Saturday, September 26, 2009

Tokoh-tokoh Ulama Semenanjung Melayu (2) - Ismail Che Daud



Jika buku 1 memuatkan 40 tokoh tidak termasuk lampiran, buku 2 hanya memuatkan 30 tokoh. Rentaknya juga tidak banyak beza iaitu menyenaraikan 70% ulama-ulama yang berasal dari negeri Kelantan. Tokoh-tokoh yang disenaraikan dalam kedua-dua buku ini amat penting untuk diketahui kerana dibawah didikan mereka, terhasil ramai ulama-ulama besar yang bertebaran di seluruh pelusuk tanahair. Tuan Guru Haji Abdul Aziz Pasir Tumbuh misalnya menghasilkan tidak kurang dari 30 ulama terkenal yang kemudiannya berkhidmat di merata tempat di Tanah Melayu. Kedua-dua buku ini agak sukar ditemui di sebelah pantai barat. Saya tidak pasti samada buku-buku ini masih diulang cetak atau tidak. Cuma bagi saya, kedua-dua buku ini sangat penting kerana selain menyertakan riwayat hidup, ia juga turut menyenaraikan kitab-kitab yang ditulis oleh tokoh dan senarai anak murid yang pernah menadah kitab dengan tokoh.

Tokoh-tokoh Ulama Semenanjung Melayu (1) - Ismail Che Daud



Walaupun judul buku ini bertajuk Tokoh-tokoh ulama Semenanjung Melayu namun hampir 70% isi kandungan buku ini condong kepada ulama-ulama di negeri Kelantan. Apapun, ulama-ulama dari negeri Kelantan memang diakui kemasyhuran mereka dan tidaklah keterlaluan dikatakan bahawa ulama-ulama dari negeri Kelantan ini sebenarnya adalah juga mewakili Semenanjung Tanah Melayu. Tidak hairanlah jika Kelantan dikenal orang dengan jolokan Serambi Makkah. Ianya mungkin disebabkan ramainya ulama yang dilahirkan di negeri tersebut. Buku ini diselenggarakan oleh Ismail Che Daud, satu nama besar dalam bidang penulisan sejarah khususnya yang berkaitan dengan periwayatan ulama-ulama tanahair. Penulis-penulis lain yang turut menyumbangkan bahan dalam buku ini juga bukanlah asing dalam bidang penulisan. Nama-nama seperti Wan Shamsudin Wan Mohd Yusof, Ismail Awang, Abdul Razak Mahmud, Ahmad Fathy al-Fathani dan Abdullah bin Mohamed (Nakula) sangat sinonim dengan karya-karya bercorak sejarah dan biografi ini. Membaca kisah-kisah alim-ulama ini tidak pernah menjemukan. Hampir kesemua ulama yang disenaraikan didalam buku ini mengharung tempoh pengajian yang bukannya sekejap. Ada yang berpuluh-puluh tahun menadah kitab malah ada yang menetap terus ditempat beliau memondok. Seluruh kehidupan mereka diabdikan untuk tujuan dakwah dan ilmu Islam. Ada diantara ulama yang tercatat dalam buku ini menghasilkan berpuluh-puluh kitab. Ada pula yang mengajar di seluruh pelusuk tempat tanpa jemu dan lelah. Karamah mereka ada yang dizahirkan. Sebagai contoh Tok Perlis. Pernah beliau terserempak dengan seseorang yang memetik curi buah kelapa muda orang lain. Apabila ditegur oleh Tok Perlis, orang itu membalas dengan menyatakan bahawa beliau hanya mengambil sebiji sahaja untuk menghilangkan dahaga. Tatkala dibelahnya kelapa itu, didapatinya buah itu langsung tidak mempunyai air! Sifat alim, tawadhuk, zuhud dan qanaah Tok Perlis diwarisi oleh murid kanannya, Tok Lebai Che Nuh. Karamah juga pernah dilihat oleh orang lain. Diriwayatkan bahawa beliau pernah menjala ikan bilis dengan tangkapannya penuh walaupun jalanya koyak luas! Tidak kurang juga yang menempuh ujian getir. Pondok Tok Syeikh Jarum musnah dalam satu kebakaran besar. Haji Sa’ad Kangkong terpaksa berpuasa dan menyara hidup dengan mengail ikan di India dalam perjalanan pulang ke tanahair dari Makkah ketika berlaku Perang Wahabbi. Apapun semua ujian dan pahit getir yang dilalui telah meletakkan mereka di kedudukan yang mulia di sisi Allah Ta’ala. Wafatnya mereka memberi kesan yang sangat mendalam kepada murid dan masyarakat setempat. Beribu-ribu orang mengiringi mereka ke kawasan pemakaman. Buku ini tidak jemu-jemu dibaca. Diulang, diulang, diulang dan seterusnya…Mudah-mudahan dengan membaca riwayat mereka, sedikit-sebanyak akan memberi inspirasi kepada kita untuk menuruti jejak langkah mereka.

Politik al-Imam - Abdul Aziz Mat Ton



Menulis buku sejarah setebal 500 mukasurat bukanlah satu tugas yang mudah. Apatah lagi ia menyentuh pelbagai aspek dengan kronologi yang memerlukan huraian yang sangat detil bagi mengaitkan antara satu peristiwa dengan peristiwa yang lain. Yang paling penting dan sukar untuk dilakukan ialah konsistensi dalam penulisan. Dalam hal ini, saya tabik hormat kepada penulisnya Abdul Aziz Mat Ton yang pastinya telah bekerja keras untuk menyelesaikan penulisan ini. Bagi saya, beliau telah berjaya memenuhi kriteria yang saya sebut diatas iaitu konsisten dan berhasil dalam memperinci dan mengaitkan antara satu babak dengan babak yang lain dalam satu skop subjek yang sangat mencabar (bagi saya le). Seperti kata penulis sendiri dalam bab Pengenalan, “… penulis terpaksa menyoroti asal usul dan dorongan-dorongan faktor sejarah yang menyebabkan kelahiran al-Imam”. Untuk sampai kepada tajuk buku ini iaitu Politik al-Imam, Abdul Aziz telah menyorot kembali babak-babak penting yang telah membenihkan “al-Imam”. Bermula dari politik Nusantara dengan pencerobohan penjajah Eropah kemudiannya imperialisme di Asia Barat dan seterusnya imperialisme penjajah di Nusantara pada kurun ke-19, Abdul Aziz telah mengupas peristiwa-peristiwa diatas dengan baik tanpa membiarkan pembaca terawang-awang (baca:konsisten) dan seterusnya mengaitkan peristiwa-peristiwa tersebut dengan kemunculan al-Imam. Apa sebenarnya al-Imam ini? Untuk kenal al-Imam, maka kita perlu kenal tokoh-tokohnya terlebih dahulu. Tokoh-tokoh penting yang telah mengemudi al-Imam ialah Syeikh Mohd Salim, Syeikh Tahir, Saiyid Syeikh al-Hadi dan Haji Abbas Muhammad Taha. Masih belum dapat tangkap apa itu al-Imam? Baiklah, al-Imam itu sebenarnya adalah satu majalah yang disebut orang sebagai majalah islah-islamiah. Majalah ini sering disebut-sebut oleh para sarjana sejarah sebagai majalah yang meniupkan semangat kebangkitan perjuangan menentang imperialisme. Walaubagaimanapun, bagi sesetengah pihak, al-Imam terlalu radikal. Mereka berani mengkritik raja-raja dan orang-besar (rujuk mukasurat 210). Mereka berani mengkritik ulama tradisional (rujuk mukasurat 217). Dan mereka tidak segan-segan mengkritik golongan hartawan (rujuk mukasurat 228). Mungkin atas sebab itulah agaknya hayat al-Imam tidak panjang. Majalah ini hanya mampu bertahan selama dua tahun (1906-1908). Apapun, al-Imam mencipta sejarah yang tersendiri. Kemunculannya telah membuka mata banyak pihak. Satu perkara yang tidak dapat dinafikan ialah kebangkitan rakyat menentang penjajah selepas itu meledak di seluruh nusantara. Buku ini menjadi sangat penting bagi saya kerana di bahagian lampiran, isi kandungan majalah al-Imam dari tahun 1906 hingga 1908 dimuatkan didalamnya. Dari situ dapatlah kita mengkaji, meneliti dan membuat penilaian terhadap pemikiran pendukung-pendukung al-Imam ini.

