Sunday, January 31, 2010

Kejatohan Kota Pagoh

Kulit buku

Halaman pertama

Buku ini saya pinjam di Pusat Dokumentasi Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka, KL beberapa hari yang lepas. Tujuan saya meminjam buku ini adalah untuk mencari informasi tentang Panglima Mat Berani. Beliau merupakan antara watak penting yang telah berjuang mempertahankan kedaulatan Kerajaan Melaka hingga ke titisan darah yang terakhir. Berikut adalah kisah Panglima Mat Berani yang saya petik dari tulisan Nurhayati Abdul Rahim,
MUAR: Pusara Mat Berani di Kampung Brohol. Pada papan tanda bertulisan Jawi tertera "Panglima yang Gagah: Mat Berani". Mat Berani. Itulah nama yang tertera pada sebuah pusara yang terletak kira-kira lima meter dari tebing Sungai Muar di Kampung Brohol, Panchor. Mungkin tidak ramai yang mengenalinya kerana namanya tidak pernah tercatat dalam sejarah. Tetapi menurut penduduk kampung berkenaan, Mat Berani adalah seorang panglima yang berkhidmat pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah Ibni Almarhum Sultan Alauddin Riayat Shah, sultan Melaka ke-7 yang memerintah di antara 1488 - 1511. Mat Berani dikatakan antara panglima yang sama-sama berjuang menentang serangan Portugis di Melaka pada tahun 1511. Apabila tidak mampu lagi menahan serangan Portugis, sultan dan pengikutnya yang setia mengundurkan diri dengan kapal dan mudik melalui Sungai Muar. Menurut ketua kampung, Haji Johari bin Haji Abd Hamid, 62, Sungai Muar pada ketika itu adalah laluan utama yang sibuk dengan kapal-kapal dagang dan kapal perang."Sultan Mahmud bersama pengikut-pengikut setianya telah mendirikan sebuah istana di hulu Sungai Muar dan bersemayam di situ sehingga kemuncak peperangan dengan Portugis," katanya. Menurutnya lagi, Mat Berani yang menjangka Portugis akan menyerang kedudukan sultan dari arah sungai telah membina kubu di tebing Sungai Muar. Tetapi Portugis telah menukar strategi peperangan mereka dengan melakukan serangan dari darat. Kesan kubu tidak dapat dilihat lagi kerana telah dimusnahkan oleh hakisan tebing dan banjir besar yang melanda kawasan itu. Menurut teks yang ditulis oleh ketua kampung Olak Sepam, Haji Mohd Salleh bin Tahir, 64, tentangan yang diberikan oleh Mat Berani dan pasukannya terhadap Portugis sangat hebat. Dalam peperangan itu, ramai yang terkorban, sama ada di pihak Mat Berani mahupun Portugis. Kapal-kapal perang Portugis juga dikatakan banyak yang musnah. Namun, akhirnya Panglima Mat Berani gugur di medan pertempuran dan disemadikan di Kampung Brohol manakala Sultan Mahmud Shah dipercayai mengundur diri ke Kampar dan bersemayam di sana.



Maqam Panglima Mat Berani

Berbalik kepada buku yang saya pinjam ini, ia ditulis oleh sejarawan Johor yang bernama Haji Muhd Sa'ad bin Haji Dahlan. Sebetulnya buku ini masih dalam peringkat manuskrip kerana tidak ada nama penerbit mahupun pencetak. Apapun, buku ini telah disempurnakan oleh pengarangnya pada 1 Disember 1972 dan berada dalam arkib Pusat Dokumentasi Melayu pada 30 Nov 1973 (seperti yang tertera pada muka pertama buku ini). Kata aluan buku ini ditulis oleh Dato Md Eusof bin Abd Rahman yang merupakan Pengerusi Persatuan Sejarah Negeri Johor cawangan Muar dan tokoh tempatan terkenal iaitu Dato Sulaiman Ninam Shah. Berdasarkan kepada catatan pengarang, isi kandungan yang ada dalam buku ini adalah berdasarkan kepada siasatan sejarah yang telah dilakukan sendiri oleh pengarangnya bersama-sama dengan beberapa orang rakannya di kawasan Pagoh dan Muar bermula dari tahun 1961. Ini bermakna pengarang telah mengambil masa selama 11 tahun untuk menyelesaikan penulisannya ini. Jalan penceritaan buku ini agak santai dan mudah dihadam. Boleh dihabiskan dengan sekali baca kerana ia terdiri dari 21 halaman sahaja. Isi kandungannya banyak berkisar tentang kepahlawanan Muhammad (Mat) Berani dalam mempertahankan kerajaan Melayu Melaka. Asal-usul pahlawan ini dan nama-nama ahli keluarganya ada diceritakan didalam buku ini. Pengarang menutup kisah ini dengan empat rangkap pantun atau syair yang sangat menarik.

