Saturday, November 28, 2009

Bediuzzaman Said Nursi Sejarah Perjuangan dan Pemikiran - Mohamad Zaidin Mat




Buku ini asalnya sebuah disertasi peringkat Sarjana yang kemudiannya dibukukan. Kata pengarang buku ini, buku biografi Said Nursi yang paling lengkap boleh didapati dalam bahasa Arab dan Inggeris yang ditulis oleh Ihsan Qasim al-Salihi dan Urkhan Muhammad Ali. Said Nursi adalah seorang ulama besar berketurunan Ahlul Bayt. Ayahnya bernama Mirza berketurunan Hasan bin Ali manakala ibunya bernama Nuriyyah berketurunan Husayn bin Ali. (rujuk mukasurat 5 dan nota kaki no. 5). Said Nursi bukan sahaja menguasai ilmu-ilmu tradisi Islam dengan baik tetapi juga ilmu-ilmu Sains Moden. (rujuk muka surat 6-16). Beliau pernah bermimpi bertemu Rasulullah saw. Dalam mimpinya itu, beliau berpeluang mencium tangan Rasulullah saw. Sambil mencium tangan Rasulullah saw, beliau memohon supaya dianugerahkan ilmu kepadanya. Rasulullah saw bersabda, Akan dikurniakan kepadamu ilmu al-Quran dengan syarat kamu tidak bertanya kepada sesiapa pun. (rujuk mukasurat 7-8). Sejak dari itu, bermulalah perjuangan beliau menegakkan ajaran Islam dan menentang kebatilan. Buku ini sangat menarik untuk dibaca apatah lagi ianya tentang seorang ulama besar yang telah menghabiskan seluruh usia kehidupannya untuk menegakkan syiar Islam. Beliau wafat pada 23 Mac 1960 bersamaan 25 Ramadhan 1379. Ketika wafat, disisinya hanyalah seutas jam tangan, jubah, serban dan duit bernilai dua puluh lira. Beribu-ribu orang dari pelbagai pelusuk Turki datang menziarahi jenazahnya dan mendirikan solat jenazah ke atasnya. (rujuk mukasurat 70). Buku ini diterbit oleh Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, UKM dan Sozler Nesriyat, US pada tahun 2003.

No comments:

Post a Comment