Monday, July 5, 2010

Mencarik Ilusi Menggapai Realiti Wacana Tasawuf, Tarekat dan Pemikiran Kalam Imam Ahmad al-Sirhindi – Mohd Nasir Mohd Tap



“Buku Ustaz dah keluar ke belum?” Tanya saya pada Ustaz Nasir kira-kira setahun yang lalu. “Insyallah, keluar tahun ni”, kata Ustaz Nasir kepada saya. Hanya setahun selepas itu baru saya berpeluang memilikinya. Itupun setelah berjumpa dengan Ustaz Nasir sendiri ketika saya berkunjung ke Kolej Dar al-Hikmah baru-baru ini. Buku yang setebal hampir 500 mukasurat ini telah diberi kata pengantar oleh Presiden Kolej Dar al-Hikmah sendiri iaitu Dato’ Dr Siddiq Fadzil. Sementara kata-kata aluan telah diberikan oleh Shaykh Dr Jahid Sidek al-Khalidi, Pengerusi Yayasan Bina Budi Malaysia dan Panel Jalsah Turuq Sufiyyah, Jabatan Mufti Negeri Sembilan. Kandungan buku ini terbahagi kepada enam wacana tidak termasuk pra-wacana dan pasca-wacana. Kata Ustaz Nasir dalam ruangan sekapur sirihnya, motivasi untuk menulis buku ini tercetus setelah beliau dihadiahkan oleh sahabatnya yang berasal dari Turki, sebuah karya monumental al-Sirhindi cetakan Makkah yang bertajuk al-Maktubat al-Rabbaniyyah. Motivasi untuk menulis buku menjadi semakin kuat setelah disaran oleh Dato Dr Siddiq agar beliau mengembangkan kertas kerja yang berkaitan dengan Imam Ahmad al-Sirhindi yang dibentangkan di dalam satu forum pada tahun 2006 yang lalu dalam bentuk buku. Selain dari huraian intelektual yang dipersembahkan oleh Ustaz Nasir dalam bentuk wacana, yang menarik perhatian saya tentang kandungan buku ini ialah gambarajah jaringan sanad tarekat sufiyyah dan sanad tarekat Naqsyabandiyyah Khalidiyyah. Sementara di bahagian lampiran, ada dimuatkan tentang perjalanan suluk menurut al-Sirhindi yang berkaitan dengan kosmologi-psikologinya. Malangnya, carta lampiran yang dilampirkan itu tidak dapat saya baca kerana saiznya yang terlalu kecil. Apapun, secara keseluruhan kandungan buku ini amat memuaskan dan wajar dimiliki bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang gagasan intelektual Imam Ahmad al-Sirhindi.

Thursday, June 24, 2010

Simposium Tasawuf dan Tariqat


Buku yang diterbitkan oleh Pustaka Muda yang berpangkalan di Ipoh ini dikeluarkan awal setahun daripada yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan iaitu pada tahun 2005. Isi kandungannya adalah sama iaitu terbahagi kepada dua simposium yang memuatkan artikel-artikel tentang tasawwuf dan tariqat yang telah ditulis oleh tokoh besar Alam Melayu satu ketika dahulu iaitu almarhum Prof Dr Burhanuddin al-Helmi. Almarhum Prof Dr Burhanuddin menguasai pelbagai bidang ilmu antaranya ialah seperti bidang homeopati, falsafah dan bahasa selain bergiat aktif dalam politik. Diriwayatkan bahawa beliau menguasai bahasa Arab, Perancis, Belanda dan Jerman untuk menguasai bidang-bidang yang disebutkan di atas. Buku yang diterbitkan oleh Pustaka Muda lebih nipis berbanding yang diterbitkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan. Ianya mungkin disebabkan oleh jenis font dan saiz font yang digunakan. Di halaman akhir, terdapat catatan tambahan yang menyatakan bahawa almarhum Prof Dr Burhanuddin telah berguru kepada Tuan Guru Syeikh Haji Mohd Yatim, Guru Tariqat Naqsyabandiyah di Kampung Belanja Kiri, Parit, Perak.

