Showing posts with label naskhah. Show all posts
Showing posts with label naskhah. Show all posts

Monday, August 31, 2009

Irsyadul 'Ibad Ila Sabilur Risyad - Tuan Minal



Judul asal diatas telah diterjemahkan sebagai Ke Arah Petunjuk Yang Sebenar yang diterbitkan oleh Jahabersa pada tahun 2008 dan disusun semula oleh Amdan Hamid. Kitab asal yang bertulisan jawi ini adalah merupakan hasil karya ulama besar Alam Melayu abad ke-19 M yang bernama Syeikh Wan Zainal Abidin atau lebih dikenali dengan panggilan Tuan Minal. Catatan ringkas tentang tokoh ini boleh didapati disini. Saya terjumpa kitab terjemahan ini secara kebetulan ketika berkunjung ke Bajrai, toko buku berhampiran Masjid India kira-kira 2 bulan yang lalu. Setelah melihat judul dan pengarangnya, langsung saja saya membeli kitab ini. Seperti yang tercatat pada kulit depan, kitab ini tergolong dalam bidang tasawwuf. Perbahasan didalamnya agak halus juga. Sebagai contoh, pengarang kitab menerangkan empat alam yang dilalui oleh Si Salik dalam perjalanannya menuju kepada Allah Ta'ala. Katanya,


Keempat-empat alam yang dilalui oleh si Salik ialah
1. Alam Mulk yang juga dikenali dengan nama alam nasut iaitu alam yang diperolehnya dengan mata kepala seperti ajsam dari jasad manusia, jasad segala binatang, kayu, batu, tanah, langit, bulan, bintang, matahai, emas, perak dan segala rezeki dan lain-lain lagi yang diperolehi oleh mata kepala.
2. Alam Malakut adalah alam yang diperolehnya dengan mata hati yang dinamakan alam kalbu, yang juga dikenali dengan nama alam akhirat seperti syurga, neraka, loh, qalam, arasy, kursi dan lain-lain yang berkaitan dengan pekerjaan akhirat.
3. Alam Jabarut adalah alam arwah (segala roh).
4. Alam Lahut adalah alam sirr (rahsia Allah Ta’ala) yang mana asmak (segala nama) dan segala rasam (segala bekas dan nafsu) hilang lenyap dan si Salik mendapati tidak ada yang lain disana melainkan Wahidul Ahad yakni Allah Ta’ala sahaja yang esa lagi bersendirian.
[1]
Di alam inilah si hamba sehabis-habis fana’ (hilang lenyap) bersama dengan Tuhannya dalam erti kata selesailah (kosonglah) ia daripada memandang yang lain (dia tidak nampak yang lain kecuali Allah Ta’ala sahaja yang bersendirian) dan menjadi suci bersihlah hatinya daripada kekotoran dan aghyar (alam benda). Ketika itu dia sendiri akan faham di dalamnya segala ilmu makrifat dan asrar (segala rahsia Hak Ta’ala). Sewajar dan selayaknyalah dia berada di tempat tajalli Tuhannya. Maka hatinya yang sedemikian itu dinamakan “Ka’batullah”, “Mahligai Allah” dan “Rumah Allah”. Inilah murad dan maksud tempat tajalli dan pandangan-Nya yang juga tempat tersimpan segala rahsia-Nya. Memang wajar dan layaklah dia menanggung dan memikul amanah Allah Ta’ala.[2]
Sebagaimana firman Allah Ta’ala di dalam hadith Qudsi (ertinya): Aku telah membina didalam rongga anak Adam (manusia) itu satu mahligai, didalam mahligai itu dada, didalam dada itu hati, didalam hati itu fuad (akal hati), didalam fuad itu syaghaf (gila cinta), didalam syaghaf itu lub (berakal cerdik), didalam lub itu sirr dan didalam sirr itu Aku.
[3]
Dalam erti kata yang lain, didalam sirr itulah tempat tajalli Aku, tempat Aku taruh (simpan) rahsia dan tempat mengenal Aku. Firman Allah Ta’ala kepada Nabi Daud as (ertinya): “Kosongkanlah untuk-Ku sebuah rumah, Aku tinggal didalamnya”. Maka sembah Daud: “Bagaimana? Wahai Tuhanku!” Lalu Allah Ta’ala berfirman: “Kosongkanlah hatimu untuk-Ku daripada yang lain selain Aku. Maka hadapkanlah hatimu kepada Aku sahaja”.[4]
Jadi, apa yang dimaksudkan daripada kata Allah Ta’ala “didalamnya” itu ialah ibarat hatinya sentiasa konsentrasi dan memberi tumpuan sepenuhnya berhadap kepada Allah Ta’ala sahaja sekira-kira yang lain hilang lenyap (fana’). Maka jadilah Allah Ta’ala itu pandangannya dan inilah makna tempat tajalli Tuhan.[5]
Bukanlah maksud kata Allah Ta’ala, “didalamnya” itu Allah Ta’ala duduk didalamnya dan menempat disitu kerana yang sedemikian adalah mustahil. Maka sesiapa yang mengiktikadkan Allah Ta’ala duduk diam didalamnya itu maka tidak syak lagi bahawa orang itu menjadi kafir. Sabda Nabi saw dalam hadith Qudsi (ertinya): Manusia yang sempurna (Adam Kamil) itu rahsia-Ku (menerima rahsia-Ku).
Dalam erti kata, Aku taruh rahsia-Ku itu iaitu ilmu laduni dan ilmu makrifat dan Aku lah rahsianya (Insan) yakni Aku lah pandangan hatinya, pendengarannya, penglihatannya dan wujudnya itu pun dengan Aku daripada Aku kepada Aku maka tidak ada sesiapa yang bersamanya melainkan Aku sahaja.
[6]
Selepas itu hendaklah anda mengetahui maksud sabda Nabi saw berikut (ertinya): Barangsiapa yang mengenal dirinya maka sesungguhnya dia mengenal Tuhannya.[7]
Maksud mengenal dirinya itu ialah athar iaitu bekas kejadian yang tidak boleh istiqlal (bebas merdeka) dengan sendirinya tetapi berkehendak kepada muaththar yakni yang menjadikannya (Allah Ta’ala sendiri). Maka kenallah dia akan Tuhannya yang maujud hakiki yang istiqlal dengan sendiri-Nya. Atau apabila dia tahu akan dirinya itu berkehendak, maka tahulah dia bahawa Tuhannya itulah halatujunya yang sebenar atau apabila dia tahu akan dirinya fana’, maka tahulah dia bahawa Tuhannya itulah yang kekal abadi atau apabila dia tahu akan dirinya itu dapat diperikan dan dirupakan, maka tahulah dia bahawa Tuhannya itu tidak dapat diperikan (diceritakan) dan dirupakan dengan sesuatu dan banyak lagi tafsiran makna hadith tersebut. Bukanlah maksud hadith tersebut bahawa diri kita ini seumpama (sama seperti) zat Allah Ta’ala, maka apabila mengenal diri itu, kenallah dia akan Allah Ta’ala kerana ada persamaan kedua-duanya pada rupa. Maka yang sedemikian itu adalah mustahil ke atas Allah Ta’ala dan sebab itulah sesiapa yang mengiktikadkan Allah Ta’ala serupa dengan makhluk yang ada ini maka orang itu menjadi kafir.[8]

Dalam bab perbahasan yang halus-halus ini, jika tidak memahaminya eloklah berguru dan bertanya kepada yang lebih arif tentangnya. Ini bagi memastikan setiap maksud yang terkandung sampai kepada kita dan tidak disalah ertikan.

