Tuesday, August 11, 2009

Pancaran Nur Doa dan Zikir ahli Akhyar - al-Muhaddith Prof Dr Sayyid Muhammad Ibn 'Alawi al-Maliki al-Hasani




Kitab ini ditulis oleh ulama besar yang lahir di Makkah al-Mukarramah pada 1946 M dan meninggal dunia juga di Makkah al-Mukarramah pada tahun 2004 M. Beliau adalah merupakan guru utama kepada Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki, ahli Majlis Fatwa Negeri Sembilan dan Penasihat Yayasan Sofa yang telah menterjemah kitab ini ke dalam Bahasa Melayu. Asal tajuk buku ini ialah Khulasah Syawariq al-Anwar min Ad'iyah al-Saadah al-Akhyar. Prof Dr Sayyid Muhammad ibn 'Alawi al-Maliki telah memberi keizinan kepada Syeikh Muhammad Fuad untuk menterjemah, mencetak dan menyebarkannya seperti yang disebut pada halaman Terjemahan di mukasurat xviii. Katanya,
Saya mengizinkan ke hadhrat Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki untuk menterjemahkan aurad-aurad ini, mencetak dan menyebarkannya.
Ditandatangani oleh Prof Dr Sayyid Muhammad ibn 'Alawi al-Maliki pada 15/10/1423 H.
Kitab yang setebal 616 mukasurat ini mengandungi sejumlah zikir dari hadith-hadith Nabi saw, wirid-wirid, hizib-hizib dan salawat yang masyhur lagi ma'thur daripada ulama salaf. Antara amalan yang disebut dalam kitab ini yang sangat-sangat digalakkan untuk dikerjakan setiap hari yakni kalau boleh jangan langsung meninggalkannya (sebab itu dalam kitab ini dicatat perkataan Jangan Tinggalkan) ialah melakukan zikir selepas solat termasuklah membaca ayat al-Kursi, membaca ayat terakhir surah al-Taubah, tasbih, tahmid dan tahlil (rujuk kitab untuk keterangan lanjut); bacaan tambahan selepas solat maghrib dan subuh (rujuk kitab untuk keterangan lanjut); solat istikharah, melazimi membaca surah al-Ikhlas dan Mu'awwizatain (al-Falaq dan al-Nas); solat dua raka'at setelah wudhu', solat dhuha, bersalawat ke atas Nabi saw; menjaga dan mengekalkan solat malam walau sekadar dua rakaat; membaca al-Quran; menjaga berterusan membaca istighfar; membaca surah al-Mulk setiap malam; solat sunat Fajar dua raka'at; solat sunat empat raka'at sebelum solat fardhu Zohor dan selepasnya; solat sunat empat raka'at sebelum solat fardhu Asar; solat sunat dua hingga enam raka'at selepas solat fardhu Maghrib; membaca Asma' al-Husna; solat hajat dan banyak lagi. Amat besar hikmah dan fadhilatnya apabila mengerjakan amalan-amalan yang disebut diatas (ada dicatat dalam kitab ini) dan atas sebab itulah maka kita disarankan agar mengerjakannya setiap hari. Kitab ini diijazahkan oleh Syeikh ketika sambutan malam Nisfu Sya'aban yang lepas.

