Showing posts with label Syed Muhammad Naquib. Show all posts
Showing posts with label Syed Muhammad Naquib. Show all posts

Saturday, December 31, 2011

Islam dan Sekularisme




Dalam pengetahuan saya, ini adalah kali kedua buku asal yang judulnya Islam and Secularism diterjemah ke Bahasa Melayu. Lebih tepat lagi Bahasa Melayu-Indonesia. Kali pertama buku ini diterjemah ialah pada tahun 1981 oleh Penerbit Pustaka yang letaknya di Bandung. Buku ini diterjemah setelah mendapat hak izin terbit dari Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang menerbit buku ini buat kali pertama pada tahun 1978. Buku yang saya perkenal dalam entri ini adalah yang diterbitkan oleh Institut Pemikiran Islam dan Pembangunan Insan atau ringkasnya PIMPIN yang juga berlokasi di Bandung. Penterjemahan buku ini diusahakan oleh Ustaz Khalif Muammar (Prof Madya Dr) dan diterbit buat kali pertama pada tahun 2010. Ketika bertemu Ustaz Khalif, saya bertanya kepadanya tentang kenapa ia tidak diterbit dalam Bahasa Melayu sepenuhnya (bukan Bahasa Melayu Indonesia). Jawabnya ringkas, “Kerana pasaran di Indonesia lebih luas”. Benar. Buku ini laku macam goreng pisang di Indonesia. Buku yang berada di tangan saya ini pun adalah cetakannya yang kedua.
Selain diberi sedikit penambahan nota kaki, buku ini turut disertakan dengan kata pengantar oleh Pengarah Center for Advanced Studies on Islam, Science and Civilisation (CASIS), UTM iaitu Prof Dr Wan Mohd Nor Daud. Dengan tajuk pengantarnya, Islam dan Sekularisme: Satu Karya Agung Kulli, Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud menyifatkan bahawa buku ini perlu dibaca oleh semua golongan terpelajar Muslim termasuklah pembuat dasar dan ahli profesional. Menurutnya, gagasan pemikiran penulis yang tertuang dalam buku ini lebih bersifat intelektual dan spiritual jauh lebih awal dari apa yang pernah digagaskan oleh Samuel Huntington menerusi teori the clash of civilizations nya sekitar awal tahun 1990-an. Kata Prof Dr Wan Mohd Nor, karya Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas ini adalah karya kulli atau bersifat sejagat kerana seluruh isi kandungannya membincangkan dan menganalisa perkara-perkara paling asas dalam kebudayaan Barat dan agama Islam. Walaupun isi kandungannya telah dibahas lebih tiga dekad lamanya namun tilikannya tentang perkembangan aliran sekularisasi dalam kebudayaan Barat, makna agama dan asas Akhlak dalam Islam, dilema di antara kemodenan dan tradisi yang menghantui pemikiran umat dan konsep Universiti Islam masih lagi segar dan relevan mutakhir ini.
Untuk mendapatkan buku ini, bolehlah menghubungi Ustaz Khalif sendiri yang kini bertugas di CASIS, UTM KL.

Historical Fact and Fiction



Di satu pihak, mereka beranggapan bahawa asal nama Sumatra adalah dari Samudra. Namun Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam tulisan terbarunya ini bersungguh-sungguh mempertahankan pandangannya bahawa asal nama Sumatra itu adalah dari dua perkataan Melayu Semut dan Raya. Semut Raya ini menunjukkan semut besar yang ada di pulau tersebut. Dengan dalil-dalil yang terperinci, hujah Tan Sri Prof kelihatan sangat konsisten. Seperti kata beliau, nama yang dikait dengan Samudra itu dieja dengan huruf t (ta) bukannya d (dal). Justeru ini mengukuhkan pendapat bahawa asal nama Sumatra itu adalah dari semutra(ya). Dalam ucapannya ketika buku ini dilancarkan, Tan Sri Prof menyatakan bahawa idea tentang semut besar ini bukanlah fiksyen tetapi adalah satu fakta. Kisah semut raya ini ada kaitan dengan penemuannya oleh Merah Silau yang dipercayai berlaku sekitar abad ke 9 dan 10 Masehi. Apapun isi kandungan buku ini tidaklah hanya berkisar tentang Semut Raya, Merah Silau dan Sumatra tetapi turut memuatkan perbahasan lain yang tidak kurang pentingnya. Antaranya ialah seperti pencerahan sejarah Parameswara, penyebaran Islam ke Alam Melayu oleh alim-ulama Arab yang berketurunan Saiyidina Husain ra, dakwah Islam di Alam Melayu dari abad ke 12 hingga ke 16 Masehi dan pengaruh Arab Hadhrami dalam penggunaan tulisan, perkataan dan lisan dalam masyarakat Melayu. Tan Sri Prof memberi contoh yang agak menarik ketika berucap di majlis pelancaran bukunya tentang pengaruh Arab Hadhrami ini. Katanya, “Kenapa kita menyebut Rabu bukannya Arba’a (apabila menyebut hari Rabu)?” Ini adalah kerana di Yaman, ada di kalangan mereka yang menyebut hari Rabu itu sebagai Rabu bukannya Arba’a. Begitu juga dengan tulisan Jawi. Pengaruh Arab Hadhrami jelas ketara apabila kita lebih banyak menggunakan huruf fa bukannya ba bagi merujuk huruf p. Pengaruh Arab juga jelas lebih kuat berbanding pengaruh India dalam kehidupan harian masyarakat Melayu. Salah satu buktinya ialah nama-nama yang digunakan oleh orang Melayu rata-rata adalah berasaskan nama Arab. Perbahasan turut melibatkan idea-idea tentang bagaimana hendak memecahkan kebuntuan pensejarahan Sulu dan Mindanao. Ini termasuklah identiti sebenar Tuan Masha’ika dan Maqbalu serta tarikh kedatangan Kabungsuan di Mindanao.
Buku setebal 170 mukasurat ini turut memuatkan Silsilah Palembang, Cirebon dan Gresik yang mempunyai kaitan dengan jaluran keturunan Ahlul Bait di Alam Melayu. Walau bagaimanapun, salasilah yang dimuatkan dalam buku ini berdasarkan pengamatan saya adalah bertumpu kepada jaluran Saiyidina Husain. Bagi saya, kalau salasilah Saiyidina Hasan turut dimuatkan dalam buku ini maka pasti ia akan menjadi lebih menarik. Saya pada mulanya agak terkejut juga apabila dimaklumkan tentang harga buku ini. Ya, harganya RM 180. Boleh tahan bukan? Pada hari pelancaran, buku tersebut dijual dengan harga istimewa iaitu RM 125. Saya pun sambarlah satu. Dari segi design dan font tulisan, nampak gayanya ia masih mengekalkan gaya yang sama seperti buku-buku tulisan Tan Sri Prof yang diterbitkan oleh ISTAC.

Monday, August 10, 2009

Prolegomena to The Metaphysics of Islam An Exposition of the Fundamental Element of the Worldview of Islam - Sayyid Muhammad Naquib al-Attas


Buku ini sangatlah ‘berat’. Nasib baik tak botak kepala baca buku ni. Saya pun bukannya reti sangat nak ulas buku ni sebab bahasanya dan isi kandungannya terlalu tinggi. Apa yang boleh saya simpulkan ialah seperti berikut;
1. Worldview Islam adalah pandangan Islam tentang realiti dan kebenaran yang boleh ‘dilihat’ dengan mata hati kita dan menjelaskan haqiqat wujud. Disebabkan apa yang dipancarkan Islam adalah wujud yang mutlak maka worldview Islam bererti pandangan Islam tentang wujud (ru’yaat al-Islam lil-wujud).
2. Elemen asas bagi worldview Islam terlalu banyak dan ia merupakan jalinan konsep-konsep yang tak terpisah. Antaranya ialah1) Konsep tentang haqiqat Tuhan, 2) Konsep tentang Wahyu (al-Qur’an), 3) Konsep tentang penciptaan, 4) Konsep tentang haqiqat kejiwaan manusia, 5) Konsep tentang ilmu, 6) Konsep tentang agama, 7) Konsep tentang kebebasan, 8) Konsep tentang nilai dan kebajikan, 9) Konsep tentang kebahagiaan.
3. Konsep penting sebagai elemen pandangan hidup Islam. Konsep-konsep ini semua saling berkaitan antara satu sama lain membentuk sebuah struktur konsep yang sistemik.
4. Konsep menurut Prof Sayyid Muhammad Naquib amat berguna untuk mentafsirkan makna kebenaran (truth) dan realiti (reality).
5. Dalam studi keagamaan moden (modern study of religion) istilah worldview secara umum merujuk kepada agama dan ideologi, termasuklah ideologi sekular tetapi dalam Islam, worldview merujuk kepada makna realiti yang lebih luas.
6. Dalam Islam, Realiti dan Kebenaran bukanlah semata-mata fikiran tentang alam fizikal dan keterlibatan manusia dalam sejarah, sosial, politik dan budaya sebagaimana yang ada dalam konsep Barat sekular mengenai dunia, yang dibatasi kepada dunia yang dapat dilihat. Realiti dan kebenaran didasarkan kepada dunia yang nampak dan tidak nampak; mencakup dunia dan akhirat, dimana aspek dunia harus dikaitkan dengan aspek akhirat, dan aspek akhirat memiliki signifikan yang terakhir dan final.
Buku ini dikeluarkan oleh ISTAC. Cetakan pertamanya ialah pada tahun 1995

Islam and Secularism - Sayyid Muhammad Naquib al-Attas


Inilah buku pertama yang mengenalkan saya kepada pemikir besar tanahair ini. Sejak dari itu, saya terus mengumpul apa sahaja bahan atau teks yang berkaitan dengan tokoh besar ini. Buku ini dicetak buat pertama kali pada tahun 1978 dan kemudiannya dicetak sekali lagi pada tahun 1993. Buku yang menjadi koleksi saya adalah merupakan cetakan yang kedua. Secara jujur saya katakan bahawa setakat pembacaan saya sehingga kini, tokoh yang membahas istilah sekularisme dengan begitu terperinci tidak lain tidak bukan ialah penulis buku ini iaitu Sayyid Muhammad Naquib al-Attas. Prof Sayyid Muhammad Naquib al-Attas memulakan kajian terhadap istilah ini dari asal-usul istilah ini iaitu dari bahasa Latin yang menjadi sumber kepada bahasa Inggeris itu sendiri. Menurut Prof Sayyid Muhammad Naquib, istilah Inggeris secular berasal dari bahasa Latin saeculum yang mempunyai pengertian masa (time) dan tempat atau kedudukan (location). Saeculum pula bererti masakini di sini, yang mana masakini bererti masa sekarang, dan di sini pula bermaksud kepada di dunia ini. Jadi faham sekular, menurut Prof Sayyid Muhammad Naquib adalah merujuk kepada makna dan faham "kedisinikinian". Fuh, hebat sungguh pemikir besar apabila memunculkan istilah kedisinikinian. Memang tak terpikir langsung dalam benak kepala saya sebelum membaca buku ini tentang adanya istilah ini. Menurut Prof Sayyid Muhammad Naquib, proses sekularisasi yang berlaku dalam alam fikiran seseorang, dan kesannya terhadap masyarakat, berjalan menerusi tiga komponen terpadu, iaitu: disenchantment of nature (alam dikosongkan dari semua makna spiritual), desacralization of politics (politik tidaklah sakral) dan deconsecration of values (penyingkiran nilai-nilai agama dari kehidupan). Bagi manusia yang berfaham sekular, tidak ada ‘nanti’ (hari akhirat) dan tidak ada ‘sana’ (kehidupan ukhrawi) dalam akal fikiran mereka. Menurut mereka yang wujud hanyalah alam fizikal dan dengan demikian mereka menolak realiti-realiti metafizik. Ini bertentangan dengan world-view Islami yang meliputi segala kewujudan alam syahadah dan alam ghaib, alam tabi’i dan alam metafizik yang dapat dilihat dengan mata inderawi dan tampak pada pandangan a’kli-nurani. Oleh sebab itulah, Prof Sayyid Muhammad Naquib mendefinisikan world-view Islami sebagai ru’yat al-Islam li al-wujud. Selanjutnya, Prof Sayyid Muhammad Naquib melihat bahawa sekularisme itu adalah musuh dan penentang Islam, kerana faham ini berusaha untuk menghapuskan semua nilai secara total, termasuk nilai Islam. Disinilah letaknya betapa melampau atau ekstrimnya faham sekularisme dan sekularisasi. Bahaya faham sekularisme dan faham sekularisasi, serta proses-prosesnya, sama ada diperingkat individu ataupun masyarakat ataupun negara sepatutnya menjadikan kita lebih berhati-hati dengan pelbagai lagi faham-faham yang sebenarnya sudah lama menggejala tetapi diubah istilahnya agar kelihatan relevan dengan perkembangan semasa.