[1] M.38-39
[2] M.39
[3] M.39-40
[4] M.40
[5] M.40-41
[6] M.41
[7] M.41-42
[8] M.42

Wednesday, August 26, 2009

al-Jawahir al-Sufiyyah - Dato Sheikh Zakaria Haji Ahmad Wan Besar



Kitab Qathrul Ghaithiyyah yang dikarang oleh Tuan Husain Kedah adalah merupakan salah satu kitab yang sering dijadikan teks pengajian agama dalam bidang tasawwuf. Kitab ini telah ditulis oleh Tuan Husain Kedah kira-kira 70-80 tahun yang lalu. Dengan lenggok gaya bahasa lama, sesetengah pembaca mungkin berasa sukar untuk menelusuri kandungan teks kitab tersebut melainkan dengan mendengar syarahan ulama yang arif dalam mengupas kitab itu. Apabila menyebut tentang kupasan kitab, salah satu kitab mutakhir yang berada di pasaran yang mengupas kitab ulama ulung dari Kedah ini ialah kitab yang berjudul al-Jawahir al-Sufiyyah, yang ada dalam koleksi saya ini. Kitab ini ditulis oleh Dato Sheikh Zakaria bin Haji Ahmad Wan Besar, ahli jawatankuasa fatwa Negeri Kedah Darul Aman dan disunting oleh Prof Madya Dr Abdul Basir bin Haji Mohamad, pensyarah di Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, UKM. Dato Sheikh Zakaria bukanlah asing bagi masyarakat Utara Semenanjung kerana beliau sering mengadakan majlis pengajian di negeri-negeri sebelah utara seperti Kedah dan Pulau Pinang. Dato Sheikh Zakaria mendapat pendidikan di Madrasah Dar al-Ulum al-Diniyyah Makkah dan Universiti al-Azhar Mesir dalam bidang ilmu Tafsir dan Hadith. Beliau turut mengikuti pengajian halaqah di Masjidil Haram lebih kurang 12 tahun. Antara ulama masyhur yang menjadi gurunya ialah Syeikh Muhammad Ali al-Maliki al-Makki, Syeikh Ibrahim Fathani, Syeikh Abdul Qadir Talib al-Mandili, Syeikh Muhammad Yasin Isa al-fadani, Syeikh Ismail Abdul Qadir al-Fathani atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Da Eil dan Syeikh Hussain al-Falembani. Saya mendapat maklumat tentang kitab kupasan yang ditulis oleh Dato Sheikh Zakaria ini setelah terbaca dalam satu makalah Prosiding Nadwah Ulama yang ditulis oleh Dr Abdul Basir (kalau tak salah saya) kira-kira dua tahun yang lepas. Dalam makalah tersebut ada disebut nama judul kitab ini sebagai antara puluhan kitab yang ditulis oleh Dato Sheikh Zakaria tetapi apabila saya membuat carian di kedai-kedai ternyata buku tersebut belum lagi berada di pasaran. Sehinggalah pada awal tahun ini (rasanya dalam bulan 2 kut), barulah saya berjaya menemuinya di pasaran. Kitab ini dterbit dibawah label Mahzum Book Services. Kitab setebal 116 mukasurat ini dibahagikan kepada empat fasal tidak termasuk mukadimah dan khatimah. Selain dari kupasan terhadap teks Qathrul Ghaithiyyah, turut dimuatkan ialah nota kaki yang ada diantaranya mengandungi biografi ringkas tokoh-tokoh besar dalam Islam. Antara bab penting yang terkandung dalam kitab ini ialah bab mushahadah. Makna mushahadah dinyatakan seperti berikut;
Mushahadah dari sudut bahasa adalah al-ittila’ ala al-shay’ iyanan bererti melihat sesuatu dengan sebenar-benar melihat iaitu seorang melihat sesuatu dengan matanya sendiri. Manakala dari sudut istilah pula adalah an yudim al-ittila’ ‘ala Allah Ta’ala bi ‘ayn qalbih bererti bahawa seorang mengekalkan melihat Allah Ta’ala dengan mata hatinya.[1] Mushahadah itu adalah semulia-mulia keadaan bagi ahli sufi dan bagi mereka terdapat beberapa darjat mushahadah haqq Allah Ta’ala iaitu;
1. Mushahadah kepada segala perbuatan Allah Ta’ala.
2. Mushahadah kepada segala sifat-sifat Allah Ta’ala.
3. Mushahadah kepada zat Allah Ta’ala.
[2]
Kupasan tentang faktor-faktor yang menghalang perjalanan salikin menuju kepada Allah Ta’ala juga mudah dihadam. Sebagai contoh, perbezaan antara awa’iq, awarid dan qawadih ada dinyatakan didalam kitab ini.[3] Dibahagian akhir kitab, doa al-marhum Tuan Hussain Kedah turut dimuatkan.

[1] Zakaria Ahmad Wan Besar. 2009. Al-Jawahir al-Sufiyyah Huraian Kitab (ed. Abdul Basir Mohamad). Mahzum Book Services. Batu Caves. Selangor. M.24
[2] M.24
[3] M.80

Monday, August 24, 2009

Lathaif al-Minan Rahasia yang Maha Indah – Ibn Athaillah



Kitab ini baru sahaja saya miliki hujung minggu yang lalu. Daya tarikan utamanya sudah tentulah pengarangnya iaitu Ibn Athaillah, tokoh besar Islam abad ke-7 Hijriyyah. Selain dari kitab al-Hikam yang tersebar keseluruh dunia, satu lagi kitab besar beliau yang tidak kurang pentingnya ialah Lathaif al-Minan, kitab yang baru saya miliki ini. Sama seperti al-Hikam, kitab ini berisi untaian kata-kata yang sangat indah gaya bahasanya. Kitab ini turut membicarakan hal-hal yang sangat penting dalam bidang tasawwuf seperti pemahaman tentang makna wali dan kewalian, ucapan ahli haqiqat dan makna-makna tentang haqiqat, maqamat dan perkara-perkara lain yang seputar dengannya. Seperti kata Asy-Syeikh Dr Abdul Halim Mahmud yang turut memberi kata pengantar dalam kitab ini, “Gaya bahasa buku ini terasa sangat indah dan materinya teramat berharga – memancarkan sisi ruhani yang menjadi ciri khas tulisan para wali Allah. Dengan melihat para wali Allah, kita akan teringat kepada Allah. Dengan membaca karya-karya mereka, kita akan dituntun dan dibimbing menuju Allah.” Apa istimewanya kitab ini? Istimewanya kitab ini terletak pada kekuatan tulisan Ibn Athaillah dalam mengisahkan perjalanan hidup dan pandangan-pandangan dua tokoh besar Islam yang telah mencapai puncak ketinggian ruhani serta banyak mempengaruhi corak hidupnya iaitu Imam Besar Abu Hasan al-Syadzili dan Imam Besar Abu al-Abbas al-Mursi. Setelah dimulakan dengan kata pengantar, kitab ini diserikan dengan munajat Ibn Athaillah dengan gaya bahasa yang sangat indah dan terserap kedalam jiwa jika benar-benar menghayatinya. Bahagian-bahagian yang menarik dalam kitab ini sudah pastilah kisah-kisah imam besar yakni Imam Abu Hasan dan Imam Abu al-Abbas yang digarap dengan kemas oleh Ibn Athaillah. Antara kisah yang terkandung dalam kitab ini berbunyi begini,
Syeikh Abu al-Abbas ra berkata: ‘Dimasa mudaku, ketika aku baru tiba di Tunisia dari Mursi, aku mendengar cerita tentang Syeikh Abu al-Hasan al-Syadzili ra. Kemudian seseorang mengajakku, “Mahukah kau pergi bersamaku menjumpainya?” Aku menjawab, “Tunggu, aku ingin solat istikharah dulu.” Selepas solat, aku tertidur dan bermimpi naik ke puncak gunung. Setibanya di puncak kulihat seorang lelaki berjubah biru sedang duduk diapit dua lelaki. Aku menatapnya. Ia berkata,”Kau telah menemukan khalifah zaman ini.” Esoknya, setelah solat Subuh, orang yang mengajakku mengunjungi Syeikh Abu al-Hasan datang lagi. Aku merasa sangat gembira melihatnya. Segera kami pergi menjumpai Syeikh Abu al-Hasan. Ketika bertemu, kulihat wajahnya seperti orang yang kulihat di puncak gunung. Aku takjub. Ia berkata, “Kau telah menemukan khlaifah zaman ini. Siapa namau?” Kusebutkan nama dan nasabku. Ia kemudian berkata, “Aku telah mengenalmu sejak sepuluh tahun yang lalu.” (Rujuk mukasurat 130-131)
Cerita seterusnya,
Syeikh Abu al-Abbas ra bercerita, “Aku bersama Abu al-Hasan di Qairawan. Saat itu bulan Ramadhan, hari Jumaat malam ke-27. Syeikh pergi ke Masjid Agung dan aku ikut bersamanya. Ketika Syeikh Abu al-Hasan masuk mengenakan pakaian ihram, aku melihat para wali berjejal menghampirinya bagaikan lalat mengitari madu. Menjelang pagi, tatkala keluar dari masjid, Syeikh Abu al-Hasan berkata, “Tadi malam adalah malam yang agung, Laylatul Qadr. Aku melihat Rasulullah saw berkata kepadaku, “ Wahai Ali, sucikan pakaianmu dari kotoran, nescaya kau akan memperoleh pertolongan Allah swt pada setiap hembusan nafas!” Aku bertanya, “Wahai Rasulullah, apa pakaianku itu?” Rasulullah saw menjawab, “Ketahuilah Allah swt telah menganugerahkan kepadamu lima pakaian: mahabbah (cinta), makrifat, tauhid, iman dan Islam. Siapa yang mencintai Allah, segala suatu ringan baginya. Siapa yang mengenal Allah, segala sesuatu terasa kecil baginya. Siapa yang mengesakan Allah, ia takkan menyekutukan-Nya. Siapa yang beriman kepada Allah, ia akan merasa aman dari segala sesuatu. Dan siapa yang menyerahkan diri kepada Allah, maksiatnya pasti berkurang. Kendatipun tergelincir ke dalam maksiat, segera ia meminta ampunan kepada-Nya. Jika ia meminta ampun, pasti Dia mengampuninya.” Ketika itu barulah aku memahami firman Allah swt, “Dan pakaianmu hendaknya kamu bersihkan!” (Rujuk mukasurat 127-128)

