Monday, January 24, 2011

Peran Kesultanan Bima



Wilayah Bima terletak di bahagian timur Pulau Sumbawa. Pulau Sumbawa dalam lipatan sejarah terkenal dengan kelahiran beberapa tokoh ulama besar di Alam Melayu. Antaranya ialah seperti Syeikh Zainuddin bin Muhammad Badawi. Syeikh Zainuddin terkenal dengan karyanya dalam bidang tauhid yang bernama Sirajul Huda. Kitab ini adalah salah satu daripada tiga kitab tauhid yang sangat masyhur di telaah di pondok-pondok. Dua lagi kitab kitab tauhid yang ditelaah ialah Faridatul Faraid dan ad-Durr as-Tsamin. Berbalik kepada kerajaan Bima, pemerintah yang menerajui kerajaan ini rata-ratanya alim dan berpegang teguh kepada ajaran agama. Bahkan mereka juga sangat tegas dan tidak memberi muka kepada kolonialis Portugis dan Belanda yang pada satu ketika berusaha hendak menguasai keseluruhan kepulauan Alam Melayu. .
Di antara pemerintah Bima yang dikenang orang sebagai seorang yang alim dalam bidang agama dan kuat menyebarkan dakwah ialah seperti
  1. Sultan Abdul Kahir
Baginda lahir pada tahun 1601 dan wafat pada tahun 1640 (8 Ramadhan 1050 H). Baginda bersama-sama dengan dua orang gurunya iaitu Datuk Di Tiro dan Datuk Di Bandang menyebarluaskan pengaruh Islam di seluruh pelusuk Kesultanan Bima (halaman 64). Penghormatan dan taat-setianya baginda kepada kedua orang gurunya menjadi ikutan rakyat yang sangat menghormati guru malah bercita-cita hendak menjadi guru (halaman 66). Setelah berhasil menyebarkan dakwah, pehatian kemudiannya dialihkan kepada bidang dan politik dan pemerintahan mengikut syariat Islam. Ulama memainkan peranan yang sangat besar dalam kedua-dua bidang ini (halaman 68)
  1. Sultan Abil Khair Sirajuddin
Baginda adalah putera kepada Sultan Abdul Kahir. Baginda lahir pada tahun 1627 (Ramadhan 1038 H) dan wafat pada 22 Julai 1682 (17 Rajab 1093 H). Pemerintahan baginda disokong oleh beberapa orang ulama seperti Datuk Raja Lelo, Datuk Iskandar, Datuk Selang Kota, Datuk Panjang dan Datuk Lela (halaman 71). Penulis buku ini mengibaratkan pemerintahannya seperti pemerintahan Sultan Salahuddin al-Ayubi yang terkenal dalam sejarah Islam atas kejayaannya membangkitkan semangat jihad melawan tentera Tartar dan Salib. Sultan Abil Khair pula berhasil menjadikan Bima sebagai pusat Islam di Indonesia Timur selepas Makassar sekaligus menggagalkan usaha Portugis dan Belanda mengusai Bima (halaman 72). Ketika berjuang di Jawa, Sultan Abil Khair telah berkenalan dengan ulama besa pada waktu itu iaitu Syeikh Umar al-Bantami. Syeikh Umar kemudiannya membantu Sultan Abil Khair menguruskan pemerintahan Bima dan berjuang bersama-sama baginda melawan Belanda (halaman 75).
  1. Sultan Nuruddin Abu Bakar Ali Syah
Baginda adalah putera kepada Sultan Abil Khair. Baginda lahir pada 5 Disember 1651 (29 Zulhijjah 1061 H) dan wafat pada 22 Julai 1687 (15 Ramadhan 1099 H). Syeikh Umar al-Bantami meneruskan usaha menegakkan hukum Islam dengan membantunya mentadbir kerajaan. Pada masa pemerintahannya, Bima dikunjungi oleh ramai alim-ulama dari Arab, Melaka, Sumatera, Banten dan Sulawesi Selatan (halaman 99).
  1. Sultan Hasanuddin
Baginda adalah putera kepada Sultan Jamaluddin dan cucu kepada Sultan Nuruddin. Baginda lahir pada 7 September 1698 (22 Zulhijjah 1100 H) dan wafat pada 23 Januari 1731 (14 Rajab 1145 H). Baginda sangat menekankan aktiviti dakwah dan gigih melawan Belanda. Baginda telah mengislamkan daerah Dou Donggo Ipa dengan cara menerapkan dakwah melalui kebudayaan (halaman 108)
  1. Sultan Muhammad Salahuddin
Baginda dilahirkan pada tahun 1888 (15 Zulhijjah 1306 H) dan wafat pada 11 Jun 1951 (7 Syawal 1370 H). Baginda digelar Ma Kakidi Agama kerana baginda menjunjung tinggi agama serta sangat alim dalam bidang agama (halaman 157). Baginda dikatakan alim dalam bidang fiqh dan qiraat (halaman 159). Sultan Muhammad Salahuddin dikatakan ada mengarang sebuah kitab yang berjudul Nurul Mubin yang pernah dicetak sebanyak dua kali, kali terakhir pada tahun 1942 (halaman 159). Baginda sangat cintakan ilmu pengetahuan dan alim-ulama. Baginda sendiri menanggung perbelanjaan penuntut ilmu yang ingin mendalami ilmu di Makkah. Begitu juga dengan pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran di Mesir, Madinah dan Baghdad, semuanya diikurniakan biasiswa (halaman 161). Baginda berusaha keras mendirikan masjid-masjid dan sekolah agama di setiap wilayah (halaman 162).
Kemangkatan Sultan Muhammad Salahuddin menandakan bahawa Kesultanan Bima yang berusia 322 tahun juga turut berakhir setelah Indonesia mengalami perubahan sistem politik dan pemerintahan (halaman 215). Apapun seperti kata penulis buku ini,
Modal utama yang paling menentukan kemajuan Kesultanan Bima adalah kecintaannya kepada agama sehingga akan tumbuh demokrasi sejati serta keuletan dan keberanian dalam membangun negara. Faktor inilah yang menyebabkan sultan-sultan bersama seluruh rakyatnya bangkit untuk melawan kezaliman dan menegakkan kebenaran Kesultanan Bima yang tercinta (halaman 216).

