Friday, October 16, 2009

Penerbitan dan Percetakan Buku Melayu 1807-1960 - Md Sidin Ahmad Ishak




Buku ini diterbit buat pertama kali oleh Dewan Bahasa Pustaka pada tahun 1998. Seperti judulnya, buku ini menghuraikan sejarah penerbitan dan percetakan yang melibatkan buku-buku berbahasa Melayu sejak dari tahun 1807 hinggalah ke 1960. Penulis buku ini nampaknya bekerja keras menghasilkan penulisan buku ini. Kalau dilihat dari senarai kontaknya, ada yang sampai ke Eropahseperti di England dan Scotland bagi mendapatkan bahan-bahan yang diperlukan. Penulis buku ini juga tidak ketinggalan mendapatkan bahan-bahan penting dari individu perseorangan yang mempunyai kaitan dengan kronologi perkembangan penerbitan dan percetakan tanahair. Menerusi buku ini, pembaca akan dihidangkan dengan maklumat-maklumat lengkap seperti suasana persekitaran perusahaan buku, syarikat yang terlibat dengan perusahaan tersebut samada menerbit mahupun pencetak, penulis-penulis pada zaman itu dan juga undang-undang tentang penerbitan dan percetakan di zaman itu. Bagi mereka yang mencari kitab-kitab lama atau buku-buku klasik, buku ini boleh pilihan rujukan. Dibahagian lampiran, disenaraikan nama-nama buku yang pernah diterbitkan pada zaman itu. Antara bab yang menarik perhatian saya ialah bab undang-undang penerbitan dan percetakan (ditanda sebagai bab 10 dalam buku ini. Setelah membaca buku ini, barulah saya tahu betapa buku karya pendita Za'aba pernah mencetuskan kontroversi di Perak dan Johor sekitar tahun 1920-30an (rujuk mukasurat 257-258). Buku yang diharamkan itu ialah pertama, Pendapatan Perbahasan Ulama Berkenaan Qada' dan Qadar dan kedua, Umbi Kemajuan atau Falsafah Takdir. Buku pertama diharamkan sendiri oleh Sultan Perak pada ketika itu iaitu Sultan Iskandar Shah. Sultan sangat murka dengan buku ini sehingga mengarahkan Za'aba supaya memohon maaf dan ampun dari Sultan kerana menghasilkan buku tersebut. Isi kandungan buku itu dikatakan menjurus kepada kemajuan idea tentang doktrin heterodoks berkenaan dengan kebebasan. Buku kedua pula diharamkan oleh kerajaan negeri Johor pada tahun 1935. Ada juga gambar-gambar lama diselitkan dalam buku ini. Buku ini bagaimanapun tetap tidak terlepas dari mengandungi kesilapan. Pada notakaki di mukasurat 164, penulis menyatakan bahawa Tuan Husain Nasir al-Banjari berasal dari wilayah Banjar yang terletak di pulau Jawa. Fakta ini sangatlah bersalahan. Tuan Hussain asalnya dari Kedah. Banjar pula bukanlah terletak di pulau Jawa sebaliknya di Kalimantan. Satu lagi kesilapan ialah di mukasurat 187 apabila penulis meminta pembaca merujuk statistik peratusan penguasaan syarikat Persama dan United Press dalam bidang penerbitan dan percetakan pada bab 4 sedangkan bab yang perlu dirujuk ialah di bab 5.

No comments:

Post a Comment