Tentang kesaksian Syeikh Abu Hasan dan para wali Allah terhadap keistimewaan Syeikh Abu al-Abbas, Ibn Athaillah menuliskan kisah-kisahnya seperti berikut,
Aku mendengar cerita bahawa Syeikh Abu al-Hasan al-Syadzili pernah berkata, “Abu al-Abbas adalah mentari, sementara Abdul Hakim adalah bulan.” Abdul Hakim adalah wali besar murid Syeikh Abu al-Hasan. (rujuk mukasurat 148)
Kisah lain pula seperti berikut,
Seorang sahabatku berkata, “Di kota Qus, aku berguru kepada Syeikh Abu Abdullah al-Bija’i, murid Syeikh Abu al-Hasan al-Syadzili ra. Suatu ketika aku menghadapi sebuah persoalan. Kemudian aku bertanya kepada guruku. Ia berkata, “Ini bukan bahagianku. Jika Allah mempertemukanmu dengan Syeikh Abu al-Abbas ra, ia akan memberimu jawaban yang kau inginkan.” Ia melanjutkan, “Aku bermimpi di hadapanku ada sebuah piring berisi kurma dan tepung putih. Kemudian aku memakannya. Lalu aku mendengar suara, ‘Ini orang besar yang kau cari-cari. Saat tiba waktunya, ia akan membawa banyak ilmu.’ Ketika Syeikh Abu al-Abbas tiba di kota Qus, aku segera menemuinya dan kutanyakan mimpi yang kualami kepadanya. Ia menjawab, ‘Ingatlah kurma dan tepung putih yang kau makan ketika itu. Akulah tepung putih itu.’” (rujuk mukasurat 154)
Kitab ini turut mengandungi zikir, doa dan hizib Syeikh Abu al-Abbas dan Syeikh Abu al-Hassan. Ianya bermula dari mukasurat 308 hingga 365.
Kitab yang berada dalam koleksi saya ini adalah merupakan terjemahan hasil usaha saudara Fauzi Faisal Bahreisy. Adakah si penterjemah ini mempunyai hubungan dengan pengarang terkenal di Indonesia iaitu Haji Salim Bahreisy, saya tidak pasti. Ianya diterbitkan oleh PT Serambi Ilmu Semesta yang berpusat di Jakarta.

Syarah al-Hikam al-‘Ataiyyah Huraian dan Penjelasan Secara Terperinci Jilid 1 – Dr Muhammad Said Ramadan al-Buti



Kitab ini adalah merupakan syarah atas kitab yang sangat masyhur dalam bidang tasawwuf yang dikarang oleh ulama besar abad ke-7 Hijriyyah iaitu Imam Tajuddin Ahmad bin Muhammad bin Abdil Karim Ibn as-Sakandari al-Maliki atau lebih dikenali sebagai Ibn Ata’illah. Kitab syarah ini pula dikarang oleh ulama terkenal zaman ini iaitu Dr Muhammad Said Ramadan al-Buti. Kitab syarah ini merupakan siri syarahan yang telah disampaikan oleh Dr Muhammad Said sepanjang tahun 1974 di Masjid Sanggadar Damsyik, kemudian di Masjid Tangkiz dan kemudian di Masjid al-Iman di daerah itu. Yang berada pada tangan saya ini ialah terjemahan kitab syarah itu yang telah diusahakan oleh H.M. Yusuf Sinaga dan diterbitkan dibawah label Berlian Publications. Seperti yang disebut pada tajuk diatas, kitab syarah ini adalah merupakan jilid yang pertama yang mengupas sekitar 47 kata-kata hikmah Ibn Ata’illah.
Membaca kitab syarah yang ditulis oleh Dr Muhammad Said ini sangat menyegarkan kerana beliau memasukkan pengalaman-pengalaman peribadi beliau ketika mengupas kata-kata hikmah Ibn Ata’illah. Sebagai contoh, ketika mengupas kata hikmah ke-7 yang berbunyi, “Jangan sampai meragukan kamu terhadap janji Allah kerana tidak terlaksananya apa yang telah dijanjikan itu, meskipun telah tertentu (tiba) masanya supaya tidak menyalahi pandangan mata hatimu, atau memadamkan nur cahaya hati kamu (sir kamu)”, Dr Muhammad Said menceritakan pengalamannya ketika bertemu dengan tentera Syria yang terlibat dalam peperangan tahun 1967. Kisahnya begini, salah seorang perajurit yang ikut perang pada tahun 1967 pernah bercerita kepada saya, dia mengatakan bahawa ketika dalam perjalanan pulang menuju ke Dimasyq (Syria) bersama perajurit-perajurit lain waktu solat tiba. Lalu mereka mencari tempat untuk menunaikan solat dan kemudian mereka pun menunaikan solat. Pada saat yang bersamaan beberapa orang mata-mata dari tentera asing lewat di tempat tersebut. Mereka berhenti dan memandang perajurit-perajurit yang sedang bersolat. Setelah selesai solat mereka bertanya, “Kenapa kamu masih saja mendirikan solat kerana Allah padahal Dia tidak menolong kamu dalam peperangan?” Aku berkata kepada perajurit yang menyampaikan kisah tersebut, “Seharusnya kamu berkata seperti kepada mereka, “Sesungguhnya kami mendirikan solat sebagai rasa syukur kami kepada-Nya yang tidak menghukum kami kerana dosa-dosa kami dan keberpalingan kami dari perintah-perintah-Nya. Kami telah banyak melakukan kemungkaran tetapi Dia tidak menghukum kami dengan menenggelamkan kami, mendatangkan gempa dan tidak juga menurunkan batu dari langit yang boleh saja Dia utus dari langit. Padahal sebenarnya kami layak dan pantas mendapat hukuman yang lebih dari itu.” Para mata-mata yang telah melemparkan soalan bukan hanya buta tentang ketuhanan tetapi lebih dari itu, mereka telah buta akan zat Ilahiyah. (rujuk mukasurat 111, kupasan ini adalah kupasan bahagian pertengahan)
Dr Muhammad Said kemudiannya menyambung perbahasan dengan memberi kisah yang sangat menarik untuk dibaca. Ceritanya begini,
Salah seorang lelaki soleh pernah ditanya,”Wahai tuan, pertunjukkanlah kepada kami karamah kamu agar keimanan dan keyakinan kami kepada Allah semakin kuat?” Lelaki soleh itu menjawab, “Apakah kamu tidak pernah melihat perkara-perkara menakjubkan dan karamah yang telah diberikan Allah kepadaku setiap saat?” Mereka berkata,”Kami tidak pernah melihatnya”. Lelaki soleh berkata, “Apakah kamu tidak melihatku berjalan diatas permukaan bumi dengan leluasa, bumi tidak menelanku dan bintang-bintang tidak menimpaku? Bukankah ini kemuliaan yang diberikan Allah kepadaku-padahal aku layak dibinasakan disebabkan ketidakseriusanku dalam menjalankan perintah dan dalam memenuhi hak-Nya yang telah meliputiku dengan pemeliharaan. Dia tidak membinasakanku sebagaimana Ia telah membinasakan orang-orang sebelumku” (rujuk mukasurat 111-112)
Sebenarnya sebelum memasukkan kisah-kisah diatas, Dr Muhammad Said memulakan perbahasan dengan menyenaraikan ayat-ayat al-Quran yang memuatkan janji-janji Allah swt yang Dia tekankan terhadap diri-Nya untuk hamba-hamba-Nya yang telah melaksanakan perintah-Nya. Kata Dr. Muhammad Said, kata hikmah ini adalah berkaitan dengan keraguan umat Islam yang tidak yakin dengan janji Allah. Sambung Dr Muhammad Said, majoriti orang yang mengatakan ungkapan demikian dan menjadikan janji Allah sebagai alasan sebenarnya adalah golongan yang jauh dari hidayah Allah dan suka memperolok-olokkan hukum-Nya serta orang-orang yang tidak mengetahui perkara-perkara mendasar tentang agama. Jenis manusia seperti ini jika dia melihat dirinya telah menunaikan kewajipan yang lima maka dia berasa yakin bahawa dia telah menunaikan semua hak Allah atas dirinya. Agaknya manusia seperti ini lupa bahawa Nabi Muhammad saw – orang yang paling mengenal Allah swt, paling cinta dan takut kepada-Nya tetap berasa masih belum melakukan apa-apa terhadap Allah swt baik dalam bersyukur mahupun memenuhi hak-hak-Nya. Perasaan tersebut telah menjadikan baginda saw tenggelam dalam istighfar tidak ubah bagaikan orang derhaka yang datang meminta keampunan kepada Allah swt. Inilah makna dari sabda Nabi saw, “Sungguh itu menjadikan hatiku berdebar-debar. Lalu aku memohon keampunan kepada Allah swt sebanyak seratus kali dalam sehari semalaman.” (rujuk mukasurat 109-110).
Kesimpulan Dr Muhammad Said tentang hal ini ialah bahawasanya Allah swt tidak pernah ingkar janji kepada orang-orang yang benar-benar telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan-Nya dengan ikhlas dan tulus. Orang-orang yang mengetahui syarat-syarat tersebut dan benar-benar menghargainya adalah mereka yang betul-betul mengetahui Allah swt dan hati mereka mencintai-Nya. Mereka bukanlah orang-orang yang hanya berinteraksi dengan Allah swt hanya kerana ikatan Islam sebagaimana yang pernah dikatakan oleh Imam Syatibi yang hanya menghitung-hitung hak mereka tanpa menghiraukan hak Allah swt atas diri mereka. Golongan yang hanya menghitung-hitung hak mereka sebenarnya tidak mengetahui apa-apa makna dari Firman Allah Taala yang bermaksud, “Dan penuhilah janjimu kepada-Ku nescaya Aku penuhi janji-Ku kepada kamu; dan hanya kepada-Ku-lah kamu harus takut (tunduk)” – Surah al-Baqarah ayat 40. (rujuk mukasurat 111).
Itu baru satu kata hikmah, ada banyak lagi kata hikmah yang dikupas oleh as-Syeikh Dr Muhammad said Ramadan al-Buti ini. Sangat menarik dan patut dimiliki!

