Tuesday, October 19, 2010

Syeikh Abdul Qadir Al–Mandili (1910–1965): Biografi dan Pendidikan Akhlak




Kalau tak silap saya, buku ini saya beli di Pesta Buku Antarabangsa dua tahun lepas. Tajuk buku ini menjadi daya tarikan utama. Sebaik ternampak buku ini, tanpa berfikir panjang terus saya sambar satu. Buku ini ditulis oleh Prof Madya Dr Ramli Awang yang merupakan salah seorang tenaga pengajar di Pusat Pengajian Islam dan Pembangunan Sosial, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai. Satu lagi buku tulisan beliau yang berada dalam simpanan saya ialah buku yang berjudul Perkembangan Institusi Pondok Di Nusantara: Pengaruhnya Di Negeri Kedah. Buku ini berbentuk monograf yang diterbitkan oleh Penerbit UTM pada tahun 2006. Syeikh Abdul Qadir al-Mandili merupakan seorang ulama besar Alam Melayu yang pernah menjadi guru di Masjidil Haram. Sumbangannya sangat besar kerana beliau bukan sahaja mengajar tetapi turut mengarang sejumlah kitab. Dalam buku biografi yang setebal 298 mukasurat ini, penulisnya telah membahagikan isi kandungannya kepada dua tema utama iaitu pertama, riwayat hidup Syeikh Abdul Qadir al-Mandili dan kedua, pendidikan akhlak menurut perspektif al-Mandili. Penulis telah memperincikan pendidikan akhlak yang meliputi akhlak batiniah tercela (madhmumah) seperti marah, dengki, cintakan kemegahan, cintakan dunia, takbur, ujub, bakhil serta riyak dan terapi dan akhlak terpuji (mahmudah) yang menjadi teras kepada kehidupan yang tidak seharusnya luput dari amalan umat Islam seperti taubat, takutkan Allah, zuhud, sabar, syukur, ikhlas, tawakal, kasihkan Allah serta reda dengan qada’ Allah Taala. Penulis turut memasukkan kaedah terapi untuk akhlak batiniah tercela dan pemeliharaan anggota lahiriah. Dalam Bab 7 (semuanya ada 8 bab), penulis menyertakan analisis metode al-Mandili dalam memahami akhlak. Ini termasuklah hubungan pemikiran akhlak al-Mandili dengan Imam al-Ghazali dan juga konsep takhalli dan tajalli. Buku ini dijual dengan harga RM35. Amat sesuai untuk bacaan semua peringkat masyarakat khususnya mahasiswa, para pendidik, ibu bapa dan individu yang ingin membentuk peribadi serta generasi masa depan berakhlak mulia.

Wednesday, September 15, 2010

Furu' al-Masa'il wa Usul al-Wasa'il


Kitab ini asalnya ditulis oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, ulama besar Alam Melayu abad ke-18 Masehi. Kitab ini kemudiannya diolah semula dan diberi nafas baru oleh Datuk Abu Hasan Din al-Hafiz setelah mendapati isi kandungannya amat wajar ditelusuri oleh masyarakat pada masa ini. Kitab ini terbahagi kepada dua furu’ iaitu furu’ usuluddin dan furu’ feqah. Apa yang menarik tentang isi kandungannya ialah dari segi perbahasannya yang sangat meluas tetapi telah diulas dengan sangat baik oleh pengarangnya. Seperti kata penyusunnya, Datuk Abu Hasan Din al-Hafiz, “Walaupun ia hanya sebuah kitab yang dialihbahasakan daripada kitab asalnya yang berbahasa Arab tetapi saya mendapati isi kandungannya amat padat sekali, ilmunya berguna hingga masa kini. Walaupun dinukilkan beratus tahun yang lalu tetapi perbahasannya masih hidup kerana ia membicarakan permasalahan semasa yang berlaku pada hari ini.” Sebagai contoh soalan seperti berikut,

“Adakah gugur fardu kifayah bagi solat jemaah jika sekiranya sebuah kampung itu terdapat satu kumpulan jin mendirikan solat jemaah atau solat jemaah dilakukan oleh kanak-kanak, adakah gugur tuntutan fardu kifayah tersebut ke atas orang dewasa atau mereka yang baligh?”

Lalu jawabnya,

“Gugur fardu kifayah ke atas seluruh penduduk kampung walaupun solat jemaah itu dilakukan oleh makhluk jin dengan syarat mereka menjelmakan diri sebagai makhluk manusia. Jika tidak maka tidak gugur fardu kifayahnya begitu juga jika dilakukan oleh kanak-kanak. Perlu diketahui bahawa semua fardu kifayah ke atas orang dewasa dan mereka yang baligh dikira gugur apabila dilakukan oleh kanak-kanak kecuali empat perkara (tidak gugur fardu kifayahnya) iaitu haji, umrah, solat berjemaah dan menjawab salam seperti mana pendapat Mudabighi”. (lihat halaman 390)

Kitab yang dikeluarkan oleh Telaga Biru ini mempunyai sejumlah 763 halaman. Setting, reka letak dan pemilihan warna yang bersesuaian dan menarik menyejukkan mata serta tidak meletihkan mata pembaca untuk menetap dari satu halaman ke satu halaman. Bagi saya, kitab ini adalah antara kitab terbaik yang pernah saya miliki tahun ini. Seperti yang dinyatakan dalam kata aluan oleh Datuk Haji Md Hashim Haji Yahaya, “Kitab ini harus dibaca setiap lepas solat berjemaah atau sebelum tidur malam. Biarlah sedikit demi sedikit asalkan istiqamah. Bacalah secara berjemaah dalam kumpulan….”

Sunday, September 5, 2010

Munajat Uwais al-Qarani


Kitab Munajat Uwais al-Qarani yang dicetak semula dan dikeluarkan pada malam 27 Ramadhan 1431 H

Kitab Munajat Uwais al-Qarani yang dikeluarkan buat kali pertama pada November 2002

Selain doa munajat, kitab yang disusun oleh Tuan Guru yang mulia, Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki turut menghimpunkan biografi Uwais al-Qarani, penghulu tabi'in yang namanya menjadi sebutan Rasulullah saw dan dicari oleh sahabat baginda ra kerana kemuliaan dan kelebihannya yang amat besar kepada umat Islam. Uwais hidup pada zaman Rasulullah saw namun beliau tidak berkesempatan untuk bertemu dengan Baginda saw. Ini adalah kerana beliau terpaksa berkhidmat kepada bondanya. Dia bimbang meninggalkan bondanya yang sedang uzur itu seorang diri (lihat mukasurat 56). Di dalam kitab yang bersaiz poket ini, Tuan Guru turut memasukkan kata-kata hikmah yang pernah diucapkan oleh Uwais. Antaranya ialah seperti, "Mencabut bukit dengan jarum-jarum lebih mudah daripada mengeluarkan sifat takabbur dari hati" (lihat mukasurat 51). Tuan Guru yang mulia telah mengijazahkan munajat Uwais al-Qarani kepada para ikhwan pada malam 27 Ramadhan 1431 H di Ampang.

40 Mutiara Nabawi Fadhilat al-Quran al-Karim

Kitab ini dikarang oleh al-Allamah Syeikh Yusof ibn Ismail al-Nabhani dan diterjemah ke dalam bahasa Melayu oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki. Syeikh Yusuf dilahirkan di kampung Ijzim pada hari Khamis tahun 1265 H dan wafat dalam awal Ramadhan tahun 1350 Hijrah. Salah seorang anak muridnya ialah al-Muhaddith Sayyid 'Alawi ibn 'Abbas al-Maliki al-Hasani yang merupakan ayahanda kepada al-Muhaddith Sayyid Muhammad ibn 'Alawi al-Maliki al-Hasani iaitu guru kepada Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki. Seperti yang terkandung di bahagian muqaddimah, isi kandungan kitab ini adalah berkenaan tentang hadith-hadith yang berkaitan dengan kelebihan yang besar bagi orang yang membaca al-Quran, menghafaznya, memahaminya dan mengamalkan serta menjadikan al-Quran sebagai panduan hidupnya. Tuan Guru yang mulia, Syeikh Muhammad Fuad telah mengeluarkan kitab ini sempena majlis Nuzul al-Quran dan Takrim Huffaz pada tahun ini (1431 Hijrah). Kitab ini dikhatamkan di Ampang pada malam 27 Ramadhan 1431 H bersamaan 5 September 2010.

Monday, July 19, 2010

Biografi Sayyid Ahmad al-Badawi - Ahmad Lutfi Abdul Wahab al-Linggi

Ketika membaca sepintas lalu buku ini, saya amat terkesan dengan kisah al-Habib Sayyid Yusuf al-Bakhour al-Hasani yang datang menziarahi penulis buku ini iaitu Ustaz Ahmad Lutfi ketika berada di Damanhur. Beliau bertanya kepada penulis, “Adakah terdapat maqam para wali Allah yang berdekatan untuk diziarahi?” Lalu penulis buku ini menjawab, “Tiada”. Al-Habib Sayyid Yusuf kemudian memandang penulis dalam keadaan kehairanan sambil berkata, “Bagaimanakah kamu belajar sesuatu ilmu tanpa dikelilingi oleh para wali Allah swt?” (rujuk halaman 16)
Maka atas sebab itu penulis buku selanjutnya menyatakan,
Sebuah tempat akan menjadi mulia dan dirahmati sekiranya diduduki oleh orang-orang soleh yang mereka itu merupakan di kalangan kekasih Allah swt. Dengan adanya kehadiran mereka, akan mendatangkan percikan hujan-hujan rahmat beserta wangi-wangian membawa cahaya keberkatan yang baik (rujuk halaman 16)
Sayyid Ahmad al-Badawi adalah salah seorang darinya. Beliau adalah seorang wali Allah yang telah menabur jasa di bumi Allah khususnya di Mesir. Kata penulis buku ini, “Kitab biografi ini dikeluarkan sempena meraikan seorang kekasih Allah swt yang bernama Sayyid Ahmad al-Badawi yang merupakan permata cemerlang lagi gemilang dalam perbendaharaan tokoh-tokoh para kekasih Allah swt di bumi Mesir” (rujuk halaman 13). Sayyid Ahmad al-Badawi bukan sahaja dikenang umat Islam sebagai seorang wali Allah yang dikurniakan dengan pelbagai karamah dan ilmu kasyaf, tetapi juga atas sebab kegagahannya bertempur di medan perjuangan. Pada tahun 1248 Masehi, beliau telah bertempur dengan dengan tentera salib berdekatan dengan Mansurah. Kegagahan dan ketangkasannya sangat digeruni musuh sehingga beliau digelar “Pemusnah yang Mengalahkan Musuh di dalam Peperangan” (rujuk halaman 77).
Dengan bahasa yang santai, Ustaz Ahmad Lutfi telah menghidangkan kisah-kisah yang menarik tentang wali Allah ini untuk dihadam oleh para pembaca. Ustaz Ahmad Lutfi juga turut memasukkan hizib-hizib, salawat dan qasidah yang menjadi amalan Sayyid Ahmad al-Badawi. Amalan ini boleh dirujuk dari halaman 122 hingga 143.