Siyadah - Syeikh Muhammad Fuad Fuad Kamaluddin al-Maliki



Saya bukanlah orang yang paling layak untuk mengulas buku ini tetapi rasa wajib untuk memperkenalkannya. Makna Siyadah disini ialah KETUANAN. Ketuanan yang dimaksudkan ialah merujuk kepada ketuanan Rasulullah saw. Kata Syeikh didalam buku ini,
Menyertakan kalimah siyadah ketika menyebut nama Rasulullah saw samada dalam percakapan atau tulisan adalah layak baginya kerana kedudukannya yang amat tinggi dan keistimewaannya dikurniakan syafa'at yang terlalu besar nilainya bagi umatnya sama ada di dunia atau di akhirat. Oleh kerana itu, tidaklah wajar dan tidak sepatutnya nama Baginda saw disebut tanpa diawali dengan kata-kata penghormatan seperti sayyiduna jika dibandingkan dengan kedudukan yang telah dikurniakan Allah kepadanya. (rujuk mukasurat 36-37)
Buku ini terbahagi kepada beberapa bab penting seperti Tuntutan Menghormati dan Memuliakan nabi saw, Memuliakan Rasulullah saw Sunnah Para Sahabat dan Salafus Soleh, Penggunaan Lafaz Siyadah bagi Rasulullah, Dalil Golongan Pembangkang dan Pendustaan Mereka, Menggunakan Lafaz Siyadah bagi Selain Rasulullah saw, Hukuman bagi Sesiapa yang Mengingkari Penambahan Sayyiduna bagi Rasulullah saw dan Fatwa Mufti Mesir Dr Ali Jumu'ah. Dalam bab Fatwa Mufti Mesir, tentang soalan apakah hukumnya mengucapkan Sayyiduna bagi Nabi saw didalam dan diluar solat lalu jawapannya, Telah sepakat kaum Muslimin atas thabitnya 'siyadah' (ketuanan) bagi Nabi saw. Ia menjadi tanda ke atas Nabi saw sebagaimana kata Imam al-Syarqawi: Lafaz 'sayyiduna merupakan 'alam (tanda) ke atas Baginda saw.
Dan sambungan tentang jawapan ini bolehlah dirujuk di muka surat 134.
Untuk penulisan buku ini, Syeikh Muhammad Fuad telah merujuk kitab-kitab muktabar seperti al Syifa bi Ta'rif Huquq al-Mustafa karya al-Qadhi 'Iyadh, Haqiqah al-Tawassul wa al-Wasilah karya Musa Muhammad Ali, Ma'rifah 'Ulum Hadith karya al-Hakim, Manhaj al-Salaf fi Fahm al-Nusus Bain al-Nazariyyah wa al-Tatbiq karya Prof Dr Sayyid Muhammad ibn Alawi al-Maliki, Tasynif al-Azan karya al-Hafiz Ahmad ibn Muhammad ibn al-Siddiq al-Ghumari, al-Ifadah fi Hukm al-Siyadah karya Prof Dr Zain al-Abidin al-Abid Muhammad, Nail al-Autar karya al-Syaukani, al-Bayan lima Yasghulu al-Azhan karya Prof Dr Ali Jumu'ah dan sebilangan besar kitab hadith muktabar seperti al-Durr al-Manthur, Musnad al-Bazzar, al-Mustadrak, Shahih Imam Bukhari, Shahih Imam Muslim, Sunan Abi Daud, Shahih Ibnu Hibban dan banyak lagi. Buku ini dilancarkan ketika majlis sambutan Isra' dan Mi'raj yang diadakan di Masjid Darul Ehsan Taman TAR pada bulan 7 yang lalu. Pesan saya, buku ini memang patut ada dalam koleksi tuan-tuan !

Monday, August 10, 2009

Prolegomena to The Metaphysics of Islam An Exposition of the Fundamental Element of the Worldview of Islam - Sayyid Muhammad Naquib al-Attas


Buku ini sangatlah ‘berat’. Nasib baik tak botak kepala baca buku ni. Saya pun bukannya reti sangat nak ulas buku ni sebab bahasanya dan isi kandungannya terlalu tinggi. Apa yang boleh saya simpulkan ialah seperti berikut;
1. Worldview Islam adalah pandangan Islam tentang realiti dan kebenaran yang boleh ‘dilihat’ dengan mata hati kita dan menjelaskan haqiqat wujud. Disebabkan apa yang dipancarkan Islam adalah wujud yang mutlak maka worldview Islam bererti pandangan Islam tentang wujud (ru’yaat al-Islam lil-wujud).
2. Elemen asas bagi worldview Islam terlalu banyak dan ia merupakan jalinan konsep-konsep yang tak terpisah. Antaranya ialah1) Konsep tentang haqiqat Tuhan, 2) Konsep tentang Wahyu (al-Qur’an), 3) Konsep tentang penciptaan, 4) Konsep tentang haqiqat kejiwaan manusia, 5) Konsep tentang ilmu, 6) Konsep tentang agama, 7) Konsep tentang kebebasan, 8) Konsep tentang nilai dan kebajikan, 9) Konsep tentang kebahagiaan.
3. Konsep penting sebagai elemen pandangan hidup Islam. Konsep-konsep ini semua saling berkaitan antara satu sama lain membentuk sebuah struktur konsep yang sistemik.
4. Konsep menurut Prof Sayyid Muhammad Naquib amat berguna untuk mentafsirkan makna kebenaran (truth) dan realiti (reality).
5. Dalam studi keagamaan moden (modern study of religion) istilah worldview secara umum merujuk kepada agama dan ideologi, termasuklah ideologi sekular tetapi dalam Islam, worldview merujuk kepada makna realiti yang lebih luas.
6. Dalam Islam, Realiti dan Kebenaran bukanlah semata-mata fikiran tentang alam fizikal dan keterlibatan manusia dalam sejarah, sosial, politik dan budaya sebagaimana yang ada dalam konsep Barat sekular mengenai dunia, yang dibatasi kepada dunia yang dapat dilihat. Realiti dan kebenaran didasarkan kepada dunia yang nampak dan tidak nampak; mencakup dunia dan akhirat, dimana aspek dunia harus dikaitkan dengan aspek akhirat, dan aspek akhirat memiliki signifikan yang terakhir dan final.
Buku ini dikeluarkan oleh ISTAC. Cetakan pertamanya ialah pada tahun 1995