Sunday, August 9, 2009

Ma'na Kebahagiaan dan Pengalamannya dalam Islam - Sayyid Muhammad Naquib al-Attas


Satu lagi buah tangan Prof Sayyid Muhammad Naquib al-Attas yang patut ada dalam koleksi ialah bukunya yang bertajuk Ma’na Kebahagiaan dan Pengalamannya dalam Islam. Buku ini diterbit oleh ISTAC pada tahun 2002 buat kali pertama. Asalnya buku ini ditulis dalam Bahasa Inggeris tetapi kemudiannya diterjemah oleh anak muridnya iaitu Dr Muhammad Zainiy Uthman sehinggalah terhasilnya buku yang ada pada tangan saya ini. Dr Zainiy turut memuatkan pengenalan kepada terjemahan dan juga riwayat ringkas Prof Sayyid Muhammad Naquib dalam buku ini. Saya benar-benar menghargai usaha penterjemahan sebegini kerana bukan mudah hendak memahami gaya bahasa Prof Sayyid Muhammad Naquib dalam bahasa Inggeris yang sangat tinggi. Bahkan dalam Bahasa Melayunya pun, terpaksa merangkak-rangkak membacanya. Kalau tak dapat kata kunci mau tersadai buku-buku sebegini kat rak buku je. Tulisan Sayyid Muhammad Naquib dalam buku ini hanya setebal 46 mukasurat tetapi apabila ditambah dengan pengenalan dan riwayat ringkas, jumlah keseluruhan mukasurat buku ini hampir mencecah 90 mukasurat. Walaupun hanya 46 mukasurat, hendak menghabiskan isi kandungannya bukanlah satu perkara yang mudah. Saya sendiri pun berulangkali juga membacanya tetapi banyak tersangkut kat tengah jalan sehinggalah apabila saya memahami intipatinya barulah berjaya menghabiskannya. Untuk penulisan buku ini, Prof banyak merujuk kepada karya-karya lama seperti karya Imam al-Ghazali, Ibn Sina dan Aristotle. Prof turut merujuk satu buku tulisan Mortimer Adler yang bertajuk Reforming Education dimana buku ini ada diterjemah oleh DBP ( saya juga ada memiliki buku ini). Tapi pada pandangan saya, untuk penulisan buku ini, karya Imam al-Ghazali-lah yang paling banyak dirujuk oleh Prof seperti Ihya’ Ulumuddin, Ma’arij al-Quds fi Madarij Ma’rifat al-Nafs dan Mizan al-Amal selain dari buku-buku yang ditulisnya sendiri seperti Islam and the Philosophy of Science, Islam and Secularism, Islam: The Concept of Religion and the Foundation of Ethics and Morality, The Nature of Man and the Psychology of the Human Soul dan On Quiddity and Essence.
Prof Sayyid Muhammad sentiasa memberi definisi yang tepat tentang sesuatu tema besar. Sama seperti ma’na ilmu, Prof turut memberikan definisi kebahagiaan yang sangat tepat pada pandangan saya. Katanya,
Kebahagiaan (sa’adah), lawan kepada kesengsaraan (shaqawah), dan sebagaimana yang dialami dan disedari oleh mereka yang benar-benar menyerah diri kepada Tuhan dan menurut perintah-Nya, bukanlah sendirinya suatu tujuan akhir, ya’ni suatu tujuan yang berakhir dengan kebahagiaan itu sendiri, kerana kebaikan yang terala di dunia ini adalah cinta kepada Tuhan. Kebahagiaan yang berkekalan dalam kehidupan tidak merujuk kepada pihak jasmani atau zahir insan, tidak kepada diri hayawani dan badan insan sahaja; ia bukanlah suatu keadaan zihni (mental) semata-mata, atau perasaan yang mempunyai hujung-pangkal (ya’ni yang bermula dan berakhir) dan bukanlah ia bersenang-senang atau hiburan. Kebahagiaan yang berkekalan didunia melibatkan keyakinan kepada Kebenaran Terakhir dan penunaian segala perbuatan yang bersesuaian dengan keyakinan itu. Keyakinan adalah suatu keadaan yang kekal dalam kesedaran yang menjadi fitrah kepada sesuatu yang kekal dalam diri insan, dan ia dicerapi oleh anggota pengenalan bersifat ruhani yang dinamakan hati (qalb). Ialah ketenangan dan ketenteraman dan keselamatan hati (tuma’ninah): ialah pengenalan (ma’rifah) dan pengenalan ini ialah iman. Ia itu ilmu pengenalan tentang Tuhan sebagaimana Ia memperikan Diri-Nya dalam wahyu (al-Quran); ia juga melibatkan seseorang itu mengenal tempatnya yang hak dan betul dalam rencana alam ciptaan ini dan pertaliannya yang patut dengan Penciptanya diikuti dengan amal ibadah yang difardukan bersesuaian dengan ma’rifah itu hingga menghasilkan keadilan (‘adl). Hanya sanya dengan ma’rifah yang sedemikian itulah dapat cinta kepada Tuhan dicapai dalam kehidupan di dunia ini. (rujuk mukasurat 42 dan 43).
Untuk mendapat rasa nikmat menghayati kandungannya, silalah jadikan buku ini sebagai koleksi peribadi.

Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu - Prof Sayyid Muhammad Naquib al-Attas



Kulit luarnya dihiasi dengan khat yang sangat indah iaitu bermotifkan ayam jantan dengan maksud khatnya, Basmalah. Apa yang mengagumkan ialah khat ini dihasilkan oleh pengarangnya iaitu Sayyid Muhammad Naquib al-Attas, pemikir besar yang tidak asing lagi di negara kita dan juga di peringkat antarabangsa. Buku ini asalnya adalah syarahan pengukuhan perlantikan professor UKM tetapi kemudiannya atas inisiatif ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia), buku ini diterbit dan dijual dipasaran. ABIM mula menerbitkan buku ini untuk keluaran massa pada tahun 1984 setelah dua kali diterbit oleh Penerbit UKM. Buku yang ada pada saya ini adalah cetakan keempat yang dikeluarkan pada tahun 1990. Saya turut memiliki satu lagi buku ini yang diterbit selepas tahun tahun 1990 (saya tak ingat tahun bila, ada dekat rak buku saya, kena check balik). Mungkin buku ini dah termasuk dalam kategori klasik sebab susah nak dapat dipasaran. Penerbit UKM sudah tidak lagi mencetaknya tetapi menyediakan pautan untuk memuat turun buku ini, sila klik sini. Cuma ketika saya berkunjung ke Darul Fikir, saya ada terlihat dua tiga naskhah yang tinggal. Tempat lain tak pasti. Kalau tak silap saya, inilah syarahan perlantikan pertama yang julung-julung kali diadakan (merujuk kepada UKM). Dan ternyata Prof Syed Muhammad Naquib membuka ‘gelanggang syarahan’ dengan sangat bertenaga samada dari segi isi kandungannya mahupun dari segi khalayak yang mendengar syarahannya kerana dikatakan yang hadir pada tahun itu, bukanlah calang-calang orang. Ramai sarjana besar termasuk orientalis, menteri dan dua hadir pada hari syarahan tersebut sehingga dikatakan jumlah yang hadir mencecah ribuan orang. Maka bersesuaian sangatlah dengan status Sayyid Muhammad Naquib sebagai pemikir ulung dan bersesuaian jugalah beliau menjadi ‘pembuka syarah’ kepada siri-siri koleksi syarahan pengukuhan yang disampaikan oleh profesor-profesor UKM berikutnya. Apa pentingnya buku ini? Buku ini berusaha menjelaskan fakta keagungan umat Melayu-Islam yang sebenar, yang selama ini cuba diselewengkan oleh orientalis Barat dan para pengikut mereka. Sayyid Muhammad Naquib menyangkal teori sarjana Barat tentang kegemilangan tamadun Islam di Asia Tenggara. Apa yang menarik ialah Sayyid Muhammad Naquib mengadakan penelitian yang cukup mendalam bagi melenyapkan segala penyelewengan dan teori-teori songsang Barat. Untuk berbuat demikian, Sayyid Muhammad Naquib terlebih dahulu menguasai ilmu-ilmu Islam dan juga teori-teori Barat. Beliau mengkaji naskhah-naskhah tradisi Islam yang dihasilkan oleh tokoh-tokoh besar Islam seperti Ibn Arabi, al-Jili, al-Hallaj, al-Ghazali, Rumi Jami’, Iraqi’, al-Sarraj, al-Hujwiri, al-Jurjani, al-Kalabadhi dan tokoh besar Alam Melayu seperti Hamzah Fansuri, Shamsuddin Sumatrani, Abdur Rauf Singkel dan Nuruddin al-Raniri. Pada masa yang sama, beliau juga turut mentelaah karya-karya yang dihasilkan oleh sarjana Barat R.A Kern, T.W. Arnold, A.H. Hill, Snouck Hurgronje, Drewes, Vlekke, H.Pirenne, F.Stern dan ramai lagi. Setelah menguasai kedua-dua bidang tesebut maka barulah beliau menggagaskan ideanya dan tidak hairanlah jika idea yang digagaskan itu mendapat perhatian meluas dikalangan sarjana besar termasuklah orientalis kerana beliau mempunyai pengetahuan yang sangat luas dalam kedua-dua bidang itu. Tentang isi kandungan buku ini, izinkan saya memetik intro Prof Sayyid Muhammad Naquib. Katanya,
