Saturday, November 28, 2009

Tafsir Quran per kata dilengkapi dengan Asbabun Nuzul dan Terjemah




Konsep kitab ini sama seperti Syaamil al-Quran iaitu terjemah makna per kata bagi setiap kalimah al-Quran. Bezanya dengan Syaamil ialah ia dilengkapi dengan Asbabun Nuzul sedangkan Syaamil tidak. Pembeli kitab ini akan mendapat pakej kitab yang menarik iaitu penanda buku dan beg comel yang bercorak kain kiswah Kaabah. Kitab ini dikeluarkan oleh Maghfirah Pustaka yang berpangkalan di Jakarta dan ditashih oleh Lajnah Pentashih Mushaf al-Quran Departmen Agama Republik Indonesia. Kitab ini dikeluarkan buat kali pertama pada Jun 2009. Dibahagian akhir kitab, ada disertakan daftar tema al-Quran. Kitab ini didatangkan dengan pelbagai warna kulit kitab. Kitab yang saya miliki ini berwarna biru. Kalau tak silap saya ada warna merah jambu, merah, hijau dan kuning. Dari segi kualiti cetakan dan saiz font, saya rasa produksi Syaamil lebih menyerlah. Tulisan berwarna emas pada kulit kitab yang diterbit oleh Maghfirah senang tertanggal manakala font tulisan agak kecil sedikit dari font tulisan Syaamil. Rasanya kertas yang digunakan oleh Maghfirah juga lebih nipis berbanding Syaamil. Walaupun begitu, seperti yang saya sebut tadi, kitab ini mempunyai kelebihan dengan adanya asbabun nuzul.




Isi kandungan dalam


Daftar tema dalam al-Quran




Beg bercorak kain kiswah (masih bergulung - belum buka)

Ensiklopedia al-Quran




Kitab ini diterbitkan oleh Gema Insani Press yang berpusat di Jakarta. Gema Insani Press adalah antara penerbit kitab terbesar di Indonesia. Cetakan pertama kitab ini ialah pada Zulkaedah 1428 H bersamaan dengan 2007 M. Judul asal kitab ini ialah al-Mausu’atul Qur’aniyyatul Muyassarah. Kumpulan penyusun kitab ini diketuai oleh sarjana tersohor dari Damsyik iaitu Prof Dr Wahbah Zuhaili yang merupakan dekan fakulti Fiqh Islam di Universiti Damaskus, Syria. Prof Dr Wahbah juga adalah pengarang kitab tafsir yang sangat masyhur iaitu Tafsir al-Munir dimana usaha penterjemahan telah dilakukan oleh Intel Multimedia Publication yang beroperasi di Shah Alam. Berdasarkan kepada judul kitab ini, kita boleh mengagak bahawa ia menghimpunkan sejumlah penelitian yang berkaitan dengan al-Quran. Penelitian yang dimaksudkan ialah teks al-Quran, tafsir al-Wajiz (ringkasan tafsir), asbabun nuzul, ahkam tajwid, mu’jam maani al-Quranul Azim (kamus erti al-Quran), mu’jam kalimat al-Quran (kamus kata-kata al-Quran) dan huraian ringkas ‘ulum al-Quran.



Tafsir al-Wajiz




Kaedah Tajwid dan cara baca


Indeks makna lafaz dalam al-Quran

Syaamil al-Quran Terjemahan per Kata



Bagi mereka yang ingin mengetahui makna setiap patah atau kalimah didalam al-Quran, maka kitab ini adalah jawapannya. Kitab ini dikeluarkan oleh Syaamil al-Quran yang beroperasi di Bandung Indonesia dan ditashih oleh Lajnah Pentashih Mushaf al-Quran Departmen Agama Republik Indonesia. KItab ini dilengkapi dengan suplemen tambahan seperti penanda kitab dan al-mathurat wazifah kubra yang disusun oleh al-Ustaz Hasan al-Banna. Saiz font yang besar memudahkan setiap kalimah dan maknanya dibaca. Dibahagian belakang kitab ada disertakan daftar nama surah, tanda baca dan klasifikasi ayat-ayat al-Quran.




