Saturday, October 17, 2009

Fatwa dalam Perundangan Islam - Othman Haji Ishak




Dah lama saya mengidam buku ini. Saya memang menyimpan hasrat untuk memiliki buku ini kalau boleh yang 'ori' bukannya fotostat dan hasrat saya akhirnya termakbul jua hari ini. Di jualan gudang buku yang dianjurkan oleh Crescent News di Kelana Jaya, saya terjumpa buku ini. Saya ingat masih ada lagi dua tiga buah buku ini. Mungkin itu je kut saki-baki buku judul ini yang original yang masih tinggal! Apa istimewanya buku ini? Buku ini pernah disebut oleh almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir ketika membuat catatan tentang Syeikhul Islam Perak, Syeikh Muhammad Saleh al-Minangkabawi. Catatan tersebut boleh dirujuk disini. Almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir merujuk buku ini ketika mengulas urutan senarai ulama yang memegang jawatan Mufti Perak satu masa dulu. Apabila saya membelek buku ini, almarhum al-Ustaz nampaknya merujuk pada mukasurat 42. Selain dari Perak, penulis turut membuat liputan tentang sejarah perundangan Islam di negeri-negeri lain di Tanah Melayu. Sebenarnya buku ini adalah tesis PhD penulis buku dengan tajuk asalnya berjudul Satu Kajian Kritikal mengenai Institusi Fatwa dalam Hukum Shara' di negeri-negeri Melayu - Sejarah dan Interpretasinya. Penulis buku ini nampaknya sangat bertuah kerana dibimbing oleh seorang tokoh besar dalam bidang perundangan Islam tanahair iaitu Prof Ahmad Ibrahim ketika menyelesaikan pengajian PhDnya. Prof Ahmad Ibrahim turut memberi kata aluan di muka hadapan buku ini. Buku ini juga diteliti oleh ulama besar tanahair iaitu Datuk Sheikh Abd Mohsein bin Haji Salleh yang memegang jawatan Mufti Wilayah Persekutuan pada waktu itu. Datuk Sheikh turut memberi kata aluan didalam buku ini. Penelitian yang dilakukan oleh tokoh-tokoh besar terhadap buku ini menunjukkan bahawa buku ini sangat penting dalam khazanah ilmiah tanahair. Tidak hairanlah penerbit buku ini iaitu Fajar Bakti meletakkan buku ini dalam kategori Siri Undang-Undang dan disebut dibahagian kulit belakang buku bahawa buku ini adalah satu kajian ilmiah yang amat berfaedah di bidang akademik dan dakwah Islamiah. Ada 4 bab dalam buku ini. Pertama, mengenai latar belakang hal ehwal fatwa dalam sejarah perundangan Islam. Kedua, mengenai hal kedatangan agama Islam ke Tanah Melayu dan kedudukan perundangan Islam di Tanah Melayu. Hubungan adat dan hukum syariah turut disentuh dalam bab ini. Ketiga, mengenai hal fatwa di negeri-negeri Tanah Melayu. Keempat, mengenai perbincangan kritikal tentang hal fatwa di negeri-negeri di Tanah Melayu. Buku setebal 209 mukasurat dan dicetak pada tahun 1981 ini amat wajar dimiliki sekiranya anda ingin mengetahui sejarah perkembangan fatwa tanahair. Seperti saya sebut tadi, ada saya nampak dua tiga naskhah buku ini di rak-rak dibahagian belakang jualan gudang di Kompleks Sukan Kelana Jaya anjuran Crescent News. Jika terlambat mungkin orang lain akan sambar dulu. Jualan gudang ini bermula dari 13 Oktober dan berakhir pada 22 Oktober 2009.

No comments:

Post a Comment