Thursday, September 10, 2009

Orang Biasa Diraja Hayat dan Zaman Imam Perang Jabor (1858-1921) – Hashim Sam



Buku ini diterbitkan oleh Persatuan Sejarah Malaysia pada tahun 2000. Saya tidak pernah menjumpai buku ini dijual dimana-mana kedai buku, oleh itu untuk mendapatkannya ialah dengan berkunjung ke pejabat Persatuan Sejarah yang letaknya bersebelahan dengan Perpustakaan Negara. Buku ini ditulis oleh cicitnya, Dato Hashim Sam. Siapa Ngah Jabor ini? Itulah yang telah dikaji dan cuba dikupas oleh Dato’ Hashim dalam bukunya ini. Berdasarkan tulisan Dato Hashim ini, beliau menyatakan bahawa Ngah Jabor ini adalah saudara paling hampir dengan tokoh paling penting dalam peristiwa penjajahan British di Perak pada kurun ke-19 iaitu Dato Maharajalela Pandak Lam. Dalam bukunya ini ada dimuatkan salasilah yang menunjukkan hubungan antara Pandak Lam dengan Ngah Jabor. Mengikut catatan Prof C.N Parkinson, Ngah Jabor adalah adik kepada Pandak Lam manakala Buyong Adil menyebut bahawa Ngah Jabor bersaudara dengan Pandak Lam. Kedua-dua nama itu berhubung dengan satu lagi nama iaitu Zainal Abidin yang ditunjukkan dalam carta salasilah itu sebagai ayahanda kepada Pandak Lam dan Ngah Jabor (rujuk m/s 59). Dalam satu salasilah lain, hubungan antara Pandak Lam dan Jabor ditunjukkan dengan tidak menghubungkan keduanya kepada satu nama yang sama (maksudnya ayah yang sama). Pandak Lam tidak ditunjukkan hubungan keatas (tidak diketahui ayahnya) manakala Jabor ditunjukkan hubungan ke atas iaitu ayahandanya bernama Bardot. Tetapi kedua-dua nama itu berasal dari akar yang sama iaitu bertemu di moyang mereka yakni Daeng Selili yang menunjukkan hubungan mereka dalam satu keluarga Bugis yang besar. Salasilah yang dinyatakan oleh Parkinson dan Buyong Adil nampaknya bercanggah dengan salasilah yang direkod oleh Fawzi Basri dalam karyanya yang bertajuk Cempaka Sari. Dalam buku itu disebut bahawa ayahanda Pandak Lam bernama Maulud. Manakala yang bernama Zainal itu ialah ayahanda kepada Maulud. Berbalik kepada cerita Ngah Jabor tadi, beliau dalam usianya yang masih muda iaitu lebih kurang 17 tahun ditangkap oleh pihak British kerana disyaki terlibat dengan peristiwa pembunuhan JWW Birch. Dalam buku ini diceritakan bahawa sesetengah orang berpendapat Ngah Jabor telah dibebaskan senyap-senyap oleh Raja Idris apabila baginda menjadi Sultan pada tahun 1887 (rujuk m/s 84). Ngah Jabor dikatakan muncul semula pada tahun 1894 tetapi dengan nama yang sedikit berbeza iaitu Mohamed Jabar. Nama ini muncul ketika Kampar mula diteroka untuk dijadikan kawasan perlombongan bijih timah. Mohamed Jabar dikatakan tokoh yang telah membuka bandar tersebut. Beliau dikatakan telah menjadi seorang kaya yang terkenal di Lembah Kampar (rujuk m/s 85). Beliau juga dikatakan pernah membuat tuntutan atas gelaran Dato Maharaja Lela, gelaran yang sebelum itu disandang oleh Pandak Lam. Selepas Pandak Lam menjalani hukuman mati, gelaran tersebut tidak digunakan oleh sesiapa. Tuntutan itu bagaimanapun ditolak oleh Sultan Idris yang mempunyai pertalian saudara dengannya kerana beralasan bahawa gelaran tersebut tidak akan dihidupkan semula. Sultan Idris menawarkan jawatan lain iaitu gelaran Dato Panglima Kampar tetapi ditolak dengan penuh hemah oleh Mohamed Jabar. Tuntutan itu dibuat oleh Mohamed Jabar memandangkan beliau adalah satu-satunya tokoh yang tinggal setelah dua lagi tokoh yang berasal dari Pasir Salak/Kampung Gajah dijatuhi hukuman bunuh iaitu Pandak Lam dan Ngah Kamdin (Dato Sagor) (rujuk m/s 86). Mohamed Jabar dikatakan sangat suka mendekati ulama. Dikatakan tiap-tiap tahun pada bulan Ramadan, pemimpin agama dan alim-ulama dari seluruh Alam Melayu datang berkunjung ke rumahnya untuk berbuka puasa dan bersolat tarawih bersama-sama (rujuk m/s 94). Mohamed Jabar meninggal dunia pada tahun 1921 dalam usia 63 tahun. Walaupun tinggal di Kampar, beliau dikebumikan di Kampung Gajah, tempat dimana beliau dibesarkan. Beliau dikatakan mempunyai beratus-ratus ekar tanah di beberapa tempat dalam negeri Perak tetapi banyak tanahnya telah diambil kemblai oleh pihak berkuasa negeri (rujuk m.s 94).Saya tertarik dengan rujukan yang digunakan oleh pengarang buku ini. Dua rujukannya yang menarik perhatian saya ialah yang berjudul Cerita Raja Melayu Negeri Perak serta Keturunan segala Syed-Syed daripada Zainal Abidin dibawahnya salasilah Temenggong Perak dan Salasilah orang Kaya Temenggong Perak 1944. Dinyatakan sumber rujukannya ialah di Arkib Negara. Saya pernah mencarinya tetapi tidak berhasil. Mungkin saya kena cuba sekali lagi atau minta bantuan pegawai arkib.

