Wednesday, September 15, 2010

Furu' al-Masa'il wa Usul al-Wasa'il


Kitab ini asalnya ditulis oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, ulama besar Alam Melayu abad ke-18 Masehi. Kitab ini kemudiannya diolah semula dan diberi nafas baru oleh Datuk Abu Hasan Din al-Hafiz setelah mendapati isi kandungannya amat wajar ditelusuri oleh masyarakat pada masa ini. Kitab ini terbahagi kepada dua furu’ iaitu furu’ usuluddin dan furu’ feqah. Apa yang menarik tentang isi kandungannya ialah dari segi perbahasannya yang sangat meluas tetapi telah diulas dengan sangat baik oleh pengarangnya. Seperti kata penyusunnya, Datuk Abu Hasan Din al-Hafiz, “Walaupun ia hanya sebuah kitab yang dialihbahasakan daripada kitab asalnya yang berbahasa Arab tetapi saya mendapati isi kandungannya amat padat sekali, ilmunya berguna hingga masa kini. Walaupun dinukilkan beratus tahun yang lalu tetapi perbahasannya masih hidup kerana ia membicarakan permasalahan semasa yang berlaku pada hari ini.” Sebagai contoh soalan seperti berikut,

“Adakah gugur fardu kifayah bagi solat jemaah jika sekiranya sebuah kampung itu terdapat satu kumpulan jin mendirikan solat jemaah atau solat jemaah dilakukan oleh kanak-kanak, adakah gugur tuntutan fardu kifayah tersebut ke atas orang dewasa atau mereka yang baligh?”

Lalu jawabnya,

“Gugur fardu kifayah ke atas seluruh penduduk kampung walaupun solat jemaah itu dilakukan oleh makhluk jin dengan syarat mereka menjelmakan diri sebagai makhluk manusia. Jika tidak maka tidak gugur fardu kifayahnya begitu juga jika dilakukan oleh kanak-kanak. Perlu diketahui bahawa semua fardu kifayah ke atas orang dewasa dan mereka yang baligh dikira gugur apabila dilakukan oleh kanak-kanak kecuali empat perkara (tidak gugur fardu kifayahnya) iaitu haji, umrah, solat berjemaah dan menjawab salam seperti mana pendapat Mudabighi”. (lihat halaman 390)

Kitab yang dikeluarkan oleh Telaga Biru ini mempunyai sejumlah 763 halaman. Setting, reka letak dan pemilihan warna yang bersesuaian dan menarik menyejukkan mata serta tidak meletihkan mata pembaca untuk menetap dari satu halaman ke satu halaman. Bagi saya, kitab ini adalah antara kitab terbaik yang pernah saya miliki tahun ini. Seperti yang dinyatakan dalam kata aluan oleh Datuk Haji Md Hashim Haji Yahaya, “Kitab ini harus dibaca setiap lepas solat berjemaah atau sebelum tidur malam. Biarlah sedikit demi sedikit asalkan istiqamah. Bacalah secara berjemaah dalam kumpulan….”

Sunday, September 5, 2010

Munajat Uwais al-Qarani


Kitab Munajat Uwais al-Qarani yang dicetak semula dan dikeluarkan pada malam 27 Ramadhan 1431 H

Kitab Munajat Uwais al-Qarani yang dikeluarkan buat kali pertama pada November 2002

Selain doa munajat, kitab yang disusun oleh Tuan Guru yang mulia, Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki turut menghimpunkan biografi Uwais al-Qarani, penghulu tabi'in yang namanya menjadi sebutan Rasulullah saw dan dicari oleh sahabat baginda ra kerana kemuliaan dan kelebihannya yang amat besar kepada umat Islam. Uwais hidup pada zaman Rasulullah saw namun beliau tidak berkesempatan untuk bertemu dengan Baginda saw. Ini adalah kerana beliau terpaksa berkhidmat kepada bondanya. Dia bimbang meninggalkan bondanya yang sedang uzur itu seorang diri (lihat mukasurat 56). Di dalam kitab yang bersaiz poket ini, Tuan Guru turut memasukkan kata-kata hikmah yang pernah diucapkan oleh Uwais. Antaranya ialah seperti, "Mencabut bukit dengan jarum-jarum lebih mudah daripada mengeluarkan sifat takabbur dari hati" (lihat mukasurat 51). Tuan Guru yang mulia telah mengijazahkan munajat Uwais al-Qarani kepada para ikhwan pada malam 27 Ramadhan 1431 H di Ampang.

40 Mutiara Nabawi Fadhilat al-Quran al-Karim

Kitab ini dikarang oleh al-Allamah Syeikh Yusof ibn Ismail al-Nabhani dan diterjemah ke dalam bahasa Melayu oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki. Syeikh Yusuf dilahirkan di kampung Ijzim pada hari Khamis tahun 1265 H dan wafat dalam awal Ramadhan tahun 1350 Hijrah. Salah seorang anak muridnya ialah al-Muhaddith Sayyid 'Alawi ibn 'Abbas al-Maliki al-Hasani yang merupakan ayahanda kepada al-Muhaddith Sayyid Muhammad ibn 'Alawi al-Maliki al-Hasani iaitu guru kepada Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki. Seperti yang terkandung di bahagian muqaddimah, isi kandungan kitab ini adalah berkenaan tentang hadith-hadith yang berkaitan dengan kelebihan yang besar bagi orang yang membaca al-Quran, menghafaznya, memahaminya dan mengamalkan serta menjadikan al-Quran sebagai panduan hidupnya. Tuan Guru yang mulia, Syeikh Muhammad Fuad telah mengeluarkan kitab ini sempena majlis Nuzul al-Quran dan Takrim Huffaz pada tahun ini (1431 Hijrah). Kitab ini dikhatamkan di Ampang pada malam 27 Ramadhan 1431 H bersamaan 5 September 2010.

Monday, July 19, 2010

Biografi Sayyid Ahmad al-Badawi - Ahmad Lutfi Abdul Wahab al-Linggi

Ketika membaca sepintas lalu buku ini, saya amat terkesan dengan kisah al-Habib Sayyid Yusuf al-Bakhour al-Hasani yang datang menziarahi penulis buku ini iaitu Ustaz Ahmad Lutfi ketika berada di Damanhur. Beliau bertanya kepada penulis, “Adakah terdapat maqam para wali Allah yang berdekatan untuk diziarahi?” Lalu penulis buku ini menjawab, “Tiada”. Al-Habib Sayyid Yusuf kemudian memandang penulis dalam keadaan kehairanan sambil berkata, “Bagaimanakah kamu belajar sesuatu ilmu tanpa dikelilingi oleh para wali Allah swt?” (rujuk halaman 16)
Maka atas sebab itu penulis buku selanjutnya menyatakan,
Sebuah tempat akan menjadi mulia dan dirahmati sekiranya diduduki oleh orang-orang soleh yang mereka itu merupakan di kalangan kekasih Allah swt. Dengan adanya kehadiran mereka, akan mendatangkan percikan hujan-hujan rahmat beserta wangi-wangian membawa cahaya keberkatan yang baik (rujuk halaman 16)
Sayyid Ahmad al-Badawi adalah salah seorang darinya. Beliau adalah seorang wali Allah yang telah menabur jasa di bumi Allah khususnya di Mesir. Kata penulis buku ini, “Kitab biografi ini dikeluarkan sempena meraikan seorang kekasih Allah swt yang bernama Sayyid Ahmad al-Badawi yang merupakan permata cemerlang lagi gemilang dalam perbendaharaan tokoh-tokoh para kekasih Allah swt di bumi Mesir” (rujuk halaman 13). Sayyid Ahmad al-Badawi bukan sahaja dikenang umat Islam sebagai seorang wali Allah yang dikurniakan dengan pelbagai karamah dan ilmu kasyaf, tetapi juga atas sebab kegagahannya bertempur di medan perjuangan. Pada tahun 1248 Masehi, beliau telah bertempur dengan dengan tentera salib berdekatan dengan Mansurah. Kegagahan dan ketangkasannya sangat digeruni musuh sehingga beliau digelar “Pemusnah yang Mengalahkan Musuh di dalam Peperangan” (rujuk halaman 77).
Dengan bahasa yang santai, Ustaz Ahmad Lutfi telah menghidangkan kisah-kisah yang menarik tentang wali Allah ini untuk dihadam oleh para pembaca. Ustaz Ahmad Lutfi juga turut memasukkan hizib-hizib, salawat dan qasidah yang menjadi amalan Sayyid Ahmad al-Badawi. Amalan ini boleh dirujuk dari halaman 122 hingga 143.