Isi kandungan kitab -kemas dan mudah dibaca


Klasifikasi ayat-ayat al-Quran

Tanda-tanda baca

Suplemen al-Mathurat

Suplemen penanda kitab

Bediuzzaman Said Nursi Sejarah Perjuangan dan Pemikiran - Mohamad Zaidin Mat




Buku ini asalnya sebuah disertasi peringkat Sarjana yang kemudiannya dibukukan. Kata pengarang buku ini, buku biografi Said Nursi yang paling lengkap boleh didapati dalam bahasa Arab dan Inggeris yang ditulis oleh Ihsan Qasim al-Salihi dan Urkhan Muhammad Ali. Said Nursi adalah seorang ulama besar berketurunan Ahlul Bayt. Ayahnya bernama Mirza berketurunan Hasan bin Ali manakala ibunya bernama Nuriyyah berketurunan Husayn bin Ali. (rujuk mukasurat 5 dan nota kaki no. 5). Said Nursi bukan sahaja menguasai ilmu-ilmu tradisi Islam dengan baik tetapi juga ilmu-ilmu Sains Moden. (rujuk muka surat 6-16). Beliau pernah bermimpi bertemu Rasulullah saw. Dalam mimpinya itu, beliau berpeluang mencium tangan Rasulullah saw. Sambil mencium tangan Rasulullah saw, beliau memohon supaya dianugerahkan ilmu kepadanya. Rasulullah saw bersabda, Akan dikurniakan kepadamu ilmu al-Quran dengan syarat kamu tidak bertanya kepada sesiapa pun. (rujuk mukasurat 7-8). Sejak dari itu, bermulalah perjuangan beliau menegakkan ajaran Islam dan menentang kebatilan. Buku ini sangat menarik untuk dibaca apatah lagi ianya tentang seorang ulama besar yang telah menghabiskan seluruh usia kehidupannya untuk menegakkan syiar Islam. Beliau wafat pada 23 Mac 1960 bersamaan 25 Ramadhan 1379. Ketika wafat, disisinya hanyalah seutas jam tangan, jubah, serban dan duit bernilai dua puluh lira. Beribu-ribu orang dari pelbagai pelusuk Turki datang menziarahi jenazahnya dan mendirikan solat jenazah ke atasnya. (rujuk mukasurat 70). Buku ini diterbit oleh Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, UKM dan Sozler Nesriyat, US pada tahun 2003.

Mujaddid Islam Bediuzzaman Said Nursi - Wan Jafree Wan Sulaiman




Buku kategori biografi ini ditulis oleh Wan Jafree Wan Sulaiman dan diterbit oleh Hizbi yang beroperasi di Shah Alam pada tahun 1987. Rasa saya, inilah buku biografi pertama tentang ulama besar Turki ini yang terawal ditulis sebegini lengkap oleh penulis tempatan. Isi kandungan buku ini mula ditulis pada awal 80-an dan dicetak buat pertama kalinya pada tahun 1983. Tidak dinyatakan pula siapa penerbitnya ketika buku ini mula dikeluarkan buat pertama kali. Atas sambutan menggalakkan, buku ini dulang cetak menerusi penerbitan Hizbi. Buku ini menjadi sangat bernilai kerana ia memuatkan gambar-gambar lama Said Nursi. Antara buku yang dirujuk oleh Wan Jafree untuk penulisan ini ialah Said Nursi yang ditulis oleh Sarwat Saulat dan Badee-uz-zaman Sa’id Noorsi of Turkey oleh Thalaba an-Nur. Saya hanya pernah terjumpa buku yang ditulis oleh Sukran Vahide. Tentang dua buku yang menjadi rujukan Wan Jafree, setakat ini belum pernah saya ketemu. Nampaknya saya perlu buat carian di perpustakaan awam, itupun jika ada.

Keikhlasan dan Persaudaraan - Badiuzzaman Said Nursi






Buku ini terbahagi kepada dua bab utama iaitu keikhlasan dari mukasurat 7 hingga 30 dan persaudaraan dari mukasurat 31 hingga 67.
Kata pengarang, penyembuh terhadap wabak yang kronik [iaitu merebut tawaran kebendaan dan sokongan moral sehingga mencetuskan kekacauan dan perselisihan] ialah keikhlasan. Keikhlasan akan dapat dicapai apabila apa yang lebih diutamakan ialah kecintaan terhadap Allah daripada kecintaan terhadap diri sendiri iaitu dengan mengutamakan keredhaan Ilahi dari kepentingan diri sendiri dan seterusnya berpegang teguh pada satu firman Allah dengan maksudnya, Ganjaranku hanyalah dari Allah (Surah Yunus ayat 72). (rujuk mukasurat 8-9)
Tentang persaudaraan, Said Nursi memberi contoh yang sangat baik. Kata beliau, Ringkasnya untuk berkasih-sayang, bersaudara dan berharmoni semestilah kita mengikuti apa yang diajar oleh Islam dan itulah sahaja yang akan mengikat kukuh para Muslimin. Sikap suka bermusuh adalah seperti anak-anak yang berpura-pura menangis kerana berkehendakkan sesuatu yang kecil. Sesuatu yang kecil sebesar lalat mungkin menjadi sebab ia menangis. Dengan sikap buruk mereka yang berat sebelah dan pesimis, manusia tidak akan pernah beranggapan baik terhadap manusia lain. Ia menutupi sepuluh kebaktian dengan hanya satu kejahatan. Sikap sebegini amatlah dibenci oleh keadilan dan muhibbah yang mana merupakan ciri Islam. (rujuk mukasurat 67)
Buku ini dterbit oleh Pustaka Ikhwan pada tahun 1988. Bila tengok pada alamat penerbitnya, barulah saya tahu Pustaka Ikhwan ini mempunyai cawangan di Kuala Kangsar (satu lagi di Alor Setar). Saya tak pasti samada pejabatnya di Kuala Kangsar masih lagi beroperasi ataupun tidak. Lokasinya ialah di Bandar Baru Fasa 1, Kuala Kangsar. Saya ingat nak turun ke Kuala Kangsar untuk meninjau syarikat ini samada masih beroperasi atau tidak apabila pulang ke Taiping kelak. Mana tahu mungkin ada buku-buku lama dijual disitu.