Tuesday, January 5, 2010

Menyingkap Misteri Pulau Besar



Pulau Besar adalah sebuah pulau yang sangat istimewa. Ini adalah kerana pulau yang berkeluasan kira-kira 168 hektar didalam negeri Melaka ini sering dikaitkan dengan unsur mistik samada yang bercanggah dengan syariat seperti aktiviti menurun, memuja nombor ekor atau sebaliknya. Hakikatnya pulau ini pernah disinggahi dan didiami oleh ramai wali Allah satu masa dahulu. Sebab itu, tidak hairanlah jika sebarang aktiviti yang tidak baik yang hendak dilakukan disini seringkali menemui nasib malang atau bala bencana kerana adanya berkat dan karomah para wali Allah yang pernah tinggal disini satu masa dahulu. Nama pulau ini seringkali berhubung erat dengan nama tokoh besar yang juga wali Allah yang merupakan masyaikh kepada ramai para wali Allah di zamannya di Tanah Melayu. Beliau ialah Sultan al-‘Ariffin Syeikh Ismail ibn Saiyid Abd Qadir ibn Jabbar ra. Beliau sampai disini bersama rombongannya pada tahun 900 H/1495 M. Beliau lahir pada tahun 867 H/1463 M dan nasabnya sampai kepada Sultan al-Awliya Syeikh Abd Qadir al-Jilani dan seterusnya sampai kepada baginda Nabi Muhammad saw (halaman 29). Beliau berangkat ke Tanah Melayu setelah mendapat ‘arahan’ dari baginda Rasulullah saw sewaktu mengunjungi makam baginda pada tahun 1470 M (halaman 33). Antara wali Allah yang pernah berguru dengan Syeikh Ismail ialah Sunan Giri dan Sunan Bonang, dua nama besar dalam kelompok Wali Songo, tokoh besar yang pernah terlibat dengan penyebaran dakwah besar-besaran di Alam Melayu satu masa dahulu (halaman 144). Penulis buku ini iaitu Ustaz Safuan bin Abu Bakar banyak merujuk kepada kitab lama berjudul Haza Maulidu Tuhfatul Abrar fi Manaqibil ahlu Pulau Besar untuk tujuan penulisan buku ini. Bagi peminat sejarah Islam dan Alam Melayu, buku yang dikeluarkan oleh Penerbitan Seribu Dinar ini adalah sesuatu yang patut berada dalam koleksi.

Pembaratan Pemerintahan Johor (1800-1945) Suatu Analisis Sosiologi Sejarah terbitan Dewan Bahasa Pustaka (1997)