Wednesday, August 19, 2009

Terjemah al-Hikam Pendekatan Abdi pada Khaliqnya - H.Salim Bahreisy






Kitab al-Hikam adalah merupakan karangan ulama besar dalam dunia Islam yang bernama Abu Fadhil Ahmad bin Muhammad bin Abdul Karim bin Abdurrahman bin Abdullah bin Ahmad bin Isa bin al-Husain bin Atha'Allah Al-Iskandari. Kitab ini diterjemah ke Bahasa Indonesia oleh al-Ustaz Haji Salim Bahreisy dibawah terbitan Balai Buku yang berpusat di Surabaya, Indonesia. Kitab yang berada ditangan saya ini adalah kitab yang dicetak oleh Victory Agencie yang mendapat hak menerbit dan mencetaknya untuk pasaran tempatan dari Balai Buku. Kitab yang ada pada saya ini adalah cetakan pertama untuk edisi Malaysia. Ia dicetak buat pertama kali pada tahun 1989. Kitab ini sangat istimewa kerana ia sangat popular dijadikan teks pengajian di serata dunia. Bahkan ulama-ulama besar dari zaman dahulu hinggalah sekarang ini telah mensyarah kata-kata hikmah yang terdapat didalam kitab ini. Mutakhir kitab-kitab ini ada disyarah oleh ulama besar seperti Said Hawwa dan Syeikh Ramadhan al-Bouti manakala ulama tanahair yang mensyarah kitab ini adalah seperti Dr Zulkifli al-Bakri dan Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin. Salah satu kitab syarah al-Hikam di Alam Melayu yang banyak kali diulang cetak ialah kitab yang dikarang oleh Prof Dr. Tgk. Muhibbuddin Waly. Di Alam Melayu, ulama besar yang mula-mula mensyarah kitab ini ialah Tok Pulau Manis yang hidup pada abad ke-17 Masehi. Seperti yang disebut dalam muqadimah kitab ini, isinya yang sangat mantap dari segi ajaran tauhidnya sehingga tampak benar bahawa ia berupa laduni dan rahasia quddus (hlm 6) telah menyebabkan kitab ini sebagai daya tarikan kepada sebilangan besar ulama untuk mensyarah dan menjadikan kitab ini sebagai salah satu teks pengajian utama. Dalam kitab terjemahan ini, setiap kata hikmah akan diselangi dengan penerangan ringkas yang berkaitan. Ada kisah-kisah pengajaran dimuatkan dan setiap kisah tersebut mudah diserap dan dihadam. Apa yang menarik ialah kata-kata hikmah yang terkandung didalam kitab tidaklah panjang tetapi sangat padat. Lihatlah beberapa kata-kata hikmah yang saya panjangkan dibawah ini,
Kata hikmah 173
Hilangkan pandangan makhluk kepadamu kerana puas dengan penglihatan Allah kepadamu dan lupakan perhatian (menghadapnya) makhluk kepadamu kerana melihat bahawa Allah menghadap kepadamu.
[1]
Sahl bin Abdullah Attustary berkata kepada kawan-kawannya: Seorang tidak dapat mencapai hakikat kewalian sehingga menghilangkan pandangan orang dari fikirannya sehingga tidak melihat apa-apa di dunia, hanya ia dengan Tuhan yang menjadikannya sebab tidak ada seorang pun yang dapat menguntungkan atau merugikan. Atau menghiraukan perasaan diri (hawa nafsunya) sehingga tidak menghiraukan orang dan tidak segan atau takut kepada mereka, apa saja yang akan terjadi. Mengharap kepuasan dari semua manusia itu suatu tujuan yang tidak mungkin tercapai dan sebodoh-bodoh manusia yang berusaha untuk mendapatkan apa yang tidak mungkin tercapai. Luqman al-Hakim ketika memberi nasihat kepada puteranya diajak masuk ke pasar dengan berkenderaan himar, ia yang berkenderaan dan anaknya yang menuntun. Orang mencela: Orang tua kejam, dia berkenderaan dan anaknya disuruh berjalan. Kemudian ia suruh anaknya naik tiba-tiba orang mencela: Dua orang naik satu himar.[2] Lalu turun Luqman dan anaknya tetap di atas, tiba-tiba ada orang mencela: Anak kurang ajar, bapak dijadikan buruh menuntun.[3] Kemudian turun keduanya menuntun himar, tiba-tiba orang mencela. Bodoh benar himar tidak dinaiki hanya dituntun semata-mata. Tujuan Luqman untuk menunjukkan kepada puteranya bahawa orang yang beramal atau mengambil-ambil hati orang tidak selamat dari celaan mereka. Kerana itu, seorang yang sempurna akal fikiran didalam beramal hanya menuju kepada hak, benar dan diredhai Allah, hanya itu sahaja yang dikerjakan. Muhammad bin Aslam ra berkata: Ada kepentingan apakah saya pada manusia padahal sejak saya dalam punggung ayah seorang diri lalu didalam perut ibu juga seorang diri dan keluar didunia juga seorang diri yakni tidak melalui bantuan manusia hingga mati dan masuk ke kubur juga seorang diri dan menghadapi persoalan alam kubur sampai kemudian menghadap kepada Allah dan masuk syurga atau neraka juga seorang diri, maka apakah keperluan saya dengan manusia?
Al-Harith al-Muhasiby ra ketika ditanya tentang tanda orang yang sungguh-sungguh ikhlas kepada Allah. Jawabnya: Seorang yang benar-benar ikhlas iaitu yang tidak hirau (menghiraukan) dinilai apa sahaja oleh sesama manusia, asalkan ia sudah benar hubungannya dengan Allah dan tidak ada orang yang mengetahui walau sekecil debu dari amal kebaikannya dan tidak takut jika ada orang mengetahui amal perbuatannya yang tidak baik. Sebab jika ia merasa enggan untuk diketahui orang kebusukannya bererti ia ingin dipuji atau besar dalam pandangan orang dan itu tidak termasuk kelakuan atau akhlak orang yang benar-benar ikhlas.
[4]
Kata hikmah 174
Siapa yang benar-benar mengenal kepada Allah maka pasti dapat melihat-Nya pada tiap-tiap sesuatu
[5]
Kata hikmah 175
Dan siapa yang fana dengan Allah pasti ia lupa (ghaib) dari segala sesuatu.
[6]
Kata hikmah 176
Dan siapa yang cinta pada Allah, tiada akan mengutamakan sesuatu yang lainnya.
[7]
Demikianlah siapa yang benar-benar mengenal kepada Allah, pasti ia selalu ingat pada Allah, pada tiap sesuatu apapun yang ia lihat, dengar dan rasa. Sebab tidak ada sesuatu melainkan menunjukkan keindahan, kekuasaan dan buatan Allah. Kerana itulah siapa yang telah fana dengan Allah, sudah sungguh-sungguh ingatnya hanya kepada Allah, maka segala sesuatu yang ada di depannya seolah-olah sepi kosong dan bayangan belaka. Sedang siapa yang betul-betul cinta kepada Allah, maka pasti ia tidak akan mengutamakan sesuatu apapun selain Allah yang telah dicintainya itu, bahkan ia akan sanggup mengorbankan segala kepentingan dan hawa nafsunya didalam mencapai keredhaan Allah swt. Sebab hakikat dari semua pancaindera, penglihatan, pendengaran dan perasaan itu semua bukan semata-mata kerana adanya mata, telinga dan lidah atau hidung tetapi semua memerlukan nur ilahi yang langsung dari Allah, sehingga terangnya mata tanpa terangnya benda yang akan dilihat, tidak memungkinkan terlihat benda itu maka dari kedua-duanya tetap memerlukan nur ilahi yang langsung untuk pancaindera dalam mencapai sesuatu apapun. Maka dengan pandangan yang sedemikian, orang arif selalu melihat pada Allah pada tiap apa saja yang dipandangnya. Yang setelah melihatnya fana dengan Allah dan lupa (ghaib) dari segala sesuatu Allah, kemudian cinta yang tidak ada taranya kepada Allah.[8]
Di akhir ratusan kata hikmah yang terdapat dalam kitab ini, Ibn Atha'Allah melanjutkan pula dengan munajat dan doa-doanya yang sangat indah isi bahasanya. Secara keseluruhannya buku ini memang patut berada dalam koleksi bahkan kitab-kitab syarah yang ditulis oleh ulama besar tentang kata-kata hikmah yang terkandung dalam kitab ini juga patut dimiliki. Dengan membaca kitab-kitab ini, mudah-mudahan segala karat, daki dan kotoran yang melekat di hati akan dicuci, digilap dan dikilat dengan sebersih-bersihnya, Insyallah.
[1] Hlm.132
[2] Hlm.132
[3] Hlm.132-133
[4] Hlm.133
[5] Hlm.133
[6] Hlm.133
[7] Hlm.134
[8] Hlm.134

Tuesday, August 11, 2009

Pancaran Nur Doa dan Zikir ahli Akhyar - al-Muhaddith Prof Dr Sayyid Muhammad Ibn 'Alawi al-Maliki al-Hasani




Kitab ini ditulis oleh ulama besar yang lahir di Makkah al-Mukarramah pada 1946 M dan meninggal dunia juga di Makkah al-Mukarramah pada tahun 2004 M. Beliau adalah merupakan guru utama kepada Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki, ahli Majlis Fatwa Negeri Sembilan dan Penasihat Yayasan Sofa yang telah menterjemah kitab ini ke dalam Bahasa Melayu. Asal tajuk buku ini ialah Khulasah Syawariq al-Anwar min Ad'iyah al-Saadah al-Akhyar. Prof Dr Sayyid Muhammad ibn 'Alawi al-Maliki telah memberi keizinan kepada Syeikh Muhammad Fuad untuk menterjemah, mencetak dan menyebarkannya seperti yang disebut pada halaman Terjemahan di mukasurat xviii. Katanya,
Saya mengizinkan ke hadhrat Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki untuk menterjemahkan aurad-aurad ini, mencetak dan menyebarkannya.
Ditandatangani oleh Prof Dr Sayyid Muhammad ibn 'Alawi al-Maliki pada 15/10/1423 H.
Kitab yang setebal 616 mukasurat ini mengandungi sejumlah zikir dari hadith-hadith Nabi saw, wirid-wirid, hizib-hizib dan salawat yang masyhur lagi ma'thur daripada ulama salaf. Antara amalan yang disebut dalam kitab ini yang sangat-sangat digalakkan untuk dikerjakan setiap hari yakni kalau boleh jangan langsung meninggalkannya (sebab itu dalam kitab ini dicatat perkataan Jangan Tinggalkan) ialah melakukan zikir selepas solat termasuklah membaca ayat al-Kursi, membaca ayat terakhir surah al-Taubah, tasbih, tahmid dan tahlil (rujuk kitab untuk keterangan lanjut); bacaan tambahan selepas solat maghrib dan subuh (rujuk kitab untuk keterangan lanjut); solat istikharah, melazimi membaca surah al-Ikhlas dan Mu'awwizatain (al-Falaq dan al-Nas); solat dua raka'at setelah wudhu', solat dhuha, bersalawat ke atas Nabi saw; menjaga dan mengekalkan solat malam walau sekadar dua rakaat; membaca al-Quran; menjaga berterusan membaca istighfar; membaca surah al-Mulk setiap malam; solat sunat Fajar dua raka'at; solat sunat empat raka'at sebelum solat fardhu Zohor dan selepasnya; solat sunat empat raka'at sebelum solat fardhu Asar; solat sunat dua hingga enam raka'at selepas solat fardhu Maghrib; membaca Asma' al-Husna; solat hajat dan banyak lagi. Amat besar hikmah dan fadhilatnya apabila mengerjakan amalan-amalan yang disebut diatas (ada dicatat dalam kitab ini) dan atas sebab itulah maka kita disarankan agar mengerjakannya setiap hari. Kitab ini diijazahkan oleh Syeikh ketika sambutan malam Nisfu Sya'aban yang lepas.