Simposium Tasawwuf dan Tariqat


Buku ini dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus pada tahun 2006 iaitu 40 tahun selepas ia dikeluarkan buat kali pertama oleh Penerbit al-Rawi. Buku yang ditulis oleh seorang tokoh yang sangat terkenal di Alam Melayu tidak lama dahulu iaitu almarhum Prof Dr Burhanuddin al-Helmi terbahagi kepada dua bahagian utama iaitu Simposium Pertama dan Simposium Kedua. Isi kandungannya adalah berdasarkan kepada risalah yang juga ucapan almarhum ketika di majlis persidangan pembukaan Kongres Ahli-ahli Tariqat as-Sufiah seluruh malaya yang diadakan di Kuala Lumpur pada tahun 1962. Disebabkan risalah ini mendapat sambutan hangat, maka ia diterbitkan pula dalam bentuk artikel di dalam akhbar Edaran Zaman sehinggalah ia kemudiannya dibukukan untuk tujuan rujukan kepada para pembaca. Buku ini sangat penting untuk ditelaah jika seseorang itu ingin mengetahui pandangan dan perjalanan hidupnya almarhum Prof Dr Burhanuddin tentang ilmu tasawwuf dan tariqat. Di halaman 42 hingga 44, almarhum ada mencatatkan tentang perjalanan hidupnya semenjak dari kecil hingga dewasa. Bab lain-lain yang saya kira sangat menarik selain dari kisah perjalanan hidupnya ialah tentang riwayat perkembangan tariqat dan pandangannya tentang tasawwuf, metafizik dan tariqat dengan bahasa yang mudah dihadam. Tentang pandangannya terhadap tasawwuf, beliau mengungkapkannya seperti berikut, "...Tasawwuf itu menghembuskan jiwa yang dinamik, sanggup berhabis-habisan berkorban, memelihara dan mempertahankan akidah dan prinsip-prinsip Islam, beriman yang sempurna; sempurna dalam urusan hidup, kenal kepada rahsia dan hikmah hidup, menyeru dan memimpin kepada perikemanusiaan yang tinggi, suci dan kepada ketuhanan dengan penuh jujur dan amanah. Di samping itu bersungguh-sungguh tolong-menolong atas perkara taat dan taqwa. Pesan-berpesan, ingat beringat atas perkara hak dan sabar serta berlumba-lumba berbuat kebajikan. Tasawwuf itu adalah alam batin sebagai jiwa dan nyawa manakala alam zahir itu sebagai jasadnya". (Rujuk halaman 13-14).

Thursday, May 20, 2010

Wasiat Luqman al-Hakim kepada puteranya - Susunan Syed Ahmad Semait


Buku ini sangat wajar dibaca khususnya ibubapa dan golongan remaja. Buku yang disusun kemas oleh Almarhum Syed Ahmad Semait ini mengandungi wasiat-wasiat Luqman al-Hakim yang namanya disebut didalam surah Luqman kepada puteranya. Almarhum Syed Ahmad Semait telah menyusun sebanyak 10 wasiat yang kemudiannya dijadikan bab-bab dalam buku ini. Sepuluh wasiat tersebut ialah
1. Jangan sekali-kali engkau mempersekutukan Tuhan
2. Berbuat baik kepada kedua ibubapa
3. Jangan ikut seruan syirik
4. Ingatlah bahawa manusia itu akan mati
5. Tiada yang akan tersembunyi dari ilmu Allah
6. Dirikanlah sembahyang
7. Kerjakan yang baik, tinggalkan yang jahat
8. Jangan suka menyombong diri
9. Sederhanalah dalam perjalanan
10. Rendahkanlah suaramu
Almarhum Syed Ahmad Semait juga turut membicarakan serba ringkas tentang biografi Luqman al-Hakim (rujuk halaman 5) didalam buku setebal 84 mukasurat. Buku yang asalnya himpunan artikel yang ditulis oleh almarhum dalam majalah Fajar Islam (dikeluarkan oleh Majlis Ugama Islam Singapura) ini diterbitkan oleh Pustaka Nasional buat kali pertama pada tahun 1987.

Mengapa Kita Mesti Merayakan Keputeraan Nabi Saw – Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki al-Hasani


Kitab ini dikarang oleh ulama besar Hijjaz iaitu Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki dan diterjemah oleh Sayyid Zain al-Habsyi. Ia dikeluarkan di bawah label Penamas pada tahun 1989. Perbahasan kitab ini adalah berkisar tentang dalil-dalil mengharuskan merayakan hari Keputeraan Nabi saw, pendapat Ibn Taimiyah tentang Maulid, pendapat penulis kitab ini tentang Maulid, kebaikan berdiri ketika membaca maulid dan sejarah kitab-kitab maulid yang pernah dikarang oleh ulama-ulama besar satu masa dahulu. Antara dalil yang mengharuskan merayakan hari keputeraan Nabi saw ialah merayakan hari kelahiran melambangkan satu kegembiraan dan kesayangan terhadap junjungan kita Rasulullah saw sehingga orang kafir seperti Abu Lahab pun pernah mendapat manfaat daripadanya. Dalam kitab al-Bukhari ada disebut bahawa siksaan Abu Lahab di ringan pada tiap-tiap hari Isnin kerana telah membebaskan hambanya bernama Tsuwaibah apabila hambanya itu membawa khabar akan kelahiran Nabi saw (rujuk halaman 2 dan 3). Dalil-dalil lain ialah seperti Nabi saw sendiri memuliakan hari keputeraannya dan bersyukur pada hari lahirnya di atas nikmat dan kelebihan yang besar yang telah diberikan Allah ke ataw wujudnya di alam semesta ini yang membawa kebahagiaan pula kepada segala yang maujud di atas bumi ini (halaman 4); bahawa merayakan hari keputeraan Nabi saw membawa kita untuk bersalawat dan salam kepada Nabi saw (halaman 6); bahawa merayakan hari keputeraan Nabi saw yang mulia merupakan salah satu sambutan ke atas hari kelahiran baginda saw dimana pada perayaan ini, kita dikenalkan kepada mukjizat dan riwayat hidup Nabi saw (halaman 7); mengenali akhlak Nabi saw serta mukjizat-mukjizatnya yang semua itu akan membawa kepada kesempurnaan iman kita dan menambah kasih sayang kita kepada Nabi saw (halaman 7); memuliakan Rasulullah saw amat digalakkan dalam syara’ dimana jamuan dan perkumpulan serta berzikir yang diadakan adalah sebagai tanda kesyukuran kepada Allah Ta’ala yang memberi kita kurnia-Nya yang besar dengan mengutus Rasulullah saw (halaman 8); bahawa maulid itu mengarah kepada berkumpul, berzikir, bersedekah, mengucap puji-pujian bagi memuliakan Nabi saw maka semua ini adalah sunnah, dan sangat digalakkan oleh syara’ menurut hadis-hadis yang sahih (halaman 9) dan bahawa sambutan maulid akan membangkitkan semangat untuk mengingati Nabi saw dalam Islam disyariatkan kita mengingati baginda saw (halaman 13). Antara ulama besar yang pernah mengarang kitab maulid yang disebut dalam kitab ini ialah Ibnu Nasiruddin (halaman 21), al-Hafiz al-Iraqi (halaman 22), al-Hafiz as-Sakhaawi (halaman 23), Imam Ibnu Katsir (halaman 24) dan Ibnu Daiba’ (halaman 25). Kitab yang setebal 25 mukasurat ini wajar dibaca untuk mendapatkan kefahaman yang jelas tentang sambutan maulid.