Saya sebetulnya tidaklah begitu berminat dengan istilah pembaratan. Apatah lagi bila disentuh tentang pemodenan. Walaubagaimanapun penulis buku ini iaitu Rahimah Abdul Aziz telah berjaya mengupas kedua-dua istilah tersebut dengan baik di permulaan buku ini. Antara ulasan penulis berkenaan dengan istilah pembaratan adalah seperti berikut,
Dalam proses membaratkan masyarakat negara-negara luar Eropah, corak pemerintahan secara tradisional negara-negara luar tersebut perlu dihapuskan. Setelah autoriti pemerintahan tradisional tersebut berjaya dipengaruhi maka kemasukan unsur-unsur Barat kedalam aspek-aspek lain masyarakat mudah ditingkatkan menerusi pentadbir penjajah, peniaga dan mubaligh Barat, juga sekutu-sekutu dan ejen tempatan. Perlembagaan, peraturan, nilai baru dan sebagainya diperkenalkan bagi menggantikan yang lama. (halaman 15)
Apapun, penulis kemudiannya menyatakan bahawa proses pembaratan perlu dilihat juga dari sudut positif misalnya membaiki kehidupan material penduduk tempatan, pendidikan, hospital, perubatan, bentuk-bentuk komunikasi dan pengangkutan. (halaman 16).
Inilah yang berlaku di Johor apabila Inggeris mula bertapak awal tahun 1800-an. Kelemahan kerajaan Johor pada waktu itu telah memberi kesempatan kepada Inggeris untuk mengadakan perjanjian yang akhirnya menguntungkan pihak penjajah ini. Perjanjian 1819 dan penyerahan sepenuhnya Singapura kepada Inggeris pada tahun 1824 adalah detik permulaan perluasan imperialis Inggeris di Tanah Melayu. (rujuk halaman 48). Walaupun pemerintah Johor berusaha untuk menghalang peluasan kerajaan Inggeris di Tanah Melayu anehnya pemerintah Johor sendiri telah mula membentuk peraturan kerja yang mirip Barat. Pemerintah pada waktu itu beranggapan bahawa Inggeris tidak akan mencampuri mana-mana urusan pemerintah tempatan yang telah menerapkan nilai-nilai moden dalam pemerintahan mereka. Majlis Mesyuarat ditubuhkan dengan mengikut bentuk yang terdapat di Westminster iaitu pusat parlimen dan kerajaan Inggeris. (rujuk halaman 58). Begitu juga dengan jabatan kerajaan yang digantikan dengan jabatan jenis Barat. Bahkan negeri disusun dan ditadbir mengikut cara-cara yang terdapat di jajahan Inggeris di Singapura. (rujuk halaman 62). Satu lembaga penasihat telah ditubuhkan di London pada tahun 1886. Lembaga ini dikenali dengan nama Lembaga Penasihat Johor. Tujuan penubuhannya adalah untuk menasihati sultan tentang hal-hal pentadbiran tetapi menerusi lembaga inilah, pengaruh dan idea Barat lebih banyak masuk ke Johor. (rujuk halaman 73). Kata penulis, kemuncak proses pembaratan di Johor ialah tertubuhnya perlembagaan negeri. Perlembagaan ini merupakan sebuah perlembagaan Barat dan yang membentuk sebuah kerajaan bercorak demokrasi. Menerusi perlembagaan yang ditubuhkan pada tahun 1895 ini, raja tidak lagi mepunyai kuasa mutlak sebaliknya perlu mendapatkan khidmat nasihat Jemaah Pangkuan Negeri untuk membuat sesuatu keputusan. Bahkan Jemaah Pangkuan Negeri boleh melantik raja baru jika raja yang memerintah tidak dapat memenuhi kehendak negeri. (rujuk halaman 74). Inggeris kemudiannya menguasai pemerintahan Johor apabila mereka meletakkan penasihat am di negeri tersebut pada tahun 1914. Ternyata usaha pemerintah Johor yang berusaha ‘membaratkan’ Johor dengan harapan Inggeris tidak menganggu pemerintahan negeri itu meleset sama sekali. Dari segi pendidikan, tulisan Jawi yang selama ini digunakan dalam hampir semua urusan rasmi telah mula diambil alih tulisan rumi. Penggunaan tulisan Jawi mula dihadkan kepada mata pelajaran tertentu sahaja di sekolah Melayu dan sekolah agama. (halaman 232). Apa yang menarik tentang buku ini ialah adanya lampiran perjanjian antara Inggeris dengan kerajaan Johor, undang-undang tubuh, persetiaan antara Sultan Ali dengan Temenggung Ibrahim dan surat Sultan Johor kepada Gabenor Negeri-negeri Selat.

Hubungan Empayar Melaka-Dinasti Ming abad ke-15




Empayar Melaka sangat mahsyur satu ketika dahulu. Buktinya, wujud satu kamus khas yang mengandungi perkataan bahasa Melayu yang disusun oleh sarjana Cina satu masa dahulu. Kamus ini dinamakan sebagai Man La Jia Guo Yi Yu. Kamus tersebut bagaimanapun memanggil Bahasa Melayu sebagai bahasa Melaka. Ini menunjukkan betapa Melaka satu masa dahulu adalah satu kerajaan yang besar sehingga diiktiraf oleh kerajaan Cina. Manuskrip tersebut dikatakan masih tersimpan dengan baik di London. Buku ini menjadi sangat menarik bagi saya kerana ada memuatkan sebahagian translasi manuskrip tersebut iaitu dari halaman 99 sehingga 111. Istilah-istilah yang digunakan oleh orang Cina yang diambil dari bahasa Melaka sangat menarik dan unik. Sebagai contoh, hujan besar (bahasa Melaka) disebut sebagai wu zhan bu sa dalam bahasa Cina manakala angin berhenti disebut sebagai an yin bu lun di. Selain translasi manuskrip, buku ini juga turut memuatkan kronologi hubungan diplomatik kerajaan Melayu dan Cina pada abad ke-15 Masehi. Kronologi tersebut boleh dirujuk di halaman 54-55 yang menyenaraikan rentetan lawatan Raja-raja Melaka ke China. Untuk tujuan kronologi tersebut, penulis telah merujuk buku sejarah lama China bertajuk Ming Shi (Sejarah Dinasti Ming) dan Ming Shi Lu (Rekod Hal Ehwal Dinasti Ming). Dikatakan bahawa buku Ming Shi Lu itu sangat tebal sehingga menjangkau beribu-ribu jilid dengan jumlah kata Cinanya sahaja lebih daripada 16 juta kata (rujuk halaman 11). Satu lagi kronologi ialah tentang peristiwa bagaimana kerajaan China yang diperintah oleh dinasti Ming memulakan hubungan diplomatik dengan kerajaan Melaka. Kronologi tersebut boleh dibaca dari halaman 63 hingga 76. Selesai membaca buku ini, saya dapat menyimpulkan dua perkara iaitu
1. Bahasa adalah sangat penting dalam membina hubungan diplomatik.
2. Bahasa menunjukkan kemajuan sesuatu bangsa. Semakin luas bahasa itu dipelajari maka semakin berkembanglah peranan sesuatu bangsa.
Buku yang diterbit oleh Penerbit UKM ini ditulis oleh sarjana besar dari Tanah Besar China yang menguasai bahasa Melayu iaitu Prof Liang Liji. Buku ini amat wajar dimiliki oleh pencinta dan ahli sejarah bahasa dan budaya.

