Monday, December 7, 2009

Darah Mengalir di Pasir Salak - A Talib Haji Ahmad




Buku sejarah ini ditulis oleh pengarang terkenal dekad 1960-70-an satu masa dahulu iaitu A Talib Haji Ahmad (kalau tak silap saya berketurunan Keramat Kuala Bidor). Berdasarkan kepada kata pengantar yang ditulis oleh pengarang, buku ini dipercayai ditulis awal tahun 1960-an. Buku yang berada di tangan saya pula adalah merupakan cetakan kali kedua. Ianya dicetak pada tahun 1978. Buku ini boleh dikategorikan sebagai buku langka kerana sangat susah untuk didapati di pasaran. Satu-satunya kedai yang masih mempunyai stok buku ini ialah syarikat yang menerbitkan buku ini iaitu Pustaka Antara. Lokasi syarikat ini ialah di Kompleks Wilayah, Kuala Lumpur. Buku ini sangat menarik dari beberapa sudut;
1. Ia ditulis berdasarkan cerita orang tua-tua. Jika kita membaca buku ini, kita akan dapat melihat perbezaan yang agak ketara dengan laporan atau catatan yang dibuat oleh pihak Inggeris (khususnya catatan yang dibuat oleh Frank Swettenham didalam bukunya yang masyhur berjudul The Malay Sketches). Antara perbezaan yang ketara ialah dari segi ketokohan watak-watak utama khususnya Dato Maharaja Lela. Dato Maharaja Lela seperti yang digambarkan dalam buku ini adalah seorang yang tidak suka bermusuh. Beliau menyambut kedatangan Birch dan rombongannya dengan baik. Dato Maharaja Lela tidak membuat keputusan yang terburu-buru ketika mendapat surat yang dikatakan mengandungi perintah Sultan yang mengarahkan beliau membunuh JWW Birch (sila rujuk mukasurat 31-32). Ini berbeza dengan perwatakan Dato Maharaja Lela seperti yang digambarkan oleh penulis Barat dimana mereka menyatakan bahawa Dato Maharaja Lela sebagai seorang yang tidak memberi muka kepada Birch dan menentang British secara terang-terangan. Malah dikatakan bahawa Dato Maharaja Lela sendiri sanggup menjunjung perintah Sultan untuk membunuh Birch yang dikatakan telah mencampuri urusan pentadbiran negeri Perak.
2. Nama watak utama yang membunuh Birch bukannya si Puntum sebaliknya Si Bunga. Beliau mengambil tindakan sendiri bukannya atas perintah Dato Maharaja Lela. (rujuk mukasurat 31 hingga 33)
3. Nama watak utama yang menjadi pembantu Birch ialah Mat Saman. Beliau terselamat dalam kejadian pembunuhan Birch. Kenyataan beliau diambil oleh pihak British tetapi telah diputar belit oleh pihak British dan menuduh bahawa dalang utama pembunuhan Birch ialah Dato Maharaja Lela. (rujuk mukasurat 34)
4. Kisah-kisah lain yang tidak pernah tercatat dalam lipatan sejarah yang ditulis oleh pengarang Barat seperti kisah kegagahan isteri Dato Laksamana menentang penjajah Inggeris, kisah helah Inggeris untuk memisahkan Dato Maharaja Lela dengan keris pusaka kesayangannya dan kisah Dato Maharaja Lela yang meninggal dunia setelah digantung buat kali ketujuh.
Kesimpulannya, buku setebal 52 mukasurat ini wajar dibaca oleh semua peminat sejarah!