“Bahawa sesungguhnya syarahan ini bertujuan untuk memajukan satu renungan ilmiah yang luas mengenai peristiwa peradaban dalam sejarah Kepulauan Melayu-Indonesia.” (rujuk mukasurat 3)
Tentang bagaimana Sayyid Muhammad Naquib mematahkan hujah sarjana Barat, beliau menulis seperti berikut,
“Beberapa teori yang benar-benar serius mengenai tersebarnya Islam di Kepulauan Melayu-Indonesia telah dimajukan oleh sarjana-sarjana Belanda seperti Schrieke dan Van Leur beberapa puluh tahun yang lalu. Akan tetapi perbandingan yang telah diusulkan oleh Schrieke mengenai tersebarnya Islam dengan tersebarnya agama Hindu di daerah Kepulauan ini tiada dapat diterima sebagai benar-benar sah atau memuaskan syarat-syarat pemikiran ilmiah. Pandangan sarjana Belanda membesar-besarkan peranan agama Kristian dan pengaruh penjajahan Barat dalam sejarah tersebarnya Islam, disertai dengan perbandingan dan kesejajaran gaya sejarah yang kononnya terdapat antara Islam dan agama Hindu itu, sebagaimana telah disebut tadi - dan nanti akan dijelaskan lagi - tiada berdasarkan fakta-fakta yang kukuh atau pemikiran ilmiah yang sihat…..” rujuk mukasurat 17-18
Lalu disebut oleh Sayyid Muhammad Naquib seperti berikut,
“Tidak dapat diingkarkan bahawa sifat risalah-risalah Islam yang banyak terdapat di daerah Kepulauan Melayu-Indonesia dahulu menggambarkan sebahagian besar dari isinya itu mengandung unsure-unsur metafizika ilmu tasawwuf yang telah mencapai nilaian luhur dalam sejarah pemikiran serta metafizika dunia. Bahawa sesungguhnya ilmu tasawwuf itu mengikut pandangan Islam sendiri, tiada lain dari falsafah Islam yang tulen. Risalah-risalah yang mempunyai nilai rasionalisme dan semangat keagamaan yang luhur itu tidak dapat kita bandingkan dengan tulisan-tulisan yang terdapat sastera Melayu-Jawa zaman Hindu-Buddha yang hampir-hampir hampa dalam perbendaharaan akliah. Jiwa masyarakat Melayu-Indonesia mulai mengalami penghidupan baru dengan mengalirnya unsur-unsur ini dalam nadinya, laksana raksa menjulang tinggi tersentuh sinaran suria baru!....”
Memang dahsyat sungguh huraian Sayyid Muhammad Naquib dalam buku yang asalnya syarahan ini. Isinya padat, tajam dan diselang-seli dengan gaya bahasa yang sangat tinggi. Memang agak sukar juga untuk menghabiskan buku yang mempunyai gaya bahasa dan isi ilmiah yang sebegini tinggi tapi jika sudah mendapat kata kuncinya, tidak ada masalah untuk menghabiskannya. Buku ini kalau tak silap saya pernah dijadikan teks utama di Institut Bahasa dan Kesusasteraan Melayu di UKM. Saya ingat lagi kata guru saya, Dato Siddiq Fadzil. Katanya, beliau mengajar dan mengkhatam buku ini sehingga lunyai ditapak tangannya. Hebat sungguh penangan buku ini.