Pemikiran Islam di Malaysia Sejarah dan Aliran


Buku yang ditulis oleh Dr Abdul Rahman Haji Abdullah dan diterbit oleh Dewan Bahasa Pustaka pada tahun 1998 ini pernah di terjemah ke dalam Bahasa Indonesia dan diterbit untuk edaran di Indonesia oleh Gema Insani Press. Apabila sesebuah buku itu diberi perhatian oleh penerbit Indonesia maka ia memberi isyarat bahawa isi kandungan buku itu sangat penting dan wajar ditelaah kerana tidak banyak buku dari negara kita yang diterjemah dan diterbit di negara jiran itu. Tentang isi kandungan buku ini, Dr Abdul Rahman telah mengupas sejarah pemikiran dan alirannya mengikut kelompok-kelompok tertentu. Beliau membahagikan pemikiran Islam di Malaysia kepada tiga bahagian utama iaitu pemikiran tradisonalisme, modernism dan reformisme. Apabila melihat kepada istilah-istilah yang digunakan, saya teringat kata-kata guru saya yang pernah menyatakan bahawa terlalu ramai penulis yang membahagikan kelompok pemikiran berdasarkan babak-babak yang menggunakan istilah sarjana Barat (orientalis). Kenapa tidak kita menggunakan pembahagian babak-babak mengikut istilah kita sendiri apatah lagi ianya berkait rapat dengan pemikiran Islam? Hujah yang ditimbulkan oleh guru saya itu sebenarnya sangat menarik. Alasannya ialah penggunaan istilah itu mungkin tidak sesuai kerana ia dikhuatiri akan memberi tafsiran yang tidak tepat kepada sesuatu babak pensejarahan itu. Hasilnya, babak pensejarahan itu dianggap salah dalam masyarakat padahal ia belum tentu salah. Tapi ini tidaklah bermakna apa yang dilakukan oleh kebanyakan penulis itu salah. Pada pandangan saya, percubaan penulis-penulis yang menulis berdasarkan babak-babak yang menggunakan istilah yang sedia ada berkemungkinan besar adalah untuk menyesuaikan keadaan tersebut dengan arus perdana agar ianya lebih mudah untuk difahami dalam konteks yang sama. Dalam kelompok tradisionalisme, Dr Abdul Rahman membahagikannya kepada tiga iaitu konservatif, reformatif dan neo tradisionalisme. Konservatif merujuk kepada perkembangan pengajian tradisional seperti pondok, tokoh-tokohnya dan pemikiran yang dibawa. Dr Abdul Rahman menyentuh perkembangan tabligh dalam bahagian reformatif. Perkembangan al-Arqam juga tidak terlepas dari lensa Dr Abdul Rahman Abdullah. Beliau meletakkannya dibawah tajuk Neo-Tradisionalisme. Dalam bahagian-bahagian lain juga, Dr Abdul Rahman menggunakan pendekatan yang sama iaitu memecahkannya kepada tajuk yang lebih kecil. Misalnya modernisme dipecahkan kepada gerakan modernis, modernism tradisional dan neo-modernisme manakala reformasi dipecahkan gerakan reformasi 1 dan 2, reformasi tradisional, neo-reformisme radikal dan neo-reformisme intelektual. Dr Abdul Rahman telah mengupas sesuatu kelompok dengan menyorot dari belakang ke depan. Setiap peristiwa diperhalusi dan dikupas dengan jelas. Cuma adakalanya saya tidak dapat membezakan sesuatu pendapat itu iaitu samada ianya adalah pandangan beliau atau pandangan yang dipetik dari sesuatu makalah atau beliau sebenarnya bersetuju dengan pandangan yang beliau petik itu. Sebagai contoh, dalam bab reformasi tradisional di halaman 337, beliau menulis,”Di Malaysia, masalah seperti ini (merujuk kepada Nur Muhammad) belum banyak dibahaskan secara kritikal, walaupun jelas bahawa hadis-hadis tentang Nur Muhammad adalah palsu dan daif.” Terdapat nota kaki pada ayat tersebut yang menyatakan bahawa ia dipetik dari buku yang ditulis oleh Adab Mahmud al-Hamasy bertajuk Salah Faham tentang Nur Muhammad terbitan Pustaka ASA tahun 1989. Terdapat juga kesilapan fakta seperti Kashf al-Asrar yang dinyatakan sebagai hasil penulisan (Syeikh) Muhammad Nafis al-Banjari (rujuk halaman 330)sedangkan kitab tersebut adalah ditulis oleh Syeikhul Islam Perak Syeikh Muhammad Saleh al-Minankabawi. Mungkin kitab yang dirujuk itu ialah Majmu al-Asrar bukannya Kashf al-Asrar kerana kitab itulah yang ditulis oleh Syeikh Muhammad Nafis. Apapun keseluruhan kandungan dalam buku ini sangat menarik untuk ditelaah apatah lagi ia menyentuh hampir kesemua babak penting yang berlaku dalam negara khususnya dalam tempoh 1930-an hingga 1990-an.