Islam and Secularism - Sayyid Muhammad Naquib al-Attas


Inilah buku pertama yang mengenalkan saya kepada pemikir besar tanahair ini. Sejak dari itu, saya terus mengumpul apa sahaja bahan atau teks yang berkaitan dengan tokoh besar ini. Buku ini dicetak buat pertama kali pada tahun 1978 dan kemudiannya dicetak sekali lagi pada tahun 1993. Buku yang menjadi koleksi saya adalah merupakan cetakan yang kedua. Secara jujur saya katakan bahawa setakat pembacaan saya sehingga kini, tokoh yang membahas istilah sekularisme dengan begitu terperinci tidak lain tidak bukan ialah penulis buku ini iaitu Sayyid Muhammad Naquib al-Attas. Prof Sayyid Muhammad Naquib al-Attas memulakan kajian terhadap istilah ini dari asal-usul istilah ini iaitu dari bahasa Latin yang menjadi sumber kepada bahasa Inggeris itu sendiri. Menurut Prof Sayyid Muhammad Naquib, istilah Inggeris secular berasal dari bahasa Latin saeculum yang mempunyai pengertian masa (time) dan tempat atau kedudukan (location). Saeculum pula bererti masakini di sini, yang mana masakini bererti masa sekarang, dan di sini pula bermaksud kepada di dunia ini. Jadi faham sekular, menurut Prof Sayyid Muhammad Naquib adalah merujuk kepada makna dan faham "kedisinikinian". Fuh, hebat sungguh pemikir besar apabila memunculkan istilah kedisinikinian. Memang tak terpikir langsung dalam benak kepala saya sebelum membaca buku ini tentang adanya istilah ini. Menurut Prof Sayyid Muhammad Naquib, proses sekularisasi yang berlaku dalam alam fikiran seseorang, dan kesannya terhadap masyarakat, berjalan menerusi tiga komponen terpadu, iaitu: disenchantment of nature (alam dikosongkan dari semua makna spiritual), desacralization of politics (politik tidaklah sakral) dan deconsecration of values (penyingkiran nilai-nilai agama dari kehidupan). Bagi manusia yang berfaham sekular, tidak ada ‘nanti’ (hari akhirat) dan tidak ada ‘sana’ (kehidupan ukhrawi) dalam akal fikiran mereka. Menurut mereka yang wujud hanyalah alam fizikal dan dengan demikian mereka menolak realiti-realiti metafizik. Ini bertentangan dengan world-view Islami yang meliputi segala kewujudan alam syahadah dan alam ghaib, alam tabi’i dan alam metafizik yang dapat dilihat dengan mata inderawi dan tampak pada pandangan a’kli-nurani. Oleh sebab itulah, Prof Sayyid Muhammad Naquib mendefinisikan world-view Islami sebagai ru’yat al-Islam li al-wujud. Selanjutnya, Prof Sayyid Muhammad Naquib melihat bahawa sekularisme itu adalah musuh dan penentang Islam, kerana faham ini berusaha untuk menghapuskan semua nilai secara total, termasuk nilai Islam. Disinilah letaknya betapa melampau atau ekstrimnya faham sekularisme dan sekularisasi. Bahaya faham sekularisme dan faham sekularisasi, serta proses-prosesnya, sama ada diperingkat individu ataupun masyarakat ataupun negara sepatutnya menjadikan kita lebih berhati-hati dengan pelbagai lagi faham-faham yang sebenarnya sudah lama menggejala tetapi diubah istilahnya agar kelihatan relevan dengan perkembangan semasa.

