Showing posts with label ulama melayu. Show all posts
Showing posts with label ulama melayu. Show all posts

Monday, January 24, 2011

Sayyid Ulama Hijaz Biografi Syaikh Nawawi al-Bantani



Ulama besar Alam Melayu yang sangat terkenal pada abad ke-19 ini dilahirkan di Banten, sebuah kawasan yang telah melahirkan ramai tokoh ulama yang terkenal di rantau ini. Salasilahnya sampai kepada Sunan Gunung Jati, salah seorang wali Allah yang tergolong dalam kelompok wali yang dikenali dengan panggilan Wali Songo (halaman 13). Ayahandanya, Kiyai Haji Umar sampai salasilahnya kepada Maulana Sultan Hasanuddin, pemerintah Kesultanan Banten yang pertama (halaman 14). Syeikh Nawawi berangkat ke Makkah dalam usia 15 tahun pada tahun 1830 (halaman 25). Di Makkah, Syeikh Nawawi tinggal di Kampung Syi’ib Ali sehinggalah ke akhir hayatnya (halaman 39). Beliau menimba ilmu selama 30 tahun dari ramai ulama dan selepas itu mula mengajar di Masjidil Haram (halaman 45). Syeikh Nawawi mengikuti tariqat Qadiriyah yang beliau gurui dari seorang lagi ulama besar di Alam Melayu iaitu Syeikh Khatib Sambas. Perkara ini disebut dalam kitab yang ditulisnya yang berjudul Bahjatu Wasa’il bahawa fiqh Syafi’i adalah mazhabnya dan Qadiriyah adalah tariqatnya (halaman 48). Ketokohan Syeikh Nawawi tidak hanya terserlah dalam bidang pengajaran tetapi juga dalam bidang penulisan. Beliau diriwayatkan telah menulis sejumlah 100 buah kitab mencakupi pelbagai disiplin ilmu seperti tafsir, fiqh, tauhid, tasawwuf, sirah dan hadith (halaman 51). Beliau digelar Sayyid Ulama al-Hijaz kerana ketinggian ilmunya dalam bidang tafsir (halaman 52). Beliau menghasilkan kitab tafsir yang sangat terkenal semasa hayatnya yang diberi nama Marah Labid Tafsir (halaman 51).

Buku setebal 128 halaman ini asalnya merupakan sebuah skripsi penulis buku ini iaitu Samsul Munir Amin di peringkat ijazah sarjana muda (S1) ketika beliau menuntut di IAIN Walisongo Semarang. Skripsi ini lebih tertumpu kepada kajian arkib di mana penulis banyak menelaah kajian-kajian yang telah dibuat oleh sarjana terdahulu. Agak pelik juga kerana penulis buku ini banyak juga memetik karya Almarhum Ustaz Wan Muhammad Saghir Abdullah dan Snouck Hurgronje seperti yang tercatat pada footnote di beberapa halaman tetapi tidak pula dicatatkan di bahagian Daftar Pustaka. Apapun di bahagian Daftar Pustaka dapatlah diketahui bahawa terdapat banyak tulisan yang dilakukan tentang sosok tubuh ulama besar ini. Antaranya ialah seperti Chumaidi Umar yang bertajuk Karya Besar Syeikh Nawawi Banten yang tersiar dalam Suara Bengawan pada 2 Ogos 1987, Chaidar yang berjudul Sejarah Pujangga Islam Syaikh Nawawi al-Bantani Indonesia yang diterbitkan oleh CV Sarana Mulia pada tahun 1978 dan Yuyun Rodiana yang menghasilkan skripsi bertajuk Syaikh Nawawi al-Bantani:Riwayat Hidup dan Sumbangannya terhadap Islam pada tahun 1990 di Fakultas Sastra Universitas Indonesia. Ketiga-tiga karya ini banyak dirujuk oleh penulis buku ini.