Friday, July 31, 2009

Risalah untuk Kaum Muslimin - Syed Muhammad Naquib al-Attas




Buku ini dikeluarkan pada tahun 2001 oleh Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (lebih dikenali dengan nama ISTAC) tetapi baru dua tahun lepas saya memilikinya. Buku pertama yang saya baca yang ditulis oleh pengarang ini ialah Islam dan Secularism. Dan kini, hampir semua buku yang ditulis oleh pengarang ini telah pun saya miliki. Apa pun untuk memahami setiap isi dalam buku-bukunya, baca sekali tidak memadai. Itu pandangan peribadi saya. Sebabnya ialah dengan gaya bahasanya yang sangat tinggi sukar bagi para pembaca macam saya (yang hanya pandai berbahasa rojak) memahami inti pati kandungan dan maksud yang hendak disampaikan. Terlalu mendalam. Selain itu, ayatnya juga panjang-panjang sehinggakan sahabat saya pernah berkata, boleh dikira berapa titiknya (noktah) dalam satu halaman. Bukunya yang saya rasa paling susah nak faham ialah Prolegomena to the Metaphysics of Islam yang dikeluarkan pada tahun 1995. Tinggi sungguh bahasanya. Walaubagaimanapun, mesej yang hendak disampaikan dalam kebanyakan karyanya adalah sama iaitu tentang faham agama, keadilan, kebebasan, akhlak dan amalannya, ilmu, kemajuan, krisis identiti dan akal. Penulisnya, Syed Muhammad Naquib al-Attas adalah mahaguru dalam pemikiran Islam yang sangat terkenal samada di peringkat tanahair mahupun antarabangsa. Beliau juga adalah guru kepada guru saya iaitu Dato' Dr Siddiq Fadzil. Teringat kata guru saya ketika beliau menuntut dibawah mahaguru besar itu. Pada masa itu beliau sedang menyiapkan tesis peringkat siswasah dan berada dibawah seliaan Prof Dr. Syed Muhammad Naquib. Kata guru saya, kalau nak jumpa dia kena datang waktu malam. Lazimnya berlanjutan hingga tengah malam. Kalau mahaguru besar itu ada sesuatu yang hendak disampaikan maka ia mungkin berlanjutan sehingga ke awal pagi. Pada ketika itu, Prof Dr Syed Muhammad Naquib tinggal di Petaling Jaya. Kata guru saya, idea-idea atau gagasan-gagasan yang ditulis dalam buku itu (dan kebanyakan buku yang ditulis oleh Syed Muhammad Naquib) sebenarnya sudah lama bermain di kepalanya. Tiap kali beliau berjumpa dengan gurunya itu pasti ada disebut atau disentuh perkara yang sama. Ini diperkuatkan sendiri oleh mahaguru besar ini yang menyebut di bahagian Prakata dalam buku Risalah ini bahawa beliau memang telah menggagas idea-idea ini sejak dari tahun 1973 lagi! Bermakna telah lebih hampir 30 tahun beliau bercakap tentang perkara ini dan nampaknya masih relevan hingga ke hari ini. Buku Risalah ini membincangkan isu yang sangat besar ditujukan kepada kelompok yang besar dan bersesuaianlah dengan kedudukannya sebagai mahaguru besar. Kepincangan yang beliau