Allah memuliakan Rasulullah saw - Ahmad Lutfi Abdul Wahab al-Linggi

Buku yang ditulis oleh Ustaz Ahmad Lutfi ini dimulakan dengan gambar-gambar yang berkaitan dengan Rasulullah saw seperti cap mohor Rasulullah saw, bekas tapak kaki yang dikatakan milik Rasulullah saw dan sebagainya. Ini disusuli pula dengan bab muqaddimah dan selanjutnya diikuti dengan 15 bab yang berkaitan dengan kemuliaan Rasulullah saw. Buku setebal 128 mukasurat ini ditutup dengan sebuah qasidah indah yang berkaitan dengan Junjungan Besar Rasulullah saw. Untuk tujuan penulisan buku ini, Ustaz Ahmad Lutfi telah merujuk kepada beberapa buah kitab karangan ulama besar dunia antaranya seperti,
1. Insan al-Kamil karangan al-Muhaddith Dr Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki
2. Keistimewaan Rasulullah saw karangan al-Allamah al-Faqih al-Musnid Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin al-Maliki
3. Al-Syifa bi Ta’rif Huquq al-Mustafa karangan al-Hafiz Imam Qadhi Iyadh
4. Al-Syamail al-Muhammadiyyah karangan al-Hafiz Imam Muhammad ibn Isa ibn saurah al-Tirmizi
5. Al-Mawahib al-Laduniyyah karangan al-Imam Ibnu Hajar al-Qustallani
6. Khasais al-Nabawiyyah al-Kubra karangan al-Hafiz Imam al-Suyuti
7. Al-Tuhfah al-Murid Syarh Jauharah al-Tauhid karangan al-Allamah Ibrahim al-Baijuri
Antara perkara-perkara penting yang dibahaskan dalam buku ini ialah seperti keutamaan bersalawat ke atas Nabi Muhammad saw. Makna salawat seleperti yang dijelaskan oleh penulis di mukasurat 58 ialah seperti berikut,
Salawat maknanya adalah doa, penghormatan atau kasih daripada Allah, para malaikat dan orang-orang mukmin ke atas Baginda Rasulullah saw.
Penulis turut memetik beberapa hadith tentang kepentingan bersalawat (rujuk mukasurat 62-63).
Hadith 1
Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abdur Rahman ibn Samurah r.a disebutkan bahawa Rasulullah saw pernah menemuinya bersama para sahabat kemudian bersabda, “Semalam aku telah melihat satu pemandangan yang menakjubkan. Aku melihat seorang lelaki dari umatku melintas sirat dengan susah sekali. Kadang-kadang dia merangkak, ke sana sini dan kadang tergantung. Tidak lama kemudian salawat yang pernah diucapkan oleh lelaki itu datang kepadaku untuk selanjutnya membimbing tangan orang tersebut sehingga lelaki itu mampu berdiri tegak dan mampu melintas sirat”.
Hadith 2
Hussain ibn Ali r.a menyatakan bahawa Rasulullah saw bersabda, “Barangsiapa yang mendengar namaku disebutkan dihadapannya lalu dia tidak bersalawat kepadaku maka dia akan salah menempuh jalan menuju ke syurga”.
Hadith 3
Abu Zar al-Ghifari r.a menceritakan, “Suatu ketika aku keluar dari rumah dan bertemu dengan Rasulullah saw lantas Baginda saw bertanya, “Mahukah kamu aku beritahu tentang manusia yang paling bakhil?” Para sahabat menjawab, “Tentu, wahai Rasulullah saw!” Baginda saw bersabda, “Barangsiapa yang namaku disebutkan disisinya dan dia mendengarnya akan tetapi dia tidak bersalawat kepadaku. Itulah manusia yang paling bakhil”.
Antara kelebihan dan manfaat salawat ke atas Rasulullah saw seperti yang dinyatakan oleh penulis ialah seperti,
1. Melaksanakan perintah Allah dalam al-Quran
2. Menjadi sebab mendapat syafaat Rasulullah saw
3. Untuk dekat dengan Nabi saw di hari Qiamat
4. Untuk mudah melintasi titian Sirat al-Mustaqim
5. Bersalawat ke atas Rasulullah saw dapat menambah rasa cinta dekat dengan Baginda saw

Di akhir penulisan buku ini yakni selepas qasidah, penulis menutup isi kandungan dengan bait-bait indah dengan katanya, “Hadirkanlah hatimu, wahai sekalian orang yang berakal! Sehingga dijelaskan kepadamu tentang keindahan pengantin, erti kekasih yang paling dicintai. Kekasihmu yang sebenarnya adalah Rasulullah saw”.



Monday, July 5, 2010

Batu Aceh Johor Dalam Perbandingan

Buku ini merupakan hasil karya Daniel Perret dan Kamaruddin Ab Razak, dua tokoh yang tidak asing lagi dalam bidang pengkajian artifak bersejarah khususnya yang berkaitan dengan epigrafi. Pengkajian yang dilakukan oleh kedua-dua tokoh ini sangat teliti. Ini dapat dilihat menerusi perbandingan kajian dengan tokoh-tokoh epigrafi sebelumnya di mana jumlah batu aceh yang ditemui oleh kedua-dua tokoh ini jauh lebih tinggi berbanding tokoh-tokoh sebelumnya. Lokasi setiap batu aceh yang ditemui telah dimasukkan di dalam buku ini. Penulis buku turut memuatkan tipologi dan epigrafi setiap batu aceh yang ditemui. Perbandingan batu aceh yang bertaburan di seluruh Semenanjung dengan batu aceh yang terdapat di negeri Johor telah dihuraikan di dalam buku ini. Kandungan buku ini menjadi tambah menarik apabila gambar foto batu aceh yang terdapat di seluruh semenanjung dimuatkan di dalam bahagian akhir buku ini. Buku setebal 468 mukasurat ini menggunakan kertas glossy berkualiti tinggi dan berkulit keras. Ianya diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor pada tahun 2004. Harganya sekitar RM 170, kalau tak silap saya.