Sayyid Ulama Hijaz Biografi Syaikh Nawawi al-Bantani



Ulama besar Alam Melayu yang sangat terkenal pada abad ke-19 ini dilahirkan di Banten, sebuah kawasan yang telah melahirkan ramai tokoh ulama yang terkenal di rantau ini. Salasilahnya sampai kepada Sunan Gunung Jati, salah seorang wali Allah yang tergolong dalam kelompok wali yang dikenali dengan panggilan Wali Songo (halaman 13). Ayahandanya, Kiyai Haji Umar sampai salasilahnya kepada Maulana Sultan Hasanuddin, pemerintah Kesultanan Banten yang pertama (halaman 14). Syeikh Nawawi berangkat ke Makkah dalam usia 15 tahun pada tahun 1830 (halaman 25). Di Makkah, Syeikh Nawawi tinggal di Kampung Syi’ib Ali sehinggalah ke akhir hayatnya (halaman 39). Beliau menimba ilmu selama 30 tahun dari ramai ulama dan selepas itu mula mengajar di Masjidil Haram (halaman 45). Syeikh Nawawi mengikuti tariqat Qadiriyah yang beliau gurui dari seorang lagi ulama besar di Alam Melayu iaitu Syeikh Khatib Sambas. Perkara ini disebut dalam kitab yang ditulisnya yang berjudul Bahjatu Wasa’il bahawa fiqh Syafi’i adalah mazhabnya dan Qadiriyah adalah tariqatnya (halaman 48). Ketokohan Syeikh Nawawi tidak hanya terserlah dalam bidang pengajaran tetapi juga dalam bidang penulisan. Beliau diriwayatkan telah menulis sejumlah 100 buah kitab mencakupi pelbagai disiplin ilmu seperti tafsir, fiqh, tauhid, tasawwuf, sirah dan hadith (halaman 51). Beliau digelar Sayyid Ulama al-Hijaz kerana ketinggian ilmunya dalam bidang tafsir (halaman 52). Beliau menghasilkan kitab tafsir yang sangat terkenal semasa hayatnya yang diberi nama Marah Labid Tafsir (halaman 51).

