Wednesday, September 15, 2010

Furu' al-Masa'il wa Usul al-Wasa'il


Kitab ini asalnya ditulis oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, ulama besar Alam Melayu abad ke-18 Masehi. Kitab ini kemudiannya diolah semula dan diberi nafas baru oleh Datuk Abu Hasan Din al-Hafiz setelah mendapati isi kandungannya amat wajar ditelusuri oleh masyarakat pada masa ini. Kitab ini terbahagi kepada dua furu’ iaitu furu’ usuluddin dan furu’ feqah. Apa yang menarik tentang isi kandungannya ialah dari segi perbahasannya yang sangat meluas tetapi telah diulas dengan sangat baik oleh pengarangnya. Seperti kata penyusunnya, Datuk Abu Hasan Din al-Hafiz, “Walaupun ia hanya sebuah kitab yang dialihbahasakan daripada kitab asalnya yang berbahasa Arab tetapi saya mendapati isi kandungannya amat padat sekali, ilmunya berguna hingga masa kini. Walaupun dinukilkan beratus tahun yang lalu tetapi perbahasannya masih hidup kerana ia membicarakan permasalahan semasa yang berlaku pada hari ini.” Sebagai contoh soalan seperti berikut,

“Adakah gugur fardu kifayah bagi solat jemaah jika sekiranya sebuah kampung itu terdapat satu kumpulan jin mendirikan solat jemaah atau solat jemaah dilakukan oleh kanak-kanak, adakah gugur tuntutan fardu kifayah tersebut ke atas orang dewasa atau mereka yang baligh?”

Lalu jawabnya,

“Gugur fardu kifayah ke atas seluruh penduduk kampung walaupun solat jemaah itu dilakukan oleh makhluk jin dengan syarat mereka menjelmakan diri sebagai makhluk manusia. Jika tidak maka tidak gugur fardu kifayahnya begitu juga jika dilakukan oleh kanak-kanak. Perlu diketahui bahawa semua fardu kifayah ke atas orang dewasa dan mereka yang baligh dikira gugur apabila dilakukan oleh kanak-kanak kecuali empat perkara (tidak gugur fardu kifayahnya) iaitu haji, umrah, solat berjemaah dan menjawab salam seperti mana pendapat Mudabighi”. (lihat halaman 390)

Kitab yang dikeluarkan oleh Telaga Biru ini mempunyai sejumlah 763 halaman. Setting, reka letak dan pemilihan warna yang bersesuaian dan menarik menyejukkan mata serta tidak meletihkan mata pembaca untuk menetap dari satu halaman ke satu halaman. Bagi saya, kitab ini adalah antara kitab terbaik yang pernah saya miliki tahun ini. Seperti yang dinyatakan dalam kata aluan oleh Datuk Haji Md Hashim Haji Yahaya, “Kitab ini harus dibaca setiap lepas solat berjemaah atau sebelum tidur malam. Biarlah sedikit demi sedikit asalkan istiqamah. Bacalah secara berjemaah dalam kumpulan….”

Sunday, September 5, 2010

Munajat Uwais al-Qarani


Kitab Munajat Uwais al-Qarani yang dicetak semula dan dikeluarkan pada malam 27 Ramadhan 1431 H

Kitab Munajat Uwais al-Qarani yang dikeluarkan buat kali pertama pada November 2002

Selain doa munajat, kitab yang disusun oleh Tuan Guru yang mulia, Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki turut menghimpunkan biografi Uwais al-Qarani, penghulu tabi'in yang namanya menjadi sebutan Rasulullah saw dan dicari oleh sahabat baginda ra kerana kemuliaan dan kelebihannya yang amat besar kepada umat Islam. Uwais hidup pada zaman Rasulullah saw namun beliau tidak berkesempatan untuk bertemu dengan Baginda saw. Ini adalah kerana beliau terpaksa berkhidmat kepada bondanya. Dia bimbang meninggalkan bondanya yang sedang uzur itu seorang diri (lihat mukasurat 56). Di dalam kitab yang bersaiz poket ini, Tuan Guru turut memasukkan kata-kata hikmah yang pernah diucapkan oleh Uwais. Antaranya ialah seperti, "Mencabut bukit dengan jarum-jarum lebih mudah daripada mengeluarkan sifat takabbur dari hati" (lihat mukasurat 51). Tuan Guru yang mulia telah mengijazahkan munajat Uwais al-Qarani kepada para ikhwan pada malam 27 Ramadhan 1431 H di Ampang.

40 Mutiara Nabawi Fadhilat al-Quran al-Karim

Kitab ini dikarang oleh al-Allamah Syeikh Yusof ibn Ismail al-Nabhani dan diterjemah ke dalam bahasa Melayu oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki. Syeikh Yusuf dilahirkan di kampung Ijzim pada hari Khamis tahun 1265 H dan wafat dalam awal Ramadhan tahun 1350 Hijrah. Salah seorang anak muridnya ialah al-Muhaddith Sayyid 'Alawi ibn 'Abbas al-Maliki al-Hasani yang merupakan ayahanda kepada al-Muhaddith Sayyid Muhammad ibn 'Alawi al-Maliki al-Hasani iaitu guru kepada Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki. Seperti yang terkandung di bahagian muqaddimah, isi kandungan kitab ini adalah berkenaan tentang hadith-hadith yang berkaitan dengan kelebihan yang besar bagi orang yang membaca al-Quran, menghafaznya, memahaminya dan mengamalkan serta menjadikan al-Quran sebagai panduan hidupnya. Tuan Guru yang mulia, Syeikh Muhammad Fuad telah mengeluarkan kitab ini sempena majlis Nuzul al-Quran dan Takrim Huffaz pada tahun ini (1431 Hijrah). Kitab ini dikhatamkan di Ampang pada malam 27 Ramadhan 1431 H bersamaan 5 September 2010.