Sunday, August 9, 2009

Syekh Yusuf Makasar Riwayat dan Ajarannya - Tudjimah



Selain riwayat hidup, buku ini turut menyenaraikan puluhan karangan Syeikh Yusuf al-Taj, ulama besar asal Sulawesi Selatan tetapi mendapat penghormatan besar tiga negara iaitu Indonesia, Sri Lanka dan Afrika Selatan. Bagi saya, yang menjadi daya tarikan terhadap buku ini ialah transliterasi ketas beberapa karya besar ulama terkemuka ini iaitu Habl al-Warid Li Saadat al-Murid, al-Futuhat al-Rabbaniyya, Zubdat al-Asrar fi Tahkik Ba'd Masharib al-Akhyar, Tuhfat al-Labib Biliqa al-Habib, Surat ditulis di Banten pada tahun 1673 M, Safinat al-Najah dan al-Manhat al-Sailaniyya fi al-Manhat al-Rahmaniyya. Bukan mudah untuk membuat kajian keatas manuskrip-manuskrip yang tersangatlah nadir tetapi Prof Tudjimah, pengarang buku ini telah menyempurnakan tugas dengan jayanya. Prof Tudjimah menyelesaikan tugasannya ini selama 8 tahun iaitu bermula dari tahun 1970 hinggalah ke tahun 1977. Kesemua manuskrip yang dikaji oleh Prof Tudjimah itu asalnya dalam bahasa Arab. Seperti yang tercatat dalam muqadimah kajian naskhah ini (rujuk mukasurat 111), kesemua manuskrip ini asalnya adalah milik Daeng Takalla, kadi Gowa lalu diberikannya kepada Hamka pada tahun 1955. Kumpulan manuskrip itu kemudiannya disimpan di Pusat Penelitian Purbakala dan Peninggalan Nasional Jakarta tetapi disebabkan manuskrip itu makin lama makin mereput maka satu dana disediakan oleh Koninklijk Instituut voor Taal-Land-en Volkenkunde yang berpusat di Leiden untuk menulis kembali naskhah tersebut. Pada tahun 1971, usaha menyalin semula manuskrip selesai dilakukan oleh Achjarnis SS dan filem mikronya disimpan di Leiden manakala salinannya diserahkan kepada Muzium Pusat Jakarta. Penterjemahan dari Bahasa Arab ke Bahasa Indonesia hanya selesai dilakukan pada 1 Mac 1975. Dengan adanya transliterasi ini, dapatlah kita menikmati hasil tulisan ulama besar abad ke-17 ini. Dari kumpulan manuskrip ini, dapatlah kita ketahui betapa Syeikh Yusuf al-Taj menguasai pelbagai cabang tariqat. Hal ini disebut dalam kitabnya yang berjudul Safinat al-Najah. Syeikh Yusuf menguasai tariqat seperti Khalwatiyyah, Naqsyabandiyyah, Syattariyyah, Dasukiyyah, Shadhiliyyah, Jistiyyah, Rifaiyyah, Aidrusiyyah, Ahmadiyyah, Suhrawardiyyah, Kabrutiyyah, Maduriyyah, Makhdumiyyah, Madyaniyyah, Kawabiyyah dan Ba'alawiyyah. Buku ini dikeluarkan oleh Penerbit Universiti Press (UIP) pada tahun 1997, 20 tahun selepas Prof Tudjimah selesai menulis buku ini. Amat berbaloi memiliki buku ini jika ingin melihat hasil karya ulama bertaraf antarabangsa ini!

Wednesday, July 29, 2009

Al-Makrifah Pelbagai Aspek Tasawuf di Nusantara Jilid 2 - Haji Wan Mohd Saghir Abdullah