Buku setebal 128 halaman ini asalnya merupakan sebuah skripsi penulis buku ini iaitu Samsul Munir Amin di peringkat ijazah sarjana muda (S1) ketika beliau menuntut di IAIN Walisongo Semarang. Skripsi ini lebih tertumpu kepada kajian arkib di mana penulis banyak menelaah kajian-kajian yang telah dibuat oleh sarjana terdahulu. Agak pelik juga kerana penulis buku ini banyak juga memetik karya Almarhum Ustaz Wan Muhammad Saghir Abdullah dan Snouck Hurgronje seperti yang tercatat pada footnote di beberapa halaman tetapi tidak pula dicatatkan di bahagian Daftar Pustaka. Apapun di bahagian Daftar Pustaka dapatlah diketahui bahawa terdapat banyak tulisan yang dilakukan tentang sosok tubuh ulama besar ini. Antaranya ialah seperti Chumaidi Umar yang bertajuk Karya Besar Syeikh Nawawi Banten yang tersiar dalam Suara Bengawan pada 2 Ogos 1987, Chaidar yang berjudul Sejarah Pujangga Islam Syaikh Nawawi al-Bantani Indonesia yang diterbitkan oleh CV Sarana Mulia pada tahun 1978 dan Yuyun Rodiana yang menghasilkan skripsi bertajuk Syaikh Nawawi al-Bantani:Riwayat Hidup dan Sumbangannya terhadap Islam pada tahun 1990 di Fakultas Sastra Universitas Indonesia. Ketiga-tiga karya ini banyak dirujuk oleh penulis buku ini.

Orang Jawa di Selangor Penghijrahan dan Penempatan 1880-1940



Buku ini ditulis oleh Khazin Mohd Tamrin, lulusan Jabatan Sejarah, Universiti Kebangsaan Malaysia. Ia dicetak buat kali pertama pada tahun 1984 dan dikeluarkan buat kali kedua pada tahun 1987. Buku ini asalnya adalah kajian setempat yang dijalankan oleh penulis di bawah seliaan Jabatan Sejarah, Universiti Kebangsaan Malaysia. Menurut penulis, kajian ini telah dijalankan antara tahun 1973 hingga 1976. Bermakna, kajian ini hanya dibukukan 8 tahun kemudian setelah diselesaikan oleh penulis. Apa peri pentingnya kajian ini? Menurut penulis, menerusi kajian ini, sumbangan masyarakat Melayu keturunan Jawa dalam perkembangan ekonomi dan sosial sejak abad ke 19 di Tanah Melayu khususnya di Selangor dapat dikenalpasti. Kajian ini juga diharapkan dapat memberikan gambaran baru bahawa pembangunan ekonomi Tanah Melayu pada zaman kolonial sebenarnya tidaklah bergantung sepenuhnya kepada peranan buruh atau tenaga kerja dari bangsa Cina dan India semata-mata.

Saya sebenarnya tertarik dengan hasil kajian luar yang dijalankan oleh penulis terutamanya yang berhubung dengan sebab-musabab kedatangan penghijrah Jawa ke Tanah Melayu. Antaranya ialah tekanan berat dari penjajah Belanda dan faktor mengerjakan haji. Tekanan berat yang dimaksudkan ialah lambakan cukai yang dikenakan ke atas penduduk asal Pulau Jawa. Penduduk asal perlu membayar pelbagai jenis cukai antaranya ialah seperti cukai peribadi yang meliputi perkakas rumah, cukai kenderaan walaupun jika seseorang itu hanya menggunakan basikal dan cukai pertukangan tangan yang dikira masuk dalam bab cukai perniagaan. Selain daripada itu, penduduk asal juga dikerah menjadi buruh paksa (halaman 42-43).

Berkenaan dengan faktor mengerjakan haji pula, ramai penghijrah berangkat ke Tanah Melayu khususnya di negeri Selangor kerana hendak mencari wang untuk dijadikan tambang pergi ke Makkah (halaman 46). Mereka pergi ke Tanah Melayu untuk membuka kawasan baru. Mereka mengerjakan kebun dan ladang di kawasan itu dan kemudiannya menjualkannya untuk mendapatkan tambang pergi ke Makkah (halaman 50). Lazimnya, mereka akan pulang semula ke Tanah Melayu untuk terus menetap di situ, bukannya menetap di Pulau Jawa. Sebenarnya tempat tumpuan masyarakat Jawa sebelum ke negeri Selangor atas faktor mengerjakan haji ialah di Singapura. Di Singapura, terdapat sebuah syarikat yang menawarkan pinjaman untuk dijadikan tambang haji. Bakal haji boleh memilih samada hendak membayar balik jumlah wang pinjaman itu hingga selesai atau bekerja di ladang syarikat itu sebagai ganti pinjaman yang telah dibuat sebelum itu (halaman 48-49). Ada juga yang bekerja menjadi orang gaji atau buruh di Singapura (halaman 49).

Seperti yang dinyatakan oleh penulis di halaman 63, orang Jawa termasuk dalam pengertian Melayu. Pengertian Melayu ini merangkumi orang Melayu dari Kepulauan Melayu, seperti Borneo, Jawa, Sumatera dan Makasar. Dengan ini jelaslah bahawa orang Jawa tergolong dalam istilah Melayu dan dengan itu penempatan orang Jawa telah diwartakan oleh Kerajaan sebagai tanah simpanan Melayu. Berkenaan perkara ini, penulis telah merujuk tulisan A.B. Voules yang bertajuk The Laws of Federated Malay States 1877-1920 dan K.A.N Aiyer yang bertajuk Indian Problems in Malaya.