Risalah Mukjizat al-Quran Siri 2 - Badiuzzaman Said Nursi




Jika siri I memuatkan fasal Cahaya Pertama, siri II pula menghimpunkan fasal Cahaya Kedua dan Ketiga. Dalam Siri II ini, saya tertarik dengan catatan peribadi yang ditulis oleh pengarangnya. Catatan tersebut seperti berikut,
Setelah dibebaskan dari Penjara Dinizli[1], pada suatu hari aku duduk di tingkat atas Hotel Syahar. Aku memperhatikan pokok sofsof mengelilingi taman yang indah. Aku melihat dahan dan dedaunan yang bergemalai, bergoyang dengan sentuhan bayu yang lembut. Keindahan terserlah seolah-olah ia memuji Allah dalam gelanggang zikir dan tahmid. Gerakan yang lembut menyentuh perasaan sedihku kerana berjauhan dari saudara-mara. Aku hanyut seorang diri, lalu secara tiba-tiba terlintas di dalam benak akan musim gugur dan musim sejuk. Pengguguran dedaunan menghilangkan keindahan, aku merasa sedih dan sakit atas peristiwa yang berlaku. Aku menyesali perubahan kehidupan yang indah sehingga mengalir air mata yang menghimpit benakku, disebabkan perpisahan dan pertemuan dengan makhluk alam ini. Tatkala aku berada dalam keadaan kesedihan, tiba-tiba terpancar cahaya Hakikat Muhammadiyyah datang menolongku seperti menolong orang mukmin yang lain, maka berubahlah kesedihan kepada kegembiraan yang tidak terhingga. Aku bermalam dalam keredaan cahaya Hakikat Muhammadiyyah yang tidak terbatas itu. Ia bagaikan seperti berikut; Pandangan yang kabur menampakkan tidak ada manfaat dari dedaunan yang lembut, pepohon yang besar. Ia tidak bergoyang kerana rasa gembira, malah bergementar kerana ketakutan dan perpisahan. Binasalah mereka yang tertarik dengan dunia dan keindahannya. Mereka mengubah dunia menjadi neraka maknawi. Akal dijadikannya anggota kesengsaraan dan penyiksaan. Dalam keadaanku yang merana, terpancarlah cahaya yang disuluh oleh Muhammad saw menampakkan segala yang tersirat, menghapuskan kekaburan dan menzahirkan segala hikmah, makna, tugasan yang banyak sebanyak dedaunan pohon. (rujuk mukasurat 73-74)
Dalam bab kesimpulan, Said Nursi menutup perbahasan dengan memberi penekanan kepada pentingnya iman. Katanya, Sesungguhnya iman dapat menyelamatkan manusia dari siksaan maut dan dunia yang penuh kegelapan, ketiadaan kesinaran dan kesia-siaan. Sementara kekufuran khususnya kufur mutlak menghapuskan manusia dan membinasakan dunianya melalui kematian. Ia mencampakkan manusia dalam kegelapan jahanam dan maknawi serta menukarkan kesenangan hidupnya kepada kesakitan dan kesengsaraan. Kamu akan melihat perbezaan orang yang mengutamakan dunia daripada akhirat. Maka ubatilah perkara itu jika kamu benar. Dan masukkanlah keimanan kedalam diri dan selamatkan jiwa mereka dari kerugian yang dahsyat ini.
Buku ini diterbit oleh Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, UKM.

[1] Beliau dipenjara kerana berpegang kuat pada prinsip agama Islam. Pada masa itu Turki sedang dikuasai oleh pemerintahan sekularisme