Thursday, April 8, 2010

Ulama Silam dalam Kenangan


Buku ini diterbitkan sempena sambutan ulangtahun ke-20 Universiti Kebangsaan Malaysia. Didalamnya terkandung 13 makalah yang ditulis oleh kakitangan akademik Fakulti Pengajian Islam, UKM. 13 tokoh yang tersenarai dalam buku ini ialah Abu Bakar Ash’ari, Syeikh Tahir Jalaluddin, Tok Kenali, Tuan Hussain Kedah, al-Syeikh Ahmad al-Dandarawi, Tokku Tuan Besar, Haji Ahmad Haji Md Kasim, Tuk Shihabuddin, Dato Sayyid Alwi Tahir al-Haddad, Haji Yusuf Shahabuddin, Zulkifli Muhammad, Syeikh Othman Sarawak dan Haji Muhammad Suhaili Haji Yaakob. Antara bahagian menarik dalam buku ini ialah tentang pengijazahan bersanad zikir dan kitab-kitab dari ulama-ulama mahsyur satu masa dahulu kepada tokoh-tokoh yang dibicarakan dalam buku ini. Sebagai contoh, Tuan Guru Haji Ahmad bin Kasim menerima ijazah zikir La Ilaha Illallah dari gurunya, Syeikh Mukhtar Atarid yang bersambung sanadnya hingga kepada Rasulullah saw. Buku ini sangat menarik untuk dibaca. Kalau tak silap saya buku ini masih lagi dijual di pasaran. Cara termudah ialah dengan mendapatkannya di Kedai Buku Penerbit UKM.

7 Wali Melayu - Memartabatkan (memuliakan) bangsa Melayu dengan nur Iman dan Islam


Buku yang ada pada tangan saya ini adalah merupakan buku yang dicetak buat kali kelima. Itupun pada tahun 1998, kira-kira 12 tahun yang lalu. Kali pertama buku ini dicetak ialah pada tahun 1993. Kekuatan buku ini pastilah pada judulnya, yang mempunyai hook yang sangat kuat, mencangkuk sesiapa yang terpandang kelibat buku ini, membuatkan hati rasa terpaut ingin menatap apa yang tersurat didalamnya. 7 Wali Melayu, itulah tajuk yang digunakan oleh pengarang buku ini, Abdul Ghani Said. Siapakah 7 Wali Melayu yang dimaksudkan? Penulis menyenaraikan 7 orang ulama besar yang sangat berpengaruh di Alam Melayu satu masa dahulu iaitu As-Sayyid Habib Nuh, Tokku Paloh, Tuan Tulis, Asy-Syeikh Muhammad Said al-Linggi, Syeikh Muhammad Nor al-Khalidi, Tuk Kenali dan Tuan Hussain Kedah al-Banjari. Berdasarkan kepada catatan penulis dan gambar-gambar yang dimuatkan, nyatalah bahawa penulis buku ini telah menghabiskan banyak masa untuk menjelajah ke beberapa negeri termasuk Singapura dan melakukan temubual dengan beberapa individu yang mempunyai kaitan secara langsung dengan tokoh yang diketengahkan. Buku setebal 166 mukasurat ini amat menarik untuk dibaca kerana gaya penulisan yang disajikan mudah dihadam. Saya tidak pasti samada buku ini masih lagi ada dijual dipasaran atau tidak.