Allah memuliakan Rasulullah saw - Ahmad Lutfi Abdul Wahab al-Linggi

Buku yang ditulis oleh Ustaz Ahmad Lutfi ini dimulakan dengan gambar-gambar yang berkaitan dengan Rasulullah saw seperti cap mohor Rasulullah saw, bekas tapak kaki yang dikatakan milik Rasulullah saw dan sebagainya. Ini disusuli pula dengan bab muqaddimah dan selanjutnya diikuti dengan 15 bab yang berkaitan dengan kemuliaan Rasulullah saw. Buku setebal 128 mukasurat ini ditutup dengan sebuah qasidah indah yang berkaitan dengan Junjungan Besar Rasulullah saw. Untuk tujuan penulisan buku ini, Ustaz Ahmad Lutfi telah merujuk kepada beberapa buah kitab karangan ulama besar dunia antaranya seperti,
1. Insan al-Kamil karangan al-Muhaddith Dr Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki
2. Keistimewaan Rasulullah saw karangan al-Allamah al-Faqih al-Musnid Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin al-Maliki
3. Al-Syifa bi Ta’rif Huquq al-Mustafa karangan al-Hafiz Imam Qadhi Iyadh
4. Al-Syamail al-Muhammadiyyah karangan al-Hafiz Imam Muhammad ibn Isa ibn saurah al-Tirmizi
5. Al-Mawahib al-Laduniyyah karangan al-Imam Ibnu Hajar al-Qustallani
6. Khasais al-Nabawiyyah al-Kubra karangan al-Hafiz Imam al-Suyuti
7. Al-Tuhfah al-Murid Syarh Jauharah al-Tauhid karangan al-Allamah Ibrahim al-Baijuri
Antara perkara-perkara penting yang dibahaskan dalam buku ini ialah seperti keutamaan bersalawat ke atas Nabi Muhammad saw. Makna salawat seleperti yang dijelaskan oleh penulis di mukasurat 58 ialah seperti berikut,
Salawat maknanya adalah doa, penghormatan atau kasih daripada Allah, para malaikat dan orang-orang mukmin ke atas Baginda Rasulullah saw.
Penulis turut memetik beberapa hadith tentang kepentingan bersalawat (rujuk mukasurat 62-63).
Hadith 1
Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abdur Rahman ibn Samurah r.a disebutkan bahawa Rasulullah saw pernah menemuinya bersama para sahabat kemudian bersabda, “Semalam aku telah melihat satu pemandangan yang menakjubkan. Aku melihat seorang lelaki dari umatku melintas sirat dengan susah sekali. Kadang-kadang dia merangkak, ke sana sini dan kadang tergantung. Tidak lama kemudian salawat yang pernah diucapkan oleh lelaki itu datang kepadaku untuk selanjutnya membimbing tangan orang tersebut sehingga lelaki itu mampu berdiri tegak dan mampu melintas sirat”.
Hadith 2
Hussain ibn Ali r.a menyatakan bahawa Rasulullah saw bersabda, “Barangsiapa yang mendengar namaku disebutkan dihadapannya lalu dia tidak bersalawat kepadaku maka dia akan salah menempuh jalan menuju ke syurga”.
Hadith 3
Abu Zar al-Ghifari r.a menceritakan, “Suatu ketika aku keluar dari rumah dan bertemu dengan Rasulullah saw lantas Baginda saw bertanya, “Mahukah kamu aku beritahu tentang manusia yang paling bakhil?” Para sahabat menjawab, “Tentu, wahai Rasulullah saw!” Baginda saw bersabda, “Barangsiapa yang namaku disebutkan disisinya dan dia mendengarnya akan tetapi dia tidak bersalawat kepadaku. Itulah manusia yang paling bakhil”.
Antara kelebihan dan manfaat salawat ke atas Rasulullah saw seperti yang dinyatakan oleh penulis ialah seperti,
1. Melaksanakan perintah Allah dalam al-Quran
2. Menjadi sebab mendapat syafaat Rasulullah saw
3. Untuk dekat dengan Nabi saw di hari Qiamat
4. Untuk mudah melintasi titian Sirat al-Mustaqim
5. Bersalawat ke atas Rasulullah saw dapat menambah rasa cinta dekat dengan Baginda saw

Di akhir penulisan buku ini yakni selepas qasidah, penulis menutup isi kandungan dengan bait-bait indah dengan katanya, “Hadirkanlah hatimu, wahai sekalian orang yang berakal! Sehingga dijelaskan kepadamu tentang keindahan pengantin, erti kekasih yang paling dicintai. Kekasihmu yang sebenarnya adalah Rasulullah saw”.