Sumbangan orang Jawa di negeri Selangor dapat dilihat menerusi banyaknya penempatan yang dibuka di beberapa daerah dalam negeri itu. Antaranya ialah di daerah Kelang, Hulu Langat dan Kuala Selangor (halaman 85). Amalan baik yang menjadi tradisi masyarakat Jawa yang wajar dicontohi ialah budaya gotong-royong. Menurut penulis, gotong-royong adalah salah satu organisasi sosial yang penting di kalangan masyarakat Jawa. Organisasi ini telah dapat menunjukkan wujudnya semangat kerjasama dan kekukuhan hidup di kalangan mereka (halaman 111).

Shamail Tirmidhi Khasail Nabawi Syarah Shamail Muhammadiyah


Kitab Syamail Muhammadiyah yang merupakan nama asal kitab Shamail Tirmidhi disusun oleh Imam Tirmidhi, salah seorang dari 6 imam Hadith Sahih (Sahih Sittah). Apapun kitab yang diterjemah oleh Abdul Majid Ahmad ini agak istimewa kerana ia memuatkan Khasail Nabawi yang merupakan syarah ke atas Shamail Tirmidhi ini. Khasail Nabawi dikarang oleh Syeikhul Hadith yang sangat terkenal dari benua India iaitu Maulana Muhammad Zakariyya Kandahlawi. Seperti yang tercatat di bahagian muqadimah, titik tolak yang mencetuskan penulisan syarah ini ialah setelah Maulana Muhammad Zakariyya didesak berulang kali oleh kenalannya yang bernama Janab Muhammad Uthman Khan agar membuat terjemahan pendek ke atas kitab Shamail Tirmidhi ini. Kitab syarah ini diselesaikan oleh Maulana Muhammad Zakariyya ketika beliau berada di Delhi pada tahun 1926. Kitab yang terdiri daripada 55 bab ini menerangkan tentang Diri dan Budi Pekerti Terpuji Nabi saw. Di akhir kitab ini turut dilampirkan salasilah tariqat Chisti Maulana Muhammad Zakariyya. Kitab ini telah diterbitkan sendiri oleh penterjemah buku ini. Saya tidak pasti samada kitab ini mudah didapati di pasaran atau tidak. Saya menemuinya di sebuah kedai pakaian seragam sekolah dan barangan haji di Bandar Tun Razak, Cheras. Harga yang tertera ialah RM 21.

Monday, November 22, 2010

Menziarahi Kekasih Allah di Hadhramaut, Yaman


Gambar Allamah Al-Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz yang menghiasi kulit depan buku ini menjadi tarikan yang sangat kuat kepada saya untuk mendapatkannya. Buku ini merupakan satu lagi buah tangan Ustaz Ahmad Lutfi bin Abdul Wahab yang diterbitkan menerusi Mawleed Publishing. Buku ini mendapat perhatian pengetua Ma’ahad Tahfiz al-Quran Tarim, Habib Muhammad ibn ‘Alwi al-‘Aidrus. Beliau telah menukilkan kata-kata aluan untuk buku ini. Malah beliau juga telah mengijazahkan semua ijazah yang diterima dari ahli keluarganya kepada penulis buku ini (rujuk bahagian Ijazah kepada Penulis di halaman 4). Yaman adalah sebuah negeri yang sangat istimewa. Keistimewaan Yaman terakam di dalam hadith Rasulullah saw sendiri. Rasulullah saw bersabda, “Orang-orang Yaman telah datang. Mereka itu adalah orang-orang yang hatinya sangat lunak. Keimanan itu ada pada orang Yaman. Fiqh itu ada pada orang Yaman dan hikmah itu pun ada pada orang Yaman” (rujuk halaman 11). Yaman menjadi sangat istimewa apabila kotanya seperti Tarim menjadi pilihan penempatan ribuan keturunan Rasulullah saw. Dari kota ini, muncul ribuan alim-ulama yang kebanyakannya bertaraf wali-wali Allah (rujuk halaman 15). Selain dari menghidangkan manaqib tokoh-tokoh ulama, buku ini juga sarat dengan gambar-gambar yang mempunyai kaitan dengan tokoh ulama dan tempat-tempat bersejarah di sekitar Yaman. Secara keseluruhan, saya amat senang dengan font tulisan dan rekaletak kandungan buku ini. Santai sahaja bila membacanya. Cuma bagi saya, mungkin buku ini akan menjadi bertambah menarik seandainya penulis buku ini, Ustaz Ahmad Lutfi dapat memuatkan juga catatan harian beliau ketika bermusafir di negeri yang penuh barokah itu.