kesan dalam masyarakat Islam segera beliau lontarkan dalam karyanya lalu ditujukan kepada seluruh masyarakat Islam. Beliau berhak berbuat begitu kerana ketokohannya diiktiraf diperingkat antarabangsa. Saya teringat kata seorang lagi guru saya, Ustaz Khalif (kini Dr.). Katanya, beliau adalah orang besar (merujuk kepada Prof Syed Muhammad Naquib), jadi beliau memang berhak untuk bercakap tentang isu-isu yang besar. Seperti yang disebut oleh Prof Syed Muhammad Naquib dalam Risalahnya, Ini disebabkan oleh perasaan saya dewasa itu bahawa banyak perkara yang dihurai serta dibincangkan dalam Risalah ini bukan sahaja penting bagi bangsa kita, bahkan bagi Kaum Muslimin sedunia, kerana permasalahan yang terhurai dalamnya itu mengenai masalah kekeliruan mendalam yang sama sedang dideritai oleh Kaum Muslimin di merata dunia.
Mahaguru besar ini kemudiannya melontarkan persoalan yang melanda umat Islam. Katanya, Kau telah bertanya apakah ma'na Islam bagi kaum Muslimin dewasa ini: adakah Islam itu sesuai untuk zaman aneka-rupa yang sedang kita tempuh ini?: tiadakah patut Islam pun harus mengalami perubahan seperti yang dialami oleh agama-agama lain di dunia? Lalu jawabnya: Islam itu iaitu pada hakikat batinnya dengan kesuciannya dan kemurniannya dan keluhurannya dan keagungannya tetap sama Islam jua, tiada tersentuh oleh pencabulan masa dan kekaburan atau perubahan seperti yang telah berlaku pada agama-agama dan falsafah-falsafah lain. Oleh kerana Islam itu hakikat yang sebenarnya maka tiadalah dapat dia dipalsukan atau dirobah-ganti dan ditokok-tambah oleh akal insani atau oleh gejala-gejala peredaran masa dan sejarah (rujuk mukasurat 5).
Masalah pokok bagi kita sebagai umat Islam kata Prof Syed Muhammad Naquib ialah disebabkan lalai, jahil dan keliru. Katanya, Jadi kealpaan, kejahilan dan kekeliruan mengenai hakikat Islam itulah yang merupakan pokok bagi kita dan kealpaan, kejahilan dan kekeliruan itu timbul akibat kesilapan, atau kekurangan atau kehampaan ilmu (rujuk mukasurat 126).
Prof Syed Muhammad Naquib turut menyentuh isu kebudayaan Barat yang telah lenyap nilai agamanya. Katanya, Sesungguhnya Kebudayaan Barat telah sejak dahulu kala menceraikan agama dari kehidupan sehari-hari dan hanya memeluk tradisi atau perbendaharaan adat yang diwarisi berturun-temurun, kesenian, falsafah dan ilmu pengetahuan sains dan teknologi sebagai dasar hidup mereka (rujuk mukasurat 22). Justeru, umat Islam perlu sentiasa berwaspada dan tidak terperangkap atau tertipu dengan faham Barat sebegini. Banyak lagi perkara penting yang dihuraikan oleh Profesor Syed Muhammad Naquib dalam buku ini. Amat wajar bagi kita membaca dan memahaminya. Untuk mendapatkan buku ini, layari laman web ISTAC.