Siyadah - Syeikh Muhammad Fuad Fuad Kamaluddin al-Maliki



Saya bukanlah orang yang paling layak untuk mengulas buku ini tetapi rasa wajib untuk memperkenalkannya. Makna Siyadah disini ialah KETUANAN. Ketuanan yang dimaksudkan ialah merujuk kepada ketuanan Rasulullah saw. Kata Syeikh didalam buku ini,
Menyertakan kalimah siyadah ketika menyebut nama Rasulullah saw samada dalam percakapan atau tulisan adalah layak baginya kerana kedudukannya yang amat tinggi dan keistimewaannya dikurniakan syafa'at yang terlalu besar nilainya bagi umatnya sama ada di dunia atau di akhirat. Oleh kerana itu, tidaklah wajar dan tidak sepatutnya nama Baginda saw disebut tanpa diawali dengan kata-kata penghormatan seperti sayyiduna jika dibandingkan dengan kedudukan yang telah dikurniakan Allah kepadanya. (rujuk mukasurat 36-37)
Buku ini terbahagi kepada beberapa bab penting seperti Tuntutan Menghormati dan Memuliakan nabi saw, Memuliakan Rasulullah saw Sunnah Para Sahabat dan Salafus Soleh, Penggunaan Lafaz Siyadah bagi Rasulullah, Dalil Golongan Pembangkang dan Pendustaan Mereka, Menggunakan Lafaz Siyadah bagi Selain Rasulullah saw, Hukuman bagi Sesiapa yang Mengingkari Penambahan Sayyiduna bagi Rasulullah saw dan Fatwa Mufti Mesir Dr Ali Jumu'ah. Dalam bab Fatwa Mufti Mesir, tentang soalan apakah hukumnya mengucapkan Sayyiduna bagi Nabi saw didalam dan diluar solat lalu jawapannya, Telah sepakat kaum Muslimin atas thabitnya 'siyadah' (ketuanan) bagi Nabi saw. Ia menjadi tanda ke atas Nabi saw sebagaimana kata Imam al-Syarqawi: Lafaz 'sayyiduna merupakan 'alam (tanda) ke atas Baginda saw.
Dan sambungan tentang jawapan ini bolehlah dirujuk di muka surat 134.
Untuk penulisan buku ini, Syeikh Muhammad Fuad telah merujuk kitab-kitab muktabar seperti al Syifa bi Ta'rif Huquq al-Mustafa karya al-Qadhi 'Iyadh, Haqiqah al-Tawassul wa al-Wasilah karya Musa Muhammad Ali, Ma'rifah 'Ulum Hadith karya al-Hakim, Manhaj al-Salaf fi Fahm al-Nusus Bain al-Nazariyyah wa al-Tatbiq karya Prof Dr Sayyid Muhammad ibn Alawi al-Maliki, Tasynif al-Azan karya al-Hafiz Ahmad ibn Muhammad ibn al-Siddiq al-Ghumari, al-Ifadah fi Hukm al-Siyadah karya Prof Dr Zain al-Abidin al-Abid Muhammad, Nail al-Autar karya al-Syaukani, al-Bayan lima Yasghulu al-Azhan karya Prof Dr Ali Jumu'ah dan sebilangan besar kitab hadith muktabar seperti al-Durr al-Manthur, Musnad al-Bazzar, al-Mustadrak, Shahih Imam Bukhari, Shahih Imam Muslim, Sunan Abi Daud, Shahih Ibnu Hibban dan banyak lagi. Buku ini dilancarkan ketika majlis sambutan Isra' dan Mi'raj yang diadakan di Masjid Darul Ehsan Taman TAR pada bulan 7 yang lalu. Pesan saya, buku ini memang patut ada dalam koleksi tuan-tuan !

Wednesday, July 29, 2009

Al-Makrifah Pelbagai Aspek Tasawuf di Nusantara Jilid 2 - Haji Wan Mohd Saghir Abdullah



Buku ini saya beli secara kebetulan. Secara kebetulan maksudnya bukan saya tak mahu beli tapi belum masuk dalam list yang perlu saya beli pada ketika itu. Saya beli ketika berkunjung ke kedai buku UNIKEB di Pusanika baru UKM kira-kira tiga tahun yang lepas. Di UKM, Pusanika ada dua iaitu satu didalam kawasan kampus induk dan satu lagi di kawasan lingkungan kedua. Ketika saya belajar di UKM dahulu, kawasan lingkungan kedua hanya mengandungi fakulti kejuruteraan sahaja. Harga asal yang ditawar ialah RM 23. Buku ini terdiri dari dua jilid tapi yang nak saya perkenalkan ini adalah jilid kedua. Di muka depan tertera nama penerbitnya iaitu Khazanah Fathaniyah yang diasaskan oleh almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir. Penghasilkan buku ini turut mendapat kerjasama Yayasan Pembangunan Buku Negara. Buku ini dikeluarkan pada tahun 2004, mengandungi 255 mukasurat dan diletakkan dalam bidang sufi dan tokoh besar Muslim. Secara jujurnya, semenjak buku ini dibeli, hayatnya lebih banyak dihabiskan di rak buku sahaja. Sehinggalah baru-baru ini, buku ini kembali dikeluarkan dari rak kerana ada sesuatu yang sangat penting perlu saya rujuki dari buku ini. Apa benda yang penting tu? Yang penting dan yang amat berharga bagi saya yang ada pada buku ini ialah transliterasi teks Tuhfatul Mursalah yang diusahakan oleh almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir. Teks ini disusun oleh Syeikh Muhammad Fadhlullah al-Burhanpuri al-Hindi, ulama besar yang berasal dari India dan wafat pada tahun 1029 Hijrah bersamaan dengan 1620 Masehi. Teks ini sangat penting bagi mereka yang membuat kajian tentang ilmu tasawwuf kerana teks inilah yang paling banyak dirujuk oleh ulama-ulama besar Alam Melayu. Kandungan terpenting dalam teks ini adalah membicarakan Ahadiyah, Wahdah, Wahidiyah, ‘Alam Arwah, ‘Alam Mitsal, ‘Alam Ajsam dan ‘Alam Insan yang dikenali di Alam Melayu sebagai Martabat Tujuh. Antara ulama besar Alam Melayu yang merujuk teks ini untuk mensyarah Bab Martabat Tujuh ini ialah
1. Syeikh Abdur Rauf Ali al-Fanshuri, ulama besar asal Aceh pada abad ke-17. Beliau merujuk teks Tuhfatul Mursalah untuk menguatkan perbahasannya didalam kitabnya yang bertajuk Bayanul Ithlaq.
2. Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan, ulama besar Jawa Barat yang merupakan anak murid kepada Syeikh Abdur Rauf Ali al-Fashuri hidup pada abad ke-17. Beliau merujuk teks Tuhfatul Mursalah untuk mensyarah kitabnya yang bertajuk Mir’atus Sailin.
3. Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, ulama besar asal Palembang, hidup pada abad ke-18. Beliau merujuk teks ini dalam kitabnya yang sangat masyhur iaitu Sairus Salikin di jilid yang ke-3.
4. Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari, ulama besar asal Kalimantan, hidup pada abad ke-18. Beliau merujuk teks ini dalam kitabnya yang sangat masyhur iaitu ad-Durrun Nafis.
5. Syeikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani, ulama besar asal Patani, hidup pada abad ke-18. Beliau mensyarah bab martabat tujuh dalam kitab tasawwufnya yang sangat halus perbahasannya iaitu Manhalus Shafi fi Bayani Ramzi Ahlish Shufi.
6. Syeikh Muhammad Zain al-Asyi, ulama besar Aceh abad ke-18. Beliau mengupas bab Martabat Tujuh dalam kitabnya yang sangat terkenal iaitu Manzharul Ajla ila Martabatil A’la.
Manuskrip asal teks ini setebal 15 mukasurat tetapi setelah diterjemah, ianya mengandungi sekitar 16-17 mukasurat.
Saya merujuk teks ini ketika mengkaji kitab Tuan Hussain Kedah yang bertajuk Qathrul Ghaithiyah. Disebut dalam kitab itu, bahawa pengarangnya (Tuan Hussain Kedah) merujuk kitab Tuhfatul Mursalah dalam membahas perkara tasawwuf yang terkandung dalam kitabnya. Selain dari teksTtuhfatul Mursalah, buku al-Ma’rifah ini turut menghimpunkan riwayat hidup dan karya-karya tokoh-tokoh besar Alam Melayu seperti Syeikh Abdur Rauf Ali al-Fanshuri, Megat Sati al-Asyi, Syeikh Burhanuddin Ulakan, Syeikh Yusuf Tajul al-Mankatsi dan ramai lagi. Saya tidak pasti samada buku ini masih boleh didapati di kedai-kedai buku atau tidak tetapi jika tidak menjumpainya, bolehlah hubungi wakil Khazanah Fathaniyah, Ustaz Azrul – 016-3520094 atau mendapat keterangan lanjut di laman web Khazanah Fathaniyah, http://khazanahfathaniyah.com/