Sunday, August 9, 2009

Ma'na Kebahagiaan dan Pengalamannya dalam Islam - Sayyid Muhammad Naquib al-Attas


Satu lagi buah tangan Prof Sayyid Muhammad Naquib al-Attas yang patut ada dalam koleksi ialah bukunya yang bertajuk Ma’na Kebahagiaan dan Pengalamannya dalam Islam. Buku ini diterbit oleh ISTAC pada tahun 2002 buat kali pertama. Asalnya buku ini ditulis dalam Bahasa Inggeris tetapi kemudiannya diterjemah oleh anak muridnya iaitu Dr Muhammad Zainiy Uthman sehinggalah terhasilnya buku yang ada pada tangan saya ini. Dr Zainiy turut memuatkan pengenalan kepada terjemahan dan juga riwayat ringkas Prof Sayyid Muhammad Naquib dalam buku ini. Saya benar-benar menghargai usaha penterjemahan sebegini kerana bukan mudah hendak memahami gaya bahasa Prof Sayyid Muhammad Naquib dalam bahasa Inggeris yang sangat tinggi. Bahkan dalam Bahasa Melayunya pun, terpaksa merangkak-rangkak membacanya. Kalau tak dapat kata kunci mau tersadai buku-buku sebegini kat rak buku je. Tulisan Sayyid Muhammad Naquib dalam buku ini hanya setebal 46 mukasurat tetapi apabila ditambah dengan pengenalan dan riwayat ringkas, jumlah keseluruhan mukasurat buku ini hampir mencecah 90 mukasurat. Walaupun hanya 46 mukasurat, hendak menghabiskan isi kandungannya bukanlah satu perkara yang mudah. Saya sendiri pun berulangkali juga membacanya tetapi banyak tersangkut kat tengah jalan sehinggalah apabila saya memahami intipatinya barulah berjaya menghabiskannya. Untuk penulisan buku ini, Prof banyak merujuk kepada karya-karya lama seperti karya Imam al-Ghazali, Ibn Sina dan Aristotle. Prof turut merujuk satu buku tulisan Mortimer Adler yang bertajuk Reforming Education dimana buku ini ada diterjemah oleh DBP ( saya juga ada memiliki buku ini). Tapi pada pandangan saya, untuk penulisan buku ini, karya Imam al-Ghazali-lah yang paling banyak dirujuk oleh Prof seperti Ihya’ Ulumuddin, Ma’arij al-Quds fi Madarij Ma’rifat al-Nafs dan Mizan al-Amal selain dari buku-buku yang ditulisnya sendiri seperti Islam and the Philosophy of Science, Islam and Secularism, Islam: The Concept of Religion and the Foundation of Ethics and Morality, The Nature of Man and the Psychology of the Human Soul dan On Quiddity and Essence.
Prof Sayyid Muhammad sentiasa memberi definisi yang tepat tentang sesuatu tema besar. Sama seperti ma’na ilmu, Prof turut memberikan definisi kebahagiaan yang sangat tepat pada pandangan saya. Katanya,
Kebahagiaan (sa’adah), lawan kepada kesengsaraan (shaqawah), dan sebagaimana yang dialami dan disedari oleh mereka yang benar-benar menyerah diri kepada Tuhan dan menurut perintah-Nya, bukanlah sendirinya suatu tujuan akhir, ya’ni suatu tujuan yang berakhir dengan kebahagiaan itu sendiri, kerana kebaikan yang terala di dunia ini adalah cinta kepada Tuhan. Kebahagiaan yang berkekalan dalam kehidupan tidak merujuk kepada pihak jasmani atau zahir insan, tidak kepada diri hayawani dan badan insan sahaja; ia bukanlah suatu keadaan zihni (mental) semata-mata, atau perasaan yang mempunyai hujung-pangkal (ya’ni yang bermula dan berakhir) dan bukanlah ia bersenang-senang atau hiburan. Kebahagiaan yang berkekalan didunia melibatkan keyakinan kepada Kebenaran Terakhir dan penunaian segala perbuatan yang bersesuaian dengan keyakinan itu. Keyakinan adalah suatu keadaan yang kekal dalam kesedaran yang menjadi fitrah kepada sesuatu yang kekal dalam diri insan, dan ia dicerapi oleh anggota pengenalan bersifat ruhani yang dinamakan hati (qalb). Ialah ketenangan dan ketenteraman dan keselamatan hati (tuma’ninah): ialah pengenalan (ma’rifah) dan pengenalan ini ialah iman. Ia itu ilmu pengenalan tentang Tuhan sebagaimana Ia memperikan Diri-Nya dalam wahyu (al-Quran); ia juga melibatkan seseorang itu mengenal tempatnya yang hak dan betul dalam rencana alam ciptaan ini dan pertaliannya yang patut dengan Penciptanya diikuti dengan amal ibadah yang difardukan bersesuaian dengan ma’rifah itu hingga menghasilkan keadilan (‘adl). Hanya sanya dengan ma’rifah yang sedemikian itulah dapat cinta kepada Tuhan dicapai dalam kehidupan di dunia ini. (rujuk mukasurat 42 dan 43).
Untuk mendapat rasa nikmat menghayati kandungannya, silalah jadikan buku ini sebagai koleksi peribadi.

Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu - Prof Sayyid Muhammad Naquib al-Attas



Kulit luarnya dihiasi dengan khat yang sangat indah iaitu bermotifkan ayam jantan dengan maksud khatnya, Basmalah. Apa yang mengagumkan ialah khat ini dihasilkan oleh pengarangnya iaitu Sayyid Muhammad Naquib al-Attas, pemikir besar yang tidak asing lagi di negara kita dan juga di peringkat antarabangsa. Buku ini asalnya adalah syarahan pengukuhan perlantikan professor UKM tetapi kemudiannya atas inisiatif ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia), buku ini diterbit dan dijual dipasaran. ABIM mula menerbitkan buku ini untuk keluaran massa pada tahun 1984 setelah dua kali diterbit oleh Penerbit UKM. Buku yang ada pada saya ini adalah cetakan keempat yang dikeluarkan pada tahun 1990. Saya turut memiliki satu lagi buku ini yang diterbit selepas tahun tahun 1990 (saya tak ingat tahun bila, ada dekat rak buku saya, kena check balik). Mungkin buku ini dah termasuk dalam kategori klasik sebab susah nak dapat dipasaran. Penerbit UKM sudah tidak lagi mencetaknya tetapi menyediakan pautan untuk memuat turun buku ini, sila klik sini. Cuma ketika saya berkunjung ke Darul Fikir, saya ada terlihat dua tiga naskhah yang tinggal. Tempat lain tak pasti. Kalau tak silap saya, inilah syarahan perlantikan pertama yang julung-julung kali diadakan (merujuk kepada UKM). Dan ternyata Prof Syed Muhammad Naquib membuka ‘gelanggang syarahan’ dengan sangat bertenaga samada dari segi isi kandungannya mahupun dari segi khalayak yang mendengar syarahannya kerana dikatakan yang hadir pada tahun itu, bukanlah calang-calang orang. Ramai sarjana besar termasuk orientalis, menteri dan dua hadir pada hari syarahan tersebut sehingga dikatakan jumlah yang hadir mencecah ribuan orang. Maka bersesuaian sangatlah dengan status Sayyid Muhammad Naquib sebagai pemikir ulung dan bersesuaian jugalah beliau menjadi ‘pembuka syarah’ kepada siri-siri koleksi syarahan pengukuhan yang disampaikan oleh profesor-profesor UKM berikutnya. Apa pentingnya buku ini? Buku ini berusaha menjelaskan fakta keagungan umat Melayu-Islam yang sebenar, yang selama ini cuba diselewengkan oleh orientalis Barat dan para pengikut mereka. Sayyid Muhammad Naquib menyangkal teori sarjana Barat tentang kegemilangan tamadun Islam di Asia Tenggara. Apa yang menarik ialah Sayyid Muhammad Naquib mengadakan penelitian yang cukup mendalam bagi melenyapkan segala penyelewengan dan teori-teori songsang Barat. Untuk berbuat demikian, Sayyid Muhammad Naquib terlebih dahulu menguasai ilmu-ilmu Islam dan juga teori-teori Barat. Beliau mengkaji naskhah-naskhah tradisi Islam yang dihasilkan oleh tokoh-tokoh besar Islam seperti Ibn Arabi, al-Jili, al-Hallaj, al-Ghazali, Rumi Jami’, Iraqi’, al-Sarraj, al-Hujwiri, al-Jurjani, al-Kalabadhi dan tokoh besar Alam Melayu seperti Hamzah Fansuri, Shamsuddin Sumatrani, Abdur Rauf Singkel dan Nuruddin al-Raniri. Pada masa yang sama, beliau juga turut mentelaah karya-karya yang dihasilkan oleh sarjana Barat R.A Kern, T.W. Arnold, A.H. Hill, Snouck Hurgronje, Drewes, Vlekke, H.Pirenne, F.Stern dan ramai lagi. Setelah menguasai kedua-dua bidang tesebut maka barulah beliau menggagaskan ideanya dan tidak hairanlah jika idea yang digagaskan itu mendapat perhatian meluas dikalangan sarjana besar termasuklah orientalis kerana beliau mempunyai pengetahuan yang sangat luas dalam kedua-dua bidang itu. Tentang isi kandungan buku ini, izinkan saya memetik intro Prof Sayyid Muhammad Naquib. Katanya,