Tempat-tempat Bersejarah Perak – N.A Halim



Buku ini ditulis oleh Abdul Halim Nasir dengan menggunakan nama penanya iaitu N.A Halim seperti yang tertera pada kulit depan buku. Buku ini juga sudah tergolong dalam buku klasik kerana rasanya belum lagi diulang cetak. Ketika saya membelinya, cetakan yang tertera adalah cetakan asal iaitu tahun 1981. Buku ini memperincikan tentang lokasi dan kedudukan tempat-tempat bersejarah di negeri Perak. Buku ini menjadi daya tarikan saya kerana ia memuatkan gambar-gambar makam tokoh-tokoh penting yang ada kaitan dengan keturunan saya. Untuk memudahkan seseorang sampai ke satu-satu lokasi, penulis buku ini telah menyediakan lampiran peta yang menunjukkan lokasi tempat tersebut. Saya pernah mencuba merujuk kepada peta itu tetapi tidak semuanya berjaya. Ini adalah kerana ada lokasi-lokasi yang disebutkan itu agak terpencil dan memerlukan bantuan maklumat dari penduduk setempat. Selain itu, bentuk muka bumi dan struktur bangunan juga telah banyak berubah menyebabkan sesuatu lokasi itu agak sukar untuk dicam. Dalam banyak-banyak gambar yang dimuatkan, satu-satunya gambar yang mencuri perhatian saya ialah gambar almarhum nyang saya yang sedang memegang batu nesan ayahandanya. Al-Fatihah untuk almarhum Nyang.



Foto Nyang yang dirakam oleh penulis buku dan diabadikan dalam buku ini. Kelihatan dibelakang Nyang ialah makam Temenggong Wan Hussain (yang berada dalam kawasan binaan yang agak tinggi)

Sejarah Perak Siri Pertama Zaman Pra-Sejarah hingga Zaman Kedatangan Pengaruh Orang Luar – A Halim Nasir