Beruas Kerajaan Kuno di Perak




Penerbitan buku ini ditaja sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Perak. Ini menunjukkan bahawa isi kandungan buku ini sangat penting dan bermakna kepada kerajaan Perak khususnya mengenai kedudukan Beruas dalam lipatan sejarah silam Perak. Tajuk bukunya sahaja sudah cukup menggambarkan bahawa satu masa dahulu pernah wujud satu kerajaan besar di Beruas, Perak. Cuma tidaklah dapat diketahui keluasan kerajaan itu sebesar mana. Adakah ianya lebih besar dari kerajaan Melaka atau sebaliknya. Memandangkan terdapat banyak taburan batu nisan Aceh disekitar kawasan tersebut, besar kemungkinan kerajaan Beruas mempunyai hubungan yang sangat erat dengan kerajaan Islam Aceh yang sangat terkenal itu satu masa dahulu. Buku ini ditulis oleh dua orang pakar sejarah yang tidak asing lagi. Salah seorang darinya ialah pakar dalam bidang batu nisan Aceh. Bahkan tesisnya PhD adalah berkaitan tentang kajian batu nisan Aceh. Kajiannya itu ada diterbitkan oleh Jabatan Muzium Negara. Beliau ialah Dr Othman Mohd Yatim. Sebenarnya, tujuan saya mendapatkan buku ini pun adalah untuk mengetahui lebih lanjut tentang lokasi-lokasi batu nisan Aceh dikawasan tersebut memandangkan batu nisan yang terdapat disitu adalah antara yang tertua di Malaysia. Seperti kata penulis buku ini di penghujung penulisannya dalam buku ini, kewujudan batu nisan Aceh di Beruas sangat penting untuk dikaji kerana ia menjadi bukti pengislaman Beruas pada abad ke-16 Masehi (atau mungkin lebih awal dari tempoh tersebut –kata pengulas). Taburan batu nisan Aceh di Beruas dinyatakan dalam buku ini seperti berikut;
1. Kubur panjang di Permatang Kubu (Kampung Tanjung Aru) – kubur panjang ini terletak di kawasan penanaman pokok kelapa di atas satu busut besar. (rujuk halaman 62-63) berdasarkan gambar yang disertakan, bentuk batu nisan ini seperti batu nisan Sultan Muzafar Syah Kedah (Sultan Kedah pertama)
2. Makam Puteri Bunian – kedudukannya di atas bukit Batu Hampar dan berada di celah Bukit Tiruan (halaman 80)
3. Makam berdekatan dengan Sungai Rotan – bentuk batu nisannya adalah sama seperti bentuk batu nisan raja Beruas di Kampung Kota (halaman 80)
4. Dua buah kubur di Kampung Permatang Padang Lalang (Kampung Pulau Meranti). Letak kubur-kubur ini adala dihadapan rumah Pak Mat Makam (halaman 101)
5. Makam Raja Beruas di Kampung Kota, 3 km dari Pekan Beruas (halaman 113)