Monday, July 5, 2010

Batu Aceh Johor Dalam Perbandingan

Buku ini merupakan hasil karya Daniel Perret dan Kamaruddin Ab Razak, dua tokoh yang tidak asing lagi dalam bidang pengkajian artifak bersejarah khususnya yang berkaitan dengan epigrafi. Pengkajian yang dilakukan oleh kedua-dua tokoh ini sangat teliti. Ini dapat dilihat menerusi perbandingan kajian dengan tokoh-tokoh epigrafi sebelumnya di mana jumlah batu aceh yang ditemui oleh kedua-dua tokoh ini jauh lebih tinggi berbanding tokoh-tokoh sebelumnya. Lokasi setiap batu aceh yang ditemui telah dimasukkan di dalam buku ini. Penulis buku turut memuatkan tipologi dan epigrafi setiap batu aceh yang ditemui. Perbandingan batu aceh yang bertaburan di seluruh Semenanjung dengan batu aceh yang terdapat di negeri Johor telah dihuraikan di dalam buku ini. Kandungan buku ini menjadi tambah menarik apabila gambar foto batu aceh yang terdapat di seluruh semenanjung dimuatkan di dalam bahagian akhir buku ini. Buku setebal 468 mukasurat ini menggunakan kertas glossy berkualiti tinggi dan berkulit keras. Ianya diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor pada tahun 2004. Harganya sekitar RM 170, kalau tak silap saya.

Mencarik Ilusi Menggapai Realiti Wacana Tasawuf, Tarekat dan Pemikiran Kalam Imam Ahmad al-Sirhindi – Mohd Nasir Mohd Tap



“Buku Ustaz dah keluar ke belum?” Tanya saya pada Ustaz Nasir kira-kira setahun yang lalu. “Insyallah, keluar tahun ni”, kata Ustaz Nasir kepada saya. Hanya setahun selepas itu baru saya berpeluang memilikinya. Itupun setelah berjumpa dengan Ustaz Nasir sendiri ketika saya berkunjung ke Kolej Dar al-Hikmah baru-baru ini. Buku yang setebal hampir 500 mukasurat ini telah diberi kata pengantar oleh Presiden Kolej Dar al-Hikmah sendiri iaitu Dato’ Dr Siddiq Fadzil. Sementara kata-kata aluan telah diberikan oleh Shaykh Dr Jahid Sidek al-Khalidi, Pengerusi Yayasan Bina Budi Malaysia dan Panel Jalsah Turuq Sufiyyah, Jabatan Mufti Negeri Sembilan. Kandungan buku ini terbahagi kepada enam wacana tidak termasuk pra-wacana dan pasca-wacana. Kata Ustaz Nasir dalam ruangan sekapur sirihnya, motivasi untuk menulis buku ini tercetus setelah beliau dihadiahkan oleh sahabatnya yang berasal dari Turki, sebuah karya monumental al-Sirhindi cetakan Makkah yang bertajuk al-Maktubat al-Rabbaniyyah. Motivasi untuk menulis buku menjadi semakin kuat setelah disaran oleh Dato Dr Siddiq agar beliau mengembangkan kertas kerja yang berkaitan dengan Imam Ahmad al-Sirhindi yang dibentangkan di dalam satu forum pada tahun 2006 yang lalu dalam bentuk buku. Selain dari huraian intelektual yang dipersembahkan oleh Ustaz Nasir dalam bentuk wacana, yang menarik perhatian saya tentang kandungan buku ini ialah gambarajah jaringan sanad tarekat sufiyyah dan sanad tarekat Naqsyabandiyyah Khalidiyyah. Sementara di bahagian lampiran, ada dimuatkan tentang perjalanan suluk menurut al-Sirhindi yang berkaitan dengan kosmologi-psikologinya. Malangnya, carta lampiran yang dilampirkan itu tidak dapat saya baca kerana saiznya yang terlalu kecil. Apapun, secara keseluruhan kandungan buku ini amat memuaskan dan wajar dimiliki bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang gagasan intelektual Imam Ahmad al-Sirhindi.