Buku ini saya beli beberapa tahun yang lalu di Jabatan Muzium, Kuala Lumpur. Buku ini ditulis oleh Abdul Halim Nasir, satu nama besar dalam bidang sejarah dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengan hal-ehwal pemuziuman seperti kajian terhadap binaan lama, artifak, makam dan sebagainya. Buku ini dicetak pada tahun 1977 dan ketika saya membelinya pun ternyata ia adalah cetakan yang asal. Setakat ini, buku ini tidak pernah diulang cetak sejak ia mula-mula dikeluarkan pada tahun 1977. Maknanya, ada kemungkinan bahawa buku ini akan ‘lenyap’ jika tidak diulang cetak sebaik sahaja naskhah terakhirnya dijual. Bagi mereka yang menghargai nilai-nilai sejarah, sudah pasti buku ini akan berada dalam koleksi dan dianggap sebagai salah satu khazanah yang sangat berharga. Buku ini jika dilihat dari sudut kualiti kertas, font, kulit buku, rekaletak dan foto yang dimuatkan sudah boleh dimasukkan dalam kategori buku klasik. Buku in saya beli ketika saya sedang membuat kajian peribadi tentang salasilah keluarga dan sejarah Perak yang mungkin ada kaitan dengan ahli keluarga saya. Ternyata kandungan buku ini tidak menghampakan malah banyak memberi maklumat berguna kepada saya tentang salasilah, makam dan bangsa-bangsa yang pernah berdiam di Perak yang ada kaitan dengan keturunan saya. Ketika menyelak-nyelak mukasurat di awal kandungan, saya terkejut apabila dua nama yang ada kaitan dengan saya disebutkan di ruangan penghargaan. Pertamanya ialah nama ‘nyang’ (moyang) saya dan keduanya ialah nama seorang tokoh yang berpangkat bapa saudara saya. Kedua-dua nama ini dikatakan telah banyak membantu penulis buku ini iaitu Abdul Halim Nasir bagi mendapatkan bahan-bahan yang diperlukan untuk penerbitan buku ini.
Kata penulis,
Di Kota Lama Kanan saya mendapat beberapa maklumat tentang makam Tok Subang dan juga batu peringatan Sultan Mansur Syah I dari Tuan Haji Hammam bin Syed Alang Ishak, berumur 95 tahun. Beliau sedikit sebanyak mengetahui tentang sejarah-sejarah negeri Perak dan juga telah memberi pinjam beberapa buah buku lama tulisan tangan yang menceritakan tentang riwayat negeri-negeri Perak. (rujuk bahagian Penghargaan)
Tuan Haji Hammam yang disebut oleh penulis buku ini ialah moyang saya sebelah bapa saya (dari sebelah ibunya). Setelah membaca buku ini barulah saya tahu bahawa beliau adalah seorang ahli sejarah besar Perak yang banyak menjadi rujukan para penyelidik yang ingin mengkaji tentang sejarah Perak. Sayangnya, saya hanya sempat bersama dengannya beberapa tahun sahaja itupun ketika saya masih kecil. Seingat saya, nyang meninggal pada ketika usia saya belasan tahun. Ketika itu, saya masih mentah dan tidak pernah terfikir tentang sejarah, nasab dan warisan keluarga. Berdasarkan kepada umur yang disebut oleh penulis buku itu maknanya nyang saya meninggal pada usia sekitar 104 tahun kerana rasanya nyang saya meninggal pada tahun 1986. Dari umur yang disebut oleh penulis buku, nyang berkemungkinan besar dilahirkan sekitar tahun 1882. Tidak hairanlah nyang menjadi rujukan penyelidik kerana beliau hidup ketika Perak mengalami banyak peristiwa penting pada waktu itu. Tambahan pula ayahanda nyang adalah salah seorang tokoh yang sangat dihormati di Kuala Kangsar maka banyaklah maklumat dari ayahandanya disampaikan kepada nyang. Walaubagaimanapun saya agak hampa kerana tidak berjaya menemui buku-buku nyang seperti yang disebut oleh Abdul Halim Nasir dalam bukunya itu. Jenuh