Ringkasan Sirah Nabawiyyah - Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki



Seharusnya peribadi dan perjalanan hidup Nabi saw berada dalam ingatan setiap umat Islam khususnya di kalangan para remaja dan belia Islam. Tetapi hari ini berlainan sungguh. Muda-mudi lebih disogokkan dengan hiburan yang tak keruan. Tambah menyedihkan apabila kanak-kanak lebih mengingati bait-bait lagu nyanyian artis malah sangat arif pula tentang perjalanan hidup artis tersebut. Bahkan nama-nama artis juga sentiasa meniti di bibir. Agaknya tidak mustahil anak-anak muda ini lebih banyak menghafal nama-nama artis berbanding dengan nama-nama penting yang mempunyai hubungan dengan perjalanan hidup Rasulullah saw seperti ahli keluarganya dan para sahabatnya yang besar khususnya sepuluh sahabat besar yang dijamin syurga keatas mereka. Buku ini dikeluarkan tepat pada masanya. Amat penting untuk golongan muda ini didedahkan kembali dengan peribadi dan perjalanan hidup Nabi saw. Apatah lagi dikalangan kanak-kanak, perasaan cinta dan kasih-sayang kepada Nabi saw perlu dipupuk semenjak dari kecil lagi. Buku yang disusun oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki ini menghimpunkan pelbagai bait-bait indah yang memuji kebesaran dan keistimewaan baginda Rasulullah saw. Ia sebenarnya terjemahan kepada karya Ibnu al-Daiba’ yang bertajuk Mukhtasar fi Sirah al-Nabiwayah. Ibnu al-Daiba’ hidup pada abad ke-10 Hijrah dan merupakan salah seorang ulama besar dizamannya. Sebenarnya, bagi mereka yang sering mengikuti majlis Maulid Nabi saw, bait-bait yang ditulis oleh Ibnu al-Daiba’ inilah yang sering dialunkan. Dalam buku ini juga dimuatkan Qasidah Nabawiyyah yang menghimpukan qasidah nukilan wali-wali Allah seperti Imam Abdullah ibn ‘Alawi al-Haddad dan Imam al-Busairi. Untuk mengetahui rentak atau bagaimana cara qasidah ini dialunkan, lapangkanlah dan ringan-ringankanlah kaki untuk menghadiri majlis-majlis ilmu yang melibatkan Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki. Ini adalah kerana lazimnya para pelajar tahfiz Syeikh Muhammad Fuad dan ikhwan yang mengikuti majlis ilmu akan mengalunkan qasidah yang terdapat didalam buku tersebut. Atau jika ingin mendengar secara berkala misalnya dipasang didalam set audio samada di rumah atau di dalam kenderaan, pilihan lain ialah dengan mendapatkan CD qasidah secara percuma di laman web alhawi.net. CD qasidah ini adalah merupakan himpunan qasidah yang dinukilkan oleh Imam Abdullah ibn ‘Alawi al-Haddad. Hantarkan permohonan untuk mendapatkan CD qasidah ke alamat e-mel yang tertera dan dalam tempoh satu hingga dua minggu, CD yang dipesan akan dihantar terus ke rumah (jika menggunakan alamat rumah). CD Maulid Daiba’ pula boleh didapati di Koperasi As-Sofa. Eloklah kita melazimi bacaan qasidah ini bersama-sama dengan keluarga. Sambil mengalunkan qasidah, sekali-sekala hayati dan selamilah lirik-liriknya. Dengan itu, barulah kita dapat memupuk rasa kecintaan yang mendalam kepada baginda Rasulullah saw. Daripada menghafal bait lagu yang mengarut dan melalaikan kita dari mengingati Allah dan Rasul-Nya, lebih baiklah kita menghafal qasidah yang memuji kebesaran Kekasih Allah iaitu Junjungan Besar Rasulullah saw. Bahkan adalah menjadi tugas kita sebagai Umat Nabi saw untuk membesarkan Junjungan Baginda Rasulullah saw.Mudah-mudahan segala amalan baik kita menjadi saksi di akhirat kelak dan mempermudahkan kita untuk mendapatkan syafaat Baginda saw kelak. Buku yang dicetak oleh Koperasi As-Sofa ini dikeluarkan secara professional baik dari segi layout kulit luarnya mahupun isi dalamnya. Buku yang berada pada tangan saya ini merupakan cetakan yang kedua yang dicetak pada April 2009. Cetakan pertama dilakukan pada Jun 2005. Mengandungi 208 mukasurat, setiap bait yang dipersembahkan disertakan dengan terjemahan dalam Bahasa Melayu. Tujuannya adalah memudahkan pembaca memahami dan menghayati setiap bait yang dibaca dan dialunkan agar benar-benar meresap dalam diri. Setakat ini, saya belum menjumpai buku ini dijual di kedai-kedai buku. Untuk mendapatkan buku ini, kunjungilah pejabat urusan as-Sofa yang terletak di Bukit Indah, Ampang. Maklumat lanjut boleh didapati di http://ysofakl.blogspot.com/.

Tuesday, July 28, 2009

Qathrul Ghaithiyah fi ‘Ilmi Asy-Syufiyyah ‘ala Syari’atil Muhammadiyyah - al-Allamah Tuan Hussain Kedah