Buku ini saya beli secara kebetulan. Secara kebetulan maksudnya bukan saya tak mahu beli tapi belum masuk dalam list yang perlu saya beli pada ketika itu. Saya beli ketika berkunjung ke kedai buku UNIKEB di Pusanika baru UKM kira-kira tiga tahun yang lepas. Di UKM, Pusanika ada dua iaitu satu didalam kawasan kampus induk dan satu lagi di kawasan lingkungan kedua. Ketika saya belajar di UKM dahulu, kawasan lingkungan kedua hanya mengandungi fakulti kejuruteraan sahaja. Harga asal yang ditawar ialah RM 23. Buku ini terdiri dari dua jilid tapi yang nak saya perkenalkan ini adalah jilid kedua. Di muka depan tertera nama penerbitnya iaitu Khazanah Fathaniyah yang diasaskan oleh almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir. Penghasilkan buku ini turut mendapat kerjasama Yayasan Pembangunan Buku Negara. Buku ini dikeluarkan pada tahun 2004, mengandungi 255 mukasurat dan diletakkan dalam bidang sufi dan tokoh besar Muslim. Secara jujurnya, semenjak buku ini dibeli, hayatnya lebih banyak dihabiskan di rak buku sahaja. Sehinggalah baru-baru ini, buku ini kembali dikeluarkan dari rak kerana ada sesuatu yang sangat penting perlu saya rujuki dari buku ini. Apa benda yang penting tu? Yang penting dan yang amat berharga bagi saya yang ada pada buku ini ialah transliterasi teks Tuhfatul Mursalah yang diusahakan oleh almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir. Teks ini disusun oleh Syeikh Muhammad Fadhlullah al-Burhanpuri al-Hindi, ulama besar yang berasal dari India dan wafat pada tahun 1029 Hijrah bersamaan dengan 1620 Masehi. Teks ini sangat penting bagi mereka yang membuat kajian tentang ilmu tasawwuf kerana teks inilah yang paling banyak dirujuk oleh ulama-ulama besar Alam Melayu. Kandungan terpenting dalam teks ini adalah membicarakan Ahadiyah, Wahdah, Wahidiyah, ‘Alam Arwah, ‘Alam Mitsal, ‘Alam Ajsam dan ‘Alam Insan yang dikenali di Alam Melayu sebagai Martabat Tujuh. Antara ulama besar Alam Melayu yang merujuk teks ini untuk mensyarah Bab Martabat Tujuh ini ialah
1. Syeikh Abdur Rauf Ali al-Fanshuri, ulama besar asal Aceh pada abad ke-17. Beliau merujuk teks Tuhfatul Mursalah untuk menguatkan perbahasannya didalam kitabnya yang bertajuk Bayanul Ithlaq.
2. Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan, ulama besar Jawa Barat yang merupakan anak murid kepada Syeikh Abdur Rauf Ali al-Fashuri hidup pada abad ke-17. Beliau merujuk teks Tuhfatul Mursalah untuk mensyarah kitabnya yang bertajuk Mir’atus Sailin.
3. Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, ulama besar asal Palembang, hidup pada abad ke-18. Beliau merujuk teks ini dalam kitabnya yang sangat masyhur iaitu Sairus Salikin di jilid yang ke-3.
4. Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari, ulama besar asal Kalimantan, hidup pada abad ke-18. Beliau merujuk teks ini dalam kitabnya yang sangat masyhur iaitu ad-Durrun Nafis.
5. Syeikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani, ulama besar asal Patani, hidup pada abad ke-18. Beliau mensyarah bab martabat tujuh dalam kitab tasawwufnya yang sangat halus perbahasannya iaitu Manhalus Shafi fi Bayani Ramzi Ahlish Shufi.
6. Syeikh Muhammad Zain al-Asyi, ulama besar Aceh abad ke-18. Beliau mengupas bab Martabat Tujuh dalam kitabnya yang sangat terkenal iaitu Manzharul Ajla ila Martabatil A’la.
Manuskrip asal teks ini setebal 15 mukasurat tetapi setelah diterjemah, ianya mengandungi sekitar 16-17 mukasurat.
Saya merujuk teks ini ketika mengkaji kitab Tuan Hussain Kedah yang bertajuk Qathrul Ghaithiyah. Disebut dalam kitab itu, bahawa pengarangnya (Tuan Hussain Kedah) merujuk kitab Tuhfatul Mursalah dalam membahas perkara tasawwuf yang terkandung dalam kitabnya. Selain dari teksTtuhfatul Mursalah, buku al-Ma’rifah ini turut menghimpunkan riwayat hidup dan karya-karya tokoh-tokoh besar Alam Melayu seperti Syeikh Abdur Rauf Ali al-Fanshuri, Megat Sati al-Asyi, Syeikh Burhanuddin Ulakan, Syeikh Yusuf Tajul al-Mankatsi dan ramai lagi. Saya tidak pasti samada buku ini masih boleh didapati di kedai-kedai buku atau tidak tetapi jika tidak menjumpainya, bolehlah hubungi wakil Khazanah Fathaniyah, Ustaz Azrul – 016-3520094 atau mendapat keterangan lanjut di laman web Khazanah Fathaniyah, http://khazanahfathaniyah.com/

Tuesday, July 28, 2009

Qathrul Ghaithiyah fi ‘Ilmi Asy-Syufiyyah ‘ala Syari’atil Muhammadiyyah - al-Allamah Tuan Hussain Kedah