saya bertanya kepada saudara-mara tetapi tidak berhasil menemui buku –buku yang ditulis oleh nyang. Kata nenek saudara saya, ada kemungkinan nyang telah menyerahkan buku-bukunya kepada pihak muzium. Entahlah saya pun tidak pasti dan tidak pernah bertanya kepada pihak muzium. Cuma satu-satunya peninggalan nyang yang saya temui ialah salasilah keluarga. Inilah satu-satunya peninggalan nyang yang sangat-sangat berharga buat diri saya. Sebelum ini saya sebenarnya tidak tahu bahawa nyang pernah mencatat salasilah keluarga. Sehinggalah pada tahun lepas ketika saya sedang bertungkus-lumus mencari salasilah keluarga, bapa saudara saya membuatkan satu salinan salasilah yang dicatat oleh nyang untuk diberikan kepada saya. Rupanya sekitar tahun 1970 hingga 80-an, nyang telah membuat salinan salasilah untuk diberikan kepada semua anak cucunya. Malangnya, ayahanda saya tidak memiliki salasilah itu, rasanya pada waktu itu ayahanda saya bertugas di luar Perak. Patutlah apabila saya bertanya kepada ayahanda saya, beliau seperti tidak mengetahui tentang kewujudan salasilah itu.
Satu lagi nama yang disebut dalam buku itu ialah almarhum Dato’ Wan Umar yang lebih dikenali orang dengan panggilan Tok Talang (rumahnya di Talang). Saya pula memanggilnya Pak Tuk. Beliau berpangkat bapa saudara kerana beliau dengan ayahanda saya bertalian sepupu. Sebenarnya dengan bonda saya juga, almarhum ada mempunyai hubungan kekeluargaan. Kata Abdul Halim Nasir,
Kepada Orang Kaya Temenggong Paduka Raja Perak iaitu YAB Dato Wan Umar bin Haji Wan Hamaruddin D.P.C.M yang telah memberi pinjaman beberapa buah buku lama mengenai Orang-orang Bugis dan juga salasilah keturunan Orang Kaya Temenggong Negeri Perak. YAB juga telah memberi beberapa maklumat tentang kedudukan beberapa buah makam Orang Kaya Temenggong yang sedang dicari oleh pihak Jabatan Muzium.
Setelah membaca buku ini barulah saya tahu bahawa bapa saudara saya itu ada menyimpan buku-buku tentang sejarah Bugis. Bapa saudara saya meninggal sekitar tahun 1990-an. Saya tidak pasti status buku-buku itu samada ianya masih terjaga, disimpan oleh anak-anaknya atau sudah pun lenyap dimakan bubuk. Dibahagian akhir kandungan buku, Abdul Halim Nasir menyenaraikan buku-buku yang dijadikannya sebagai rujukan. Ada tiga buku penting yang dijadikan rujukan oleh penulis buku yang merupakan milik nyang dan bapa saudara saya iaitu
1. Rang Adat Lembaga Negeri Perak Darul Ridzuan (risalah tulisan tangan Jawi) – kepunyaan bapa saudara saya.
2. Riwayat Negeri Perak dan Raja-Raja serta Orang-orang Besar Perak (tulisan tangan Jawi ditulis pada tahun 1920) – milik nyang saya.
3. Salasilah Keturunan Orang Kaya Temenggong Perak – naskhah tulisan tangan simpanan bapa saudara saya.
Rasanya raya yang bakal menjelma ini akan saya manfaatkan untuk ziarah waris sambil bertanyakan tentang status buku-buku diatas.
Satu lagi rujukan yang tidak kurang penting ialah artikel yang ditulis oleh Arena Wati iaitu tentang La Tata Ambarala. Abdul Halim merujuk artikel ini dalam penulisan buku ini. Artikel yang dimuatkan dalam majalah Mastika pada tahun 1972 ini telah pun saya temui di Perpustakaan Negara Malaysia. Dalam artikel tersebut ada disebut bahawa penulis artikel ada menyimpan salasilah lengkap Daeng Selili. Soalnya, saya sendiri tidak tahu bagaimana hendak menghubungi waris penulis artikel ini untuk bertanyakan tentang salasilah tersebut.
Al-Fatihah untuk almarhum Nyang dan Pak Tuk.