“Bahawa sesungguhnya syarahan ini bertujuan untuk memajukan satu renungan ilmiah yang luas mengenai peristiwa peradaban dalam sejarah Kepulauan Melayu-Indonesia.” (rujuk mukasurat 3)
Tentang bagaimana Sayyid Muhammad Naquib mematahkan hujah sarjana Barat, beliau menulis seperti berikut,
“Beberapa teori yang benar-benar serius mengenai tersebarnya Islam di Kepulauan Melayu-Indonesia telah dimajukan oleh sarjana-sarjana Belanda seperti Schrieke dan Van Leur beberapa puluh tahun yang lalu. Akan tetapi perbandingan yang telah diusulkan oleh Schrieke mengenai tersebarnya Islam dengan tersebarnya agama Hindu di daerah Kepulauan ini tiada dapat diterima sebagai benar-benar sah atau memuaskan syarat-syarat pemikiran ilmiah. Pandangan sarjana Belanda membesar-besarkan peranan agama Kristian dan pengaruh penjajahan Barat dalam sejarah tersebarnya Islam, disertai dengan perbandingan dan kesejajaran gaya sejarah yang kononnya terdapat antara Islam dan agama Hindu itu, sebagaimana telah disebut tadi - dan nanti akan dijelaskan lagi - tiada berdasarkan fakta-fakta yang kukuh atau pemikiran ilmiah yang sihat…..” rujuk mukasurat 17-18
Lalu disebut oleh Sayyid Muhammad Naquib seperti berikut,
“Tidak dapat diingkarkan bahawa sifat risalah-risalah Islam yang banyak terdapat di daerah Kepulauan Melayu-Indonesia dahulu menggambarkan sebahagian besar dari isinya itu mengandung unsure-unsur metafizika ilmu tasawwuf yang telah mencapai nilaian luhur dalam sejarah pemikiran serta metafizika dunia. Bahawa sesungguhnya ilmu tasawwuf itu mengikut pandangan Islam sendiri, tiada lain dari falsafah Islam yang tulen. Risalah-risalah yang mempunyai nilai rasionalisme dan semangat keagamaan yang luhur itu tidak dapat kita bandingkan dengan tulisan-tulisan yang terdapat sastera Melayu-Jawa zaman Hindu-Buddha yang hampir-hampir hampa dalam perbendaharaan akliah. Jiwa masyarakat Melayu-Indonesia mulai mengalami penghidupan baru dengan mengalirnya unsur-unsur ini dalam nadinya, laksana raksa menjulang tinggi tersentuh sinaran suria baru!....”
Memang dahsyat sungguh huraian Sayyid Muhammad Naquib dalam buku yang asalnya syarahan ini. Isinya padat, tajam dan diselang-seli dengan gaya bahasa yang sangat tinggi. Memang agak sukar juga untuk menghabiskan buku yang mempunyai gaya bahasa dan isi ilmiah yang sebegini tinggi tapi jika sudah mendapat kata kuncinya, tidak ada masalah untuk menghabiskannya. Buku ini kalau tak silap saya pernah dijadikan teks utama di Institut Bahasa dan Kesusasteraan Melayu di UKM. Saya ingat lagi kata guru saya, Dato Siddiq Fadzil. Katanya, beliau mengajar dan mengkhatam buku ini sehingga lunyai ditapak tangannya. Hebat sungguh penangan buku ini.