Disebabkan pada masa ini saya sedang membuat kajian tokoh tentang Tuan Hussain Kedah dan kitabnya Qathrul Ghaithiyah fi ‘Ilmi Asy-Syufiyyah ‘ala Syari’atil Muhammadiyyah, maka saya mulakan blog saya yang terbaru ini dengan perkenalan akan kitab ini. Kitab yang saya muatkan dalam tulisan saya ini adalah merupakan transliterasi rumi dari kitab asal yang ditulis menggunakan aksara Jawi. Ia diterbitkan oleh al-Hidayah Publishers yang terletak di Jalan Ipoh Kecil Kuala Lumpur. Usaha penterjemahan kitab ini dilakukan oleh Ustazah Noraine Abu. Kitab alihan ke Rumi ini menggunakan judul Curahan Ilmu Tasawwuf berdasarkan Syari’at Nabi Muhammad saw. Ia diterbitkan buat pertama kali pada tahun 2006 dan dijual dengan harga RM8.00. Kitab ini amat mudah didapati di pasaran kitab pada hari ini. Kitab ini mengandungi 112 halaman, jauh lebih tebal dari kitab jawi asal yang hanya setebal 47 halaman. Antara sebab yang menjadikan kitab terjemahan ini tebal ialah pertama dari segi saiznya iaitu A5 (separuh dari saiz A4) dan keduanya font teks yang digunakan, kalau tak silap saya bersaiz 11 atau 12. Ini berbeza dengan kitab jawi asal yang menggunakan saiz standard kitab tradisi pondok atau lebih dikenali dengan panggilan kitab kuning dan menggunakan font jawi (kalau tak silap saya format blok) yang kecil. Walaubagaimanapun, setelah saya membuat perbandingan antara kitab terjemahan ini dengan kitab jawi asalnya bolehlah saya rumuskan bahawa semua isinya adalah sama baik dari segi bab mahupun kandungannya.
Baik, kita berkenal dahulu dengan penulis asalnya iaitu Tuan Hussain Kedah. Pada muka depan kitab ini disebut nama lengkapnya seperti berikut, Hushin Nashir bin Muhammad Thaiyib al-Mas’udiy al-Banjariy. Sebetulnya nama lengkap tokoh ini ialah Hussain bin Nasir bin Muhammad Thaiyib bin Mas’udi al-Banjari. Beliau merupakan ulama besar Kedah yang sangat terkenal pada awal abad ke-20 Masehi. Beliau dilahirkan pada tahun 1863 dan meninggal dunia pada tahun 1936. Tokoh ini lebih masyhur dengan panggilan Tuan Hussain Kedah. Penggunaan gelaran al-Banjari dibelakang namanya menandakan bahawa beliau berketurunan Banjar. Perlu juga dinyatakan disini bahawa beliau bertemu nasabnya dengan seorang ulama besar di Alam Melayu pada abad ke-18 iaitu Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari yang makamnya kini terletak di Martapura, Kalimantan. Susur galurnya dari bawah yakni dari beliau hinggalah ke atas yakni Syeikh Muhammad Arsyad semuanya adalah ulama belaka. Selain bergelar ulama, Tuan Hussain Kedah turut mengikuti jejak langkah moyangnya iaitu Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari apabila menjadi pendidik yang berjaya melahirkan ramai ulama besar, mempunyai zuriat yang juga berketurunan ulama dan menghasilkan kitab-kitab yang sangat terkenal yang masih dijadikan teks pengajian dan berlegar di pasaran kitab. Salah satu kitabnya yang masyhur ialah kitab yang diperkenalkan ini iaitu Qathrul Ghaithiyah (saya ringkaskan sahaja). Sebenarnya selain al-Hidayah Publishers, kitab ini turut ditransliterasi ke rumi oleh beberapa penerbit lain. Namun keistimewaan kitab yang ditransliterasi oleh Ustazah Noraine ini ialah 99.99% kandungan teks dari segi gaya bahasa dan perkataannya tidak diubah langsung. Ustazah Noraine mengekalkan bahasanya walaupun ada beberapa istilah yang terkandung didalamnya memerlukan rujukan yang lebih lanjut. Maka dengan membaca kitab ini, kita seolah-olah seperti membaca kitab asalnya yang menggunakan tulisan Jawi itu. Satu pujian patut diberikan kepada Ustazah Noraine. Mungkin sesetengah pembaca lebih gemar membaca dalam format gaya bahasa baru tetapi bagi mereka yang gemarkan gaya bahasa lama pastinya akan terasa lebih dekat dengan pengarang asalnya. Contoh gaya bahasa lama yang dimaksudkan adalah seperti berikut,