Tuesday, September 1, 2009

Tasawuf Tematik Membedah tema-tema penting Tasawuf - M.Solihin



Jika ingin mengetahui lebih lanjut tentang terma atau istilah-istilah yang sering diungkapkan dalam bidang tasawwuf, buku ini bolehlah dimanfaatkan. Penulisnya, Dr M. Solihin telah berusaha membahas setiap istilah penting yang lazimnya diguna pakai dalam bidang tasawwuf sebaik mungkin agar mudah difahami. Antara bab penting yang yang terdapat didalam buku ini ialah maqamat dan ahwal, mahabbah, makrifat, mukasyafah dan musyahadah, fana, baqa dan ittihad, al-hulul, wahdatul wujud, Insan Kamil dan Tazkiyat an-Nafs. Penulis juga memuatkan tokoh-tokoh penting yang terkait dengan istilah-istilah tersebut. Sebagai contoh istilah mahabbah dikaitkan dengan Rabiah al-Adawiyah manakala makrifat terkait dengan Dzun al-Misri. Buku setebal 204 mukasurat ini diterbit oleh Pustaka Setia yang berpusat di Bandung pada tahun 2003.

Mengenal Allah Suatu Kajian Mengenai Ajaran Tasawwuf al-Falimbani - M.Chatib Quzwain



Buku ini asalnya merupakan tesis yang dipertahan oleh penulisnya iaitu M.Chatib Quzwain diperingkat doktor falsafah pada tahun 1984 di IAIN Syarif Hidayatullah Jakarta. Seperti yang diceritakan dalam buku ini, tesis ini dibentang dihadapan dua orang tokoh yag sangat terkenal dalam bidang pemikiran Islam iaitu Prof Dr Harun Nasution dan pembantunya Prof Dr R Roolvink. Prof Dr Harun bukanlah asing dalam bidang pemikiran Islam kerana beliau telah menghasilkan beberapa buah karya besar termasuklah tesisnya yang terkenal tentang kajiannya terhadap tokoh besar abad ke-19 iaitu Muhammad Abduh. Prof Dr R Roolvink pula merupakan seorang pensyarah dari universiti yang sangat terkenal dengan khazanah mansukripnya iaitu Leiden yang terletak di Belanda. Disebut di bahagian prakata, isi kandungan buku ini tidak mengalami sebarang suntingan dari tesis asal. Yang berubah hanyalah tajuknya sahaja dimana tajuk asalnya ialah tasawwuf Abdus Samad al-Falimbani. Buku ini terbahagi kepada enam bab utama iaitu bab pertama tentang riwayat hidup dan karyanya, bab kedua tentang tuhan dalam ajaran al-Falimbani, bab ketiga tentang manusia dalam ajaran al-Falimbani, bab keempat tentang jalan kepada tuhan menurut al-Falimbani, bab kelima tentang tariqat menurut al-Falimbani dan bab keenam tentang kesimpulan keseluruhan tesis. Dalam bab kesimpulan, dinyatakan oleh penulis bahawa al-Falimbani tidaklah menterjemah bulat-bulat kitab Ihya Ulumuddin dan Bidayatul Hidayah karangan tokoh besar Islam Imam al-Ghazali tetapi mengadun kemas inti pati kandungan kitab besar Imam al-Ghazali dengan beberapa falsafah tasawwuf yang lain termasuklah yang digagas oleh tokoh sufi besar yang lain seperti Ibnu Arabi. Kata M.Chatib Quzwain, inti ajaran dua tokoh sufi ini diletakkan oleh al-Falimbani sebagai dua tahap penalaman kesufian yang berbeza tetapi saling lengkap-melengkapi yang harus dicapai keduanya oleh seorang sufi. Untuk ajaran tujuh peringkat nafs pula, kata penulis buku ini, al-Falimbani mengambilnya dari Qasim al-Halibi. Ajaran tujuh peringkat nafs ini dikatakan memberi kerangka dasar bagi menyesuaikan dua aliran tasawwuf yang dipelopori oleh Imam al-Ghazali dan Ibnu Arabi. Kata penulis lagi, ajaran tujuh peringkat nafs yang diambil dari Qasim al-Halibi ini adalah merupakan satu ajaran yang menjadi landasan tujuh zikir dalam tarikat al-Khalwatiyyah atau as-Samanniyyah yang diambilnya melalui Syeikh Muhammad as-Samman di Madinah (rujuk mukasurat 166-167).
Buku yang ada dalam koleksi saya ini diterbit oleh Thinker’s Library dan dicetak buat kali kedua pada tahun 2001. Tebalnya sekitar 183 mukasurat.