Disebabkan pada masa ini saya sedang membuat kajian tokoh tentang Tuan Hussain Kedah dan kitabnya Qathrul Ghaithiyah fi ‘Ilmi Asy-Syufiyyah ‘ala Syari’atil Muhammadiyyah, maka saya mulakan blog saya yang terbaru ini dengan perkenalan akan kitab ini. Kitab yang saya muatkan dalam tulisan saya ini adalah merupakan transliterasi rumi dari kitab asal yang ditulis menggunakan aksara Jawi. Ia diterbitkan oleh al-Hidayah Publishers yang terletak di Jalan Ipoh Kecil Kuala Lumpur. Usaha penterjemahan kitab ini dilakukan oleh Ustazah Noraine Abu. Kitab alihan ke Rumi ini menggunakan judul Curahan Ilmu Tasawwuf berdasarkan Syari’at Nabi Muhammad saw. Ia diterbitkan buat pertama kali pada tahun 2006 dan dijual dengan harga RM8.00. Kitab ini amat mudah didapati di pasaran kitab pada hari ini. Kitab ini mengandungi 112 halaman, jauh lebih tebal dari kitab jawi asal yang hanya setebal 47 halaman. Antara sebab yang menjadikan kitab terjemahan ini tebal ialah pertama dari segi saiznya iaitu A5 (separuh dari saiz A4) dan keduanya font teks yang digunakan, kalau tak silap saya bersaiz 11 atau 12. Ini berbeza dengan kitab jawi asal yang menggunakan saiz standard kitab tradisi pondok atau lebih dikenali dengan panggilan kitab kuning dan menggunakan font jawi (kalau tak silap saya format blok) yang kecil. Walaubagaimanapun, setelah saya membuat perbandingan antara kitab terjemahan ini dengan kitab jawi asalnya bolehlah saya rumuskan bahawa semua isinya adalah sama baik dari segi bab mahupun kandungannya.
Baik, kita berkenal dahulu dengan penulis asalnya iaitu Tuan Hussain Kedah. Pada muka depan kitab ini disebut nama lengkapnya seperti berikut, Hushin Nashir bin Muhammad Thaiyib al-Mas’udiy al-Banjariy. Sebetulnya nama lengkap tokoh ini ialah Hussain bin Nasir bin Muhammad Thaiyib bin Mas’udi al-Banjari. Beliau merupakan ulama besar Kedah yang sangat terkenal pada awal abad ke-20 Masehi. Beliau dilahirkan pada tahun 1863 dan meninggal dunia pada tahun 1936. Tokoh ini lebih masyhur dengan panggilan Tuan Hussain Kedah. Penggunaan gelaran al-Banjari dibelakang namanya menandakan bahawa beliau berketurunan Banjar. Perlu juga dinyatakan disini bahawa beliau bertemu nasabnya dengan seorang ulama besar di Alam Melayu pada abad ke-18 iaitu Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari yang makamnya kini terletak di Martapura, Kalimantan. Susur galurnya dari bawah yakni dari beliau hinggalah ke atas yakni Syeikh Muhammad Arsyad semuanya adalah ulama belaka. Selain bergelar ulama, Tuan Hussain Kedah turut mengikuti jejak langkah moyangnya iaitu Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari apabila menjadi pendidik yang berjaya melahirkan ramai ulama besar, mempunyai zuriat yang juga berketurunan ulama dan menghasilkan kitab-kitab yang sangat terkenal yang masih dijadikan teks pengajian dan berlegar di pasaran kitab. Salah satu kitabnya yang masyhur ialah kitab yang diperkenalkan ini iaitu Qathrul Ghaithiyah (saya ringkaskan sahaja). Sebenarnya selain al-Hidayah Publishers, kitab ini turut ditransliterasi ke rumi oleh beberapa penerbit lain. Namun keistimewaan kitab yang ditransliterasi oleh Ustazah Noraine ini ialah 99.99% kandungan teks dari segi gaya bahasa dan perkataannya tidak diubah langsung. Ustazah Noraine mengekalkan bahasanya walaupun ada beberapa istilah yang terkandung didalamnya memerlukan rujukan yang lebih lanjut. Maka dengan membaca kitab ini, kita seolah-olah seperti membaca kitab asalnya yang menggunakan tulisan Jawi itu. Satu pujian patut diberikan kepada Ustazah Noraine. Mungkin sesetengah pembaca lebih gemar membaca dalam format gaya bahasa baru tetapi bagi mereka yang gemarkan gaya bahasa lama pastinya akan terasa lebih dekat dengan pengarang asalnya. Contoh gaya bahasa lama yang dimaksudkan adalah seperti berikut,
Bahkan tetapi ‘ilmu tasawwuf ini mentahqiq ia bagi ‘ilmu ushul dan menghening ia bagi ‘ilmu feqah. Dan adapun awal-awal orang yang menghantar akan ‘ilmu tasawwuf seperti barang yang dikata orang maka iaitu Syeikh Junaid al-Baghdadi (rujuk mukasurat 7). Cuma bagi saya, tambah menarik jika kitab terjemahan ini disertakan dengan mukasurat kitab asal seperti yang sering dilakukan dalam kajian teks naskhah. Dalam kajian teks naskhah, mukasurat kitab asal akan diletakkan disisi setiap helaian mukasurat yang diterjemah. Tujuannya ialah memudahkan rujukan kepada kitab asal.
Dari segi kandungan kitab, ia terbahagi kepada enam bahagian iaitu satu muqaddimah, empat fasal dan satu khatimah (penutup). Pembahasan dalam kitab ini adalah berkenaan dengan ilmu hakikat dan tasawwuf yang agak halus dan mendalam. Untuk penulisan kitab ini, Tuan Hussain Kedah merujuk beberapa kitab tasawwuf yang muktabar yang bagi saya berada di peringkat pertengahan dan tinggi seperti Tuhfah al-Mursalah yang dikarang oleh Syeikh Muhammad bin Syeikh Fadhlullah al-Hindi, Minhaj al-‘Abidin yang dikarang oleh Imam al-Ghazali dan Hikam Natsr yang dikarang oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad bin ‘Abdul Karim bin Atha’ullah as-Sakandari. Tuan Hussain Kedah turut merujuk kitab-kitab besar lain seperti Tawarikh karya Ibnu Khaldun (rujuk mukasurat 8), Ihya’ ‘Ulumuddin karya Imam al-Ghazali (rujuk mukasurat 11), Mukhtasar Ihya’ karya Imam al-Ghazali (rujuk mukasurat 63) dan kutipan hadith yang diriwayat, antaranya oleh al-Bukhari dan Muslim (rujuk mukasurat 57), at-Tirmidzi dan Ibnu Hibban (rujuk mukasurat 57) dan Imam Ahmad dan Ibnu Hibban (rujuk mukasurat 61). Dengan mendalami kitab ini, kita akan dapat mengetahui betapa pentingnya ilmu tasawwuf ini kerana menurut Tuan Hussain Kedah, dengan mempelajari Ilmu Tasawwuf, barulah seseorang itu dapat sampai kepada makrifah akan haq Allah Ta’ala akan sebagai makrifat yang sempurna. Dalam usaha untuk mengenal Allah Ta’ala, seperti yang dinyatakan oleh Tuan Hussain Kedah pada permulaan fasal kedua yang tajuknya berbunyi Ini suatu fasal yang kedua pada menyatakan barang yang musyahadah mereka itu akan dia dengan segala hati mereka itu daripada wujud Haq Ta’ala dan Lainnya,
Ketahuilah olehmu, bahawasanya segala ahli tasawwuf, iaitu berhadap sekalian mereka itu kepada Allah Ta’ala padahal sentiasanya pada zahir mereka itu dan pada batin mereka itu. Maka segala zahir mereka itu berhadap kepada Allah dengan berbagai-bagai ta’at dan ‘ibadah dan khidmat. Dan batin mereka itu berhadap kepada Allah dengan shiddiq, ikhlas dan yakin. Maka pada ketika itu berpakailah zahir mereka itu dan batin mereka itu dengan pakaian orang yang merdeka daripada diperhamba akan dia oleh dunia, syaitan, hawa nafsu dan makhluk yang dinama akan sekaliannya itu dengan aghyar dan akdar. Dan pada waktu itu, tertentulah ia jadi hamba bagi Allah Ta’ala. Dan pada ketika itu, tahqiqlah diperoleh berkekalan ta’at dan khidmat kepada Allah Ta’ala yang hasil sekaliannya itu daripada tsamarah dan faedah taqwa. Ertinya, takut akan Allah Ta’ala. (rujuk mukasurat 25-26)
Disebabkan pembahasan yang terkandung didalam kitab ini menggunakan bahasa yang halus-halus, saya menyarankan kepada pembaca supaya mendapat bimbingan dari guru yang ahli tentang ilmu tasawwuf ini. Ia penting supaya maksud yang terkandung didalam buku itu sampai ke dalam diri. Pada masa ini, kalau di sekitar Lembah Kelang, kitab ini disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki[1]. Syarahan Syeikh Muhammad Fuad lazimnya diadakan selepas solat Subuh di Masjid Kampung Baru setiap minggu pertama dan minggu ketiga (jadual boleh dirujuk di ysofakl.blogspot.com). Kitab ini diselesaikan oleh pengarang asalnya, Tuan Hussain Kedah pada malam Selsa, 25 Jamadil Awwal 1348 Hijrah bersamaan dengan 28 Oktober 1929 Masehi seperti yang dinyatakan pada penghujung bahagian khatimah.

[1] Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki menggunakan kitab yang diterjemahnya sendiri. Kitab ini dijual oleh Koperasi as-Sofa.