Bahkan tetapi ‘ilmu tasawwuf ini mentahqiq ia bagi ‘ilmu ushul dan menghening ia bagi ‘ilmu feqah. Dan adapun awal-awal orang yang menghantar akan ‘ilmu tasawwuf seperti barang yang dikata orang maka iaitu Syeikh Junaid al-Baghdadi (rujuk mukasurat 7). Cuma bagi saya, tambah menarik jika kitab terjemahan ini disertakan dengan mukasurat kitab asal seperti yang sering dilakukan dalam kajian teks naskhah. Dalam kajian teks naskhah, mukasurat kitab asal akan diletakkan disisi setiap helaian mukasurat yang diterjemah. Tujuannya ialah memudahkan rujukan kepada kitab asal.
Dari segi kandungan kitab, ia terbahagi kepada enam bahagian iaitu satu muqaddimah, empat fasal dan satu khatimah (penutup). Pembahasan dalam kitab ini adalah berkenaan dengan ilmu hakikat dan tasawwuf yang agak halus dan mendalam. Untuk penulisan kitab ini, Tuan Hussain Kedah merujuk beberapa kitab tasawwuf yang muktabar yang bagi saya berada di peringkat pertengahan dan tinggi seperti Tuhfah al-Mursalah yang dikarang oleh Syeikh Muhammad bin Syeikh Fadhlullah al-Hindi, Minhaj al-‘Abidin yang dikarang oleh Imam al-Ghazali dan Hikam Natsr yang dikarang oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad bin ‘Abdul Karim bin Atha’ullah as-Sakandari. Tuan Hussain Kedah turut merujuk kitab-kitab besar lain seperti Tawarikh karya Ibnu Khaldun (rujuk mukasurat 8), Ihya’ ‘Ulumuddin karya Imam al-Ghazali (rujuk mukasurat 11), Mukhtasar Ihya’ karya Imam al-Ghazali (rujuk mukasurat 63) dan kutipan hadith yang diriwayat, antaranya oleh al-Bukhari dan Muslim (rujuk mukasurat 57), at-Tirmidzi dan Ibnu Hibban (rujuk mukasurat 57) dan Imam Ahmad dan Ibnu Hibban (rujuk mukasurat 61). Dengan mendalami kitab ini, kita akan dapat mengetahui betapa pentingnya ilmu tasawwuf ini kerana menurut Tuan Hussain Kedah, dengan mempelajari Ilmu Tasawwuf, barulah seseorang itu dapat sampai kepada makrifah akan haq Allah Ta’ala akan sebagai makrifat yang sempurna. Dalam usaha untuk mengenal Allah Ta’ala, seperti yang dinyatakan oleh Tuan Hussain Kedah pada permulaan fasal kedua yang tajuknya berbunyi Ini suatu fasal yang kedua pada menyatakan barang yang musyahadah mereka itu akan dia dengan segala hati mereka itu daripada wujud Haq Ta’ala dan Lainnya,
Ketahuilah olehmu, bahawasanya segala ahli tasawwuf, iaitu berhadap sekalian mereka itu kepada Allah Ta’ala padahal sentiasanya pada zahir mereka itu dan pada batin mereka itu. Maka segala zahir mereka itu berhadap kepada Allah dengan berbagai-bagai ta’at dan ‘ibadah dan khidmat. Dan batin mereka itu berhadap kepada Allah dengan shiddiq, ikhlas dan yakin. Maka pada ketika itu berpakailah zahir mereka itu dan batin mereka itu dengan pakaian orang yang merdeka daripada diperhamba akan dia oleh dunia, syaitan, hawa nafsu dan makhluk yang dinama akan sekaliannya itu dengan aghyar dan akdar. Dan pada waktu itu, tertentulah ia jadi hamba bagi Allah Ta’ala. Dan pada ketika itu, tahqiqlah diperoleh berkekalan ta’at dan khidmat kepada Allah Ta’ala yang hasil sekaliannya itu daripada tsamarah dan faedah taqwa. Ertinya, takut akan Allah Ta’ala. (rujuk mukasurat 25-26)
Disebabkan pembahasan yang terkandung didalam kitab ini menggunakan bahasa yang halus-halus, saya menyarankan kepada pembaca supaya mendapat bimbingan dari guru yang ahli tentang ilmu tasawwuf ini. Ia penting supaya maksud yang terkandung didalam buku itu sampai ke dalam diri. Pada masa ini, kalau di sekitar Lembah Kelang, kitab ini disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki[1]. Syarahan Syeikh Muhammad Fuad lazimnya diadakan selepas solat Subuh di Masjid Kampung Baru setiap minggu pertama dan minggu ketiga (jadual boleh dirujuk di ysofakl.blogspot.com). Kitab ini diselesaikan oleh pengarang asalnya, Tuan Hussain Kedah pada malam Selsa, 25 Jamadil Awwal 1348 Hijrah bersamaan dengan 28 Oktober 1929 Masehi seperti yang dinyatakan pada penghujung bahagian khatimah.

[1] Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki menggunakan kitab yang diterjemahnya sendiri. Kitab ini dijual oleh Koperasi as-Sofa.