Friday, June 10, 2011

Coretan XNuriPilot



Buku ini adalah antara genre yang jarang-jarang sekali saya baca. Iaitu yang bertemakan keperajuritan. Last buku bertemakan sebegini yang saya baca ialah sekitar tahun 1980-an iaitu tentang perwira Kanang anak Langkau. Apapun buku Coretan X-NuriPilot ada kelainan dan kekuatan tersendiri. Menariknya buku ini ditulis oleh ahli keluarga saya sendiri. Baru saya tahu rupanya ada di kalangan ahli keluarga saya yang menulis buku. Penulisnya adalah mantan pegawai tentera berpangkat mejar. Beliau adalah Mejar Bersara Nor Ibrahim bin Sulaiman. Tentang hubungan saya dengannya ialah beliau pangkat bapa saudara kepada saya. Sebenarnya begini, beliau adalah sepupu kepada bapa saya. Bapa saya tua dua tahun darinya. Bapanya dan datuk saya adalah adik-beradik. Datuk saya adalah abang kepada bapanya.
Dari mana baba dapat buku ni? Tanya saya kepada bapa saya ketika saya berada di Taiping baru-baru ini. “Dari Cek Amat”, jawab ayahanda saya ringkas. Cek Amat adalah panggilan kepada Ahmad Kamaruddin, adik kepada penulis buku ini. Beliau tinggal tidak jauh dari rumah bapa saya. Saya membelek-belek beberapa ketika. Apabila melihat kepada isi kandungan secara sepintas lalu terasa seperti ada daya tarikan. Saya memohon izin dari ayahanda saya untuk meminjam buku ini. Lalu bermulalah sesi pembacaan. Sedar tak sedar ada beberapa bab yang saya asyik ulang berkali-kali. Macam tak percaya.


Apa kekuatan buku ini? Senang cerita saya listkan dalam bentuk bullet seperti di bawah
1. Buat pertama kali, saya berpeluang menatap wajah moyang perempuan saya sebelah bapa saya. Gambar moyang ada dimuatkan di mukasurat 10. Moyang perempuan saya bernama Wan Rogayah. Beliau adalah cucu kepada Pandak Lam. Pandak Lam adalah nama sebenar bagi satu watak penting dalam sejarah kepahlawanan negara pada abad ke-19 satu masa dahulu. Wan Rogayah ini berkahwin dengan Khairuddin. Khairuddin adik-beradik dengan Permaisuri Uteh Mariah, isteri kepada Sultan Idris Murshidul Adzam Shah.
2. Peristiwa-peristiwa yang terakam dalam buku ini adalah first hand story yakni yang diceritakan sendiri oleh ahli-ahli tentera yang terlibat dalam sesuatu operasi. Bukannya dari sumber kedua, ketiga dan selanjutnya. Jadi hasilnya ialah pembaca akan merasakan seolah-olah ia berada di tempat lokasi dan pada satu-satu ketika mungkin akan dapat ‘merasai’ apa yang mereka rasa. Keperitan bertembung dengan musuh halimunan iaitu jerangkap samar dan tangisan bila melihat rakan seperjuangan kehilangan nyawa adalah antaranya.
3. Pengalaman sebenar yang diceritakan oleh penulis buku khususnya dalam mengendalikan pesawat Nuri menyebabkan pembaca terasa seperti berada di sebelahnya. Adakalanya penuh dengan rasa bangga bila dapat menjalankan tugas dengan jayanya, ada kalanya dramatik bila menghadapi masalah dan adakalanya suspen bila ditembak berulang-kali oleh musuh negara.
4. Pembaca didedahkan dengan pelbagai istilah operasi ketenteraan. Istilah ini sangat menarik dan menghidupkan jalan cerita. Saya selaku pembaca terasa berada dalam operasi. Terasa seperti menghantar resup dan melakukan hover dengan Nuri, straffing ke satu kawasan yang dikenalpasti ada musuh dan bersama sapper mengesan jerangkap samar menggunakan prodder.
Buku setebal 264 mukasurat ini agak santai dibaca. Sangat menarik dan silap-silap boleh melekat terus untuk menghabiskan pembacaan. Buku ini baru saja dilancarkan sebulan dua yang lepas. Rasanya buku ini tidak dijual di kedai buku. Untuk mendapatkannya, bolehlah hubungi penulisnya iaitu Mejar (B) Nor Ibrahim bin Sulaiman di no berikut, 019-4744849. Beliau ketika ini aktif menulis di dalam blognya iaitu xnuripilot.blogspot.com. Silalah berkunjung ke sana untuk mengetahui aktiviti dan pengalaman menarik yang pernah dilalui oleh beliau dan bekas angkatan tentera yang lain.