Syekh Yusuf Makasar Riwayat dan Ajarannya - Tudjimah



Selain riwayat hidup, buku ini turut menyenaraikan puluhan karangan Syeikh Yusuf al-Taj, ulama besar asal Sulawesi Selatan tetapi mendapat penghormatan besar tiga negara iaitu Indonesia, Sri Lanka dan Afrika Selatan. Bagi saya, yang menjadi daya tarikan terhadap buku ini ialah transliterasi ketas beberapa karya besar ulama terkemuka ini iaitu Habl al-Warid Li Saadat al-Murid, al-Futuhat al-Rabbaniyya, Zubdat al-Asrar fi Tahkik Ba'd Masharib al-Akhyar, Tuhfat al-Labib Biliqa al-Habib, Surat ditulis di Banten pada tahun 1673 M, Safinat al-Najah dan al-Manhat al-Sailaniyya fi al-Manhat al-Rahmaniyya. Bukan mudah untuk membuat kajian keatas manuskrip-manuskrip yang tersangatlah nadir tetapi Prof Tudjimah, pengarang buku ini telah menyempurnakan tugas dengan jayanya. Prof Tudjimah menyelesaikan tugasannya ini selama 8 tahun iaitu bermula dari tahun 1970 hinggalah ke tahun 1977. Kesemua manuskrip yang dikaji oleh Prof Tudjimah itu asalnya dalam bahasa Arab. Seperti yang tercatat dalam muqadimah kajian naskhah ini (rujuk mukasurat 111), kesemua manuskrip ini asalnya adalah milik Daeng Takalla, kadi Gowa lalu diberikannya kepada Hamka pada tahun 1955. Kumpulan manuskrip itu kemudiannya disimpan di Pusat Penelitian Purbakala dan Peninggalan Nasional Jakarta tetapi disebabkan manuskrip itu makin lama makin mereput maka satu dana disediakan oleh Koninklijk Instituut voor Taal-Land-en Volkenkunde yang berpusat di Leiden untuk menulis kembali naskhah tersebut. Pada tahun 1971, usaha menyalin semula manuskrip selesai dilakukan oleh Achjarnis SS dan filem mikronya disimpan di Leiden manakala salinannya diserahkan kepada Muzium Pusat Jakarta. Penterjemahan dari Bahasa Arab ke Bahasa Indonesia hanya selesai dilakukan pada 1 Mac 1975. Dengan adanya transliterasi ini, dapatlah kita menikmati hasil tulisan ulama besar abad ke-17 ini. Dari kumpulan manuskrip ini, dapatlah kita ketahui betapa Syeikh Yusuf al-Taj menguasai pelbagai cabang tariqat. Hal ini disebut dalam kitabnya yang berjudul Safinat al-Najah. Syeikh Yusuf menguasai tariqat seperti Khalwatiyyah, Naqsyabandiyyah, Syattariyyah, Dasukiyyah, Shadhiliyyah, Jistiyyah, Rifaiyyah, Aidrusiyyah, Ahmadiyyah, Suhrawardiyyah, Kabrutiyyah, Maduriyyah, Makhdumiyyah, Madyaniyyah, Kawabiyyah dan Ba'alawiyyah. Buku ini dikeluarkan oleh Penerbit Universiti Press (UIP) pada tahun 1997, 20 tahun selepas Prof Tudjimah selesai menulis buku ini. Amat berbaloi memiliki buku ini jika ingin melihat hasil karya ulama bertaraf antarabangsa ini!