serta ingin mereguk dunia ini saja! Tahukah engkau seperti siapa engkau? Seperti burung unta, yang melihat si pemburu datang kerana tak bisa terbang ia sembunyikan kepalanya kedalam pasir cemas-cemas harap supaya si pemburu itu tidak melihatnya tapi badannya yang besar itu tetap tampak dan kelihatan oleh si pemburu. Burung unta itu memang tak bisa melihat sebab matanya tersembunyi di bawah tanah. (rujuk mukasurat 113)
Buku setebal 124 mukasurat ini diterbit oleh Pustaka Firdaus (Jakarta Indonesia) pada Julai 1984. Jika bernasib baik, buku ini boleh ditemui di beberapa toko buku di sekitar Lembah Kelang.