Shaikh Dalam Ilmu Tariqah – Syeikh Dr Haji Jahid bin Haji Sidek al-Khalidi


Buku ini telah sekian lama dinantikan oleh banyak pihak khususnya mereka yang berkecimpung dalam bidang tariqah. Asalnya buku ini dikeluarkan oleh Penerbit Universiti Malaya pada tahun 1997. Kini ia dikeluarkan semula menerusi al-Falah Publications. Dari segi isi kandungan, secara sepintas lalu saya melihat isi kandungan cetakan terbaru adalah sama dengan cetakan lama. Misalnya pembahagian bab dan sub-bab semuanya sama. Bab 1 bermula dengan ilmu tariqah diikuti dengan bab Ringkasan Sejarah Ilmu Tariqah. Bab berikutnya ialah Konsep Shaikh. Kedudukan, Peranan dan Kepentingan Shaikh dikupas dalam Bab 4. Bab 5 membincangkan masalah-masalah penting yang berkait dengan Shaikh Murshid. Isi kandungan diakhiri dengan Salasilah-salasilah beberapa tariqat utama di Alam Melayu. Yang membezakan cetakan lama dengan cetakan baru ialah dari segi nota kaki. Cetakan lama menggunakan end note sementara cetakan baru menggunakan foot note. Saya lebih suka foot note kerana lebih mudah hendak merujuk apatah lagi jika isi kandungannya mencecah hingga 463 mukasurat. Buku yang berharga RM 25 ini amat wajar dimiliki khususnya bagi mereka yang mencintai ilmu tariqah ini.

Tuesday, October 19, 2010

Syeikh Abdul Qadir Al–Mandili (1910–1965): Biografi dan Pendidikan Akhlak




Kalau tak silap saya, buku ini saya beli di Pesta Buku Antarabangsa dua tahun lepas. Tajuk buku ini menjadi daya tarikan utama. Sebaik ternampak buku ini, tanpa berfikir panjang terus saya sambar satu. Buku ini ditulis oleh Prof Madya Dr Ramli Awang yang merupakan salah seorang tenaga pengajar di Pusat Pengajian Islam dan Pembangunan Sosial, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai. Satu lagi buku tulisan beliau yang berada dalam simpanan saya ialah buku yang berjudul Perkembangan Institusi Pondok Di Nusantara: Pengaruhnya Di Negeri Kedah. Buku ini berbentuk monograf yang diterbitkan oleh Penerbit UTM pada tahun 2006. Syeikh Abdul Qadir al-Mandili merupakan seorang ulama besar Alam Melayu yang pernah menjadi guru di Masjidil Haram. Sumbangannya sangat besar kerana beliau bukan sahaja mengajar tetapi turut mengarang sejumlah kitab. Dalam buku biografi yang setebal 298 mukasurat ini, penulisnya telah membahagikan isi kandungannya kepada dua tema utama iaitu pertama, riwayat hidup Syeikh Abdul Qadir al-Mandili dan kedua, pendidikan akhlak menurut perspektif al-Mandili. Penulis telah memperincikan pendidikan akhlak yang meliputi akhlak batiniah tercela (madhmumah) seperti marah, dengki, cintakan kemegahan, cintakan dunia, takbur, ujub, bakhil serta riyak dan terapi dan akhlak terpuji (mahmudah) yang menjadi teras kepada kehidupan yang tidak seharusnya luput dari amalan umat Islam seperti taubat, takutkan Allah, zuhud, sabar, syukur, ikhlas, tawakal, kasihkan Allah serta reda dengan qada’ Allah Taala. Penulis turut memasukkan kaedah terapi untuk akhlak batiniah tercela dan pemeliharaan anggota lahiriah. Dalam Bab 7 (semuanya ada 8 bab), penulis menyertakan analisis metode al-Mandili dalam memahami akhlak. Ini termasuklah hubungan pemikiran akhlak al-Mandili dengan Imam al-Ghazali dan juga konsep takhalli dan tajalli. Buku ini dijual dengan harga RM35. Amat sesuai untuk bacaan semua peringkat masyarakat khususnya mahasiswa, para pendidik, ibu bapa dan individu yang ingin membentuk peribadi serta generasi masa depan berakhlak mulia.