Tuesday, November 24, 2009

Terengganu Darul Iman Tradisi Pensejarahan Malaysia - Mohd Yusoff Hashim





Kalau tengok pada ketebalan buku ini ianya agak menakutkan. Manakan tidak bilangan halamannya sahaja mencecah 916 mukasurat. Saiznya pula sebesar kertas A4. Jadi cuba bayangkan kalau anda membawanya ke tempat tumpuan orang ramai. Sudah pasti anda akan dicop mat skema atau ulat buku dengan saiz dan tebal seperti itu. Apapun, buku ini sangat penting dan kaya dengan nilai sejarah. Buku ini sangat penting kerana ia memuatkan beberapa bahan sejarah yang tidak ternilai harganya antaranya ialah catatan syair Riwayat Terengganu Darul Iman yang dikarang oleh puteri saudara kepada Sultan Zainal Abidin III iaitu Tengku Dalam Kalthum Binti Tengku Wok Khazaki. Catatan syair ini diberi nama Syair Tawarikh Zainal Abidin oleh pengarangnya dan terdiri dari dua jilid. Ia pernah dicetak pada tahun 1936 oleh The Ahmad Press. Dikatakan inilah syair Melayu bercorak sejarah terpanjang yang ditemui setakat ini. Kenapa syair ini sangat berharga? Ini adalah kerana ia membentangkan peristiwa bersejarah di Terengganu sejak dari zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin III (dari tahun 1881) hinggalah ke pertengahan pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul alam Syah sekitar tahun 1930-an. Sepanjang peristiwa tersebut, pengarangnya turut memuatkan kisah sejarah kebangkitab Tuk Janggut di Kelantan, bah besar di Terengganu, perjuangan Haji Abdul Rahman Limbong, lawatan rasmi Sultan Muhammad Syah keSingapura, kemangkatan diaraja dan sebagainya. (rujuk mukasurat 9).
Selain dari syair tersebut, bahan-bahan berharga lain yang dimuatkan dalam buku ini ialah lampiran tranksripsi catatan diari Datuk Haji Ngah Muhammad bin Yusuf (Naib Menteri Besar Terengganu), Salinan Warkah Peribadi Tokku Sayyid Paloh kepada Sultan Zainal Abidin III, Salinan Warkah Peribadi Sultan Zainal Abidin III kepada Haji Wan Abdullah bin Abdul Latiff dan pelbagai lagi syair yang sangat bernilai dengan gaya bahasa Melayu lama yang sangat indah. Buku ini diterbit pada tahun 1991 oleh DBP. Saya belum jumpa lagi terbitan baru. Buku ini agak sukar didapati di pasaran. Kalau ada pun, mungkin di kedai-kedai cawangan DBP lama. Lazimnya kedai-kedai ini menyimpan stok lama. Harga asal RM 50 tetapi mungkin boleh dapat banyak diskaun. Jika anda seorang peminat sejarah, buku ini wajar berada dalam koleksi apatah lagi ianya ditulis oleh sejarawan terkenal, Prof Dato Mohd Yusoff Hashim.



Himpunan syair yang dikarang oleh Tengku Dalam Kalthum, penyair wanita asal Terengganu yang sangat hebat awal abad ke-19

No comments:

Post a Comment