Tuesday, January 5, 2010

Menyingkap Misteri Pulau Besar



Pulau Besar adalah sebuah pulau yang sangat istimewa. Ini adalah kerana pulau yang berkeluasan kira-kira 168 hektar didalam negeri Melaka ini sering dikaitkan dengan unsur mistik samada yang bercanggah dengan syariat seperti aktiviti menurun, memuja nombor ekor atau sebaliknya. Hakikatnya pulau ini pernah disinggahi dan didiami oleh ramai wali Allah satu masa dahulu. Sebab itu, tidak hairanlah jika sebarang aktiviti yang tidak baik yang hendak dilakukan disini seringkali menemui nasib malang atau bala bencana kerana adanya berkat dan karomah para wali Allah yang pernah tinggal disini satu masa dahulu. Nama pulau ini seringkali berhubung erat dengan nama tokoh besar yang juga wali Allah yang merupakan masyaikh kepada ramai para wali Allah di zamannya di Tanah Melayu. Beliau ialah Sultan al-‘Ariffin Syeikh Ismail ibn Saiyid Abd Qadir ibn Jabbar ra. Beliau sampai disini bersama rombongannya pada tahun 900 H/1495 M. Beliau lahir pada tahun 867 H/1463 M dan nasabnya sampai kepada Sultan al-Awliya Syeikh Abd Qadir al-Jilani dan seterusnya sampai kepada baginda Nabi Muhammad saw (halaman 29). Beliau berangkat ke Tanah Melayu setelah mendapat ‘arahan’ dari baginda Rasulullah saw sewaktu mengunjungi makam baginda pada tahun 1470 M (halaman 33). Antara wali Allah yang pernah berguru dengan Syeikh Ismail ialah Sunan Giri dan Sunan Bonang, dua nama besar dalam kelompok Wali Songo, tokoh besar yang pernah terlibat dengan penyebaran dakwah besar-besaran di Alam Melayu satu masa dahulu (halaman 144). Penulis buku ini iaitu Ustaz Safuan bin Abu Bakar banyak merujuk kepada kitab lama berjudul Haza Maulidu Tuhfatul Abrar fi Manaqibil ahlu Pulau Besar untuk tujuan penulisan buku ini. Bagi peminat sejarah Islam dan Alam Melayu, buku yang dikeluarkan oleh Penerbitan Seribu Dinar ini adalah sesuatu yang patut berada dalam koleksi.

1 comment: